Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Apakah yang luar biasa mengenai cara Yesus memperlakukan pesakit kusta?

Orang Yahudi kuno takut akan penyakit kusta yang sering berlaku. Penyakit yang berjangkit itu boleh menyerang hujung saraf seseorang sehingga menyebabkan kecacatan kekal. Tiada penawar untuk penyakit itu. Maka, pesakit kusta diasingkan dan wajib memberikan amaran kepada orang tentang keadaan mereka.​—Imamat 13:45, 46.

Pemimpin agama Yahudi menetapkan peraturan yang melebihi apa yang tertulis dalam Ayat Suci mengenai penyakit kusta. Hal ini menyusahkan pesakit kusta. Misalnya, mereka melarang orang untuk menghampiri pesakit kusta. Mereka perlu mengekalkan jarak sejauh 4 hasta (kira-kira 2 m) dari pesakit itu. Jika angin bertiup, jaraknya haruslah melebihi 100 hasta (kira-kira 45 m). Mengenai ungkapan “tinggal di luar perkhemahan,” para ahli Talmud menjelaskan bahawa pesakit kusta harus tinggal di luar kota. Maka, apabila guru agama melihat pesakit kusta dalam kota, dia akan melemparkan batu dan berkata, “Balik ke tempat kamu! Jangan menajiskan orang lain.”

Namun, Yesus sangat berbeza! Dia tidak menghalau pesakit kusta. Sebaliknya, dia rela menyentuh bahkan menyembuhkan mereka.​—Matius 8:3.

Para pemimpin agama Yahudi mengizinkan perceraian atas alasan apa?

Sijil perceraian sekitar 71/72 M

Perceraian sering didebatkan oleh pemimpin agama pada abad pertama. Pernah sekali, orang Farisi menanya Yesus, “Adakah seseorang melanggar hukum jika dia menceraikan isterinya atas sebarang alasan?”​—Matius 19:3.

Dalam Hukum Musa, seorang lelaki boleh menceraikan isterinya jika “isterinya itu bersalah kerana tingkah lakunya tidak senonoh.” (Ulangan 24:1, nota kaki) Pada zaman Yesus, terdapat dua aliran yang mempunyai tafsiran berbeza mengenai Hukum itu. Aliran Shamai mentafsirkan bahawa perceraian hanya boleh dilakukan jika seorang isteri berkelakuan “tidak murni,” iaitu berzina. Manakala, aliran Hilel mentafsirkan bahawa seorang suami boleh bercerai atas apa-apa alasan masalah perkahwinan, biarpun hal itu remeh. Menurut mereka, seorang lelaki boleh menceraikan isterinya jika isterinya tidak pandai memasak, ataupun lelaki tersebut menjumpai wanita yang lebih cantik.

Bagaimana pula Yesus menjawab soalan orang Farisi? Dengan jelas, dia berkata, “Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.”​—Matius 19:6, 9.