Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Beriman terhadap Janji-Janji Yehuwa

Beriman terhadap Janji-Janji Yehuwa

“Iman ialah bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat.”​IBR. 11:1.

LAGU: 54, 125

1. Apakah seharusnya perasaan kita terhadap iman yang diberikan Tuhan?

IMAN ialah suatu sifat yang sangat bernilai. Bukan semua manusia memiliki iman. (2 Tes. 3:2) Tetapi Yehuwa memberikan iman kepada semua penyembah-Nya. (Rm. 12:3; Gal. 5:22) Kita semua harus bersyukur atas iman yang diberikan Tuhan!

2, 3. (a) Apakah berkat yang diraih oleh orang yang beriman? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

2 Yesus Kristus berkata bahawa Bapa Yehuwa memimpin orang kepada-Nya melalui Anak-Nya. (Yoh. 6:44, 65) Apabila kita beriman kepada Yesus, dosa-dosa kita dapat diampunkan. Dengan demikian, kita berpeluang menikmati hubungan yang kekal dengan Yehuwa. (Rm. 6:23) Adakah kita layak menerima berkat sebegini? Sebenarnya, kita pendosa dan hanya layak dijatuhkan hukuman mati. (Mzm. 103:10) Tetapi Yehuwa nampak potensi dalam diri kita. Menerusi kebaikan hati-Nya yang unggul, Dia membuka hati kita untuk menerima berita baik. Maka kita pun beriman terhadap Yesus dan berpeluang menikmati kehidupan kekal.​—Baca 1 Yohanes 4:9, 10.

3 Tetapi apakah itu iman? Jika kita mengetahui apa yang telah dan akan dilakukan Tuhan, adakah hal itu bermaksud kita mempunyai iman? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan iman?

“BERIMAN DI DALAM HATI KAMU”

4. Jelaskan mengapa iman bukan sekadar melibatkan pemahaman mental seseorang.

4 Iman bukan sekadar pemahaman mental mengenai tujuan Tuhan. Iman dapat mendorong seseorang untuk hidup selaras dengan kehendak Tuhan. Beriman terhadap penyelamatan yang disediakan Tuhan menggerakkan seseorang untuk berkongsi berita baik kepada orang lain. Rasul Paulus menjelaskan, “Jika kamu mengisytiharkan dengan mulut kamu bahawa Yesus ialah Tuan, dan jika kamu beriman di dalam hati kamu bahawa Tuhan sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Dengan hati, seseorang beriman untuk mendapat perkenan Tuhan. Namun dengan mulut, seseorang mengisytiharkan perkhabaran itu untuk mendapat penyelamatan.”​—Rm. 10:9, 10; 2 Kor. 4:13.

5. Mengapakah iman sangat penting? Bagaimanakah iman kita boleh tetap teguh? Berikan contoh.

5 Jelaslah, untuk menikmati hidup kekal di dunia baharu, kita harus memiliki iman dan terus meneguhkan iman itu. Hal ini boleh disamakan dengan tumbuhan yang memerlukan air. Tidak seperti tumbuhan tiruan, tumbuhan yang hidup akan terus bertumbuh. Tetapi, tumbuhan memerlukan air yang mencukupi untuk tetap subur. Jika kekurangan air, tumbuhan itu akan layu dan mati. Jadi, iman kita juga boleh disamakan dengan hal itu. Iman akan layu dan mati jika diabaikan. (Luk. 22:32; Ibr. 3:12) Namun, jika kita menjaga iman, iman kita akan tetap hidup dan “bertumbuh.” Dengan demikian, kita akan menjadi “mantap dari segi iman.”​—2 Tes. 1:3; Tit. 2:2.

TAKRIF BIBLE TENTANG IMAN

6. Apakah dua aspek iman yang terdapat di Ibrani 11:1?

6 Takrif Bible tentang iman boleh didapati di Ibrani 11:1. (Baca.) Iman merangkumi dua aspek yang tidak dapat dilihat: (1) “Keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” Hal ini merangkumi peristiwa masa depan yang sudah dijanjikan tetapi belum lagi berlaku. Contohnya, kemusnahan segala kejahatan dan kedatangan dunia baharu. (2) “Bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat.” Kita percaya bahawa Tuhan Yehuwa, Yesus Kristus, malaikat, dan Kerajaan Tuhan wujud di syurga walaupun tidak dapat dilihat. (Ibr. 11:3) Bagaimanakah kita menunjukkan iman terhadap janji Tuhan dan perkara yang tidak dapat dilihat? Menerusi kata-kata dan perbuatan kita.

