Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Jagalah Kerohanian semasa Berkhidmat di Kawasan Penyebaran Bahasa Asing

Jagalah Kerohanian semasa Berkhidmat di Kawasan Penyebaran Bahasa Asing

“Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku.”​MZM. 119:11.

LAGU: 142, 92

1-3. (a) Tidak kira apa keadaan kita, apakah seharusnya keutamaan kita? (b) Apakah cabaran yang dihadapi oleh mereka yang mempelajari bahasa baharu? Apakah soalan yang timbul? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

RIBUAN Saksi-Saksi Yehuwa hari ini dengan aktif menjadikan nubuat tentang penyebaran berita baik “kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum” suatu kenyataan. (Why. 14:6) Adakah anda sedang belajar bahasa lain? Adakah anda seorang mubaligh atau berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing? Adakah anda menghadiri perjumpaan bahasa asing di negara anda?

2 Sebagai umat Tuhan, kita perlu mengutamakan kerohanian kita dan keluarga kita. (Mat. 5:3) Ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk mengadakan pembelajaran peribadi yang bermakna kerana sibuk. Tetapi, orang yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing menghadapi cabaran yang berbeza.

3 Selain mempelajari bahasa baharu, orang yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing perlu memastikan bahawa mereka menyantap makanan rohani yang keras secara tetap. (1 Kor. 2:10) Bagaimanakah mereka dapat melakukannya jika mereka tidak faham dengan sepenuhnya bahasa yang digunakan dalam sidang? Mengapakah ibu bapa Kristian harus memastikan Firman Tuhan mencapai hati anak mereka?

ANCAMAN TERHADAP KEROHANIAN KITA

4. Apakah yang boleh mengancam kerohanian kita? Berikan contoh.

4 Kerohanian kita boleh terjejas apabila kita tidak dapat memahami Firman Tuhan dalam bahasa asing. Pada abad kelima SM, Nehemia berasa bimbang kerana sesetengah kanak-kanak Yahudi yang pulang dari Babilonia tidak dapat bertutur dalam bahasa Ibrani. (Baca Nehemia 13:23, 24.) Oleh sebab mereka tidak dapat memahami Firman Tuhan dengan sepenuhnya, hubungan mereka dengan Yehuwa menjadi lemah.​—Neh. 8:2, 8.

5, 6. Apakah yang disedari oleh sesetengah ibu bapa Kristian yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing, dan mengapa?

5 Sesetengah ibu bapa Kristian yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing sedar bahawa anak mereka tidak lagi berminat terhadap kebenaran. Hal ini kerana anak mereka tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang disampaikan semasa perjumpaan. Oleh itu, program rohani tidak dapat mencapai hati mereka. Pedro [1] yang berpindah bersama keluarganya dari Amerika Selatan ke Australia berkata, “Apabila bercakap mengenai hal-hal rohani, itu melibatkan hati dan emosi.”​—Luk. 24:32.

6 Semasa membaca sesuatu dalam bahasa asing, hati kita tidak tersentuh berbanding semasa membaca sesuatu dalam bahasa ibunda. Tambahan lagi, jika kita bergelut untuk bertutur dalam bahasa lain, kita akan penat secara mental dan rohani. Maka, kita perlu menjaga kerohanian supaya kita terus dapat berkhidmat kepada Yehuwa di kawasan penyebaran bahasa asing.​—Mat. 4:4.

MEREKA MENJAGA KEROHANIAN MEREKA

7. Bagaimanakah orang Babilonia cuba memaksa Daniel menerima budaya dan agama mereka?

7 Apabila Daniel dan sahabatnya dibawa ke Babilonia, orang Babilonia memaksa mereka menerima budaya dan “bahasa Babilonia.” Pegawai-pegawai di sana memberi mereka nama Babilonia. (Dan. 1:3-7) Nama Babilonia yang diberikan kepada Daniel berkaitan dengan Bel, iaitu dewa utama orang Babilonia. Raja Nebukadnezar mungkin ingin menunjukkan kepada Daniel bahawa dewa Babilonia lebih agung daripada Tuhan Yehuwa.​—Dan. 4:8.

8. Apakah yang membantu Daniel tetap kuat secara rohani walaupun tinggal di negara asing?

8 Walaupun Daniel diberi makanan yang dihidangkan kepada raja, dia “bertekad untuk tidak menajiskan dirinya.” (Dan. 1:8) Oleh sebab Daniel “mengkaji kitab-kitab suci” dalam bahasa ibundanya, dia tetap kuat secara rohani meskipun tinggal di negara asing. (Dan. 9:2) Walaupun 70 tahun sudah berlalu sejak Daniel dibawa ke Babilonia, dia masih dikenali dengan nama Ibraninya.​—Dan. 5:13.

