Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Belajarlah daripada Contoh Masa Silam

Belajarlah daripada Contoh Masa Silam

“Semua peristiwa itu . . . dicatatkan sebagai amaran untuk kita yang hidup pada akhir sistem dunia ini.”1 KOR. 10:11.

LAGU: 11, 61

1, 2. Mengapakah kita mengkaji contoh empat raja Yehuda?

JIKA anda tahu bahawa banyak orang pernah tergelincir dan terjatuh di sesuatu lorong, tidakkah anda akan berhati-hati semasa berjalan di situ? Dengan mengkaji kesilapan orang lain, seperti yang tercatat dalam Bible, kita belajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

2 Dalam rencana sebelum ini, kita telah membincangkan empat orang raja Yehuda yang telah menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Namun, mereka juga pernah melakukan kesilapan yang serius. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama? Mari kita merenungkan contoh mereka kerana apa yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita.Baca Roma 15:4.

BERGANTUNG PADA KEBIJAKSANAAN MANUSIA MEMBAWA PADAH

3-5. (a) Walaupun Asa mengabdikan diri kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, apakah kesilapannya? (b) Mengapakah Asa tidak bergantung pada Yehuwa semasa berperang dengan Baesa?

3 Mari kita perhatikan contoh Asa. Pada mulanya, dia bergantung pada Yehuwa apabila diserang oleh sejuta orang askar Etiopia. Tetapi dia gagal berbuat demikian semasa berperang dengan Raja Baesa dari Israel. (2 Taw. 16:1-3) Asa memberikan rasuah kepada Benhadad, raja Siria, untuk menghalang Baesa daripada memperkuat Rama, sebuah kota yang berdekatan dengan sempadan kerajaan Yehuda. Ketika orang Siria menyerang kerajaan Israel, Baesa “menghentikan usahanya untuk memperkuat Rama.” (2 Taw. 16:5) Strategi Asa nampaknya berhasil.

4 Namun, apakah pandangan Yehuwa? Dia mengutus Nabi Hanani untuk menegur Asa kerana tidak bergantung pada-Nya. (Baca 2 Tawarikh 16:7-9.) Hanani berkata, “Mulai sekarang tuanku akan sentiasa berperang.” Jadi, Asa dan rakyatnya tidak lagi menikmati kedamaian, walaupun Baesa telah ditewaskan.

5 Kita telah belajar bahawa Asa mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati walaupun dia tidak sempurna, dan hal ini menyenangkan hati Yehuwa. (1 Raj. 15:14) Jadi, mengapakah dia tidak bergantung pada Yehuwa semasa berperang dengan Baesa? Kemungkinan Asa bergantung pada kebijaksanaan sendiri untuk memenangi perang itu atau dia mungkin mengikut nasihat buruk daripada orang lain. Maka keputusannya yang tidak bijak itu membawa padah.

6. Apakah yang kita belajar daripada kesilapan Asa? Berikan contoh.

6 Apakah yang kita belajar daripada kesilapan Asa? Semasa menghadapi masalah besar, kita mungkin akan meminta bantuan Yehuwa. Tetapi bagaimana pula jika kita menghadapi masalah yang kecil? Adakah kita lebih cenderung mengikut kebijaksanaan sendiri? Atau adakah kita akan bergantung pada Yehuwa dengan menerapkan prinsip Bible? Misalnya, jika keluarga anda menghalang anda daripada menghadiri perjumpaan atau perhimpunan, adakah anda akan meminta bimbingan Yehuwa? Jika anda sedang mencari pekerjaan, adakah anda akan memberitahu majikan bahawa anda perlu menghadiri perjumpaan pada setiap minggu, walaupun hal itu mungkin menyebabkan anda tidak mendapat kerja itu? Tidak kira apa masalah yang dihadapi, ingatlah kata-kata pemazmur: ‘Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau.’Mzm. 37:5.

BAGAIMANAKAH PERGAULAN BURUK MEMPENGARUHI ANDA?

7, 8. Apakah kesilapan yang dibuat oleh Yosafat? Apakah akibatnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Bagaimana pula dengan Yosafat, putera Asa? Dia mempunyai banyak sifat yang terpuji. Oleh sebab dia bergantung pada Tuhan, dia dapat melaksanakan banyak perkara yang baik. Namun, dia juga pernah berbuat silap. Misalnya, dia mengahwinkan salah seorang ahli keluarganya dengan ahli keluarga Ahab. Walaupun Nabi Mikha telah memberinya amaran agar tidak bersekutu dengan raja yang jahat itu, Yosafat tetap menyertai Ahab untuk menentang orang Siria dan nyaris-nyaris terbunuh di medan perang. (2 Taw. 18:1-32) Apabila Yosafat pulang ke Yerusalem, Nabi Yehu menanya dia, ‘Patutkah tuanku menolong orang zalim dan berpihak kepada orang yang melawan Yehuwa?’Baca 2 Tawarikh 19:1-3.

