Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Memimpin Umat-Nya

Yehuwa Memimpin Umat-Nya

“[Yehuwa] akan sentiasa memimpin kamu.”YES. 58:11.

LAGU: 152, 22

1, 2. (a) Apakah perbezaan antara Saksi-Saksi Yehuwa dengan agama lain? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini dan rencana seterusnya?

“SIAPAKAH ketua kamu?” Soalan ini sering diajukan kepada Saksi-Saksi Yehuwa. Banyak agama mempunyai seorang lelaki atau perempuan sebagai pemimpin, atau ketua. Namun, kita dengan bangganya memberitahu orang bahawa Pemimpin kita bukannya seorang manusia yang tidak sempurna. Pemimpin kita ialah Kristus, dan dia dipimpin oleh Bapanya Yehuwa.Mat. 23:10.

2 Terdapat juga sekumpulan orang yang memimpin umat Tuhan hari ini, iaitu “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) Namun, bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwalah yang memimpin kita melalui Anak-Nya? Dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan mengkaji bagaimana selama ini, Yehuwa telah menggunakan sesetengah individu untuk memimpin umat-Nya. Kedua-dua rencana ini akan membincangkan tiga bukti bahawa individu-individu itu memang dipimpin oleh Tuhan, dan bahawa Yehuwa sentiasa memimpin umat-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.Yes. 58:11.

DIBIMBING OLEH DAYA AKTIF TUHAN

3. Mengapakah Musa dapat memimpin umat Israel?

3 Wakil-wakil Tuhan dibimbing oleh daya aktif-Nya. Fikirkan contoh Musa, yang dilantik sebagai pemimpin orang Israel. Bagaimanakah dia dapat memikul tanggungjawab yang besar itu? Yehuwa memberi Musa daya aktif-Nya. (Baca Yesaya 63:11-14.) Memandangkan Musa dibimbing oleh daya aktif Tuhan, Yehuwalah yang sebenarnya sedang memimpin umat-Nya.

4. Bagaimanakah orang Israel dapat tahu bahawa Musa dibimbing daya aktif Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Daya aktif tidak kelihatan, jadi bagaimanakah orang Israel dapat tahu bahawa Musa dibimbingnya? Daya aktif Tuhan membolehkan Musa melakukan mukjizat dan mengisytiharkan nama Tuhan kepada Firaun. (Kel. 7:1-3) Daya aktif juga melengkapi Musa dan membantunya menjadi pemimpin yang pengasih, sabar, dan lemah lembut. Dia sangat berbeza daripada pemimpin bangsa-bangsa lain yang zalim dan mementingkan diri! (Kel. 5:2, 6-9) Jelaslah, Yehuwa telah melantik Musa sebagai pemimpin umat-Nya.

5. Jelaskan bagaimana daya aktif Yehuwa membimbing orang lain untuk mengambil pimpinan.

5 Daya aktif Yehuwa juga membimbing orang lain untuk memimpin umat-Nya. Contohnya, ‘Yehuwa mengurniakan kebijaksanaan kepada Yosua anak Nun.’ (Ul. 34:9) Daya aktif Yehuwa juga menguasai Gideon dan Daud. (Hak. 6:34; 1 Sam. 16:13) Dengan bergantung pada daya aktif Tuhan, mereka dapat melakukan banyak perkara yang di luar kemampuan mereka sendiri. (Yos. 11:16-18; Hak. 7:7, 22; 1 Sam. 17:37, 50) Oleh itu, Yehuwalah yang layak dipuji atas semua perbuatan mereka yang menakjubkan.

6. Mengapakah Tuhan ingin umat-Nya menghormati orang yang mengambil pimpinan?

6 Apakah sepatutnya reaksi orang Israel semasa melihat bukti bahawa Musa, Yosua, Gideon, dan Daud dibimbing daya aktif Yehuwa? Orang Israel harus ingat bahawa lelaki-lelaki ini ialah wakil yang dipilih Yehuwa. Dengan mematuhi mereka, orang Israel sedang mematuhi Yehuwa. Itulah sebabnya semasa orang Israel bersungut-sungut terhadap Musa, Yehuwa berkata, “Berapa lama lagi umat ini melawan Aku?”Bil. 14:2, 11.

