Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Gayus Membantu Rakan Seimannya

Cara Gayus Membantu Rakan Seimannya

GAYUS dan orang Kristian pada hujung abad pertama menghadapi cabaran. Terdapat orang yang menyebarkan ajaran palsu agar melemahkan dan memecahbelahkan sidang. (1 Yoh. 2:18, 19; 2 Yoh. 7) Seorang lelaki yang bernama Diotrefes sedang “menyebarkan hal-hal yang sangat jahat” tentang Rasul Yohanes dan orang lain, enggan menyambut orang Kristian yang melawat, dan ingin mempengaruhi orang lain untuk mengikut perbuatannya. (3 Yoh. 9, 10) Demikianlah keadaannya semasa Yohanes menyurati Gayus sekitar tahun 98 M. Suratnya itu dikenali sebagai “Surat Yohanes yang Ketiga” dalam Kitab Yunani Kristian.

Meskipun menghadapi cabaran, Gayus tetap berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia. Bagaimanakah dia berbuat demikian? Mengapakah kita patut mencontohinya? Apakah yang dapat kita belajar daripada surat Yohanes?

SURAT KEPADA SAHABAT YANG DIKASIHI

Semasa membaca surat itu, Gayus segera tahu bahawa “lelaki tua” yang menulisnya ialah Yohanes, bapa rohaninya. Dengan ramah, Yohanes memanggil Gayus sebagai orang “yang dikasihi, dan yang benar-benar aku sayangi.” Kemudian Yohanes menyatakan harapannya agar Gayus sihat dan sejahtera secara fizikal sebagaimana dia sihat secara rohani. Kata-kata itu pasti menggembirakan hati Gayus!​—3 Yoh. 1, 2, 4, nota kaki.

Gayus mungkin seorang penatua, tetapi surat Yohanes tidak menyatakannya. Yohanes memuji Gayus kerana rela menyambut saudara saudari yang tidak dikenalinya. Bagi Yohanes, hal itu membuktikan kesetiaan Gayus, kerana sejak dahulu lagi, hamba-hamba Tuhan terkenal kerana bersikap ramah.​—Kej. 18:1-8; 1 Tim. 3:2; 3 Yoh. 5.

Penghargaan Yohanes atas keramahan Gayus kepada saudara-saudara yang datang melawat menunjukkan bahawa orang Kristian pada masa itu sering membuat perjalanan antara tempat kediaman Rasul Yohanes dengan sidang-sidang. Nampaknya, saudara-saudara ini kemudiannya memberitahu Rasul Yohanes pengalaman mereka dan keadaan di sidang-sidang lain.

Pada zaman itu, rumah-rumah tumpangan tidak selamat untuk orang Kristian yang mengembara, kerana perkhidmatan di situ teruk dan penuh dengan perbuatan maksiat. Oleh itu, orang Kristian yang bijak akan tinggal di rumah rakan seiman.

“DEMI NAMA TUHAN, MEREKA PERGI”

Yohanes memberitahu Gayus, “Bantulah [para pelawat] dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan semasa mereka beredar.” Maksudnya, Gayus perlu menyediakan segala yang diperlukan mereka untuk sampai ke destinasi seterusnya. Sebenarnya, Gayus sudah pun berbuat demikian, kerana para pelawatnya telah memberitahu Yohanes tentang kasih dan imannya.​—3 Yoh. 3, 6.

Para pelawat Gayus mungkin ialah mubaligh, penyelia lawatan, atau utusan daripada Yohanes. Seperti yang ditulis oleh Yohanes, mereka datang “demi nama Tuhan” untuk “menyebarkan berita baik.” (3 Yoh. 7) Memandangkan mereka ialah rakan seiman, Yohanes menyatakan, “kita mesti menyambut orang sedemikian dengan ramah, supaya kita dapat bekerja bersama-sama untuk menyokong kebenaran.”​—3 Yoh. 8.

BANTUAN UNTUK MENANGANI MASALAH

Surat Yohanes kepada Gayus bukan sahaja untuk merakamkan penghargaan, tetapi juga untuk membantunya menangani masalah yang serius. Atas sebab tertentu, Diotrefes enggan bermurah hati kepada orang Kristian yang datang melawat. Malah, dia mencuba menghalang orang lain daripada berbuat demikian.​—3 Yoh. 9, 10.

