Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Anda Membuat Keputusan Peribadi?

Bagaimanakah Anda Membuat Keputusan Peribadi?

“Hendaklah kamu terus memahami kehendak Yehuwa.”—EF. 5:17.

LAGU: 69, 57

1. Apakah beberapa perintah dalam Bible, dan apakah manfaatnya apabila kita mentaatinya?

YEHUWA telah memberi kita beberapa perintah yang spesifik melalui Firman-Nya. Contohnya, Dia melarang perbuatan seks yang tidak bermoral, penyembahan berhala, mencuri, dan kemabukan. (1 Kor. 6:9, 10) Selain itu, Anak-Nya, iaitu Yesus Kristus juga memberikan perintah kepada para pengikutnya: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan daya aktif Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu. Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:19, 20) Hukum dan perintah Tuhan memang suatu perlindungan! Dengan mentaati perintah yang diberikan, kita dibantu untuk memiliki harga diri, kesihatan yang baik, dan kebahagiaan keluarga. Yang paling penting, apabila kita mentaati perintah Yehuwa, termasuk perintah untuk menginjil, kita mendapat perkenan dan berkat-Nya.

2, 3. (a) Mengapakah Bible tidak memberikan perintah untuk setiap situasi? (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Bible tidak memberikan perintah yang spesifik untuk setiap situasi. Contohnya, Bible tidak memberikan peraturan yang terperinci mengenai pakaian yang sesuai bagi orang Kristian. Namun, bagaimanakah hal ini menunjukkan kebijaksanaan Yehuwa? Kebudayaan dan kebiasaan bukan sahaja berbeza di setiap tempat, tetapi juga berubah dari semasa ke semasa. Jika Bible mengandungi senarai spesifik mengenai pakaian dan dandanan yang dianggap sesuai, sudah pasti senarai itu akan ketinggalan zaman. Bible juga tidak memberikan banyak peraturan mengenai pekerjaan, rawatan kesihatan, dan hiburan bagi orang Kristian. Setiap orang dan ketua keluarga mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan dalam hal sedemikian.

3 Jika kita harus membuat keputusan penting, tetapi Bible tidak mengandungi perintah mengenai hal itu, kita mungkin berfikir, “Adakah Yehuwa peduli tentang keputusan saya? Adakah Bapa di syurga memperkenankan setiap keputusan saya asalkan keputusan itu tidak melanggar perintah Bible? Jika Bible tidak mengandungi perintah yang spesifik, bagaimanakah saya tahu bahawa keputusan saya menyenangkan hati Yehuwa?”

ADAKAH KEPUTUSAN PERIBADI PENTING?

4, 5. Bagaimanakah keputusan kita dapat mempengaruhi diri kita dan orang lain?

4 Sesetengah orang berasa bahawa mereka boleh membuat keputusan dengan sesuka hati. Namun untuk membuat keputusan bijak yang menyenangkan hati Yehuwa, kita harus mempertimbangkan hukum dan prinsip yang terdapat dalam Bible serta menerapkannya. Contohnya, kita harus bertindak selaras dengan hukum Tuhan mengenai penggunaan darah supaya mendapat perkenan-Nya. (Kej. 9:4; Kis. 15:28, 29) Doa dapat membantu kita membuat keputusan yang selaras dengan prinsip dan hukum dalam Bible.

5 Keputusan besar dalam kehidupan dapat mempengaruhi kerohanian kita. Keputusan baik akan menguatkan hubungan kita dengan Tuhan, manakala keputusan buruk akan menjejaskan hubungan tersebut. Keputusan buruk juga dapat mengecewakan orang serta membuat mereka tersandung. Hal itu dapat mengganggu kedamaian sidang. Sememangnya, keputusan peribadi kita itu penting.—Baca Roma 14:19; Galatia 6:7.

