Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Biarlah Hatimu Tertumpu kepada Harta Rohani

Biarlah Hatimu Tertumpu kepada Harta Rohani

“Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.”​—LUK. 12:34.

LAGU: 76, 59

1, 2. (a) Apakah tiga harta rohani yang diberikan oleh Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

YEHUWA ialah Individu yang paling kaya di alam semesta. (1 Taw. 29:11, 12) Bapa kita sangat murah hati dan rela berkongsi kekayaan rohani-Nya dengan sesiapa sahaja yang menghargainya. Harta rohani yang diberikan oleh Yehuwa termasuk (1) Kerajaan-Nya, (2) kerja penyebaran, dan (3) kebenaran dalam Firman-Nya. Semua itu memang harta yang tidak ternilai, tetapi jika kita tidak berwaspada, kita mungkin tidak lagi menghargainya. Oleh itu, kita mesti menggunakannya dengan baik dan sentiasa memperdalam kasih kita untuknya. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, “Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.”​—Luk. 12:34.

2 Mari kita lihat bagaimana kita dapat memupuk dan memelihara kasih dan penghargaan kita untuk Kerajaan Tuhan, kerja penyebaran, dan kebenaran. Semasa perbincangan ini, fikirkan bagaimana anda dapat memperdalam kasih anda untuk harta-harta rohani tersebut.

KERAJAAN TUHAN​—MUTIARA YANG TIDAK TERNILAI

3. Apakah yang sanggup dilakukan oleh saudagar dalam perumpamaan Yesus untuk mendapatkan mutiara yang tidak ternilai itu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Baca Matius 13:45, 46. Dalam perumpamaan Yesus, seorang saudagar sedang mencari mutiara. Dia pasti pernah menjual beli ratusan butir mutiara, namun dia telah menemui sebutir mutiara yang begitu istimewa sehingga dia sanggup menjual semua hartanya untuk membeli mutiara itu. Dapatkah anda bayangkan betapa berharganya mutiara itu baginya?

4. Jika kita mengasihi Kerajaan Tuhan sebagaimana saudagar itu mengasihi mutiara tersebut, apakah yang akan kita lakukan?

4 Apakah pengajarannya? Kebenaran tentang Kerajaan Tuhan umpama mutiara yang berharga itu. Jika kita mengasihi Kerajaan Tuhan sebagaimana saudagar itu mengasihi mutiara tersebut, kita sudi mengorbankan apa-apa sahaja supaya dapat menjadi rakyat Kerajaan Tuhan dan terus memiliki penghormatan itu. (Baca Markus 10:28-30.) Mari kita lihat contoh dua individu yang telah berbuat demikian.

5. Apakah yang rela dilakukan oleh Zakheus demi Kerajaan Tuhan?

5 Zakheus ialah seorang ketua pemungut cukai yang menjadi kaya dengan memeras orang lain. (Luk. 19:1-9) Namun, setelah mendengar ajaran Yesus tentang Kerajaan Tuhan, dia menyedari nilainya dan segera bertindak. Zakheus berkata kepada Yesus, “Tuan, aku akan memberikan separuh daripada hartaku kepada orang miskin. Apa sahaja yang pernah aku peras daripada orang, akan aku bayar kembali empat kali ganda.” Dengan rela hati, dia memulangkan wang yang diperasnya dan tidak lagi bersikap tamak.

6. Apakah perubahan yang dilakukan oleh seorang wanita agar dapat menjadi rakyat Kerajaan Tuhan? Apakah yang mendorongnya untuk berbuat demikian?

6 Beberapa tahun lalu, seorang wanita lesbian telah mendengar berita Kerajaan Tuhan. Dia pengerusi dalam sebuah organisasi yang memperjuangkan hak hubungan sejenis. Semasa mempelajari Bible, dia menyedari betapa bernilainya kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. Namun dia perlu membuat perubahan yang besar. (1 Kor. 6:9, 10) Hatinya terdorong untuk meletakkan jawatan dalam organisasi itu dan menghentikan kehidupan sebagai lesbian. Pada tahun 2009, dia dibaptis dan menjadi perintis biasa tahun berikutnya. Jelaslah bahawa kasihnya untuk Yehuwa dan Kerajaan-Nya telah mengatasi keinginannya yang berdosa.​—Mrk. 12:29, 30.