7. Bagaimanakah kita boleh memahami cara menunjukkan iman menerusi teladan Nuh? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Ibrani 11:7 menyatakan, ‘Kerana beriman, Nuh membina sebuah bahtera selepas dia mendapat amaran daripada Tuhan tentang perkara-perkara yang belum kelihatan.’ Nuh menunjukkan iman dengan membina bahtera yang besar. Orang lain pasti telah menanya Nuh mengapa dia membina bahtera itu. Adakah Nuh berdiam diri atau menyuruh mereka jangan menyibuk? Tidak! Iman mendorongnya untuk memberikan amaran mengenai penghakiman Yehuwa yang akan berlaku. Nuh mungkin memberitahu mereka tentang kata-kata Yehuwa, “Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka. . . . Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati.” Selain itu, Nuh pasti memberitahu bahawa mereka dapat diselamatkan jika mengikut perintah Tuhan, “Masuklah ke dalam bahtera itu.” Oleh itu, Nuh dikenali sebagai ‘seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar di mata Tuhan.’​—Kej. 6:13, 17, 18; 2 Ptr. 2:5.

8. Bagaimanakah Yakobus menerangkan maksud iman?

8 Surat Yakobus mungkin ditulis tidak lama selepas Paulus menjelaskan takrif iman. Seperti Paulus, Yakobus menerangkan bahawa iman bukan sekadar kepercayaan, tetapi merangkumi tindakan. Yakobus menulis, “Tunjukkanlah iman kamu yang tidak disertai perbuatan, dan aku akan menunjukkan imanku menerusi perbuatanku.” (Yak. 2:18) Yakobus kemudian menerangkan perbezaan antara kepercayaan dengan iman. Roh-roh jahat percaya bahawa Tuhan wujud tetapi mereka tidak beriman kepada-Nya. Sebaliknya, mereka menentang kehendak Tuhan. (Yak. 2:19, 20) Tetapi mengenai Abraham, Yakobus berkata, “Fikirkan Abraham, bapa kita yang mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah. Bukankah dia mendapat perkenan Tuhan kerana perbuatannya itu? Jelaslah bahawa imannya diiringi perbuatan dan melalui perbuatannya, imannya menjadi sempurna.” Untuk menekankan bahawa iman mesti disertai perbuatan, Yakobus berkata, “Sebagaimana tubuh yang tidak bernyawa ialah tubuh yang mati, demikian juga iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.”​—Yak. 2:21-23, 26.

9, 10. Bagaimanakah Rasul Yohanes membantu kita memahami kepentingan iman?

9 Lebih daripada 30 tahun kemudian, Rasul Yohanes menulis buku Yohanes serta tiga surat. Seperti penulis Bible yang lain, Yohanes memahami maksud iman. Dia merupakan penulis Bible yang paling banyak menggunakan kata kerja Yunani yang diterjemahkan sebagai “beriman.”

10 Contohnya, Yohanes menjelaskan, “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal, tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan. Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.” (Yoh. 3:36) Orang Kristian menunjukkan iman dengan mematuhi perintah Yesus. Sebenarnya, daripada tulisan Yohanes, kita dapat melihat Yesus sering mengatakan bahawa beriman ialah suatu proses yang berterusan.​—Yoh. 3:16; 6:29, 40; 11:25, 26; 14:1, 12.

11. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa kerana kita memahami kebenaran?

11 Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu kita memahami kebenaran serta beriman kepada-Nya dan Anak-Nya. (Baca Lukas 10:21.) Kita harus sentiasa bersyukur kerana Yehuwa membimbing kita kepada-Nya menerusi Anak-Nya, iaitu “Pemimpin Utama iman kita dan Penyempurna iman kita.” (Ibr. 12:2) Untuk menunjukkan penghargaan, kita harus meneguhkan iman dengan berdoa dan mempelajari Firman Tuhan.​—Ef. 6:18; 1 Ptr. 2:2.

Tunjukkan iman dengan mengongsi berita baik pada setiap kesempatan (Lihat perenggan 12)

12. Apakah yang akan kita lakukan jika kita memiliki iman?

12 Kita harus menunjukkan bahawa kita beriman terhadap janji-janji Yehuwa. Contohnya, kita boleh menginjil tentang Kerajaan Tuhan dan membantu orang lain menjadi pengikut Yesus. Selain itu, kita berusaha untuk “berbuat baik kepada semua orang, terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman.” (Gal. 6:10) Kita juga bertekad untuk ‘menanggalkan keperibadian lama dengan amalan-amalannya’ kerana ingin melindungi diri daripada apa-apa yang menjejaskan iman kita.​—Kol. 3:5, 8-10.