8 Adakah Yosafat mengambil iktibar daripada pengalaman itu dan amaran daripada Yehu? Nampaknya tidak. Meskipun dia berusaha menyenangkan hati Tuhan, dia masih bersekutu dengan orang yang memusuhi Tuhan. Beberapa lama kemudian, dia bekerjasama dengan Raja Ahazia, putera Ahab yang jahat, untuk membina kapal. Namun, kapal-kapal yang dibina itu musnah sebelum dapat belayar.2 Taw. 20:35-37.

9. Bagaimanakah pergaulan buruk mempengaruhi kita?

9 Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada kisah Yosafat? Secara keseluruhannya, Yosafat seorang raja yang baik, yang ‘mengabdi kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.’ (2 Taw. 22:9) Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa dia tidak akan dipengaruhi oleh pergaulan buruk. Oleh sebab Yosafat bergaul rapat dengan Ahab, dia hampir terbunuh. Memang benar kata-kata amsal berikut: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Ams. 13:20) Oleh itu, walaupun kita ingin membantu orang lain mengenali kebenaran, kita sedang membahayakan diri jika kita menjadi terlalu rapat dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa.

10. (a) Bagaimanakah pengalaman Yosafat dapat membantu orang Kristian yang ingin berkahwin? (b) Mengenai soal pergaulan buruk, apakah yang harus kita ingat?

10 Bagaimanakah orang Kristian yang ingin berkahwin dapat belajar daripada pengalaman Yosafat? Seorang Kristian mungkin jatuh cinta dengan seseorang yang bukan penyembah Yehuwa kerana berfikir bahawa dia tidak dapat menemui pasangan yang sesuai dalam sidang. Ada juga orang Kristian yang didesak oleh sanak saudara yang tidak seiman untuk berkahwin “sebelum terlambat.” Sesetengah orang Kristian mungkin mempunyai perasaan yang sama dengan seorang saudari yang berkata, “Kita memang diciptakan dengan keinginan untuk dikasihi dan untuk memiliki teman.” Pernahkah anda mengalami situasi sedemikian? Jika ya, renungkanlah pengalaman Yosafat. Dia sering meminta bimbingan Tuhan. (2 Taw. 18:4-6) Tetapi apabila Yosafat bergaul rapat dengan Ahab yang tidak mengasihi Yehuwa, dia lupa bahawa ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.’ (2 Taw. 16:9) Hari ini, kita harus ingat bahawa Yehuwa masih mencari peluang untuk memberikan kekuatan kepada mereka yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Dia memahami situasi kita dan sangat mengasihi kita. Adakah anda yakin bahawa Tuhan akan memuaskan keinginan anda untuk dikasihi dan untuk memiliki teman? Percayalah bahawa Dia pasti akan berbuat demikian!

Berhati-hati agar tidak jatuh cinta dengan seseorang yang bukan penyembah Yehuwa (Lihat perenggan 10)

JANGAN MEMBIARKAN HATIMU MENJADI ANGKUH

11, 12. (a) Bagaimanakah isi hati Hizkia didedahkan? (b) Mengapakah Hizkia tidak dihukum oleh Tuhan?

11 Pengalaman Hizkia pula mengajar kita agar tidak membiarkan hati kita menjadi angkuh. Pernah sekali, Tuhan yang menyelidiki hati mendedahkan apa yang terkandung dalam hati Hizkia. (Baca 2 Tawarikh 32:31.) Apabila Hizkia sakit tenat, Yehuwa membuat bayang-bayang di atas tangga berundur untuk meyakinkan Hizkia bahawa dia akan sembuh. Setelah Hizkia pulih, penguasa Babilon menghantar utusan untuk melawatnya, dan mereka mungkin telah bertanya tentang mukjizat itu. (2 Raj. 20:8-13; 2 Taw. 32:24) Pada masa itu, Tuhan membiarkan Hizkia “bertindak sendiri, supaya dapat menguji hatinya.” Hizkia “menunjukkan segala kekayaannya” kepada orang Babilonia, dan tindakan itu telah menyingkapkan isi hatinya.

12 Mengapakah Hizkia menjadi angkuh? Adakah kerana dia mengalahkan orang Asyur, kerana Tuhan melakukan mukjizat untuk menyembuhkannya, atau kerana dia sangat kaya dan dihormati? Bible tidak menjelaskan sebabnya, tetapi kita tahu bahawa akibat kesombongan, Hizkia ‘tidak bersyukur atas kesembuhan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya.’ Sungguh menyedihkan! Meskipun Hizkia memberitahu Tuhan bahawa dia telah menyembah-Nya dengan sepenuh hati, Hizkia membangkitkan kemurkaan Tuhan untuk suatu ketika. Namun begitu, Hizkia kemudiannya “merendahkan diri,” maka dia dan rakyatnya tidak dihukum.2 Taw. 32:25-27; Mzm. 138:6.

13, 14. (a) Bagaimanakah Yehuwa mungkin ‘menguji hati kita’? (b) Apakah seharusnya reaksi kita semasa dipuji?