7. Bagaimanakah kita dapat terus mengasihi Kerajaan Tuhan dengan sepenuh hati?

7 Ramai antara kita telah membuat perubahan yang besar agar dapat menjadi rakyat Kerajaan Tuhan. (Rm. 12:2) Namun, perjuangan kita belum berakhir. Kita perlu memastikan kasih kita untuk Kerajaan Tuhan tidak dilemahkan oleh keinginan untuk menjadi kaya atau nafsu seks yang tidak bermoral. (Ams. 4:23; Mat. 5:27-29) Untuk membantu kita terus mengasihi Kerajaan Tuhan dengan sepenuh hati, Yehuwa telah memberi kita satu lagi harta yang tidak ternilai.

AKTIVITI PENYEBARAN KITA

8. (a) Mengapakah Paulus menggambarkan kerja penyebaran seperti “harta karun” dalam “bekas tanah liat”? (b) Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia menghargai kerja penyebaran?

8 Yesus telah menyuruh kita menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Mat. 28:19, 20) Rasul Paulus menghargai amanah itu dan menggambarkannya sebagai “harta karun” dalam “bekas tanah liat.” (2 Kor. 4:7; 1 Tim. 1:12) Walaupun kita seperti bekas tanah liat yang tidak sempurna, berita yang kita sebarkan dapat membawa kehidupan kekal kepada kita dan orang yang sudi dengar. Oleh itu, Paulus berkata, “Demi berita baik, aku sanggup melakukan apa-apa sahaja supaya aku dapat mengkhabarkannya kepada orang lain.” (1 Kor. 9:23) Ya, kerana mengasihi kerja penyebaran, Paulus bekerja keras untuk membantu orang menjadi murid Yesus. (Baca Roma 1:14, 15; 2 Timotius 4:2.) Kasih itu membantunya terus menginjil meskipun menghadapi banyak tentangan. (1 Tes. 2:2) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih seperti itu?

9. Apakah sesetengah cara untuk menunjukkan bahawa kita menghargai kerja penyebaran?

9 Salah satu cara Paulus menunjukkan penghargaannya adalah dengan menggunakan setiap kesempatan untuk menginjil. Seperti para rasul dan orang Kristian abad pertama, kita menginjil secara tidak formal, di tempat awam, dan dari rumah ke rumah. (Kis. 5:42; 20:20) Jika keadaan kita mengizinkan, kita mencari peluang untuk meluaskan khidmat kita, misalnya dengan menjadi perintis sokongan atau perintis biasa. Kita juga boleh mempelajari bahasa baharu atau berpindah ke tempat lain untuk berkhidmat, sama ada di dalam atau di luar negara.​—Kis. 16:9, 10.

10. Bagaimanakah Tuhan memberkati usaha Irene untuk menyebarkan berita baik?

10 Irene, seorang saudari bujang di Amerika Syarikat, ingin menginjil kepada pendatang dari Rusia. Semasa dia mula berbuat demikian pada tahun 1993, kumpulan bahasa Rusia di Bandar Raya New York hanya ada sekitar 20 orang penyiar. Namun, kawasan itu kini ada enam buah sidang bahasa Rusia. Yehuwa telah memberkati usaha Irene dan saudara saudari lain sepertinya. Selepas menginjil dalam bahasa Rusia selama 20 tahun, Irene belum menguasai bahasa itu dengan sepenuhnya, tetapi 15 orang pelajar Biblenya telah dibaptis, dan ada antara mereka yang menjadi ahli Bethel, perintis, dan penatua. Meskipun Irene dapat mengejar cita-cita lain, dia berkata, “Tiada kerja lain yang membuat saya begitu sukacita.” Ya, dia sangat menghargai kerja penyebaran!

Adakah jadual masa anda menunjukkan bahawa anda menghargai kerja penyebaran? (Lihat perenggan 11, 12)

11. Jika kita terus menginjil biarpun dianiaya, apakah hasil baik yang diraih?

11 Jika kita menghargai kerja penyebaran, kita akan meniru Rasul Paulus dan terus menginjil biarpun dianiaya. (Kis. 14:19-22) Dari tahun 1930 hingga 1944, rakan seiman kita di Amerika Syarikat ditentang dengan kuat. Namun, mereka tidak berganjak dan terus menginjil. Banyak kali, saudara-saudara kita telah memperjuangkan hak kita di mahkamah dan meraih kemenangan. Pada tahun 1943, Saudara Nathan H. Knorr telah menyebut tentang kemenangan kita di Mahkamah Tinggi A.S. Dia berkata, “Kemenangan ini ialah hasil perjuangan anda. Jika penyiar kita tidak terus menginjil, kita tiada kes untuk dibawa ke mahkamah. Oleh sebab penyiar kita enggan berhenti, kita dapat mengalahkan tentangan di sini dan di serata dunia. Pendirian umat Tuhan yang teguh telah membawa kemenangan.” Kemenangan sedemikian juga diraih di banyak negara lain. Ya, kasih untuk kerja penyebaran dapat membantu kita mengatasi tentangan.

