Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Cara Pemakaian Anda Memuliakan Tuhan?

Adakah Cara Pemakaian Anda Memuliakan Tuhan?

“Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.”​—1 KOR. 10:31.

LAGU: 34, 61

1, 2. Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai piawaian yang tinggi mengenai pakaian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SEBUAH laporan surat khabar di Belanda berkata mengenai perjumpaan pemimpin ahli gereja, “Mereka berpakaian kasual, terutamanya apabila cuaca panas.” Namun surat khabar itu juga berkata, “Hal itu tidak berlaku di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa. . . . Lelaki tua dan muda memakai kot dan tali leher, manakala gadis dan wanita memakai skirt yang panjangnya . . . menunjukkan cita rasa yang baik dan moden.” Ya, Saksi-Saksi Yehuwa sering dipuji kerana mereka “menghias diri dengan pakaian yang sopan, dengan sederhana, dan dengan pertimbangan yang baik . . . yang sesuai bagi [orang] yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.” (1 Tim. 2:9, 10, nota kaki) Walaupun Rasul Paulus sedang bercakap mengenai wanita, prinsip ini juga patut diterapkan oleh lelaki Kristian.

2 Piawaian yang tinggi mengenai pakaian adalah penting bagi umat Yehuwa kerana hal ini juga penting bagi Yehuwa. (Kej. 3:21) Ayat-ayat Bible menunjukkan bahawa Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat mempunyai piawaian tertentu mengenai pakaian dan dandanan penyembah-Nya. Maka pilihan pakaian dan dandanan kita tidak seharusnya bergantung pada cita rasa kita sahaja. Kita harus mempertimbangkan apa yang menyenangkan hati Tuhan Yehuwa Yang Berdaulat.

3. Apakah yang boleh kita pelajari daripada hukum Tuhan mengenai pakaian?

3 Contohnya, Tuhan memberikan hukum kepada orang Israel untuk melindungi mereka daripada cara hidup tidak bermoral yang diamalkan oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Hukum itu menunjukkan bahawa Yehuwa membenci pakaian yang tidak dapat membezakan lelaki daripada perempuan. Sebenarnya, cara pemakaian sebegini dianggap biasa pada hari ini. (Baca Ulangan 22:5.) Daripada hukum yang diberikan Tuhan, kita jelas memahami bahawa Dia tidak suka pakaian yang membuat lelaki nampak seperti wanita, atau pakaian perempuan yang membuatnya kelihatan seperti lelaki.

4. Apakah yang dapat membantu orang Kristian membuat keputusan yang bijak mengenai pakaian?

4 Firman Tuhan mempunyai prinsip yang dapat membantu orang Kristian membuat keputusan yang baik mengenai cara pemakaian. Prinsip ini boleh digunakan tidak kira di mana mereka tinggal, kebudayaan mereka, dan cuaca tempatan. Kita tidak memerlukan senarai terperinci mengenai pakaian mana yang sesuai. Walaupun kita dibimbing oleh prinsip Bible, kita masih boleh membuat pilihan sendiri. Mari kita lihat beberapa prinsip yang dapat membantu kita memilih pakaian yang selaras dengan “kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.”​—Rm. 12:1, 2.

‘MENUNJUKKAN BAHAWA KAMI HAMBA TUHAN’

5, 6. Jika kita memakai pakaian yang sesuai, apakah kesannya kepada orang lain?

5 Rasul Paulus diilhami untuk menulis prinsip yang penting di 2 Korintus 6:4. (Baca.) Penampilan kita menunjukkan siapa diri kita. Orang sering kali membuat kesimpulan tentang kita selepas melihat cara pemakaian kita. (1 Sam. 16:7) Maka sebagai hamba Tuhan, kita bukan hanya ingin memilih sesuatu yang selesa dipakai. Prinsip dalam Firman Tuhan harus mendorong kita untuk tidak memakai pakaian yang ketat, terdedah, dan menggoda orang. Kita tidak harus memakai pakaian yang menjolok mata. Orang lain tidak harus berasa kurang selesa atau terpaksa menoleh ke arah lain apabila melihat cara pemakaian kita.

6 Apabila kita memakai pakaian yang kemas, bersih, sederhana, dan didandan dengan baik, orang lain akan menghormati kita sebagai hamba Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Mereka mungkin akan tertarik kepada Tuhan yang kita sembah. Selain itu, pakaian kita yang sesuai akan memberikan tanggapan baik mengenai organisasi yang kita wakili. Hasilnya, orang lain akan memberikan perhatian kepada mesej kita yang membawa kehidupan.

7, 8. Berikan contoh bila kita perlu memakai pakaian yang sopan.

