Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda Dapat Menguatkan Perpaduan Sidang​—Bagaimana?

Anda Dapat Menguatkan Perpaduan Sidang​—Bagaimana?

“Melaluinya, semua bahagian tubuh tersusun rapi dan bekerjasama.”—EF. 4:16.

LAGU: 53, 107

1. Sejak permulaan, apakah sikap yang diperlihatkan dalam kerja Tuhan?

YEHUWA dan Yesus sentiasa bersatu padu sejak permulaan penciptaan. Yehuwa menciptakan Yesus sebelum segala sesuatu diciptakan. Kemudian, Yesus bekerja “di sisi-Nya seperti seorang jurubina.” (Ams. 8:30) Umat Yehuwa juga bekerjasama dalam kerja yang harus dilakukan. Contohnya, Nuh dan keluarganya membina bahtera bersama-sama. Kemudian, orang Israel bekerjasama untuk membina khemah suci, membukanya, dan memindahkannya dari satu tempat ke tempat lain. Di Rumah Tuhan, mereka bernyanyi sambil bermain alat muzik. Mereka bersama-sama memuji Yehuwa dengan menggunakan muzik yang indah. Umat Yehuwa dapat melakukan semua perkara itu kerana mereka bekerjasama.—Kej. 6:14-16, 22; Bil. 4:4-32; 1 Taw. 25:1-8.

2. (a) Apakah yang menonjol tentang sidang Kristian pada masa awal? (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan?

2 Orang Kristian pada abad pertama juga bekerjasama. Rasul Paulus menjelaskan bahawa mereka bersatu padu walaupun mempunyai keupayaan dan tugas yang berbeza. Mereka semua mengikut Pemimpin mereka, iaitu Yesus Kristus. Paulus menyamakan mereka dengan tubuh badan yang terdiri daripada banyak anggota yang bekerjasama. (Baca 1 Korintus 12:4-6, 12.) Bagaimana pula dengan kita? Bagaimanakah kita dapat bekerjasama dalam kerja penyebaran, sidang, dan keluarga?

BEKERJASAMA DALAM KERJA PENYEBARAN

3. Apakah penglihatan yang diberikan kepada Yohanes?

3 Pada abad pertama, rasul Yohanes mendapat penglihatan mengenai tujuh malaikat yang meniup trompet. Apabila malaikat kelima meniup trompetnya, Yohanes nampak “sebuah bintang yang sudah jatuh dari langit ke bumi.” “Bintang” itu menggunakan kunci untuk membuka lubang yang dalam. Lalu asap mula keluar dari lubang tersebut dan belalang-belalang keluar dari asap itu. Kawanan belalang itu tidak merosakkan pokok atau tumbuhan, sebaliknya belalang itu mencederakan “orang yang tidak mempunyai meterai Tuhan pada dahi mereka.” (Why. 9:1-4) Yohanes tahu bahawa belalang-belalang dapat menyebabkan kerosakan yang besar, itulah yang berlaku pada zaman Musa di Mesir. (Kel. 10:12-15) Belalang-belalang yang dilihat Yohanes melambangkan orang Kristian terurap yang menyebarkan mesej penghakiman terhadap agama palsu. Jutaan orang yang menantikan kehidupan di bumi juga menyertai mereka. Mereka semua bersatu padu dalam kerja penyebaran. Kerja ini telah membantu banyak orang untuk membebaskan diri daripada agama palsu dan cengkaman Syaitan.

4. Apakah kerja yang harus dilakukan umat Tuhan? Bagaimanakah mereka dapat berjaya?

4 Kita memiliki tanggungjawab untuk menyebarkan “berita baik” kepada orang di seluruh dunia sebelum akhir tiba. Hal ini bermaksud ada banyak kerja untuk dilakukan! (Mat. 24:14; 28:19, 20) Kita perlu menjemput semua orang yang “dahaga” untuk minum “air kehidupan.” Maka, kita perlu mengajarkan kebenaran Bible kepada orang yang ingin memahaminya. (Why. 22:17) Apabila kita “bekerjasama” dengan sidang, kita akan berjaya melakukan tugas ini.—Ef. 4:16.

5, 6. Bagaimanakah kita bersatu padu semasa menyebarkan berita baik?

5 Untuk mencapai sebanyak orang yang mungkin, kita perlu teratur dalam kerja penyebaran. Arahan yang kita terima daripada sidang dapat membantu kita. Apabila perjumpaan sebelum kerja penyebaran selesai, kita keluar untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Kita juga menawarkan bahan bacaan Bible. Sebenarnya, jutaan bahan bacaan ini telah diedarkan di seluas dunia. Kadangkala kita juga diminta untuk menyertai kempen istimewa. Dengan melakukan kerja ini, kita bekerjasama dengan jutaan orang di seluruh bumi untuk menyebarkan berita yang sama! Kita juga bekerjasama dengan para malaikat yang membantu umat Tuhan menyebarkan berita baik.—Why. 14:6.

