Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Percayalah kepada Yehuwa dan Buatlah Apa yang Baik

Percayalah kepada Yehuwa dan Buatlah Apa yang Baik

‘Percayalah kepada Yehuwa dan buatlah perkara yang baik.’MZM. 37:3.

LAGU: 133, 63

1. Apakah kebolehan menakjubkan yang dikurniai Yehuwa kepada manusia?

YEHUWA menciptakan manusia dengan kebolehan yang menakjubkan. Dia memberi kita daya pemikiran untuk menyelesaikan masalah dan merancang bagi masa depan. (Ams. 2:11) Dia memberi kita keupayaan untuk melaksanakan rancangan dan mencapai matlamat kita. (Flp. 2:13) Dia juga memberi kita hati nurani, iaitu keupayaan untuk membezakan apa yang betul dan salah. Hati nurani membantu kita mengelakkan perbuatan salah dan membetulkan kesilapan.Rm. 2:15.

2. Bagaimanakah Yehuwa ingin kita menggunakan kebolehan kita?

2 Yehuwa ingin kita menggunakan kebolehan kita dengan sebaik-baiknya. Mengapa? Hal ini demikian kerana Dia mengasihi kita dan tahu bahawa kita dapat menikmati kepuasan. Melalui Firman-Nya, Yehuwa menggalakkan kita untuk menggunakan kebolehan kita demi kebaikan. Contohnya, Kitab Ibrani menyatakan, “Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah”; dan “jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh.” (Ams. 21:5; Pkh. 9:10) Dalam Kitab Yunani Kristian, kita diberitahu, “Selagi kita berpeluang, marilah kita berbuat baik kepada semua orang”; dan “sesuai dengan kurnia yang diterima oleh setiap orang, gunakanlah kurnia itu untuk berkhidmat kepada satu sama lain.” (Gal. 6:10; 1 Ptr. 4:10) Jelaslah, Yehuwa mahu kita melakukan apa yang bermanfaat bagi diri kita dan orang lain.

3. Apakah keterbatasan yang dimiliki oleh manusia?

3 Pada masa yang sama, Yehuwa tahu bahawa manusia memiliki keterbatasan. Kita tidak dapat menyingkirkan ketidaksempurnaan, dosa, dan kematian. Kita juga tidak dapat mengawal kehidupan orang lain kerana kita semua mempunyai kebebasan untuk memilih. (1 Raj. 8:46) Tidak kira berapa banyak pengetahuan atau pengalaman yang diperoleh, kita masih seperti kanak-kanak jika dibandingkan dengan Yehuwa.Yes. 55:9.

Apabila menangani masalah, ‘percaya kepada Yehuwa dan buatlah perkara yang baik’

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam apa pun situasi, kita perlu mengikut bimbingan Yehuwa dan percaya bahawa Dia akan membantu kita melakukan apa yang kita tidak mampu lakukan. Namun, Yehuwa juga ingin kita mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah dan membantu orang lain. (Baca Mazmur 37:3.) Secara ringkas, kita perlu ‘percaya kepada Yehuwa dan buat perkara yang baik.’ Mari kita belajar daripada contoh Nuh, Daud, dan penyembah Tuhan yang lain. Mereka telah bersandar pada Yehuwa dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Walaupun terdapat perkara yang tidak dapat dilakukan, mereka memilih untuk berfokus kepada perkara yang dapat dilakukan.

APABILA DIKELILINGI KEJAHATAN

5. Jelaskan situasi yang dihadapi Nuh.

5 Pada zaman Nuh, perbuatan yang tidak bermoral dan “kekejaman terdapat di mana-mana.” (Kej. 6:4, 9-13) Dia tahu bahawa Yehuwa akan memusnahkan dunia jahat itu. Tetapi Nuh mungkin masih berasa kecewa kerana orang di sekelilingnya tidak takut akan Tuhan. Nuh sedar bahawa terdapat perkara yang tidak dapat dilakukannya, tetapi ada perkara yang dapat dilakukannya.

Tentangan terhadap kerja penyebaran (Lihat perenggan 6-9)

6, 7. (a) Apakah yang tidak dapat dilakukan oleh Nuh? (b) Bagaimanakah situasi kita serupa dengan situasi Nuh?

6 Perkara yang tidak dapat dilakukan Nuh: Walaupun Nuh dengan setia memberitakan amaran Yehuwa, dia tidak dapat memaksa orang jahat untuk menerima mesej itu. Dia juga tidak dapat mempercepat kedatangan Banjir. Nuh harus percaya bahawa Yehuwa akan menepati janji-Nya untuk membinasakan kejahatan pada masa yang tepat.Kej. 6:17.

7 Kita juga hidup di dunia yang jahat. Kita tahu bahawa Yehuwa telah berjanji untuk membinasakan dunia jahat ini. (1 Yoh. 2:17) Pada masa yang sama, kita tidak dapat memaksa orang menerima “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” Kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk mempercepat kedatangan “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:14, 21) Seperti Nuh, kita perlu beriman dan percaya bahawa Tuhan akan bertindak. (Mzm. 37:10, 11) Kita yakin bahawa dunia jahat ini akan dimusnahkan tepat pada masanya menurut kehendak Tuhan.Hab. 2:3.

