Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Didorong oleh “Kurniaan Percuma” Tuhan

Didorong oleh “Kurniaan Percuma” Tuhan

“Bersyukur kepada Tuhan atas kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.”—2 KOR. 9:15.

LAGU: 121, 63

1, 2. (a) “Kurniaan percuma” Tuhan merangkumi apa? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

YEHUWA telah memberi kita kurniaan kasih yang terbesar apabila Dia mengutus Anak-Nya, iaitu Yesus, ke bumi! (Yoh. 3:16; 1 Yoh. 4:9, 10) Menurut rasul Paulus, pemberian Tuhan ini merupakan “kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” (2 Kor. 9:15) Mengapakah Paulus berkata demikian?

2 Paulus tahu tebusan Yesus merupakan jaminan bahawa semua janji Tuhan akan menjadi kenyataan. (Baca 2 Korintus 1:20.) Hal ini bererti bahawa “kurniaan percuma” Tuhan merangkumi tebusan Yesus dan semua kebaikan serta kasih setia yang ditunjukkan Yehuwa. Pemberian yang berharga itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apakah perasaan kita terhadap pemberian yang istimewa ini? Bagaimanakah kurniaan ini mendorong kita untuk membuat persiapan bagi Peringatan kematian Kristus pada hari Rabu, 23 Mac 2016?

KURNIAAN ISTIMEWA TUHAN

3, 4. (a) Apakah perasaan anda apabila menerima hadiah? (b) Bagaimanakah hidup anda akan berubah jika anda menerima pemberian yang sangat istimewa?

3 Kita suka menerima hadiah daripada orang lain. Sesetengah pemberian begitu bermakna sehingga dapat mengubah hidup kita. Contohnya, bayangkan anda terlibat dalam suatu jenayah. Oleh itu, anda dijatuhkan hukuman mati. Namun, seseorang yang tidak dikenali rela menggantikan tempat anda dan menerima hukuman tersebut. Dia rela mati demi anda! Apakah perasaan anda?

4 Sudah tentu, pengorbanan itu akan mendorong anda untuk mengubah cara hidup anda. Anda akan tergerak untuk bersikap murah hati serta mengasihi dan memaafkan orang yang mungkin berbuat silap terhadap anda. Selain itu, anda pasti berasa syukur kerana orang itu rela mengorbankan dirinya demi anda.

5. Mengapakah pemberian Yehuwa jauh lebih berharga daripada pemberian yang lain?

5 Pemberian korban tebusan daripada Tuhan adalah jauh lebih berharga daripada pemberian yang lain. (1 Ptr. 3:18) Fikirkan hal ini: Kita semua mewarisi dosa daripada Adam, dan hukuman bagi dosa ialah kematian. (Rm. 5:12) Kasih telah mendorong Yehuwa untuk mengutus Yesus ke bumi, dan “dia merasai kematian demi setiap orang.” (Ibr. 2:9) Namun, korban Yesus membawa manfaat yang lebih besar! Kematian akan lenyap selama-lamanya. (Yes. 25:7, 8; 1 Kor. 15:22, 26) Semua orang yang beriman kepada Yesus akan menikmati keamanan dan kebahagiaan yang kekal. Ada yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Yang lain pula akan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan di bumi. (Rm. 6:23; Why. 5:9, 10) Apakah manfaat lain daripada pemberian Yehuwa?

6. (a) Apakah pemberian Tuhan yang anda nantikan? (b) Pemberian Tuhan mendorong kita untuk melakukan apa?

6 Pemberian Yehuwa juga merangkumi aspek lain seperti menjadikan bumi sebuah firdaus, orang sakit akan disembuhkan, dan orang mati akan dibangkitkan. (Yes. 33:24; 35:5, 6; Yoh. 5:28, 29) Sudah pasti kita mengasihi Yehuwa dan Yesus kerana memberikan kurniaan ini. Hal ini mendorong kita untuk melakukan apa? Kita boleh (1) meniru teladan Yesus dengan teliti, (2) mengasihi saudara saudari, dan (3) memaafkan mereka dengan rela.

“KASIH YANG DIMILIKI KRISTUS MENGUASAI KAMI”

7, 8. Bagaimanakah kasih yang dimiliki Kristus akan mempengaruhi seseorang? Hal itu mendorong kita untuk melakukan apa?

7 Pertama, kita didorong untuk menggunakan kehidupan kita agar dapat memuliakan Yesus. Rasul Paulus berkata, “Kasih yang dimiliki Kristus menguasai kami.” (Baca 2 Korintus 5:14, 15.) Paulus tahu bahawa jika kita menerima kasih Kristus, kita akan dikuasai atau digerakkan untuk mengasihi dan memuliakan Yesus. Apabila kita memahami apa yang telah dilakukan Yehuwa untuk kita, kasih-Nya akan mendorong kita untuk hidup dalam cara yang memuliakan Yesus. Apakah caranya?