7 Cara pemakaian kita boleh membawa kesan terhadap Tuhan yang suci, saudara saudari kita, dan orang di kawasan penyebaran. Maka kita harus memakai pakaian yang menunjukkan hormat kepada Yehuwa dan mesej yang kita sampaikan. (Rm. 13:8-10) Hal ini penting apabila kita melakukan kegiatan Kristian, seperti menghadiri perjumpaan atau menginjil. Cara pemakaian kita harus “sesuai bagi [orang] yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.” (1 Tim. 2:10) Sememangnya, sesetengah baju yang sesuai dipakai di suatu tempat mungkin tidak sesuai di tempat lain. Maka, umat Yehuwa di serata dunia harus mempertimbangkan budaya tempatan agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Adakah cara pemakaian anda membuat orang menghormati Tuhan yang anda wakili? (Lihat perenggan 7, 8)

8 Baca 1 Korintus 10:31. Apabila kita menghadiri perhimpunan dan konvensyen, cara pemakaian kita harus sesuai serta sederhana dan bukannya mencerminkan cara pemakaian dunia yang keterlaluan. Semasa kita menginap di hotel, atau menikmati masa santai sebelum dan selepas sesi konvensyen, kita harus mengelakkan pakaian yang terlalu kasual atau selekeh. Dengan demikian, kita akan berasa bangga untuk memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Kita juga tidak akan berasa malu jika berpeluang untuk memberikan kesaksian.

9, 10. Mengapakah Filipi 2:4 harus mempengaruhi cara pemakaian kita?

9 Baca Filipi 2:4. Mengapakah orang Kristian perlu mempertimbangkan bagaimana cara pemakaian mereka mempengaruhi rakan seiman? Salah satu sebab adalah kerana umat Tuhan berusaha menerapkan nasihat Bible: “Matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu yang tidak terkawal.” (Kol. 3:2, 5) Kita tidak ingin membuat rakan seiman berasa susah untuk menuruti nasihat itu. Saudara dan saudari yang telah menghentikan gaya hidup yang tidak bermoral mungkin masih bergelut dengan kecenderungan yang berdosa. (1 Kor. 6:9, 10) Sudah tentu, kita tidak ingin menyukarkan pergelutan mereka.

10 Semasa bersama saudara saudari, cara pemakaian kita harus menyumbang kepada kebersihan moral sidang. Kita harus berpakaian sopan sama ada di perjumpaan atau semasa melakukan aktiviti lain. Kita memang mempunyai kebebasan untuk memilih pakaian. Namun, kita harus memastikan cara pemakaian kita menggalakkan orang untuk hidup murni serta membantu mereka mengikut piawaian Tuhan yang suci mengenai pemikiran, pertuturan, dan tingkah laku. (1 Ptr. 1:15, 16) Kasih sejati “tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri.”​—1 Kor. 13:4, 5.

PAKAIAN SESUAI MENGIKUT MASA DAN TEMPAT

11, 12. Apakah yang harus difikirkan semasa membuat keputusan mengenai pakaian?

11 Sewaktu membuat keputusan mengenai pakaian, umat Tuhan mengambil kira ayat Bible yang berkata, “Setiap perkara dan setiap tindakan akan berlaku pada waktunya yang tertentu.” (Pkh. 3:17) Kita memang faham bahawa cara pemakaian kita berubah mengikut cuaca, musim, dan situasi di tempat tinggal kita. Namun, piawaian Yehuwa tidak berubah-ubah.​—Mal. 3:6.

12 Semasa cuaca panas, ada kalanya mencabar untuk memastikan pemakaian kita dihormati dan diterima orang serta mencerminkan pertimbangan yang baik. Maka demi saudara saudari kita, elakkanlah pakaian yang terlalu ketat atau longgar sehingga menjolok mata. (Ayb. 31:1) Sewaktu kita sedang bersantai di pantai atau kolam renang, kita harus memakai pakaian renang yang sopan. (Ams. 11:2, 20) Walaupun orang di dunia memakai pakaian renang yang menjolok mata, kita harus memastikan pilihan kita memuliakan Tuhan Yehuwa yang suci.

13. Mengapakah nasihat di 1 Korintus 10:32, 33 harus mempengaruhi pilihan pakaian kita?

13 Terdapat satu lagi prinsip penting yang membantu kita memilih pakaian yang sesuai. Kita harus mempertimbangkan hati nurani orang lain, tidak kira mereka ialah penyembah Yehuwa atau tidak. (Baca 1 Korintus 10:32, 33.) Maka, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa cara pemakaian kita tidak menyinggung orang. Paulus menulis, “Hendaklah kita masing-masing menyenangkan hati orang lain demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.” Dia juga menjelaskan bahawa “Kristus pun tidak menyenangkan dirinya sendiri.” (Rm. 15:2, 3) Bagi Yesus, melakukan kehendak Tuhan dan mengutamakan kepentingan orang lain adalah lebih penting daripada pilihannya sendiri. Oleh itu, walaupun kita suka sesetengah pakaian, kita tidak akan memakainya jika pakaian itu menghalang orang daripada menyambut mesej yang kita sampaikan.

