Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | BIBLE​—TERPELIHARA WALAUPUN DIANCAM

Kisah yang Penting

Kisah yang Penting

Bible ialah sebuah buku yang sangat unik. Prinsipnya telah membimbing kehidupan jutaan orang sejak berkurun lamanya. Tapi Bible juga ialah buku yang telah dikritik oleh banyak pihak.

Sebagai contoh, sesetengah pakar kata bahawa Bible bukanlah buku yang dapat dipercayai. Misalnya, seorang profesor keagamaan kata, “Kita tidak boleh pastikan 100 peratus bahawa Bible yang kita ada sekarang adalah tepat. Hal ini kerana salinan yang kita ada sekarang adalah berdasarkan manuskrip yang penuh dengan kesilapan, dan manuskrip-manuskrip itu telah disalin ratusan tahun selepas kitab asal ditulis. Jadi sudah pasti ada banyak perbezaan berbanding kitab yang asal.”

Sesetengah orang pula rasa bahawa Bible tidak boleh dipercayai kerana latar belakang mereka. Contohnya, orang yang berasal daripada agama yang berlainan mungkin berasa seperti Faizal. Dia berkata, ‘Keluarga saya mengajar saya bahawa Bible ialah kitab suci tetapi kandungannya sudah diubah. Jadi apabila ada orang datang dan cuba bercakap dengan saya tentang Bible, saya sangat susah mahu percaya apa yang mereka ajarkan.’

Adakah penting untuk tahu sama ada kandungan Bible telah diubah atau tidak? Sudah pasti! Jika kandungan Bible telah diubah, dapatkah anda mempercayai harapan-harapan yang dijanjikan dalamnya? (Roma 15:4) Sekiranya Bible hanya buku manusia yang penuh dengan kesilapan, adakah anda akan guna Bible sebagai panduan semasa membuat keputusan tentang pekerjaan, keluarga, dan hal-hal ibadat?

Walaupun kitab asal Bible sudah tiada, kita masih ada ribuan manuskrip yang boleh kita rujuk. Tetapi, manuskrip-manuskrip kuno itu ditulis pada bahan yang mudah reput. Bukan itu saja, banyak orang yang membenci Bible cuba untuk menghapuskannya, dan ada juga yang sengaja cuba mengubah teksnya. Jadi persoalannya ialah bagaimanakah manuskrip-manuskrip awal itu dapat wujud sehingga hari ini? Jawapannya dapat meyakinkan anda bahawa Bible benar-benar dapat dipercayai. Mari kita selidiki bersama sejarah buku yang tidak luput ditelan zaman.