8 Kasih kepada Yehuwa akan mendorong kita untuk meniru teladan Yesus dengan teliti. (1 Ptr. 2:21; 1 Yoh. 2:6) Kita membuktikan kasih kita dengan mentaati Tuhan dan Kristus. Yesus berkata, “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku, dan aku juga akan mengasihinya dan memperlihatkan diriku dengan jelas kepadanya.”—Yoh. 14:21; 1 Yoh. 5:3.

9. Apakah tekanan yang kita hadapi?

9 Semasa musim Peringatan, kita boleh merenungkan bagaimana kita menggunakan kehidupan kita. Tanyalah diri: “Dalam aspek apakah saya telah meniru Yesus? Apakah perubahan yang boleh saya lakukan?” Adalah penting untuk merenungkan soalan ini supaya kita tidak dipengaruhi dengan gaya hidup dunia ini. (Rm. 12:2) Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mula mengikut pemikiran guru-guru di dunia, orang yang terkenal, dan ahli sukan. (Kol. 2:8; 1 Yoh. 2:15-17) Bagaimanakah kita dapat menolak tekanan tersebut?

10. Apakah soalan-soalan yang boleh kita renungkan semasa musim Peringatan? Hal itu mendorong kita untuk melakukan apa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Semasa musim Peringatan, kita boleh memeriksa pakaian, filem, muzik, serta apa yang ada di dalam komputer, telefon bimbit, dan tablet kita. Tanyalah diri: “Jika Yesus nampak apa yang saya pakai, adakah saya akan berasa malu?” (Baca 1 Timotius 2:9, 10.) “Adakah pakaian saya menunjukkan bahawa saya seorang pengikut Kristus? Adakah Yesus menyukai filem atau muzik saya? Jika Yesus ingin meminjam telefon bimbit atau tablet saya, adakah saya akan berasa malu? Adakah saya berasa susah untuk menjelaskan kepada Yesus mengapa saya menikmati permainan video tertentu?” Kasih terhadap Yehuwa akan mendorong kita untuk membuang apa sahaja perkara yang tidak sesuai bagi orang Kristian, tidak kira berapa nilainya. (Kis. 19:19, 20) Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berjanji untuk menggunakan hidup agar dapat memuliakan Kristus. Maka, kita tidak harus menyimpan apa pun yang boleh menghalang kita daripada meniru teladan Yesus.—Mat. 5:29, 30; Flp. 4:8.

11. (a) Bagaimanakah kasih kita kepada Yehuwa dan Yesus mendorong kita dalam kerja penyebaran? (b) Bagaimanakah kasih mendorong kita untuk membantu orang lain dalam sidang?

11 Kasih kepada Yesus akan mendorong kita untuk menginjil dan mengajar dengan bersemangat. (Mat. 28:19, 20; Luk. 4:43) Semasa musim Peringatan, dapatkah anda menjadi perintis sokongan dan meluangkan masa 30 atau 50 jam dalam kerja penyebaran? Seorang duda yang berumur 84 tahun berfikir bahawa dia tidak dapat menjadi perintis kerana umurnya dan kesihatannya. Namun para perintis di kawasannya ingin membantunya. Mereka mengaturkan pengangkutan dan memilih kawasan penyebaran yang sesuai supaya dia dapat menginjil. Hasilnya, saudara ini dapat meluangkan 30 jam dalam kerja penyebaran. Dapatkah anda membantu seseorang dalam sidang anda untuk menjadi perintis sokongan pada bulan Mac atau April? Sudah tentu bukan semua orang dapat merintis, tetapi kita boleh berusaha menggunakan lebih banyak masa dan tenaga dalam khidmat kepada Yehuwa. Jika kita berbuat demikian, kita menjadi seperti Paulus yang didorong oleh kasih Yesus.

KITA MESTI MENGASIHI SATU SAMA LAIN

12. Kasih Tuhan terhadap kita mendorong kita untuk membuat apa?

12 Kedua, kasih Tuhan terhadap kita akan mendorong kita untuk mengasihi saudara saudari kita. Rasul Yohanes menulis, “Saudara-saudara yang dikasihi, jika Tuhan mengasihi kita dengan cara sedemikian, kita pun mesti mengasihi satu sama lain.” (1 Yoh. 4:7-11) Jika kita ingin dikasihi oleh Tuhan, kita harus mengasihi saudara saudari kita. (1 Yoh. 3:16) Namun, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada mereka?

13. Apakah teladan Yesus dalam menunjukkan kasih?

13 Kita boleh meniru teladan Yesus. Apabila Yesus berada di bumi, dia membantu orang, terutamanya mereka yang mengalami kesusahan. Dia menyembuhkan orang sakit, tempang, buta, tuli, dan bisu. (Mat. 11:4, 5) Tidak seperti pemimpin agama, Yesus suka mengajar orang yang ingin mengenali Tuhan dengan lebih dekat. (Yoh. 7:49) Dia mengasihi mereka dan berusaha untuk membantu mereka.—Mat. 20:28.

Dapatkah anda membantu saudara saudari tua untuk menginjil? (Lihat perenggan 14)

14. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih terhadap saudara saudari?