DIBANTU OLEH MALAIKAT

7. Bagaimanakah para malaikat membantu Musa?

7 Malaikat membantu wakil-wakil Tuhan. (Baca Ibrani 1:7, 14.) Yehuwa mengutus malaikat untuk melantik, melatih, dan membimbing Musa. ‘Melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya dalam pokok kecil, Tuhan mengutus Musa untuk menjadi pemerintah dan pembebas.’ (Kis. 7:35) Melalui malaikat, Tuhan memberikan Hukum kepada Musa, dan Musa telah mengajarkannya kepada orang Israel. (Gal. 3:19) Yehuwa juga memberitahu Musa, “Bawalah umat itu ke tempat yang telah Aku sebut kepadamu. Ingatlah, malaikat-Ku akan memimpin engkau.” (Kel. 32:34) Bible tidak menyatakan bahawa orang Israel nampak malaikat melakukan semua itu. Namun, cara Musa mengajar dan memimpin umat Tuhan menunjukkan dengan jelas bahawa dia dibantu oleh malaikat.

8. Bagaimanakah para malaikat membantu Yosua dan Hizkia?

8 Selepas Yosua menggantikan Musa sebagai pemimpin, satu malaikat yang merupakan ‘panglima tentera Yehuwa’ telah menguatkan Yosua dan membantunya mengalahkan orang Kanaan. (Yos. 5:13-15; 6:2, 21) Pada zaman Raja Hizkia, tentera Asyur yang sangat besar hendak menyerang Yerusalem, tetapi dalam satu malam sahaja, ‘satu malaikat Yehuwa pergi ke perkhemahan orang Asyur dan membunuh 185,000 orang askar.’2 Raj. 19:35.

9. Biarpun wakil-wakil Tuhan tidak sempurna, apakah yang harus dilakukan oleh orang Israel? Mengapa?

9 Walaupun para malaikat sempurna, manusia yang dibantu mereka tidak sempurna. Pernah sekali, Musa tidak memuliakan Yehuwa. (Bil. 20:12) Yosua pula tidak meminta petunjuk Yehuwa sebelum membuat perjanjian dengan orang Gibeon. (Yos. 9:14, 15) Untuk satu ketika, Hizkia menjadi sombong. (2 Taw. 32:25, 26) Biarpun mereka semua tidak sempurna, orang Israel disuruh mengikut pimpinan wakil-wakil Yehuwa, kerana Yehuwa sedang menyokong mereka melalui para malaikat-Nya. Ya, Yehuwalah yang sedang memimpin umat-Nya.

DIBIMBING OLEH FIRMAN TUHAN

10. Bagaimanakah Musa dibimbing oleh Hukum Tuhan?

10 Wakil-wakil Tuhan dibimbing oleh Firman-Nya. Hukum yang diberikan kepada orang Israel dipanggil “Taurat Musa.” (1 Raj. 2:3) Namun, Hukum itu diberikan oleh Yehuwa, dan Musa juga harus mematuhinya. (2 Taw. 34:14) Setelah Yehuwa memberitahu Musa cara mendirikan khemah suci, ‘Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan Yehuwa kepadanya.’Kel. 40:1-16.

11, 12. (a) Apakah yang harus dilakukan oleh Yosua dan raja-raja yang memerintah umat Tuhan? (b) Bagaimanakah Firman Tuhan mempengaruhi pemimpin umat Tuhan?

11 Semasa Yosua menjadi pemimpin, dia memiliki Firman Tuhan. Yehuwa berfirman kepadanya, “Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya.” (Yos. 1:8) Raja-raja yang memerintah umat Tuhan pada kemudian hari juga harus berbuat demikian. Mereka wajib membaca dan menyalin Hukum Musa, dan mereka harus “setia mentaati segala perintah di dalam kitab itu.”—Baca Ulangan 17:18-20.

12 Bagaimanakah Firman Tuhan membimbing orang yang mengambil pimpinan? Fikirkan contoh Raja Yosia. Setelah kitab yang mengandungi Hukum Musa ditemui, setiausaha Yosia telah membacakan kitab itu kepadanya. * “Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaian baginda kerana dukacita.” Kemudian, Firman Tuhan membimbing Yosia untuk memerangi penyembahan berhala dengan bersungguh-sungguh dan mengadakan perayaan Paska yang terbesar. (2 Raj. 22:11; 23:1-23) Oleh sebab Yosia dan pemimpin lain yang setia dibimbing oleh Firman Tuhan, mereka rela menyelaraskan arahan mereka menurut kehendak Tuhan supaya umat Israel dapat mentaati Tuhan.

