Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | CARA MENDAPAT KELEGAAN HATI

Mendapat Kelegaan Semasa Kesusahan

Mendapat Kelegaan Semasa Kesusahan

Kesusahan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kita tidak dapat membincangkan setiap jenis kesusahan, tetapi mari kita melihat empat contoh yang telah disebut. Perhatikan bagaimana orang mendapat kelegaan daripada Tuhan semasa menghadapi kesusahan.

SEMASA HILANG PEKERJAAN

“Saya belajar untuk menerima apa sahaja pekerjaan dan mengurangkan perbelanjaan.”​—Jonathan

Seth * berkata, “Saya dan isteri kehilangan pekerjaan pada masa yang sama. Selama dua tahun, kami perlu hidup bergantung pada sumbangan daripada keluarga dan melakukan kerja sampingan. Akibatnya, isteri saya Priscilla, menjadi murung dan saya berasa tidak berguna.”

“Bagaimana kami menanganinya? Priscilla selalu ingat tentang kata-kata Yesus di Matius 6:34 bahawa kami tidak patut khuatir tentang hari esok, kerana setiap hari mempunyai kekhuatiran sendiri. Doa Priscilla telah menguatkannya. Bagi saya, Mazmur 55:23 sangat menghiburkan. Saya menyerahkan kekhuatiran kepada Yehuwa dan Dia menjaga saya. Walaupun sekarang saya mempunyai pekerjaan, kami tetap hidup sederhana selaras dengan nasihat Yesus di Matius 6:20-22. Yang terpenting, kami mendekati Tuhan dan satu sama lain.”

Jonathan berkata, “Apabila perniagaan keluarga kami gulung tikar, saya takut tentang masa depan. Oleh sebab krisis ekonomi, usaha saya selama 20 tahun menjadi sia-sia. Saya dan isteri mula bertengkar tentang wang. Kami tidak berani membeli barang dengan kad kredit kerana takut pembayaran ditolak.”

“Namun Firman Tuhan dan daya aktif-Nya membantu kami membuat keputusan yang bijak. Saya belajar untuk menerima apa sahaja pekerjaan dan mengurangkan perbelanjaan. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kami juga mendapat sokongan daripada rakan seiman. Mereka meyakinkan kami dan menghulurkan bantuan pada saat-saat yang sukar.”

MENGHADAPI KERUNTUHAN PERKAHWINAN

Raquel berkata, “Apabila suami saya tiba-tiba meninggalkan saya, saya berasa terluka dan marah. Saya diselubungi kesedihan. Namun, saya menghampiri Tuhan dan mendapat kelegaan. Apabila saya berdoa kepada Tuhan setiap hari, kedamaian daripada-Nya menjaga hati saya. Tuhan seolah-olah telah membalut hati saya yang terluka.”

“Saya berterima kasih kerana Alkitab membantu saya mengatasi perasaan marah dan dendam. Saya mengingati kata-kata Rasul Paulus di Roma 12:21, ‘Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.’”

“‘Ada waktu untuk berhenti mencari.’ . . . Sekarang, saya mempunyai matlamat baru dalam hidup saya.”​—Raquel

“Seorang sahabat karib membantu saya untuk melihat bahawa hidup perlu diteruskan. Dia menunjukkan saya ayat di Pengkhutbah 3:6 (NW) dan menjelaskan kepada saya bahawa ‘ada waktu untuk berhenti mencari.’ Walaupun nasihat itu sukar, tetapi itulah yang saya perlukan. Sekarang, saya mempunyai matlamat baru dalam hidup saya.”

Elizabeth berkata, “Apabila perkahwinan anda runtuh, anda memerlukan bantuan. Saya mempunyai seorang kawan rapat yang telah membantu saya hari demi hari. Dia menangis bersama saya, melegakan saya, dan membuat saya berasa dikasihi dan bukannya berasa terabai. Saya yakin bahawa Yehuwa menggunakan dia untuk menyembuhkan luka emosi saya.”

APABILA SAKIT ATAU LANJUT USIA

“Selepas berdoa, daya aktif-Nya menguatkan saya.”​—Luis

Luis, yang disebutkan pada permulaan siri rencana ini, mempunyai masalah jantung dan hampir mati dalam dua situasi. Dia memerlukan bantuan oksigen selama 16 jam sehari. Dia berkata, “Saya sentiasa berdoa kepada Yehuwa. Selepas berdoa, daya aktif-Nya menguatkan saya. Doa membantu saya untuk bertabah kerana saya beriman kepada-Nya dan tahu bahawa Dia mengambil berat tentang saya.”