Orang Kristian yang setia pasti tidak mahu menumpang di rumah Diotrefes. Dia suka mendapat tempat pertama dalam sidang, tidak menghormati kata-kata Yohanes, dan bercakap buruk tentang Yohanes dan orang lain. Walaupun Diotrefes bukan guru palsu, dia menentang kekuasaan seorang rasul. Keinginannya untuk disanjung dan sikapnya yang buruk juga membuat kita meragui kesetiaannya. Hari ini, ada sesetengah individu yang sombong dan bercita-cita tinggi seperti Diotrefes. Oleh sebab orang sedemikian mungkin merosakkan perpaduan sidang, kita semua patut mendengarkan nasihat Yohanes kepada Gayus: “Janganlah tiru apa yang buruk.”​—3 Yoh. 11.

SEBAB YANG KUKUH UNTUK BERBUAT BAIK

Tidak seperti Diotrefes, Demetrius merupakan teladan yang baik. Yohanes menulis, “Demetrius dipuji dalam kalangan saudara-saudara, . . . kami juga memberikan kesaksian tentang dia, dan kamu tahu bahawa kesaksian yang kami berikan ini benar.” (3 Yoh. 12) Demetrius mungkin seorang penyelia lawatan atau utusan daripada Yohanes, dan dia memerlukan bantuan Gayus. Jadi, semasa Demetrius berjumpa dengan Gayus, dia dapat memberinya surat Yohanes sebagai surat pengenalan. Barangkali, Demetrius juga telah menghuraikan isi surat Yohanes kepada Gayus.

Mengapakah Yohanes menggalakkan Gayus untuk menunjukkan keramahan, padahal Gayus sudah berbuat demikian? Adakah Yohanes ingin membantu Gayus menjadi lebih berani? Adakah Yohanes risau bahawa Gayus teragak-agak untuk menyambut pelawat dengan ramah kerana Diotrefes ingin menghalau ahli sidang yang murah hati? Tidak kira apa sebabnya, Yohanes telah meyakinkan Gayus dengan berkata, “Sesiapa yang berbuat baik berasal daripada Tuhan.” (3 Yoh. 11) Bukankah itu sebab yang kukuh untuk terus berbuat baik?

Adakah surat Yohanes berjaya mendorong Gayus agar terus bermurah hati? Nampaknya ya, kerana surat itu telah menjadi sebahagian daripada Bible supaya orang lain juga dapat ‘meniru apa yang baik.’

PENGAJARAN DARIPADA SURAT YOHANES YANG KETIGA

Itu sahaja maklumat yang kita tahu tentang Gayus. Tetapi maklumat itu kaya dengan ajaran untuk kita.

Bagaimanakah kita dapat menyahut seruan untuk ‘menyambut orang dengan ramah’?

Pertama, kebanyakan daripada kita berpeluang mengenali kebenaran kerana ada saudara saudari yang sudi datang dari jauh untuk mengajar kita. Sudah pasti, bukan semua ahli sidang perlu pergi ke tempat yang jauh untuk menginjil, tetapi kita dapat meniru teladan Gayus dengan menyokong dan menggalakkan mereka yang harus berkunjung ke tempat-tempat lain, seperti penyelia litar dan isterinya. Kita juga dapat memberikan bantuan praktikal kepada saudara saudari yang berpindah ke negeri atau negara lain yang lebih memerlukan penyiar. Ya, semoga kita bermurah hati terhadap saudara saudari sedemikian!​—Rm. 12:13; 1 Tim. 5:9, 10.

Kedua, kita tidak patut terperanjat jika ada orang yang mencabar saudara-saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang. Rasul Yohanes dan Paulus juga pernah dicabar. (2 Kor. 10:7-12; 12:11-13) Jadi, apakah yang harus kita buat dalam situasi sebegini? Paulus menasihati Timotius, “Hamba Tuan tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang. Dia juga perlu layak untuk mengajar, menahan diri semasa diperlakukan dengan buruk, dan menunjukkan kelemahlembutan semasa mengajar orang yang suka menentang.” Jika kita tetap lemah lembut biarpun tersinggung, sesetengah orang yang suka mengkritik mungkin akan mengubah sikap mereka secara beransur-ansur. Dengan itu, “barangkali Tuhan akan mengizinkan orang sebegini untuk bertaubat dan mendapat pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”​—2 Tim. 2:24, 25.

Ketiga, kita perlu memuji dan menggalakkan orang Kristian yang tetap setia kepada Yehuwa di bawah tentangan. Rasul Yohanes telah menggalakkan Gayus dan meyakinkannya bahawa dia sedang melakukan apa yang benar. Begitu juga, para penatua patut menggalakkan saudara saudari supaya mereka “tidak lelah.”​—Yes. 40:31; 1 Tes. 5:11.

Surat Yohanes kepada Gayus hanya mempunyai 219 patah perkataan dalam bahasa Yunani asal dan merupakan buku Bible yang terpendek. Namun surat itu tidak ternilai bagi orang Kristian hari ini.