Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Jangan Takut, Aku Akan Menolong Kamu”

“Jangan Takut, Aku Akan Menolong Kamu”

BAYANGKAN anda berjalan pada waktu malam. Tiba-tiba, anda sedar anda sedang diekori oleh seseorang. Apabila anda berhenti berjalan, dia pun berhenti. Apabila anda berjalan dengan lebih cepat, dia juga berbuat demikian. Jadi anda berlari ke rumah sahabat anda yang berdekatan. Apabila sahabat anda membuka pintu dan menjemput anda masuk, anda berasa sangat lega.

Anda mungkin tidak pernah mengalami situasi di atas. Namun anda mungkin mempunyai kerisauan lain dalam hidup yang menyebabkan anda berasa khuatir. Contohnya, adakah anda mempunyai kelemahan yang susah diatasi? Adakah anda sedang menganggur dan sukar mencari pekerjaan? Adakah anda berasa khuatir tentang kesihatan kerana usia anda semakin meningkat? Atau adakah anda berasa risau atas sebab lain?

Tidak kira apa masalah yang dihadapi, tidakkah anda menghargai seorang sahabat yang mendengar kekhuatiran anda dan dapat membantu anda? Adakah anda mempunyai sahabat sebegini? Sudah tentu! Yehuwa dapat menjadi sahabat anda. Dia telah menjadi sahabat Abraham seperti yang tercatat di Yesaya 41:8-13. Di ayat 10 dan 13, Yehuwa berkata, ‘Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Tuhan kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”’

“AKU AKAN MENGUATKAN DAN MENOLONG KAMU”

Kata-kata Yehuwa sangat menghiburkan hati. Tuhan berkata, “Aku akan menguatkan dan menolong kamu.” Hal ini terbukti benar apabila kita menghadapi kesusahan. Yehuwa seperti memegang tangan kita dan menarik kita keluar daripada kesusahan. Dia akan menguatkan kita dengan berkata, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”

Dapatkah anda bayangkan Yehuwa adalah seperti seorang Bapa dan Sahabat yang pengasih dan akan membantu anda semasa berada dalam kesusahan? Dia sangat mengambil berat tentang diri anda dan pasti ingin membantu anda. Semasa menghadapi kesusahan, Yehuwa ingin anda berasa selamat kerana Dia mempunyai hubungan yang erat dengan anda. Dia “selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.”​—Mzm. 46:2.

BERASA BERSALAH ATAS KESILAPAN LAMPAU

Beberapa orang dibelenggu kerana kesilapan masa lampau dan tertanya-tanya sama ada Tuhan telah mengampuni mereka. Jika anda berasa begitu, fikirkanlah contoh Ayub yang mengakui ‘kesalahan pada masa mudanya.’ (Ayb. 13:26) Daud juga mengalami situasi yang sama dan merayu kepada Yehuwa, “Ampunkan segala dosa dan kesalahan masa mudaku.” (Mzm. 25:7) Oleh sebab kita tidak sempurna, kita semua “sudah berdosa dan gagal mencapai kemuliaan Tuhan.”​—Rm. 3:23.

Mesej di Yesaya 41 pada asalnya ditujukan kepada umat Tuhan pada zaman kuno. Mereka telah berdosa sehingga Yehuwa membiarkan mereka ditawan ke Babilon sebagai hukuman. (Yes. 39:6, 7) Meskipun demikian, Tuhan sudah pun berfikir tentang masa Dia akan membebaskan mereka jika mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya! (Yes. 41:8, 9; 49:8) Dewasa ini, Yehuwa juga menunjukkan belas kasihan yang besar kepada mereka yang meminta ampun daripada-Nya.​—Mzm. 51:3.

Perhatikan pengalaman Takuya * yang berusaha untuk mengatasi tabiat buruknya, iaitu melihat bahan lucah dan melancap. Ada kalanya dia gagal mengawal diri dan mengulang dosa itu. Apakah perasaannya? “Saya berasa tidak berguna. Tetapi apabila saya berdoa kepada Yehuwa untuk meminta ampun, saya berasa bahawa Yehuwa seolah-olah mengangkat saya dan bantu saya untuk berdiri semula,” kata Takuya. Bagaimanakah Yehuwa berbuat demikian? Para penatua di sidang Takuya berkata bahawa dia boleh menelefon mereka setiap kali dia melakukan dosa itu. Takuya mengakui, “Bukan senang untuk menghubungi mereka. Tetapi apabila saya berbuat demikian, saya rasa dikuatkan.” Para penatua telah mengaturkan agar penyelia litar membuat kunjungan penggembalaan kepadanya. Penyelia litar berkata kepadanya, “Saya tidak datang secara kebetulan. Saya di sini kerana para penatua ingin saya datang. Mereka ingin kamu menerima kunjungan penggembalaan ini.” Takuya berkata, “Saya yang melakukan dosa. Namun Yehuwa masih menghulurkan bantuan kepada saya menerusi para penatua.” Akhirnya, Takuya membuat kemajuan sehingga layak menjadi perintis biasa dan sekarang berkhidmat di pejabat cawangan. Seperti pengalaman saudara ini, Tuhan juga akan membantu anda meskipun anda jatuh dalam dosa.

