Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bantulah “Orang Asing” untuk Menyembah Yehuwa “dengan Sukacita”

Bantulah “Orang Asing” untuk Menyembah Yehuwa “dengan Sukacita”

‘Yehuwa melindungi orang asing.’​—MZM. 146:9.

LAGU: 17, 109

1, 2. (a) Apakah kesusahan yang dihadapi oleh sesetengah saudara saudari kita? (b) Apakah soalan-soalan yang timbul?

“SEMASA perang saudara tercetus di Burundi, keluarga kami sedang di perhimpunan,” kata seorang saudara yang bernama Lije. “Kami nampak orang berlari-lari dan menembak. Ibu bapa saya dan 11 orang adik-beradik saya melarikan diri sehelai sepinggang. Ada antara mereka yang berjalan lebih daripada 1,600 km ke kem pelarian di Malawi, manakala yang lain tercerai-berai ke tempat lain.”

2 Di serata dunia, lebih daripada 65 juta orang terpaksa melarikan diri akibat peperangan atau penindasan. Itulah angka tertinggi dalam catatan sejarah. * Ribuan Saksi-Saksi Yehuwa juga tergolong antara jumlah itu. Ramai antara mereka kehilangan orang tersayang dan hampir semua harta mereka. Apakah cabaran lain yang dihadapi mereka? Bagaimanakah kita dapat membantu mereka untuk ‘menyembah Yehuwa dengan sukacita’? (Mzm. 100:2) Apakah cara yang berkesan untuk menginjil kepada pelarian yang belum mengenali Yehuwa?

KEHIDUPAN PELARIAN

3. Mengapakah Yesus dan pengikutnya terpaksa menjadi pelarian?

3 Selepas malaikat Yehuwa memberitahu Yusuf bahawa Raja Herodes ingin membunuh Yesus, mereka sekeluarga melarikan diri ke Mesir dan tinggal di sana sehingga Herodes mati. (Mat. 2:13, 14, 19-21) Puluhan tahun kemudian, pengikut Yesus “tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria” akibat penganiayaan. (Kis. 8:1) Yesus telah menubuatkan bahawa kebanyakan pengikutnya akan menjadi pelarian: “Apabila mereka menganiaya kamu di sebuah kota, larilah ke kota yang lain.”​—Mat. 10:23.

4, 5. Apakah bahaya yang dihadapi oleh pelarian semasa (a) melarikan diri? (b) hidup di kem pelarian?

4 Pelarian mungkin menghadapi bahaya semasa melarikan diri atau semasa di kem pelarian. Gad, adik lelaki Lije, berkata, “Kami berjalan selama berminggu-minggu sambil melihat ratusan mayat yang bergelimpangan. Masa itu saya berumur 12 tahun. Kaki saya begitu bengkak sehingga saya memberitahu ahli keluarga agar meneruskan perjalanan tanpa saya. Namun, ayah enggan membiarkan saya ditangkap, jadi dia mendukung saya. Kami hidup sehari demi sehari dan berdoa serta bergantung pada Yehuwa. Ada kalanya, kami hanya makan mangga yang kami jumpai sepanjang jalan.”​—Flp. 4:12, 13.

5 Selama bertahun-tahun, kebanyakan ahli keluarga Lije tinggal di kem pelarian PBB tetapi mereka tidak berasa selamat. Lije, yang kini berkhidmat sebagai penyelia litar, berkata, “Banyak orang tidak bekerja tetapi suka bergosip, mabuk, berjudi, mencuri, dan hidup tidak bermoral.” Untuk menolak pengaruh buruk sebegitu, para Saksi perlu aktif secara rohani. Mereka bergiat dalam aktiviti sidang dan banyak juga yang merintis. (Ibr. 6:11, 12; 10:24, 25) Mereka sentiasa ingat bahawa sebagaimana perjalanan orang Israel di padang belantara ada garisan tamat, waktu mereka tinggal di kem pelarian juga akan tamat. Hal itu membantu mereka bersikap positif.​—2 Kor. 4:18.