6. Keputusan yang kita buat harus berdasarkan apa?

6 Bagaimanakah kita dapat membuat keputusan bijak apabila tiada perintah Bible yang spesifik? Dalam situasi tersebut, kita harus memikirkan dengan mendalam tentang keadaan kita dan membuat keputusan yang diperkenankan Tuhan. Kita tidak mahu membuat keputusan berdasarkan keinginan sendiri, tetapi berdasarkan apa yang menyenangkan hati Yehuwa.—Baca Mazmur 37:5.

MEMAHAMI KEHENDAK YEHUWA

7. Jika tiada perintah Bible mengenai sesetengah hal, bagaimanakah kita boleh menyenangkan hati Tuhan?

7 Anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah kita boleh menyenangkan hati Tuhan jika Firman-Nya tidak memberikan arahan terperinci mengenai sesetengah hal?” Efesus 5:17 berkata, “Hendaklah kamu terus memahami kehendak Yehuwa.” Ya, jika tiada perintah Bible mengenai hal tertentu, kita harus berusaha memahami kehendak Yehuwa. Bagaimana? Dengan berdoa kepada-Nya dan mengikut bimbingan daya aktif Tuhan.

8. Bagaimanakah Yesus dapat memahami kehendak Yehuwa baginya? Berikan contoh.

8 Fikirkan cara Yesus berusaha memahami kehendak Yehuwa. Sebanyak dua kali, Yesus telah berdoa dan melakukan mukjizat untuk memberikan makanan kepada ramai orang. (Mat. 14:17-20; 15:34-37) Namun, apabila dia kelaparan dan digoda oleh Syaitan untuk menukarkan batu menjadi roti, dia enggan melakukannya. (Baca Matius 4:2-4.) Memandangkan dia biasa dengan cara pemikiran Bapanya, dia tahu bahawa dia tidak harus menukar batu menjadi roti. Dia tahu bahawa Yehuwa tidak mahu dia menggunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi. Dengan demikian, dia yakin bahawa Yehuwa akan membimbingnya dan menyediakan makanan baginya.

9, 10. Apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak? Berikan contoh.

9 Jika kita ingin membuat keputusan bijak seperti Yesus, kita harus bergantung pada bimbingan Yehuwa. Kita harus menerapkan kata-kata berikut: ‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Yehuwa dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada Yehuwa dan jauhilah kejahatan.’ (Ams. 3:5-7) Apabila kita memahami cara pemikiran Yehuwa menerusi pembelajaran Bible, kita dibantu untuk bertindak dalam cara yang diinginkan-Nya. Semakin biasa kita dengan cara pemikiran Yehuwa, semakin peka hati kita terhadap bimbingan-Nya.—Yeh. 11:19.

10 Sebagai contoh, bayangkan seorang wanita yang sedang membeli-belah. Dia ingin membeli sepasang kasut, tetapi harganya mahal. Jadi dia menanya diri, “Apakah reaksi suami saya jika saya menggunakan banyak wang untuk membeli kasut itu?” Barangkali, dia sudah mengetahui jawapannya walaupun suaminya tidak berada di sana. Mengapa? Kerana dia telah lama berkahwin dan mengetahui pemikiran suami tentang perbelanjaan keluarga mereka. Oleh itu, dia tahu keputusan suaminya mengenai hal itu. Begitu juga, semakin kita memahami pemikiran dan cara Yehuwa bertindak, semakin mudah untuk mengetahui tindakan yang diinginkan-Nya dalam situasi tertentu.

BAGAIMANAKAH UNTUK MENGETAHUI PEMIKIRAN YEHUWA?

11. Apakah soalan yang boleh kita tanya semasa membaca atau mempelajari Bible? (Lihat kotak “ Sewaktu Mempelajari Bible, Tanyalah Diri.”)