14. Bagaimanakah ibu bapa dapat melatih anak mereka memuliakan Tuhan melalui cara pemakaian mereka?

14 Ibu bapa Kristian bertanggungjawab mengajar keluarga cara menerapkan prinsip Bible. Hal ini termasuk memastikan anak-anak mereka sentiasa menyenangkan hati Yehuwa dengan pakaian dan dandanan yang sopan. (Ams. 22:6; 27:11) Melalui teladan dan bimbingan praktikal, ibu bapa dapat memupuk perasaan hormat yang mendalam terhadap Tuhan dalam diri anak-anak mereka. Ibu bapa patut mengajar anak mereka memilih pakaian yang sesuai. Anak-anak tidak seharusnya hanya memilih pakaian yang mereka suka. Mereka patut memilih pakaian yang memuliakan Tuhan yang mereka wakili.

GUNAKAN KEBEBASAN MEMILIH DENGAN BIJAK

15. Semasa memilih pakaian, kita harus dibimbing oleh apa?

15 Firman Tuhan mengandungi prinsip yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak dan yang memuliakan Tuhan. Namun, kita masih boleh membuat pilihan peribadi dalam hal pakaian. Cita rasa kita serta tahap kewangan kita mungkin berbeza-beza. Tetapi, pakaian kita mesti sentiasa kemas, bersih, sederhana, sesuai dengan keadaan, dan diterima oleh budaya tempatan.

16. Mengapakah berbaloi untuk mencurahkan usaha bagi mencari pakaian yang sesuai?

16 Memang sukar untuk mencari pakaian yang sopan dan sesuai. Banyak kedai menjual pakaian yang mengikut gaya terkini. Jadi kita mungkin perlu menggunakan lebih banyak masa dan usaha untuk mencari skirt, blaus, dan dress yang sopan, atau kot dan seluar yang tidak ketat. Sudah tentu, rakan seiman kita akan menghargai usaha kita untuk mencari pakaian yang cantik dan sopan. Kita juga berpuas hati kerana dapat memuliakan Bapa kita yang di syurga. Oleh itu, apa sahaja usaha yang dicurahkan untuk mencari pakaian yang sopan adalah berbaloi.

17. Apakah beberapa faktor yang harus dipertimbangkan jika saudara ingin menyimpan janggut?

17 Adakah sesuai bagi saudara untuk menyimpan janggut? Hukum Musa mewajibkan golongan lelaki menyimpan janggut. Namun, orang Kristian tidak lagi mengikut Hukum Musa. (Im. 19:27; 21:5; Gal. 3:24, 25) Dalam budaya tertentu, janggut yang dijaga dengan rapi boleh diterima dan hal ini tidak menghalang orang daripada menerima mesej Kerajaan Tuhan. Sesetengah saudara yang dilantik bahkan memiliki janggut. (1 Kor. 8:9, 13; 10:32) Namun di kawasan atau budaya yang lain, golongan lelaki tidak biasa mempunyai janggut. Oleh itu, saudara-saudara memilih untuk tidak menyimpan janggut. Jika mereka menyimpan janggut, hal itu boleh membawa nama buruk kepada Yehuwa dan diri mereka, dan mereka boleh dianggap “bercela.”​—Rm. 15:1-3; 1 Tim. 3:2, 7.

18, 19. Bagaimanakah Mikha 6:8 membantu kita memastikan cara pemakaian kita menyenangkan Tuhan?

18 Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa tidak membebankan kita dengan peraturan yang terperinci mengenai pakaian dan dandanan. Sebaliknya, Yehuwa mengizinkan kita menggunakan kebebasan untuk memilih yang dibimbing oleh prinsip Bible. Dengan itu, melalui pakaian dan dandanan, kita dapat menunjukkan bahawa kita ‘dengan rendah hati hidup bersatu dengan Tuhan kita.’​—Mi. 6:8.

19 Kita dengan rendah hati mengakui bahawa Yehuwa suci dan piawaian-Nya merupakan bimbingan yang terbaik bagi kita. Kerendahan hati juga membantu kita menghormati perasaan dan pendapat orang lain. Maka, dengan mengikut piawaian Yehuwa dan menghormati perasaan orang, kita ‘dengan rendah hati hidup bersatu dengan Tuhan kita.’

20. Jika pakaian dan dandanan kita sesuai, apakah tanggapan orang lain terhadap kita?

20 Cara pemakaian kita seharusnya menunjukkan dengan jelas bahawa kita ialah umat Yehuwa. Saudara saudari kita dan orang lain seharusnya berasa bahawa kita layak mewakili Tuhan. Tuhan mempunyai piawaian yang tinggi, dan kita berusaha untuk mengikut piawaian itu. Saudara saudari kita patut dipuji kerana penampilan dan kelakuan mereka mendorong orang untuk menerima mesej Bible. Mereka juga memuliakan dan menggembirakan Yehuwa. Dengan membuat pilihan bijak mengenai pakaian, kita tentu dapat memuliakan Tuhan yang “berpakaian kemegahan dan kemuliaan.”​—Mzm. 104:1, 2, NW.