MENGASIHI PELARIAN

6, 7. (a) Bagaimanakah kasih kepada Tuhan mendorong orang Kristian untuk membantu rakan seiman mereka? (b) Berikan contoh.

6 Kasih kepada Tuhan mendorong kita untuk mengasihi satu sama lain, terutamanya dalam situasi yang menduga. (Baca 1 Yohanes 3:17, 18.) Semasa orang Kristian di Yudea diancam kebuluran, sidang mengaturkan bantuan untuk mereka. (Kis. 11:28, 29) Paulus dan Petrus menggalakkan orang Kristian untuk menyambut satu sama lain dengan ramah. (Rm. 12:13; 1 Ptr. 4:9) Jika kita menyambut saudara saudari yang datang melawat, sudah tentu kita patut menyambut rakan seiman yang diancam atau dianiaya kerana iman mereka!​—Baca Amsal 3:27. *

7 Baru-baru ini, konflik yang tercetus di bahagian timur Ukraine menyebabkan beberapa orang Saksi terkorban, dan ribuan pula terpaksa melarikan diri. Banyak Saksi dari Rusia dan bahagian lain di Ukraine menyediakan tempat tinggal bagi mereka. Saksi-Saksi di dua negara itu tetap neutral dan membuktikan bahawa mereka “bukan sebahagian daripada dunia.” Pada masa yang sama, mereka terus “mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan” dengan bersemangat.​—Yoh. 15:19; Kis. 8:4.

MEMBANTU MENEGUHKAN IMAN MEREKA

8, 9. (a) Apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh pelarian di tempat baharu? (b) Mengapakah mereka memerlukan bantuan kita?

8 Sesetengah pelarian mungkin hanya meninggalkan kampung halaman sendiri, tetapi ada yang terpaksa meninggalkan negara asal. Semasa di kawasan baharu, mereka mungkin diberi tempat tinggal, pakaian, dan makanan, tetapi mereka perlu membiasakan diri dengan makanan dan persekitaran yang baharu. Pelarian dari kawasan beriklim panas mungkin kesejukan di negara asing, manakala pelarian dari kawasan pedalaman mungkin tidak pandai menggunakan perkakas moden.

9 Sesetengah kerajaan mengadakan program untuk membantu pelarian membiasakan diri dengan persekitaran baharu. Namun, dalam masa beberapa bulan, mereka biasanya akan disuruh menjaga keperluan diri. Bayangkan: Mereka perlu belajar bahasa dan undang-undang baharu, budaya tempatan mengenai kesopanan dan cara menepati waktu, peraturan tentang membayar bil dan cukai, dan mendisiplinkan anak serta menghantar anak ke sekolah! Jika ada rakan seiman yang menghadapi cabaran sebegitu, dapatkah anda membantu mereka dengan sabar dan sopan?​—Flp. 2:3, 4.

10. Bagaimanakah kita dapat meneguhkan iman saudara saudari yang merupakan pelarian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Ada kalanya, pihak berkuasa mencuba menghalang rakan seiman yang merupakan pelarian untuk menghubungi sidang tempatan. Ada agensi yang memberitahu rakan seiman kita bahawa jika mereka enggan bekerja pada waktu perjumpaan, mereka tidak akan diberi bantuan atau perlindungan. Sesetengah saudara saudari kita berasa takut dan tidak berdaya, maka mereka tunduk kepada tekanan sebegitu. Oleh itu, sebaik sahaja mereka tiba, kita perlu mencari mereka dengan secepat mungkin. Keprihatinan dan bantuan kita dapat meneguhkan iman mereka.​—Ams. 12:25; 17:17.

BANTULAH MEREKA SECARA PRAKTIKAL

11. (a) Apakah yang diperlukan oleh pelarian pada mulanya? (b) Bagaimanakah mereka dapat menunjukkan penghargaan?

11 Pada mulanya, kita mungkin perlu memberi mereka barang keperluan asas, seperti makanan, pakaian, atau hadiah kecil seperti tali leher. * Jika pelarian menunjukkan penghargaan dan tidak hanya mengharapkan bantuan, orang yang menolong dapat memberi dengan sukacita. Tetapi, jika mereka selalu bergantung pada kemurahan hati orang lain, hal itu akan menjejaskan hubungan baik mereka dengan saudara saudari.​—2 Tes. 3:7-10.