11 Untuk memahami pemikiran Yehuwa, kita perlu mengutamakan pembelajaran peribadi. Apabila kita membaca atau mempelajari Firman Tuhan, kita boleh menanya diri, “Apakah yang saya pelajari tentang Yehuwa, cara Dia bertindak, dan pemikiran-Nya?” Kita perlu mempunyai sikap seperti Daud yang menulis, ‘Ajarlah aku kehendak-Mu, ya Yehuwa, nyatakanlah apa yang harus aku lakukan. Ajarlah aku supaya aku hidup menurut kehendak-Mu, kerana engkau penyelamatku. Aku selalu berharap kepada-Mu.’ (Mzm. 25:4, 5) Apabila anda merenungkan kandungan Bible, fikirkanlah soalan-soalan ini: “Bagaimanakah saya boleh menerapkan maklumat ini dalam kehidupan? Di manakah saya boleh menerapkannya? Di rumah? Di tempat kerja? Di sekolah? Semasa menginjil?” Dengan memikirkan situasi-situasi yang spesifik, lebih senang bagi kita untuk memahami cara menerapkan maklumat yang dipelajari.

12. Bagaimanakah bahan bacaan dan perjumpaan membantu kita untuk lebih memahami pemikiran Yehuwa?

12 Satu lagi cara untuk memahami pemikiran Yehuwa adalah dengan menumpukan perhatian terhadap bimbingan Bible yang diberikan menerusi organisasi-Nya. Contohnya, Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa dan PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower membantu kita mengenali pemikiran Yehuwa dalam pelbagai situasi. Hal ini membantu kita semasa membuat keputusan peribadi. Kita juga meraih manfaat apabila menghadiri dan mengambil bahagian semasa perjumpaan. Merenungkan apa yang diajar dapat membantu kita memahami pemikiran Yehuwa dan menyelaraskan pemikiran kita dengan pemikiran-Nya. Dengan menyantap makanan rohani, kita lebih memahami cara Dia bertindak. Hasilnya, kita dapat membuat keputusan yang diberkati Tuhan.

BIARLAH PEMIKIRAN YEHUWA MEMBIMBING KEPUTUSAN ANDA

13. Berikan contoh tentang bagaimana kita dapat membuat keputusan yang bijak apabila kita memahami pemikiran Yehuwa.

13 Fikirkan bagaimana memahami pemikiran Yehuwa membantu kita membuat keputusan yang bijak. Contohnya, kita mungkin ingin berkhidmat sepenuh masa sebagai perintis. Maka kita mula menyederhanakan hidup. Tetapi, kita mungkin khuatir sama ada kita dapat hidup gembira tanpa banyak harta benda. Bible tidak memberikan perintah bahawa kita mesti menjadi perintis. Kita masih boleh menikmati sukacita sebagai seorang penyiar. Namun Yesus memberitahu bahawa orang yang membuat pengorbanan demi Kerajaan Tuhan akan menerima banyak berkat. (Baca Lukas 18:29, 30.) Bible berkata bahawa Yehuwa gembira jika kita berusaha sedaya upaya untuk memuji-Nya dan memajukan ibadat sejati. (2 Kor. 9:7) Dengan berdoa dan merenungkan hal ini, dapatkah anda memahami pemikiran Tuhan? Dengan demikian, kita dibantu untuk membuat keputusan baik yang diberkati Tuhan.