13. Apakah perbezaan antara pemimpin umat Tuhan dan pemimpin bangsa-bangsa lain?

13 Raja-raja umat Tuhan yang setia sangat berbeza daripada pemimpin bangsa-bangsa lain, yang dibimbing oleh kebijaksanaan manusia. Contohnya, pemimpin orang Kanaan dan rakyat mereka mengamalkan perbuatan yang menjijikkan, seperti sumbang mahram, hubungan sejenis, dan hubungan seks dengan binatang. Mereka juga mempersembahkan anak sebagai korban dan menyembah berhala. (Im. 18:6, 21-25) Para pemimpin Babilon dan Mesir pula tidak mengajar rakyat mereka peraturan tentang kebersihan, seperti yang diajarkan kepada umat Tuhan. (Bil. 19:13) Sebaliknya, para pemimpin umat Tuhan menjunjung kebersihan rohani, moral, dan fizikal. Hal itu membuktikan kepada umat Tuhan bahawa mereka dibimbing oleh Yehuwa.

14. Mengapakah Yehuwa menegur sesetengah pemimpin umat-Nya?

14 Namun, ada sesetengah raja yang enggan mematuhi perintah Tuhan. Mereka tidak mahu menerima bimbingan daya aktif Tuhan, malaikat-Nya, atau Firman-Nya. Yehuwa akan menegur atau menggantikan pemimpin sedemikian. (1 Sam. 13:13, 14) Namun, apabila tibanya masa yang ditentukan oleh Tuhan, Dia telah melantik seorang pemimpin yang jauh lebih unggul.

YEHUWA MELANTIK SEORANG PEMIMPIN YANG SEMPURNA

15. (a) Bagaimanakah para nabi menubuatkan kedatangan seorang pemimpin yang sempurna? (b) Siapakah pemimpin itu?

15 Selama berabad-abad, Yehuwa telah menubuatkan bahawa Dia akan melantik seorang pemimpin yang sempurna bagi umat-Nya. Musa berkata kepada orang Israel, ‘Yehuwa, Tuhan kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu; nabi itu akan seperti aku dan dia daripada bangsa kamu sendiri; kamu mesti taat kepadanya.’ (Ul. 18:15) Yesaya pula menubuatkan kedatangan seorang “pemimpin dan panglima.” (Yes. 55:4) Daniel juga menulis tentang kedatangan Mesias, iaitu ‘pemimpin yang dipilih oleh Tuhan.’ (Dan. 9:25) Akhirnya, Yesus Kristus menyatakan bahawa dia ialah “Pemimpin” umat Tuhan. (Baca Matius 23:10.) Murid-murid Yesus rela mengikutnya, dan mereka yakin bahawa dia dilantik oleh Yehuwa untuk memimpin umat-Nya. (Yoh. 6:68, 69) Mengapa?

16. Apakah buktinya bahawa Yesus dibimbing oleh daya aktif Yehuwa?

16 Yesus dibimbing oleh daya aktif Tuhan. Semasa Yesus dibaptis, Yohanes Pembaptis ‘nampak langit terbuka dan daya aktif Tuhan turun seperti burung merpati ke atas Yesus.’ Kemudian, “Yesus segera dipimpin oleh daya aktif Tuhan ke padang belantara.” (Mrk. 1:10-12) Sepanjang kerja penyebarannya, daya aktif Tuhan membolehkan Yesus melakukan mukjizat dan mengajar dengan penuh wibawa. (Kis. 10:38) Selain itu, daya aktif juga membantu Yesus menunjukkan sifat-sifat seperti kasih, sukacita, dan iman, dengan sempurna. (Yoh. 15:9; Ibr. 12:2) Cara Yesus dibimbing oleh daya aktif Tuhan jauh lebih istimewa daripada semua pemimpin yang lain. Jelaslah bahawa Yesus memang pilihan Yehuwa.