6 Kita sangat teruja apabila membaca Buku Tahunan mengenai hasil kerja penyebaran di seluruh bumi. Bayangkan, kita bersatu padu di seluas dunia untuk menjemput orang menghadiri konvensyen. Semasa konvensyen, kita menikmati ceramah, drama, dan demonstrasi yang menggalakkan kita untuk memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Kita juga bekerjasama dengan saudara saudari di seluas dunia apabila kita menghadiri Peringatan setiap tahun. (1 Kor. 11:23-26) Kita berkumpul pada masa yang sama, iaitu selepas matahari terbenam pada 14 Nisan, untuk menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan mentaati perintah Yesus. Beberapa minggu sebelum Peringatan, kita juga bekerjasama untuk menjemput orang menghadiri acara yang penting ini.

7. Apakah yang dapat kita capai apabila kita bekerjasama?

7 Seekor belalang tidak dapat menyebabkan banyak kerosakan. Begitu juga, kita tidak dapat menyebar kepada semua orang dengan usaha sendiri. Namun kerana kita bekerjasama, kita dapat memberitahu jutaan orang tentang Yehuwa dan membantu mereka memuliakan-Nya.

BEKERJASAMA DALAM SIDANG

8, 9. (a) Apakah perumpamaan yang digunakan Paulus untuk mengajar orang Kristian supaya bersatu padu? (b) Bagaimanakah kita boleh bekerjasama dalam sidang?

8 Paulus menjelaskan kepada orang Kristian di Efesus tentang cara sidang diaturkan. Dia berkata bahawa mereka harus “matang dalam segala hal.” (Baca Efesus 4:15, 16.) Paulus menggunakan contoh tubuh badan untuk menjelaskan cara setiap orang Kristian boleh menyumbang kepada perpaduan sidang dan mengikut Yesus, Kepala sidang. Dia berkata bahawa semua bahagian tubuh bekerjasama “melalui setiap sendi yang memberikan sokongan.” Bagaimanakah kita semua, tidak kira tua atau muda, sihat atau sakit, dapat menyumbang kepada perpaduan dan kerohanian sidang?

9 Yesus melantik penatua untuk memimpin sidang, dan dia mahu kita menghormati dan mentaati arahan mereka. (Ibr. 13:7, 17) Namun hal ini mungkin tidak senang. Maka kita boleh memohon bantuan Yehuwa. Daya aktif Yehuwa dapat membantu kita untuk mentaati arahan penatua. Fikirkan juga manfaat kepada sidang jika kita bersikap rendah hati dan bekerjasama dengan penatua. Sidang kita akan bersatu padu, dan kasih antara saudara saudari akan bertambah erat.

10. Bagaimanakah pembantu sidang menyumbang kepada perpaduan sidang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Pembantu sidang juga menyumbang kepada perpaduan sidang. Kita menghargai usaha mereka kerana mereka bekerja keras untuk membantu para penatua. Contohnya, pembantu sidang memastikan bahawa terdapat bahan bacaan yang mencukupi untuk digunakan dalam aktiviti penyebaran. Mereka juga menyambut pelawat yang hadir di perjumpaan. Selain itu, pembantu sidang membaiki Dewan Perjumpaan dan menjaga kebersihannya. Jika kita bekerjasama dengan mereka, kita dapat menyembah Yehuwa dengan teratur dan bersatu padu.—Bandingkan Kisah 6:3-6.

11. Bagaimanakah orang muda dapat menyumbang kepada perpaduan sidang?

11 Sesetengah penatua sudah bekerja keras selama bertahun-tahun. Namun, usia mereka meningkat dan mereka mungkin tidak dapat melakukan banyak tugas seperti dahulu. Oleh itu, saudara yang lebih muda dapat memberikan bantuan. Jika saudara muda dilatih, mereka dapat memikul lebih banyak tanggungjawab dalam sidang. Apabila pembantu sidang bekerja keras, dia mungkin layak menjadi seorang penatua. (1 Tim. 3:1, 10) Terdapat penatua muda yang membuat kemajuan sehingga layak menjadi penyelia litar dan membantu saudara saudari di sidang lain. Kita sangat menghargai orang muda yang rela berkhidmat bagi rakan seiman mereka.—Baca Mazmur 110:3; Pengkhutbah 12:1.

BEKERJASAMA DALAM KELUARGA

12, 13. Apakah yang dapat membantu ahli keluarga untuk bekerjasama?

12 Bagaimanakah kita dapat membantu ahli keluarga untuk bekerjasama? Penyembahan keluarga setiap minggu dapat membantu kita. Apabila ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama untuk belajar tentang Yehuwa, kasih mereka terhadap satu sama lain akan bertambah kuat. Semasa penyembahan keluarga, mereka dapat bersiap sedia bagi aktiviti penyebaran dengan melatih penyampaian mereka. Apabila ahli keluarga meluahkan perasaan mereka mengenai Firman Tuhan, hubungan mereka akan bertambah erat. Hal ini adalah kerana mereka dapat melihat bahawa ahli keluarga mengasihi Yehuwa dan ingin melakukan kehendak-Nya.