14. Bagaimanakah kita boleh menentukan sama ada sesetengah pakaian dan dandanan menyenangkan hati Yehuwa?

14 Fikirkan satu lagi contoh, andai kata anda suka pakaian tertentu. Namun pakaian itu mungkin menyinggung beberapa orang di sidang. Tetapi tiada perintah Bible yang melarang hal itu. Bagaimanakah kita dapat mengetahui pemikiran Yehuwa mengenai situasi ini? Paulus memberikan nasihat berikut, “Kaum wanita harus menghias diri dengan pakaian yang sopan, dengan sederhana, dan dengan fikiran yang sihat. Janganlah berdandan dengan gaya rambut yang keterlaluan atau memakai emas, mutiara, atau pakaian yang sangat mahal. Sebaliknya mereka harus menghias diri dengan perbuatan baik, iaitu perbuatan yang sesuai bagi wanita yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.” (1 Tim. 2:9, 10) Nasihat ini juga boleh ditujukan kepada para saudara. Sebagai penyembah Yehuwa, kita tidak ingin mengutamakan keinginan peribadi. Kita berfikir tentang bagaimana pakaian dan dandanan kita mempengaruhi orang lain. Jika kita mengasihi orang dan bersifat sederhana, kita akan mempertimbangkan pendapat mereka supaya tidak menyinggung perasaan mereka. (1 Kor. 10:23, 24; Flp. 3:17) Dengan merenungkan kandungan Bible, kita boleh mengetahui pemikiran Tuhan. Hal ini membantu kita membuat keputusan yang menyenangkan hati-Nya.

15, 16. (a) Apakah perasaan Yehuwa jika kita terus berkhayal tentang perbuatan seks yang tidak bermoral? (b) Bagaimanakah kita boleh memilih hiburan yang menyenangkan hati Yehuwa? (c) Bagaimanakah keputusan yang besar harus dibuat?

15 Bible berkata bahawa Yehuwa berasa sedih kerana melihat manusia melakukan hal yang jahat dan “fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.” (Baca Kejadian 6:5, 6.) Maka kita tahu bahawa berkhayal tentang perbuatan seks yang tidak bermoral adalah salah, dan lambat laun boleh menyebabkan orang melakukan dosa. Hal ini tidak selaras dengan pemikiran Yehuwa. Yakobus menulis, “Kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni, lalu suka akan kedamaian, munasabah, sedia mematuhi, penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik, tidak berat sebelah, dan tidak bermuka dua.” (Yak. 3:17) Dengan mengetahui hal ini, kita akan menolak hiburan yang membuat kita memikirkan perkara yang tidak bersih. Apabila kita memahami apa yang dikasihi dan dibenci oleh Yehuwa, lebih senang bagi kita untuk memilih hiburan, buku, filem, atau permainan yang sesuai. Kita tidak perlu menanya orang lain tentang apa yang harus kita pilih.

16 Dalam sesuatu perkara, bukan satu keputusan sahaja yang akhirnya menyenangkan hati Yehuwa. Kita mempunyai banyak pilihan. Namun jika kita harus membuat keputusan yang besar, adalah baik untuk mendapatkan nasihat daripada para penatua atau orang Kristian yang matang. (Tit. 2:3-5; Yak. 5:13-15) Sudah tentu, kita tidak ingin mereka membuat keputusan bagi pihak kita. Orang Kristian mesti melatih dan menggunakan daya penilaian sendiri. (Ibr. 5:14) Kita harus bertindak selaras dengan kata-kata Paulus: “Setiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”—Gal. 6:5, nota kaki.

17. Bagaimanakah kita meraih manfaat jika kita membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa?

17 Apabila kita membuat keputusan yang selaras dengan pemikiran Yehuwa, kita akan menghampiri-Nya. (Yak. 4:8) Kita akan diperkenankan dan diberkati-Nya. Hasilnya, iman terhadap Bapa kita di syurga akan menjadi semakin kuat. Marilah kita mengikut bimbingan Bible yang mencerminkan pemikiran Yehuwa. Sememangnya, kita selalu dapat mempelajari perkara baru mengenai Yehuwa. (Ayb. 26:14) Jika kita mencurahkan usaha sekarang, kita dapat memperoleh kebijaksanaan, pengetahuan, dan daya penilaian untuk membuat keputusan yang bijak. (Ams. 2:1-5) Pendapat dan rancangan manusia selalu berubah, tetapi Bible berkata bahawa ‘rancangan Yehuwa tahan selama-lamanya, dan tujuan-Nya tidak berkesudahan.’ (Mzm. 33:11) Jelaslah, kita dapat membuat keputusan yang baik jika pemikiran dan tindakan kita selaras dengan pemikiran Tuhan Yang Maha Bijaksana, Yehuwa.