9. Bagaimanakah Firman Tuhan membantu penulis Mazmur 119?

9 Penulis Mazmur 119 mendapat kekuatan daripada Firman Tuhan untuk memilih haluan yang berbeza daripada orang lain. Dengan itu, dia dapat bertabah walaupun dihina oleh pegawai-pegawai istana. (Mzm. 119:23, 61) Dia membenarkan Firman Tuhan untuk meresap ke dalam hatinya.​—Baca Mazmur 119:11, 46.

JAGA KEROHANIAN ANDA

10, 11. (a) Seraya kita mempelajari Firman Tuhan, apakah seharusnya matlamat kita? (b) Bagaimanakah kita dapat mencapai matlamat kita? Berikan contoh.

10 Walaupun kita mungkin sibuk dengan tanggungjawab teokratik dan sekular, kita semua perlu meluangkan masa untuk mengadakan pembelajaran peribadi dan penyembahan keluarga. (Ef. 5:15, 16) Matlamat kita tidak seharusnya hanya membaca beberapa muka surat daripada Bible dan bahan bacaan Bible, atau menyediakan komen untuk perjumpaan. Kita ingin memastikan bahawa kita membenarkan Firman Tuhan terbenam ke dalam hati dan menguatkan iman kita.

11 Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu seimbang. Kita harus memikirkan keperluan rohani sendiri, bukan hanya keperluan rohani orang lain. (Flp. 1:9, 10) Semasa membuat persediaan bagi aktiviti penyebaran, perjumpaan, atau ceramah, kita tidak semestinya mengaitkan apa yang dipelajari dengan diri kita. Contohnya, seorang tukang masak perlu merasa sedikit masakannya sebelum dihidangkan, namun makanan itu tidak mencukupi baginya. Jika dia ingin tetap sihat, dia harus makan makanan yang berkhasiat. Begitu juga, kita harus berusaha menyantap makanan rohani yang dapat memenuhi keperluan kita.

12, 13. Mengapakah banyak orang berasa bahawa adalah baik untuk mempelajari Bible secara tetap dalam “bahasa ibunda” mereka?

12 Banyak orang yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing berasa bahawa adalah baik untuk mempelajari Bible secara tetap dalam “bahasa ibunda” mereka. (Kis. 2:8) Para mubaligh yang berkhidmat di sidang bahasa asing juga sedar bahawa untuk tetap kuat secara rohani, mereka tidak boleh hanya bergantung pada pengetahuan asas yang diperoleh daripada perjumpaan.

13 Alain yang mempelajari bahasa Persia selama lapan tahun berkata, “Semasa saya membuat persiapan bagi perjumpaan dalam bahasa Persia, saya cenderung berfokus kepada bahasa itu. Memandangkan hal ini melibatkan minda sahaja, hati saya kurang tersentuh dengan perkara rohani yang dibaca. Itulah sebabnya saya selalu meluangkan masa untuk mempelajari Bible dan bahan bacaan Bible dalam bahasa ibunda saya.”

CAPAILAH HATI ANAK ANDA

14. Apakah yang harus dipastikan oleh ibu bapa, dan mengapa?

14 Ibu bapa Kristian harus memastikan Firman Tuhan mencapai hati dan minda anak mereka. Selepas berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing untuk lebih daripada tiga tahun, Serge dan isterinya, Muriel, mendapati bahawa anak lelaki mereka yang berumur 17 tahun kurang menikmati aktiviti teokratik. Muriel berkata, “Dia tidak suka menginjil dengan menggunakan bahasa asing, padahal sebelum itu dia sangat suka menginjil dalam bahasa ibundanya, iaitu bahasa Perancis.” Serge menjelaskan, “Apabila kami sedar bahawa situasi itu telah menghalang kemajuan rohani anak kami, kami memutuskan untuk balik ke sidang asal.”

Pastikan kebenaran mencapai hati anak anda (Lihat perenggan 14, 15)

15. (a) Bagaimanakah ibu bapa boleh menentukan sama ada mereka perlu berpindah sidang? (b) Apakah nasihat yang terkandung dalam Ulangan 6:5-7 bagi ibu bapa?