Tidak kira kita tua atau muda, penyembahan keluarga mengeratkan hubungan kita (Lihat perenggan 12, 15)

13 Bagaimanakah suami isteri dapat bekerjasama untuk memuji Yehuwa? Apabila mereka mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya bersama, mereka akan menjadi bahagia dan bersatu padu dalam perkahwinan mereka. Mereka juga harus menunjukkan kasih kepada satu sama lain seperti yang dilakukan oleh Abraham dan Sara, Ishak dan Ribka, serta Elkana dan Hana. (Kej. 26:8; 1 Sam. 1:5, 8; 1 Ptr. 3:5, 6) Apabila suami isteri melakukan hal ini, mereka akan bersatu padu dan mendekat kepada Yehuwa.—Baca Pengkhutbah 4:12.

14. Jika suami atau isteri anda tidak menyembah Yehuwa, apakah yang dapat anda lakukan untuk memastikan perkahwinan anda tetap kuat?

14 Bible dengan jelas mengatakan bahawa kita tidak patut mengahwini seseorang yang bukan penyembah Yehuwa. (2 Kor. 6:14) Namun, sesetengah saudara saudari mempunyai pasangan yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa. Sesetengah orang mendapat kebenaran selepas berkahwin, dan pasangan mereka tidak menjadi seorang Saksi. Yang lain pula mengahwini seorang hamba Yehuwa, tetapi kemudiannya suami atau isteri mereka meninggalkan kebenaran. Dalam situasi sedemikian, orang Kristian harus berusaha untuk mengikut nasihat Bible supaya perkahwinan mereka tetap kuat. Hal ini tidak selalu mudah. Contohnya, Mary dan suaminya, David, menyembah Yehuwa bersama. Kemudian, David berhenti menghadiri perjumpaan. Namun, Mary tetap menjadi seorang isteri yang baik dan menunjukkan sifat-sifat Kristian. Dia juga mengajar enam orang anaknya tentang Yehuwa dan membawa mereka ke perjumpaan dan konvensyen. Bertahun-tahun kemudian, anak-anak mereka menjadi dewasa dan meninggalkan rumah. Walaupun situasi ini mencabar bagi Mary, dia tetap menyembah Yehuwa. Tetapi, David mula membaca majalah yang ditinggalkan oleh Mary baginya. Tidak lama kemudian, dia mula pergi ke perjumpaan. Cucunya yang berumur enam tahun sentiasa menyediakan tempat duduk baginya. Jika David tidak hadir, cucunya akan berkata, “Saya tunggu Datuk datang ke perjumpaan hari ini.” David kembali kepada Yehuwa selepas 25 tahun. Sekarang, dia dan isterinya gembira menyembah Yehuwa bersama-sama.

15. Bagaimanakah pasangan yang lebih tua membantu pasangan yang muda?

15 Syaitan menyerang keluarga hari ini. Itulah sebabnya suami isteri yang menyembah Yehuwa perlu bekerjasama. Tidak kira berapa lama anda sudah berkahwin, fikirkan apa yang anda boleh lakukan dan katakan untuk menguatkan perkahwinan anda. Jika anda sudah lama berkahwin, anda boleh menjadi teladan yang baik bagi pasangan yang muda. Anda mungkin boleh menjemput pasangan muda untuk menyertai penyembahan keluarga anda. Mereka akan sedar bahawa pasangan yang telah lama berkahwin juga harus menunjukkan kasih kepada satu sama lain dan bersatu padu.—Tit. 2:3-7.

‘MARILAH KITA PERGI KE BUKIT YEHUWA’

16, 17. Apakah yang akan dinantikan oleh umat Tuhan yang bersatu padu?

16 Semasa orang Israel pergi menghadiri perayaan di Yerusalem, mereka bekerjasama antara satu sama lain. Mereka menyediakan segala yang diperlukan bagi perjalanan itu. Kemudian mereka membuat perjalanan itu bersama-sama dan saling membantu. Di Rumah Tuhan, mereka semua memuji dan menyembah Yehuwa bersama-sama. (Luk. 2:41-44) Hari ini, kita sedang bersiap sedia untuk memasuki dunia baru. Maka kita perlu bersatu padu dan bekerjasama dengan sedaya upaya. Dapatkah anda memikirkan cara untuk menyumbang kepada perpaduan ini?

17 Dunia ini berpecah belah dan orang suka bertengkar tentang banyak perkara. Tetapi kita sangat bersyukur kerana Yehuwa membantu kita menikmati kedamaian dan memahami kebenaran! Umat Yehuwa di serata dunia menyembah-Nya dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Semasa hari-hari terakhir ini, umat Yehuwa sangat bersatu padu. Seperti yang dinubuatkan oleh Yesaya dan Mikha, kita sedang ‘pergi ke bukit Yehuwa’ bersama-sama. (Yes. 2:2-4; baca Mikha 4:2-4.) Betapa gembiranya kita apabila semua orang di bumi saling “bekerjasama” dan menyembah Yehuwa dengan bersatu padu!