14 Musim Peringatan merupakan peluang yang baik untuk berfikir tentang cara kita boleh membantu saudara saudari dalam sidang, terutamanya mereka yang lanjut usia. Dapatkah anda mengunjungi mereka? Dapatkah anda membawa makanan kepada mereka, membantu mereka melakukan kerja di rumah, membawa mereka ke perjumpaan, atau menjemput mereka untuk menginjil bersama anda? (Baca Lukas 14:12-14.) Semoga kasih Tuhan kepada anda mendorong anda untuk mengasihi saudara saudari!

BERBELAS KASIHAN TERHADAP SAUDARA SAUDARI

15. Sebagai keturunan Adam, apakah yang harus kita sedar?

15 Ketiga, kasih Yehuwa terhadap kita mendorong kita untuk memaafkan saudara saudari. Kita semua mewarisi dosa daripada Adam dan akhirnya akan mati. Oleh itu, tiada seorang pun yang boleh berkata, “Saya tidak memerlukan tebusan.” Hamba Tuhan yang paling setia pun memerlukan tebusan. Yehuwa telah mengampuni dosa kita yang bagaikan hutang yang besar! Mengapakah pengampunan penting? Mari kita lihat jawapannya menerusi sebuah perumpamaan yang diberikan Yesus.

16, 17. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan Yesus mengenai seorang raja dan hambanya? (b) Selepas merenungkan perumpamaan Yesus, anda bertekad untuk melakukan apa?

16 Perumpamaan Yesus adalah mengenai seorang raja yang membatalkan hutang hambanya. Hutang itu sebanyak 60,000,000 denari. Tetapi kemudian, hamba itu tidak mahu membatalkan hutang rakannya yang hanya berjumlah 100 denari. Raja itu telah menunjukkan belas kasihan terhadap hamba ini. Maka hamba ini sepatutnya didorong untuk menunjukkan belas kasihan terhadap rakannya. Apabila raja tahu bahawa hamba ini tidak membatalkan hutang rakannya, raja menjadi marah. Dia berkata, “Hai hamba yang jahat! Beta membatalkan semua hutangmu semasa kamu merayu kepada beta. Tidakkah kamu harus berbelas kasihan terhadap rakanmu sebagaimana beta berbelas kasihan terhadapmu?” (Mat. 18:23-35, nota kaki) Seperti raja itu, Yehuwa telah membatalkan hutang kita yang besar. Jadi, kasih dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh Yehuwa harus mendorong kita untuk melakukan apa?

17 Semasa membuat persediaan bagi Peringatan, kita boleh menanya diri, “Pernahkah seorang saudara atau saudari menyakiti hati saya? Adakah susah bagi saya untuk mengampuninya?” Jika ya, kita boleh meniru teladan Yehuwa yang “suka mengampuni orang.” (Mzm. 86:5; Neh. 9:17) Sekiranya kita menghargai belas kasihan Yehuwa, kita juga akan menunjukkan belas kasihan kepada orang lain dan mengampuni mereka dengan rela. Jika kita tidak mengasihi dan mengampuni saudara saudari, kita tidak boleh berharap bahawa Yehuwa akan mengasihi dan mengampuni kita. (Mat. 6:14, 15) Apabila kita mengampuni orang, hal itu tidak bermaksud bahawa kita tidak akan sakit hati lagi. Namun, mengampuni orang dapat membantu kita untuk menikmati masa depan yang lebih bahagia.

18. Bagaimanakah kasih Tuhan mendorong seorang saudari untuk bersabar dengan ketidaksempurnaan saudari yang lain?

18 Memang tidak senang untuk “bersabar” dengan ketidaksempurnaan saudara saudari. (Baca Kolose 3:13, 14; Efesus 4:32.) Contohnya, Lily selalu membantu seorang balu yang bernama Carol. [1] Dia akan membantu Carol dari segi pengangkutan, membawanya untuk membeli barang keperluan, dan melakukan banyak hal yang lain baginya. Walaupun Lily melakukan semua ini, Carol suka mengkritik. Hal ini tidak senang bagi Lily. Namun, Lily berfokus kepada sifat-sifat baik Carol dan membantunya sehingga dia meninggal. Walaupun tidak mudah untuk membantu Carol, Lily berkata, “Saya ingin berjumpa dengan Carol apabila dia dibangkitkan. Saya ingin lebih mengenalinya apabila dia sempurna.” Sudah tentu, kasih Tuhan dapat mendorong kita untuk bersabar dengan ketidaksempurnaan saudara saudari kita. Ingatlah bahawa di dunia baru nanti, ketidaksempurnaan akan lenyap buat selama-lamanya.

19. “Kurniaan percuma” Tuhan mendorong kita untuk melakukan apa?

19 Kita bersyukur kepada Tuhan atas “kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” Musim Peringatan ialah masa yang sesuai untuk merenungkan segala yang dilakukan Yehuwa dan Yesus bagi kita. Semoga kasih yang ditunjukkan mereka mendorong kita untuk meniru teladan Yesus dengan teliti, mengasihi saudara saudari, dan memaafkan mereka dengan rela.

^ [1] (perenggan 18) Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.