15 Bagaimanakah ibu bapa boleh menentukan sama ada perlu berpindah balik ke sidang yang menggunakan bahasa yang paling difahami anak mereka? Pertama, ibu bapa harus memastikan sama ada mereka mempunyai masa dan tenaga yang mencukupi untuk menyemai kasih kepada Yehuwa dalam diri anak dan pada masa yang sama mengajar mereka bahasa asing. Kedua, ibu bapa mungkin memperhatikan bahawa anak mereka kurang berminat dalam hal-hal rohani atau tidak menikmati kerja penyebaran bahasa asing. Dalam situasi sebegini, ibu bapa boleh berpindah ke sidang yang menggunakan bahasa yang difahami anak mereka sehingga anak dapat berdiri teguh dalam kebenaran.​—Baca Ulangan 6:5-7.

16, 17. Bagaimanakah sesetengah ibu bapa dapat melatih anak mereka secara rohani semasa berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing?

16 Namun, sesetengah ibu bapa dapat mencari cara untuk mendidik anak mereka dalam bahasa ibunda semasa berkhidmat dalam sidang atau kumpulan bahasa asing. Charles mempunyai tiga orang anak perempuan yang berumur antara 9 hingga 13 tahun dan mereka menghadiri kumpulan bahasa Lingala. Dia berkata, “Kami memutuskan untuk mengadakan pembelajaran Bible dan penyembahan keluarga bersama anak-anak dalam bahasa ibunda. Namun, kami juga mengadakan sesi latihan dan permainan dalam bahasa Lingala agar mereka dapat mempelajari bahasa ini dengan seronok.”

Berusaha untuk belajar bahasa tempatan dan memberikan komen dalam perjumpaan (Lihat perenggan 16, 17)

17 Kevin mempunyai dua anak perempuan yang berumur lima dan lapan tahun. Dia berusaha mengajar anak-anaknya kebenaran kerana mereka belum memahami sepenuhnya perjumpaan yang diadakan dalam bahasa asing. Dia berkata, “Saya dan isteri mengadakan pembelajaran Bible bersama anak-anak kami dalam bahasa ibunda kami, iaitu bahasa Perancis. Kami juga menetapkan matlamat menghadiri perjumpaan bahasa Perancis sebulan sekali. Kami mengambil cuti untuk menghadiri konvensyen yang diadakan dalam bahasa ibunda kami.”

18. (a) Apakah prinsip dalam Roma 15:1, 2 yang dapat membantu anda menentukan apa yang terbaik bagi anak anda? (b) Apakah cadangan yang diberikan oleh ibu bapa lain? (Lihat nota kaki.)

18 Sudah tentu, setiap keluarga harus menentukan apa yang bermanfaat bagi kerohanian anak-anak mereka. [2] (Gal. 6:5) Muriel yang disebut tadi mengakui bahawa dia dan suaminya perlu mengorbankan hasrat mereka demi kerohanian anak mereka. (Baca Roma 15:1, 2.) Serge berasa bahawa mereka telah membuat keputusan yang betul dan berkata, “Sejak kami berpindah balik ke sidang bahasa Perancis, anak kami mula membuat kemajuan rohani dan dibaptis. Dia sekarang berkhidmat sebagai perintis biasa. Dia bahkan mempertimbangkan untuk berkhidmat semula dalam kumpulan bahasa asing!”

BENARKAN FIRMAN TUHAN MENCAPAI HATI ANDA

19, 20. Bagaimanakah kita menunjukkan kasih terhadap Firman Tuhan?

19 Yehuwa dengan pengasih menyediakan Firman-Nya, Bible, dalam ratusan bahasa supaya ‘segala macam orang memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.’ (1 Tim. 2:4) Dia tahu bahawa adalah penting bagi manusia untuk memenuhi keperluan rohani mereka dengan membaca Bible dalam bahasa ibunda mereka.

20 Maka tidak kira apa keadaan kita, marilah kita bertekad untuk menyantap makanan rohani yang keras. Dengan mempelajari Bible dalam bahasa ibunda kita secara tetap, kita dapat menjaga kerohanian kita dan keluarga kita. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menyimpan Firman Tuhan dalam hati kita.​—Mzm. 119:11.

^ [1] (perenggan 5) Nama-nama telah diubah.

^ [2] (perenggan 18) Untuk mengetahui prinsip Bible yang dapat membantu keluarga anda, lihat rencana “Membesarkan Anak di Negeri Asing—Tantangan dan Berkatnya” dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Oktober 2002.