Petra yang berusia 80-an berkata, “Saya ingin melakukan banyak perkara, tetapi tidak larat. Bukannya senang untuk melihat tenaga saya semakin berkurangan. Saya cepat letih dan perlu bergantung pada ubat. Saya sering terfikir tentang Yesus yang meminta Bapanya menjauhkan penderitaan daripadanya jika boleh. Walaupun demikian, Yehuwa menguatkan Yesus, Dia juga menguatkan saya. Doa bagaikan terapi bagi saya setiap hari. Saya berasa lebih lega selepas berdoa kepada Tuhan.”​—Matius 26:39.

Selama 30 tahun, Julian bergelut dengan sklerosis berganda. Dia juga mempunyai perasaan yang sama. Dia mengalami perubahan yang besar dalam kehidupannya. Namun dia berkata, “Hidup saya bernilai kerana saya menggunakannya untuk membantu orang. Semangat memberi boleh mengurangkan penderitaan dan Yehuwa memang menunaikan janji-Nya untuk menguatkan kita apabila kita perlukan. Seperti Rasul Paulus, saya boleh berkata, ‘Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.’”​—Filipi 4:13.

APABILA KEHILANGAN ORANG TERSAYANG

Antonio berkata, “Apabila bapa saya meninggal dalam nahas jalan raya, saya sukar mempercayainya. Hal ini sangat tidak adil. Dia hanyalah pejalan kaki yang tidak bersalah. Namun, saya tidak dapat buat apa-apa. Dia telah koma selama lima hari sebelum meninggal. Saya dapat menahan air mata sendiri di depan ibu, tetapi apabila berseorangan, saya tidak dapat menahan rasa pilu di hati. Saya asyik bertanya, ‘Mengapa? Mengapa?’”

“Sepanjang masa yang sukar itu, saya selalu meminta Yehuwa untuk membantu saya mengawal emosi dan memberi saya kedamaian. Secara beransur-ansur, saya berasa lebih tenang. Saya ingat Bible menjelaskan bahawa sesiapa pun mungkin ‘ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka.’ Memandangkan Tuhan tidak dapat berdusta, saya yakin saya akan berjumpa dengan ayah semasa pembangkitan nanti.”​—Pengkhutbah 9:12; Yohanes 11:25; Titus 1:2.

“Walaupun anak kami terkorban dalam nahas kapal terbang, kami masih mempunyai banyak kenangan manis bersamanya.”​—Robert

Robert, yang disebut pada permulaan siri rencana ini, juga mempunyai pandangan yang sama. Dia berkata, “Saya dan isteri saya merasai kedamaian minda yang disebut di Filipi 4:6, 7. Kami memperoleh kedamaian itu melalui doa. Ketenangan itu membolehkan kami untuk memberitahu para wartawan mengenai harapan pembangkitan. Walaupun anak kami terkorban dalam nahas kapal terbang, kami masih mempunyai banyak kenangan manis bersamanya. Kami cuba berfokus kepada kenangan manis itu.”

“Semasa diberitahu oleh Saksi-Saksi lain bahawa kami kelihatan begitu tenang semasa menjelaskan kepercayaan kami kepada wartawan, kami memberitahu mereka bahawa kami dapat melakukannya kerana ada ramai orang yang berdoa bagi kami. Saya percaya bahawa kata-kata mereka yang melegakan itu merupakan bantuan daripada Yehuwa.”

Semua pengalaman tadi menunjukkan bahawa Tuhan boleh melegakan hati sesiapa pun, tidak kira apa masalah dan cabaran yang dihadapi mereka. Dia juga boleh melegakan hati anda dan membantu anda menghadapi apa sahaja kesusahan. * Jadi, janganlah teragak-agak untuk memohon bantuan Yehuwa, “Tuhan yang melegakan hati.”​—2 Korintus 1:3.

^ per. 5 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 23 Jika anda perlu bantuan untuk menghampiri Tuhan dan menerima kelegaan daripada-Nya, sila hubungi Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda atau pejabat cawangan yang terdekat.