13 Setelah membaca dan merenungkan kisah Hizkia, kita akan mendapati bahawa Hizkia mula menjadi angkuh selepas Yehuwa mengalahkan Sanherib dan selepas penyakitnya disembuhkan. Jadi apakah pengajarannya bagi kita? Jika kita memperoleh pencapaian yang baik, ingatlah bahawa Yehuwa mungkin sedang membiarkan kita ‘bertindak sendiri, supaya dapat menguji hati kita.’ Contohnya, seorang saudara telah bekerja keras untuk mempersiapkan ceramahnya. Selepas penyampaiannya, banyak orang datang untuk memujinya. Apakah seharusnya reaksinya terhadap pujian itu?

14 Apabila kita dipuji, jangan lupa akan nasihat Yesus. Dia berkata, “Selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’” (Luk. 17:10) Hizkia ‘tidak bersyukur atas kesembuhan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya,’ dan hal itu menunjukkan bahawa dia sudah mula menjadi sombong. Jika kita tidak ingin dikuasai sikap buruk itu, kita perlu merenungkan segala yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita, seperti Bible dan daya aktif-Nya. Dengan berbuat demikian, kita akan didorong untuk bercakap tentang Yehuwa dan bersyukur atas segala bantuan-Nya.

MINTALAH BIMBINGAN YEHUWA SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN

15, 16. Mengapakah Yosia kemudiannya tidak lagi dilindungi Yehuwa dan kehilangan nyawanya?

15 Akhir sekali, apakah yang dapat kita pelajari daripada Raja Yosia yang setia? Dia telah terkorban semasa berperang melawan Nekho, raja Mesir. (Baca 2 Tawarikh 35:20-22.) Sebenarnya, Nekho sudah memberitahu Yosia bahawa dia tidak ingin melawannya, dan Bible menyatakan bahawa kata-kata Nekho itu merupakan “firman Tuhan.” Jadi mengapakah Yosia masih berkeras untuk berperang? Bible tidak menjelaskan sebabnya.

16 Namun, kita mungkin bertanya, “Bagaimanakah Yosia dapat pasti bahawa kata-kata Nekho berasal daripada Yehuwa?” Dia sebenarnya dapat menanyakan nasihat seorang nabi yang setia, seperti Yeremia. (2 Taw. 35:23, 25) Tetapi Bible tidak menyatakan bahawa dia berbuat demikian. Selain itu, Nekho hendak ke Karkemis untuk ‘melawan musuh sendiri,’ bukan Yerusalem. Lagipun, nama Tuhan tidak terlibat kerana Nekho tidak mencemuh Yehuwa atau umat-Nya. Jadi, keputusan Yosia untuk menyerang Nekho sebenarnya keputusan bodoh. Apakah yang dapat kita pelajari daripada peristiwa itu? Semasa menghadapi masalah, jangan lupa mengambil kira kehendak Yehuwa dalam situasi itu.

17. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan kesilapan Yosia semasa menangani masalah?

17 Ketika berhadapan dengan masalah, fikirkanlah prinsip-prinsip Bible yang berkenaan dan bertindaklah dengan cara yang seimbang. Mungkin kita sudah mempertimbangkan hal itu dan menyelidiki bahan bacaan Bible. Namun, dalam sesetengah situasi, adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat para penatua, kerana mereka mungkin akan membincangkan prinsip-prinsip lain yang juga perlu difikirkan. Contohnya, seorang saudari tahu bahawa dia harus menginjil. (Kis. 4:20) Dia mungkin telah merancang untuk pergi menginjil pada suatu hari, tetapi suaminya yang tidak seiman memintanya untuk menemaninya kerana sudah lama mereka tidak meluangkan masa bersama-sama. Saudari itu mungkin telah merenungkan beberapa prinsip Bible tentang kewajipan orang Kristian untuk mentaati Tuhan dan menginjil. (Mat. 28:19, 20; Kis. 5:29) Namun, dia juga perlu sedar bahawa dia harus tunduk kepada suaminya dan bersikap munasabah. (Ef. 5:22-24; Flp. 4:5) Dia boleh menanya diri, “Adakah suami saya langsung tidak membenarkan saya pergi menginjil? Atau adakah dia mahu saya menemaninya pada hari itu sahaja?” Ya, kita perlu bersikap seimbang semasa melakukan kehendak Tuhan dan memelihara hati nurani yang bersih.

TERUS MENYEMBAH YEHUWA DENGAN SEPENUH HATI

18. Apakah yang dapat anda pelajari daripada contoh keempat-empat raja Yehuda?

18 Seperti empat orang raja Yehuda yang tidak sempurna, kita juga mungkin (1) bergantung pada kebijaksanaan sendiri, (2) dipengaruhi oleh pergaulan buruk, (3) menjadi angkuh, atau (4) membuat keputusan tanpa mempertimbangkan kehendak Tuhan. Walaupun demikian, sebagaimana Yehuwa melihat kebaikan keempat-empat raja itu, Dia juga melihat kebaikan yang ada dalam diri kita. Dia tahu bahawa kita sangat mengasihi-Nya dan ingin menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Maka Dia telah mencatatkan kisah sesetengah individu supaya kita tidak mengulangi kesilapan mereka. Semoga kita merenungkan catatan-catatan sedemikian dan bersyukur kepada Yehuwa atas semua peringatan ini!