Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Memanfaatkan Pemberian Yehuwa dengan Sepenuhnya

Memanfaatkan Pemberian Yehuwa dengan Sepenuhnya

‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu.’—YES. 48:17.

LAGU: 117, 114

1, 2. (a) Apakah perasaan Saksi-Saksi Yehuwa mengenai Bible? (b) Apakah bahagian Bible yang paling anda suka?

SAKSI-SAKSI YEHUWA suka membaca Bible. Bible mengandungi nasihat yang berguna dan memberikan kelegaan serta harapan. (Rm. 15:4) Kita tahu bahawa Bible bukan hasil karya manusia, tetapi “benar-benar daripada Tuhan.”—1 Tes. 2:13.

2 Sudah tentu, kita semua suka petikan Bible tertentu. Ada yang suka kisah Yesus kerana dia mencerminkan sifat-sifat Yehuwa yang indah. (Yoh. 14:9) Orang lain pula suka nubuat, seperti dalam buku Wahyu yang menerangkan “hal-hal yang mesti segera berlaku.” (Why. 1:1) Sesetengah orang pula memperoleh kelegaan daripada buku Mazmur atau mendapat pengajaran daripada buku Amsal. Ya, Bible membawa manfaat kepada semua orang.

3, 4. (a) Apakah perasaan kita tentang bahan bacaan Bible? (b) Bahan bacaan kita ditujukan kepada golongan apa?

3 Memandangkan kita suka membaca Bible, kita juga gemar membaca bahan bacaan Bible. Contohnya, kita menghargai makanan rohani yang terkandung dalam buku, brosur, majalah, dan terbitan lain. Kita tahu bahawa pemberian daripada Yehuwa ini membantu kita untuk berjaga-jaga secara rohani serta menjadi “mantap dari segi iman.”—Tit. 2:2.

4 Selain daripada bahan bacaan Bible yang disediakan bagi para Saksi, sesetengah bahan bacaan ditujukan kepada golongan tertentu. Misalnya, terdapat bahan bacaan yang ditujukan kepada golongan muda ataupun ibu bapa. Kebanyakan bahan bacaan dalam laman web dan yang dicetak disediakan bagi orang yang bukan Saksi. Makanan rohani yang berlimpah ini menunjukkan bahawa Yehuwa menepati janji-Nya untuk “menyediakan jamuan bagi semua bangsa di bumi.”—Yes. 25:6.

5. Apakah yang dihargai oleh Yehuwa?

5 Barangkali, kita ingin mempunyai lebih banyak masa untuk membaca Bible dan bahan bacaan Bible. Jika kita menggunakan ‘masa kita dengan sebaik-baiknya’ untuk membuat pembacaan Bible dan pembelajaran peribadi, kita pasti bahawa Yehuwa menghargai usaha kita. (Ef. 5:15, 16) Namun, ada kalanya kita tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada semua makanan rohani yang disediakan. Oleh itu, kita perlu berwaspada. Mengapa?

6. Apakah yang boleh menyebabkan kita tidak memanfaatkan pemberian Yehuwa dengan sepenuhnya?

6 Jika kita tidak berwaspada, kita mungkin menganggap maklumat tertentu tidak berguna bagi kita. Oleh itu, kita tidak mendapat manfaat daripadanya. Contohnya, adakah kita pernah berfikir bahawa petikan Bible tertentu tidak sesuai dengan keadaan kita? Bagaimana pula jika sesetengah bahan bacaan tidak ditujukan kepada kita? Adakah kita membaca maklumat tersebut sekilas pandang atau mengabaikannya sama sekali? Jika ya, kita mungkin tidak memanfaatkan maklumat itu dengan sepenuhnya. Jadi, bagaimanakah kita boleh mengelakkan hal ini? Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Sumber makanan rohani. Menerusi nabi Yesaya, Tuhan berkata, ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu.’ (Yes. 48:17) Mari kita lihat tiga cadangan yang membantu kita mendapat manfaat daripada Bible serta makanan rohani yang lain.