Bagaimanakah kita membantu saudara saudari yang merupakan pelarian? (Lihat perenggan 11-13)

12, 13. (a) Bagaimanakah kita dapat memberikan bantuan praktikal kepada pelarian? (b) Berikan contoh.

12 Pelarian tidak memerlukan banyak wang. Mereka lebih memerlukan masa dan keprihatinan kita. Mungkin kita dapat mengajar mereka cara menggunakan pengangkutan awam, tempat untuk membeli makanan berkhasiat pada harga yang berpatutan, atau cara memperoleh alat seperti mesin jahit, supaya mereka dapat mencari nafkah. Lebih penting lagi, bantulah mereka untuk menyertai aktiviti sidang. Kita dapat membawa mereka ke perjumpaan dan mengajar mereka cara untuk menginjil di kawasan tempatan.

13 Beberapa orang penatua dalam sebuah sidang telah membantu empat orang pelarian yang muda. Selepas mereka tiba, penatua-penatua itu mengajar mereka kemahiran memandu, menaip, menulis resume, dan menjadualkan masa untuk berkhidmat kepada Yehuwa. (Gal. 6:10) Tidak lama kemudian, empat orang pemuda itu mula merintis. Usaha mereka untuk mengejar matlamat rohani disertai bantuan para penatua telah membuat mereka maju secara rohani dan tidak ditelan oleh dunia Syaitan.

14. (a) Apakah godaan yang perlu ditolak oleh pelarian? (b) Berikan contoh.

14 Orang Kristian mengutamakan hubungan dengan Yehuwa. Oleh itu, pelarian juga perlu melawan godaan dan tekanan untuk mengejar kebendaan. * Semasa melarikan diri, bapa Lije telah mengajar dia dan adik-beradiknya satu pengajaran yang penting. Setelah membuang semua barang dalam beg mereka satu demi satu, dia mengangkat beg itu dan tersenyum sambil berkata, “Lihat! Kita tidak memerlukan semua itu!”​—Baca 1 Timotius 6:8.

KEPERLUAN MEREKA YANG TERPENTING

15, 16. Bagaimanakah kita dapat menyokong pelarian secara (a) rohani? (b) emosi?

15 Keperluan rohani dan emosi pelarian jauh lebih penting daripada keperluan fizikal. (Mat. 4:4) Untuk menjaga keperluan itu, para penatua dapat memberi mereka bahan bacaan dalam bahasa mereka dan menghubungi saudara saudari yang menuturkan bahasa mereka. Ramai antara mereka yang terpisah daripada keluarga, jiran, dan sidang. Oleh itu mereka perlu merasai kasih dan belas kasihan Yehuwa yang ditunjukkan melalui rakan seiman. Jika tidak, mereka mungkin mengemis kasih daripada orang sebangsa yang tidak menyembah Yehuwa. (1 Kor. 15:33) Dengan membuat mereka berasa selesa dalam sidang, kita sedang bekerja bersama Yehuwa untuk “melindungi orang asing.”​—Mzm. 146:9.

16 Seperti Yesus dan keluarganya, sesetengah pelarian hanya dapat pulang ke tempat asal setelah penguasa yang zalim meninggal. Menurut Lije, “ramai ibu bapa tidak mahu membawa anak-anak mereka pulang kerana ahli keluarga mereka telah dirogol atau dibunuh di situ.” Untuk membantu pelarian yang melalui pengalaman pahit sebegini, kita harus ‘bersimpati, memiliki kasih sayang, berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati.’ (1 Ptr. 3:8) Sesetengah pelarian yang dianiaya cenderung menyisihkan diri atau berasa malu untuk bercakap tentang kesusahan mereka, terutamanya di hadapan anak-anak mereka. Oleh itu, tanyalah diri anda, “Jika saya ialah mereka, bagaimanakah saya ingin dilayan?”​—Mat. 7:12.