RISAU KERANA MENCARI NAFKAH

Ada orang berasa risau kerana mereka menganggur. Sesetengah orang yang hilang pekerjaan sukar mencari pendapatan. Bayangkan jika permohonan kerja anda selalu ditolak. Apabila hal ini berlaku, sesetengah orang mula hilang harga diri. Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu anda? Yehuwa mungkin tidak memberi anda pekerjaan yang sesuai dengan serta-merta. Namun Dia boleh membantu anda mempunyai pandangan Raja Daud yang berkata, ‘Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Yehuwa, ataupun anak mereka meminta-minta makanan.’ (Mzm. 37:25) Ya, anda sangat bernilai di mata Yehuwa, dan Dia akan menolong anda untuk mendapat keperluan hidup agar anda dapat terus menyembah-Nya.

Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu jika anda kehilangan kerja?

Sara dari Colombia telah merasai bantuan Yehuwa. Dia mempunyai pekerjaan yang baik dalam sebuah syarikat yang terkenal. Namun dia ingin meluaskan khidmatnya kepada Yehuwa. Jadi dia berhenti kerja dan mula merintis. Memandangkan sukar untuk mencari kerja sambilan, dia membuka kedai kecil untuk menjual aiskrim. Namun duit simpanannya berkurang dan dia terpaksa tutup kedai tersebut. Dia berkata, “Tiga tahun sudah berlalu, tetapi saya bersyukur kepada Yehuwa kerana saya dapat bertahan.” Sara belajar untuk menyederhanakan kehidupannya dan tidak risau tentang hari esok. (Mat. 6:33, 34) Akhirnya bekas majikannya menelefon dan menawarkan jawatan yang sama kepadanya. Sara berkata bahawa dia hanya akan menerima tawaran itu jika dia bekerja secara sambilan dan mendapat cuti bagi aktiviti-aktiviti rohaninya. Walaupun gaji Sara tidak sebanyak dahulu, dia masih dapat merintis. Dia berkata, “Saya telah merasai bantuan Yehuwa yang pengasih.”

KERISAUAN AKIBAT USIA TUA

Ada juga yang berasa risau kerana usia tua. Ramai orang yang mencapai umur persaraan mungkin tertanya-tanya sama ada mereka mempunyai duit yang cukup untuk meneruskan hidup. Mereka juga risau tentang masalah kesihatan yang mungkin dihadapi. Kemungkinan besar, Daudlah yang merayu kepada Yehuwa dengan berkata, “Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.”​—Mzm. 71:9, 18.

Bagaimanakah umat Yehuwa dapat berasa yakin walaupun dalam usia tua? Mereka perlu terus memupuk iman terhadap Tuhan dan percaya bahawa Tuhan akan menyediakan keperluan hidup mereka. Jika mereka pernah merasai kesenangan pada masa lalu, mereka mungkin perlu menyederhanakan kehidupan dan belajar berasa puas. Mereka juga mungkin lebih menikmati untuk “makan sayur” daripada “makan daging” kerana hal ini baik untuk kesihatan mereka! (Ams. 15:17) Jika anda berfokus untuk menyenangkan Yehuwa, sudah tentu Yehuwa akan menjaga anda semasa usia tua.

José dan Rose bersama Tony dan Wendy

Perhatikan contoh José dan Rose yang telah berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa selama 65 tahun. Mereka pernah memberikan penjagaan yang rapi kepada bapa Rose. Selain itu, José perlu bertahan akibat penyakit barah dan pembedahan serta kemoterapi yang dilaluinya. Adakah Yehuwa menjaga pasangan setia ini? Sudah tentu. Bagaimana? Melalui pasangan muda dalam sidang mereka, iaitu Tony dan Wendy. Mereka ingin menawarkan tempat tinggal secara percuma kepada perintis sepenuh masa. Semasa zaman sekolah, Tony memerhatikan dari tingkap sekolahnya bahawa José dan Rose sering keluar menginjil. Tony sangat mengasihi mereka kerana mereka menginjil dengan bersemangat. Oleh itu, Tony dan Wendy tergerak untuk menawarkan tempat tinggal itu kepada José dan Rose yang berkhidmat kepada Yehuwa sepanjang hidup mereka. Selama 15 tahun, Tony dan Wendy telah membantu José dan Rose yang sekarang berusia pertengahan 80-an. José dan Rose menganggap bantuan pasangan muda itu sebagai hadiah daripada Yehuwa.

Ya, Tuhan sedang menghulurkan tangan-Nya dan berkata, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.” Adakah anda juga akan menghulurkan tangan untuk menerima bantuan daripada-Nya?

^ per. 11 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.