CADANGAN BAGI PEMBACAAN BIBLE

7. Mengapakah kita perlu membaca Bible dengan fikiran terbuka?

7 Baca dengan fikiran terbuka. Bible dengan jelas menyatakan bahawa “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna.” (2 Tim. 3:16) Sesetengah petikan Bible memang ditujukan kepada seseorang atau golongan tertentu. Itulah sebabnya kita perlu membaca Firman Tuhan dengan fikiran terbuka. Seorang saudara berkata, “Apabila membaca Bible, saya cuba mengingatkan diri bahawa terdapat beberapa pengajaran yang dapat diraih daripada satu petikan Bible.” Dia juga berkata bahawa mengingati hal ini mendorongnya untuk mencari isi-isi tersirat. Yehuwa ingin kita memperoleh pengajaran daripada Bible. Maka, sebelum membaca Firman Tuhan, kita patut berdoa memohon fikiran yang terbuka dan kebijaksanaan untuk memahaminya.—Ezr. 7:10; baca Yakobus 1:5.

Adakah anda mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible? (Lihat perenggan 7)

8, 9. (a) Apabila membaca Bible, apakah soalan yang boleh kita tanya diri? (b) Apakah yang anda pelajari mengenai Yehuwa daripada kelayakan bagi para penatua?

8 Tanya soalan. Apabila membaca satu petikan Bible, berhenti seketika dan tanya soalan berikut, “Apakah yang saya pelajari mengenai Yehuwa daripada petikan ini? Bagaimanakah saya dapat menerapkan maklumat ini dalam kehidupan? Bagaimanakah saya dapat menggunakan maklumat ini untuk membantu orang?” Apabila kita merenungkan soalan-soalan sebegini, kita pasti mendapat lebih banyak manfaat daripada pembacaan Bible. Misalnya, fikirkan senarai kelayakan bagi para penatua. (Baca 1 Timotius 3:2-7.) Memandangkan ramai daripada kita tidak berkhidmat sebagai penatua, kita mungkin berfikir bahawa petikan ini tiada kena-mengena dengan kehidupan kita. Namun, kita dapat melihat manfaat senarai ini dengan merenungkan soalan-soalan berikut.

9 Apakah yang saya pelajari mengenai Yehuwa daripada petikan ini? Melalui senarai kelayakan ini, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menetapkan piawaian yang tinggi bagi mereka yang dilantik. Dia menghendaki mereka menunjukkan teladan yang baik. Dia juga ingin mereka bertanggungjawab atas cara mereka melayan sidang “yang telah dibeli oleh-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.” (Kis. 20:28) Yehuwa ingin kita berasa terlindung di bawah jagaan para gembala. (Yes. 32:1, 2) Maka, kelayakan bagi para penatua mengajar kita bahawa Yehuwa benar-benar mengambil berat tentang kita.

10, 11. (a) Apabila membaca senarai kelayakan bagi para penatua, bagaimanakah kita dapat menerapkan maklumat ini dalam kehidupan? (b) Bagaimanakah kita dapat menggunakan maklumat ini untuk membantu orang?

10 Bagaimanakah saya dapat menerapkan maklumat ini dalam kehidupan? Dari masa ke masa, saudara yang dilantik harus memeriksa diri berdasarkan kelayakan ini dan mencari aspek mana yang perlu diperbaiki. Begitu juga, seorang saudara yang “sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia” harus mempertimbangkan senarai kelayakan ini dengan teliti supaya dapat berusaha untuk memenuhinya. (1 Tim. 3:1) Sebenarnya, setiap orang Kristian dapat belajar daripada senarai kelayakan ini kerana kebanyakannya merupakan apa yang diinginkan Yehuwa daripada orang Kristian. Contohnya, kita semua harus bersikap munasabah dan berfikiran sihat. (Flp. 4:5; 1 Ptr. 4:7) Apabila para penatua menjadi “teladan bagi kawanan,” kita dapat belajar daripada mereka dan ‘meniru iman mereka.’—1 Ptr. 5:3; Ibr. 13:7.