Bagaimanakah malaikat membantu Yesus selepas dia dibaptis? (Lihat perenggan 17)

17. Bagaimanakah malaikat-malaikat membantu Yesus?

17 Malaikat membantu Yesus. Selepas Yesus dibaptis, “malaikat-malaikat datang untuk melayaninya.” (Mat. 4:11) Beberapa jam sebelum dia dibunuh, “satu malaikat dari syurga muncul dan menguatkannya.” (Luk. 22:43) Yesus yakin bahawa Yehuwa akan mengutus malaikat untuk membantunya pada bila-bila masa.Mat. 26:53.

18, 19. Bagaimanakah Firman Tuhan membimbing kehidupan dan ajaran Yesus?

18 Firman Tuhan membimbing Yesus. Sejak permulaan kerja penyebarannya, kehidupan Yesus dibimbing Ayat-Ayat Suci. (Mat. 4:4) Dia sentiasa mengikut Firman Tuhan, walaupun hal itu bermaksud bahawa dia akan dibunuh pada tiang seksaan. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, dia masih menyebut nubuat-nubuat tentang Mesias. (Mat. 27:46; Luk. 23:46) Sebaliknya, para pemimpin agama pada zaman itu sanggup mengetepikan Firman Tuhan demi adat sendiri. Semasa menggambarkan mereka, Yesus memetik firman Yehuwa dalam buku Yesaya yang berbunyi, “Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.” (Mat. 15:7-9) Yehuwa tidak mungkin memilih orang sedemikian untuk memimpin umat-Nya.

19 Firman Tuhan juga membimbing ajaran Yesus. Semasa diajukan soalan tentang ibadat, dia tidak menjawab berdasarkan kepintaran atau pengalaman sendiri. Sebaliknya, Firman Tuhan sentiasa menjadi dasar kepada ajarannya. (Mat. 22:33-40) Yesus sangat mencintai Firman Tuhan. Maka dia tidak membuat pendengarnya terpesona dengan cerita tentang kehidupan di syurga atau penciptaan alam semesta. Sebaliknya, dia mengajarkan Firman Tuhan dan “membuka fikiran mereka dengan sepenuhnya supaya mereka dapat memahami maksud Ayat-Ayat Suci.”Luk. 24:32, 45.

20. (a) Bagaimanakah Yesus memuliakan Tuhan? (b) Apakah perbezaan antara Yesus dengan Herodes Agripa I?

20 Walaupun Yesus menggunakan ‘kata-kata yang menawan hati,’ dia tetap memuliakan Gurunya, iaitu Yehuwa. (Luk. 4:22) Semasa seorang lelaki yang kaya memanggilnya “Guru Yang Baik,” Yesus dengan rendah hati berkata, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.” (Mrk. 10:17, 18) Kira-kira lapan tahun kemudian, Herodes Agripa I menunjukkan sikap yang sangat berbeza semasa dia menjadi raja. Dalam suatu perhimpunan, dia “mengenakan pakaian kebesarannya” dan berucap kepada orang ramai. Apabila semua orang berseru, “Ini suara tuhan, bukan suara manusia!” Herodes menjadi sombong. Apakah yang berlaku kemudian? “Dengan serta-merta, malaikat Yehuwa menyebabkan Herodes diserang penyakit kerana dia tidak memuliakan Tuhan. Akhirnya dia dimakan ulat lalu meninggal.” (Kis. 12:21-23) Jelaslah bahawa Herodes tidak dipilih oleh Yehuwa. Sebaliknya, Yesus sentiasa membuktikan bahawa dia dilantik oleh Tuhan, dan dia sentiasa memuliakan Yehuwa kerana Dialah Pemimpin yang tertinggi.

21. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

21 Pelantikan Yesus sebagai pemimpin bukanlah untuk beberapa tahun sahaja. Selepas dibangkitkan, Yesus berkata, “Aku sudah diberikan kuasa ke atas segala sesuatu di syurga dan di bumi. . . . Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:18-20) Tetapi selepas kembali ke syurga, bagaimanakah Yesus memimpin umat Tuhan di bumi? Siapakah yang akan dipilih oleh Yehuwa untuk mengambil pimpinan sebagai wakil Yesus? Bagaimanakah orang Kristian dapat mengenali wakil-wakil itu? Rencana seterusnya akan menjawab semua soalan itu.

^ per. 12 Kemungkinan besar kitab itu ialah salinan asal Hukum Musa.