8. Apakah yang dapat dilakukan oleh Nuh? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Perkara yang dapat dilakukan Nuh: Walaupun terdapat perkara yang tidak dapat dilakukan Nuh, dia tidak patah semangat. Dia berfokus kepada perkara yang dapat dilakukannya. Nuh dengan setia memberitakan amaran daripada Tuhan. (2 Ptr. 2:5) Sudah tentu, hal ini menguatkan iman Nuh. Selain menginjil, dia berusaha untuk membina bahtera.Baca Ibrani 11:7.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Nuh?

9 Seperti Nuh, kita “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan.” (1 Kor. 15:58) Hal ini merangkumi pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan tempat ibadat, merelakan diri untuk membantu semasa perhimpunan dan konvensyen, atau melaksanakan tugas di pejabat cawangan dan pejabat penterjemahan. Yang terpenting, kita tetap sibuk dalam kerja penyebaran kerana kerja ini mengukuhkan harapan kita tentang masa depan. Seorang saudari yang setia berkata, “Apabila anda bercakap dengan orang tentang berkat Kerajaan Tuhan, anda sedar bahawa mereka langsung tiada harapan dan berasa bahawa masalah mereka akan kekal.” Sememangnya, kerja penyebaran membantu kita memupuk pandangan positif terhadap masa depan, dan menguatkan tekad kita supaya tidak putus asa dalam perlumbaan menuju kehidupan kekal.1 Kor. 9:24.

APABILA KITA MELAKUKAN DOSA

10. Jelaskan situasi yang dihadapi Daud.

10 Yehuwa menjelaskan bahawa Raja Daud ialah ‘seorang yang menyenangkan hati-Nya.’ (Kis. 13:22) Secara keseluruhan, Daud setia kepada Yehuwa. Namun, dia pernah berbuat dosa. Dia berzina dengan Batsyeba. Lebih teruk lagi, dia cuba menyembunyikan dosa itu dengan mengatur supaya suami Batsyeba, iaitu Uria, dibunuh dalam pertempuran. Daud bahkan menyuruh Uria menghantar surat yang mengandungi perintah untuk membunuh Uria! (2 Sam. 11:1-21) Lambat laun, dosa Daud didedahkan. (Mrk. 4:22) Jadi, apakah reaksi Daud?

Dosa lampau (Lihat perenggan 11-14)

11, 12. (a) Selepas Daud berdosa, apakah yang tidak dapat dilakukannya? (b) Jika kita bertaubat selepas melakukan dosa yang serius, bagaimanakah Yehuwa akan membantu kita?

11 Perkara yang tidak dapat dilakukan Daud: Bak kata pepatah, “Nasi sudah menjadi bubur.” Daud tidak dapat mengubah apa yang sudah dilakukannya. Dia juga tidak dapat melarikan diri daripada akibat buruk dosanya. Sesetengah akibat buruk itu dirasai oleh Daud sepanjang hayatnya. (2 Sam. 12:10-12, 14) Jadi, dia memerlukan iman. Dia harus percaya bahawa jika dia bertaubat, Tuhan akan mengampuninya serta membantunya menghadapi akibat dosanya.

12 Memandangkan kita tidak sempurna, kita semua melakukan dosa. Sesetengah kesilapan ini adalah lebih serius daripada yang lain. Ada kalanya, kita mungkin tidak dapat membetulkan kesilapan yang kita buat. Oleh itu, kita harus menanggung akibatnya. (Gal. 6:7) Tetapi, kita beriman pada janji Tuhan dan percaya bahawa jika kita bertaubat, Yehuwa akan membantu kita menghadapi kesusahan, walaupun kesusahan itu akibat dosa sendiri.Baca Yesaya 1:18, 19; Kisah 3:19.

13. Bagaimanakah Daud dapat pulih secara rohani?

13 Perkara yang dapat dilakukan Daud: Daud membenarkan Yehuwa membantunya pulih secara rohani. Dia menerima disiplin daripada wakil Yehuwa, iaitu Nabi Natan. (2 Sam. 12:13) Daud juga berdoa, mengakui dosanya, dan meluahkan hasratnya untuk mendapatkan semula perkenan Tuhan. (Mzm. 51:3-19) Daud tidak terus dibanjiri dengan perasaan bersalah. Dia belajar daripada kesilapannya dan tidak mengulanginya. Dia masih setia kepada Yehuwa sehingga akhir hayatnya. Kesetiaan Daud terpahat dalam ingatan Yehuwa.Ibr. 11:32-34.

14. Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Daud?