11 Bagaimanakah saya dapat menggunakan maklumat ini untuk membantu orang? Kita dapat menggunakan senarai kelayakan itu untuk membantu pelajar Bible dan orang yang berminat untuk melihat bahawa para penatua berbeza daripada pemimpin gereja. Apabila kita membaca senarai kelayakan itu, kita juga teringat tentang para penatua yang membanting tulang demi kita. Memikirkan hal ini dapat membantu kita untuk semakin ‘menghormati mereka yang bekerja keras’ dalam kalangan kita. (1 Tes. 5:12) Dengan menunjukkan hormat kepada penatua yang bekerja keras, sukacita mereka akan bertambah.—Ibr. 13:17.

12, 13. (a) Dengan menggunakan alat penyelidikan yang disediakan, apakah maklumat yang dapat kita cari? (b) Berikan contoh tentang bagaimana maklumat latar belakang membantu kita mendapat pengajaran yang tersirat.

12 Buat penyelidikan. Dengan menggunakan alat penyelidikan yang disediakan, kita dapat mencari maklumat berikut:

  • Siapakah yang menulis petikan Bible ini?

  • Di manakah dan bilakah petikan ini ditulis?

  • Apakah peristiwa penting yang berlaku apabila buku Bible ini ditulis?

Maklumat mengenai latar belakang dapat membantu kita memperoleh pengajaran yang tersirat.

13 Contohnya, fikirkan apa yang tertulis di Yehezkiel 14:13, 14 (NW): “Jika sebuah negeri tidak setia kepada-Ku dan berdosa terhadap-Ku, Aku akan menghulurkan tangan-Ku dan menentangnya. Aku akan menghentikan bekalan makanannya dan mendatangkan kebuluran sehingga manusia dan binatang di situ mati. ‘Meskipun ketiga-tiga lelaki yang baik ini, iaitu Nuh, Daniel, dan Ayub, ada di negeri itu, mereka hanya dapat menyelamatkan nyawa mereka sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.” Dengan membuat penyelidikan, kita tahu bahawa petikan ini ditulis kira-kira pada tahun 612 SM. Walaupun Nuh dan Ayub sudah lama meninggal pada masa itu, kesetiaan mereka terpahat dalam ingatan Tuhan. Tetapi, Daniel masih hidup. Sebenarnya, umurnya mungkin lewat belasan tahun atau awal 20-an apabila Yehuwa mengatakan bahawa dia setia seperti Nuh dan Ayub. Apakah pengajarannya? Yehuwa memerhatikan dan menghargai semua penyembah-Nya yang setia, termasuk mereka yang masih muda.—Mzm. 148:12-14.

MEMANFAATKAN PELBAGAI MAKANAN ROHANI

14. Bagaimanakah bahan bacaan yang direka untuk kaum muda dapat membantu mereka? Bagaimanakah bahan bacaan tersebut dapat memanfaatkan orang lain? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

14 Sepertimana kita mendapat manfaat daripada semua bahagian dalam Bible, kita juga boleh mendapat manfaat daripada semua makanan rohani. Fikirkan beberapa contoh. Bahan bacaan untuk kaum muda. Kebelakangan ini, banyak bahan bacaan kita diterbitkan untuk kaum muda. [1] Sesetengah bahan ini direka untuk membantu mereka mengatasi tekanan di sekolah atau cabaran sebagai remaja. Bagaimanakah kita semua boleh mendapat manfaat daripada bahan tersebut? Dengan membacanya, kita sedar akan cabaran yang dihadapi oleh kaum muda. Maka, kita dapat membantu dan menggalakkan mereka.

15. Mengapakah orang dewasa juga patut berminat terhadap maklumat yang ditujukan kepada kaum muda?

15 Kebanyakan masalah yang dibincangkan dalam bahan bacaan untuk kaum muda juga dihadapi oleh semua orang. Kita semua perlu mempertahankan iman, mengawal emosi, menolak tekanan rakan sebaya, dan mengelakkan pergaulan serta hiburan yang tidak sihat. Topik sebegini dibincangkan dalam bahan yang direka untuk remaja. Patutkah orang dewasa berasa bahawa mereka tidak perlu membaca bahan sebegini? Tidak! Walaupun bahan ini disampaikan dalam cara yang menarik perhatian kaum muda, maklumat tersebut berdasarkan prinsip Bible. Oleh itu, kita semua boleh memanfaatkannya.