MENGINJIL KEPADA PELARIAN YANG BUKAN SAKSI

17. Bagaimanakah kerja penyebaran membawa kelegaan kepada banyak pelarian?

17 Banyak pelarian datang dari negara yang menyekat kegiatan kita. Namun, usaha Saksi-Saksi telah membolehkan mereka mendengar “perkhabaran tentang Kerajaan Tuhan.” (Mat. 13:19, 23) Setelah menghadiri perjumpaan kita, banyak pelarian “yang lelah” telah disegarkan dan berkata, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.”​—Mat. 11:28-30; 1 Kor. 14:25.

18, 19. Bagaimanakah kita menunjukkan kebijaksanaan semasa menginjil kepada pelarian?

18 Penyiar yang menginjil kepada pelarian “harus waspada” dan “mengelakkan bahaya.” (Mat. 10:16; Ams. 22:3) Dengarlah luahan mereka, tetapi jangan bincangkan isu politik. Ikutlah arahan pejabat cawangan dan pihak berkuasa supaya tidak membahayakan diri atau orang lain. Kenali dan hormati budaya dan agama pelarian. Misalnya, penduduk sesetengah negara sensitif terhadap gaya pakaian wanita. Oleh itu, semasa menginjil kepada mereka, pastikan pakaian kita tidak menyinggung perasaan mereka.

19 Seperti orang Samaria yang baik hati dalam perumpamaan Yesus, kita ingin membantu orang yang menderita, termasuk orang yang bukan Saksi. (Luk. 10:33-37) Cara terbaik adalah dengan menginjil kepada mereka. Seorang penatua yang pernah membantu banyak pelarian berkata, “Awal-awal lagi, nyatakan dengan jelas bahawa kami ialah Saksi-Saksi Yehuwa, dan tujuan utama kami adalah untuk memberikan bantuan rohani, bukannya kebendaan. Jika tidak, ada antara mereka akan bergaul dengan kita semata-mata untuk kepentingan diri.”

HASIL YANG MENGGEMBIRAKAN

20, 21. (a) Apakah hasil baik yang diraih jika kita mengasihi orang asing? (b) Apakah yang dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

20 Mengasihi “orang asing” membawa hasil yang baik. Seorang saudari menceritakan bahawa keluarganya terpaksa melarikan diri akibat penindasan di Eritrea. Selepas empat orang anaknya merentasi gurun selama lapan hari, mereka tiba di Sudan. Dia berkata, “Saudara saudari melayan mereka seperti keluarga sendiri dan memberi mereka makanan, pakaian, tempat tinggal, dan kos pengangkutan. Hanya Saksi-Saksi Yehuwa akan menyambut seorang yang tidak dikenali kerana orang itu menyembah Tuhan yang sama!”​—Baca Yohanes 13:35.

21 Bagaimana pula dengan anak-anak yang berpindah bersama ibu bapa mereka ke kawasan kita? Rencana seterusnya akan membincangkan cara untuk membantu mereka menyembah Yehuwa dengan sukacita.

^ per. 2 Istilah “pelarian” merujuk kepada mereka yang terpaksa meninggalkan negara atau tempat asal mereka akibat peperangan, penindasan, atau bencana. Menurut UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian), di serata dunia, “1 daripada setiap 113 orang merupakan pelarian.”

^ per. 6 Lihat rencana “Baik Hati kepada Orang yang Tidak Dikenali” dalam majalah Menara Pengawal terbitan Oktober 2016, ms. 8-12.

^ per. 11 Sebaik sahaja pelarian tiba, para penatua harus mengikut arahan dalam buku “Diorganisasikan,” bab 8, perenggan 30. Para penatua dapat menghubungi sidang di negara lain dengan menghantar surat kepada pejabat cawangan tempatan melalui jw.org. Sementara itu, mereka boleh berbual-bual dengan seorang pelarian tentang sidang dan kerja penyebarannya untuk mengetahui keadaan rohaninya.

^ per. 14 Lihat rencana “Tidak dapat Menjadi Hamba kepada Dua Tuan” dan “Yakinlah bahawa Yehuwa ialah Penolongmu!” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 April 2014, ms. 17-26.