14 Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Daud? Jika kita berbuat dosa serius, kita harus mengakui dosa kita, bertaubat, dan meminta pengampunan Yehuwa. (1 Yoh. 1:9) Kita juga harus meminta bantuan penatua. (Baca Yakobus 5:14-16.) Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita mempercayai janji Tuhan untuk memulihkan dan mengampuni kita. Kita perlu belajar daripada kesilapan dan terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan penuh keyakinan.Ibr. 12:12, 13.

DALAM SITUASI YANG LAIN

Masalah kesihatan (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Hana?

15 Terdapat juga contoh penyembah setia lain yang bersandar pada Yehuwa dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Contohnya, Hana tidak dapat berbuat apa-apa tentang kemandulannya, tetapi dia percaya bahawa Yehuwa dapat melegakannya. Maka, dia terus menyembah di khemah suci dan mencurahkan isi hatinya melalui doa. (1 Sam. 1:9-11) Hana menetapkan teladan yang baik. Apabila menghadapi masalah kesihatan atau cabaran lain yang di luar kawalan kita, kita harus melemparkan kekhuatiran kepada Yehuwa dan percaya bahawa Dia mengambil berat tentang kita. (1 Ptr. 5:6, 7) Pada masa yang sama, kita harus berusaha untuk meraih manfaat daripada perjumpaan dan pemberian rohani yang lain.Ibr. 10:24, 25.

Anak yang sesat (Lihat perenggan 16)

16. Apakah yang boleh ibu bapa pelajari daripada contoh Samuel yang berusia?

16 Bagaimana pula dengan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berhenti menyembah Yehuwa? Samuel yang lanjut usia tidak dapat memaksa anak-anak lelakinya untuk tetap setia kepada Yehuwa. (1 Sam. 8:1-3) Dia perlu menyerahkan situasi ini kepada Yehuwa. Namun, Samuel tetap setia dan menyenangkan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Hari ini, terdapat segelintir ibu bapa Kristian yang mengalami situasi serupa. Mereka percaya bahawa Yehuwa ialah seperti Bapa dalam perumpamaan tentang anak yang sesat. Tuhan bersedia menerima kembali pendosa yang bertaubat. (Luk. 15:20) Pada masa yang sama, ibu bapa sedemikian berusaha untuk tetap setia kepada Yehuwa dan berharap bahawa teladan mereka akan mendorong anak kembali kepada Tuhan.

Masalah kewangan (Lihat perenggan 17)

17. Mengapakah contoh balu yang miskin itu sangat menggalakkan?

17 Fikirkan juga balu yang miskin pada zaman Yesus. (Baca Lukas 21:1-4.) Balu itu tidak dapat berbuat apa-apa tentang amalan buruk yang berlaku di Rumah Tuhan. (Mat. 21:12, 13) Dia juga tidak boleh mengubah situasi kewangannya. Namun, dia dengan rela menyumbangkan “dua keping mata wang yang kecil” yang merupakan ‘segala nafkah hidupnya.’ Balu setia ini mempercayai Yehuwa dengan sepenuhnya. Dia yakin bahawa Yehuwa akan menyediakan keperluan fizikalnya jika dia mengutamakan hal-hal rohani. Kepercayaan balu itu juga mendorongnya untuk menyokong aturan penyembahan sejati. Begitu juga, jika kita mengutamakan Kerajaan Tuhan, kita yakin bahawa Yehuwa akan menyediakan segala keperluan kita.Mat. 6:33.

18. Berikan contoh seorang saudara yang mempunyai pandangan yang betul.

18 Banyak rakan seiman pada zaman moden juga telah beriman kepada Yehuwa dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Perhatikan contoh saudara Malcolm yang setia sehingga akhir hayatnya pada tahun 2015. Sepanjang masa dia dan isterinya berkhidmat kepada Yehuwa, mereka mengalami pasang surut dalam hidup. Dia berkata, “Kadangkala kehidupan tidak dapat diduga, tidak menentu, dan susah dihadapi.” Dia menambah, “Tetapi Yehuwa memberkati mereka yang bergantung pada-Nya.” Saudara Malcolm memberikan nasihat, “Berdoa agar anda dapat bergiat dalam khidmat Yehuwa dan membuahkan hasil yang baik. Bertumpu pada apa yang anda mampu lakukan.” *

19. (a) Mengapakah ayat tahunan bagi tahun 2017 sangat sesuai? (b) Bagaimanakah anda dapat menerapkan ayat tahunan 2017 dalam kehidupan anda?

19 Seraya sistem dunia “menjadi semakin jahat,” kita akan menghadapi lebih banyak kesusahan. (2 Tim. 3:1, 13) Maka, adalah penting untuk tidak membenarkan cabaran melumpuhkan kita secara rohani. Sebaliknya, kita perlu memupuk kepercayaan yang kukuh kepada Yehuwa dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Betapa sesuainya ayat tahunan 2017: ‘Percayalah kepada Yehuwa dan buatlah apa yang baik.’Mzm. 37:3.

Ayat tahunan 2017: Percayalah kepada Yehuwa dan buatlah apa yang baik.Mazmur 37:3