16. Bahan bacaan kita membantu kaum muda untuk melakukan apa?

16 Selain daripada membantu kaum muda mengatasi masalah mereka, bahan bacaan kita juga membantu mereka bertumbuh secara rohani dan mendekati Yehuwa. (Baca Pengkhutbah 12:1, 13.) Maka, orang dewasa juga boleh mendapat manfaat. Contohnya, terbitan Sedarlah! [2] pada bulan April 2009 merangkumi rencana, “Kaum Muda Bertanya . . . Bagaimana Aku Bisa Menikmati Pembacaan Alkitab?” Rencana tersebut mengandungi beberapa cadangan serta kotak yang boleh digunting lalu disimpan dalam Bible sebagai rujukan. Adakah orang dewasa mendapat manfaat daripada rencana itu? Seorang ibu yang berusia 24 tahun menulis, “Saya selalu berasa susah untuk membaca Bible. Saya telah menggunakan cadangan dalam rencana itu dan kotak yang boleh digunting. Sekarang saya menanti-nantikan pembacaan Bible.” Dia dapat melihat kaitan antara buku-buku dalam Bible yang bagaikan suatu gambaran yang indah. Dia juga teruja untuk membaca Bible sekarang!

17, 18. Bagaimanakah kita mendapat manfaat dengan membaca bahan yang ditulis untuk orang umum? Berikan perumpamaan.

17 Bahan bacaan untuk orang umum. Sejak tahun 2008, kita menikmati edisi pembelajaran Menara Pengawal yang ditulis khas untuk Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, bagaimana pula dengan majalah yang ditujukan kepada umum? Bolehkah kita mendapat manfaat daripadanya? Fikirkan perumpamaan ini. Seseorang yang pernah anda jemput ke Dewan Perjumpaan telah datang untuk mendengar ceramah umum. Sudah tentu anda gembira! Semasa anda mendengar ceramah, anda memikirkan tentang orang itu serta bagaimana maklumat yang disampaikan membawa manfaat kepadanya. Oleh sebab anda memikirkan situasinya, anda lebih menghargai ceramah tersebut.

18 Anda juga boleh mengalami hal yang sama dengan membaca bahan bacaan yang ditulis untuk orang umum. Contohnya, Menara Pengawal edisi umum membincangkan topik Bible dalam cara yang senang difahami oleh orang bukan Saksi. Begitu juga dengan rencana yang diterbitkan di jw.org, seperti bahagian “Soalan Lazim.” Dengan membaca maklumat tersebut, penghargaan kita terhadap kebenaran akan mendalam. Selain itu, kita mungkin belajar cara baru untuk menjelaskan kepercayaan kita semasa menginjil. Majalah Sedarlah! juga mengukuhkan keyakinan kita terhadap kewujudan Tuhan dan membantu kita belajar cara mempertahankan kepercayaan kita.—Baca 1 Petrus 3:15.

19. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa atas pemberian-Nya?

19 Jelaslah, Yehuwa menyediakan pemberian yang berlimpah untuk memenuhi “keperluan rohani” kita. (Mat. 5:3) Semoga kita terus memanfaatkan semua pemberian rohani tersebut. Dengan itu, kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Individu yang mengajar kita apa yang baik bagi kita.—Yes. 48:17.

^ [1] (perenggan 14) Bahan sebegini merangkumi buku Pertanyaan Kaum Muda—Jawaban yang Praktis, Jilid 1 dan 2, serta rencana “Pertanyaan Anak Muda” yang boleh didapati dalam laman web kita. Kedua-dua terbitan ini terdapat dalam bahasa Indonesia.

^ [2] (perenggan 16) Terdapat dalam bahasa Indonesia.