IMAN TERHADAP TUHAN MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA ASAS KITA

13. Seberapa pentingkah “iman kepada Tuhan,” dan mengapa?

13 Bible menyatakan, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan, kerana sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” (Ibr. 11:6) Firman Tuhan menjelaskan bahawa “iman kepada Tuhan” ialah sebahagian daripada “asas” yang diperlukan untuk menjadi orang Kristian sejati. (Ibr. 6:1) Selain iman, orang Kristian memerlukan sifat-sifat lain supaya “tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan.”​—Baca 2 Petrus 1:5-7; Yud. 20, 21.

14, 15. Mengapakah kita memerlukan kasih dan bukan iman sahaja?

14 Penulis Kitab Yunani Kristian menekankan kepentingan iman kerana mereka menyatakannya ratusan kali. Tiada sifat lain yang disebut begitu kerap. Namun, adakah hal ini bermaksud bahawa iman merupakan sifat yang terpenting?

15 Semasa membandingkan iman dengan kasih, Paulus menulis, “Meskipun aku mempunyai iman yang begitu kukuh sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.” (1 Kor. 13:2) Yesus telah ditanya, “Dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?” Dia menjawab bahawa sifat yang terpenting ialah kasih kepada Tuhan. (Mat. 22:35-40) Kasih membantu kita memupuk sifat-sifat lain yang menyenangkan Tuhan. Contohnya, kasih “mempercayai segala sesuatu.” Sifat kasih membantu kita mempercayai, atau beriman, terhadap kata-kata Tuhan yang terkandung dalam Firman-Nya.​—1 Kor. 13:4, 7.

16, 17. Bagaimanakah iman dan kasih diserlahkan dalam ayat-ayat Bible? Namun yang manakah lebih penting, dan mengapa?

16 Oleh sebab iman dan kasih sangat penting, penulis Kitab Yunani Kristian banyak kali menyerlahkan kedua-dua sifat ini dalam ayat atau frasa yang sama. Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk “mengenakan perisai dada iaitu iman dan kasih.” (1 Tes. 5:8) Petrus menulis, “Meskipun kamu tidak pernah melihat [Yesus], kamu mengasihinya. Meskipun kamu tidak melihatnya sekarang, kamu beriman kepadanya.” (1 Ptr. 1:8) Yakobus berkata kepada rakan seiman yang terurap, “Walaupun sesetengah orang dianggap miskin dalam pandangan dunia, Tuhan telah memilih mereka dan menjadikan mereka kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi Kerajaan yang dijanjikan oleh Tuhan kepada orang yang mengasihi-Nya.” (Yak. 2:5) Yohanes menulis, “Inilah perintah [Tuhan]: Kita harus beriman kepada nama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi.”​1 Yoh. 3:23.

17 Walaupun iman itu penting, beberapa aspek iman tidak lagi diperlukan selepas janji Tuhan serta harapan Kristian menjadi kenyataan. Namun, kasih terhadap Tuhan dan orang lain perlu terus bertambah. Maka Paulus menulis, “Walau bagaimanapun, yang tinggal sekarang ialah iman, harapan, dan kasih. Tetapi antara ketiga-tiganya, kasihlah yang paling penting.”​—1 Kor. 13:13.

YEHUWA MEMBERKATI IMAN KITA

18, 19. Bagaimanakah Yehuwa memberkati iman dan kasih yang ditunjukkan orang Kristian hari ini? Siapakah yang layak dipuji?

18 Hari ini, umat Yehuwa beriman terhadap Kerajaan Tuhan dan hal ini menyumbang kepada perkembangan firdaus rohani sedunia yang mempunyai lebih daripada lapan juta penduduk. Firdaus rohani ini berlimpah dengan buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Hal ini membuktikan bahawa Yehuwa memberkati iman dan kasih yang ditunjukkan orang Kristian!

19 Oleh sebab Tuhan yang menyebabkan hal ini berlaku, Dialah yang layak dipuji. (Yes. 55:13) Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa membuka jalan bagi kita supaya ‘diselamatkan kerana beriman.’ (Ef. 2:8) Firdaus rohani ini akan terus berkembang maju sehingga seluruh bumi dipenuhi manusia baik yang sempurna dan bahagia. Mereka akan memuji nama Yehuwa selama-lamanya. Maka, marilah kita terus beriman terhadap janji-janji Yehuwa!