12. Mengenai kerja penyebaran, apakah tekad anda?

12 Apabila kita memandang kerja penyebaran sebagai harta daripada Yehuwa, kita bukan sahaja ingin mengira masa, tetapi akan berusaha untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh.” (Kis. 20:24; 2 Tim. 4:5) Namun, apakah yang akan kita ajarkan kepada orang lain? Mari kita lihat satu lagi harta daripada Tuhan.

KEBENARAN YANG KITA PELAJARI

13, 14. Apakah ‘tempat penyimpanan harta’ yang digambarkan oleh Yesus di Matius 13:52? Bagaimanakah kita dapat menambahkan lebih banyak harta ke dalamnya?

13 Harta rohani ketiga yang diberikan oleh Yehuwa ialah kebenaran Bible. (Mzm. 37:28; Yoh. 17:17) Yehuwa ialah Sumber kebenaran, dan Dia mengongsi kebenaran dengan orang yang menghormati-Nya. Sejak masa kita mula mempelajari kebenaran, kita telah mengumpulkan harta rohani semasa membaca Bible dan bahan bacaan Bible, dan semasa menghadiri konvensyen, perhimpunan, dan perjumpaan. Seraya masa berlalu, ‘tempat penyimpanan harta’ kita dipenuhi kebenaran “yang baru dan lama,” seperti yang digambarkan oleh Yesus. (Baca Matius 13:52.) Yehuwa akan membantu kita memperoleh lebih banyak kebenaran yang baharu, jika kita mencari kebenaran seperti mencari harta terpendam. (Baca Amsal 2:4-7.) Apakah cara untuk melakukannya?

14 Kita mesti memupuk tabiat pembelajaran yang baik, dan mengkaji Bible dan bahan bacaan Bible dengan teliti. Dengan itu kita akan menemui kebenaran yang “baharu,” yang belum pernah kita ketahui. (Yos. 1:8, 9; Mzm. 1:2, 3) Menara Pengawal yang pertama, yang diterbitkan pada Julai 1879, menyatakan, “Kebenaran adalah seperti sekuntum bunga kecil di padang belantara, yang hampir dicekik oleh ajaran salah yang tumbuh subur di sekelilingnya seperti lalang. Jika anda ingin menemui bunga itu, anda perlu mencarinya dengan sungguh-sungguh. . . . Jika anda ingin memilikinya, anda harus tunduk untuk memetiknya. Setelah mendapat ‘sekuntum’ kebenaran, janganlah berpuas hati. . . . Carilah dan kumpulkan lebih banyak lagi.” Ya, marilah kita berikhtiar untuk menambahkan kebenaran ke dalam gudang rohani kita.

15. Mengapakah sesetengah ajaran boleh dikatakan sebagai kebenaran yang “lama”? Apakah sesetengah kebenaran itu yang anda hargai?

15 Kebenaran yang kita pelajari pada mulanya dapat digambarkan sebagai kebenaran yang “lama.” Misalnya, kita telah belajar bahawa Yehuwa ialah Pencipta dan Sumber Kehidupan kita. Kita belajar tentang tujuan-Nya untuk manusia dan korban tebusan yang disediakan-Nya supaya kita dibebaskan daripada dosa dan kematian. Kita juga diajar tentang Kerajaan Tuhan yang akan mengakhiri segala penderitaan dan harapan untuk hidup selama-lamanya dengan aman dan bahagia.​—Yoh. 3:16; Why. 4:11; 21:3, 4.

16. Semasa diajar pemahaman baharu tentang kebenaran, apakah yang harus kita lakukan?

16 Dari masa ke masa, kita mungkin diajar pemahaman baharu tentang nubuat atau ayat Bible. Ketika itu, luangkanlah masa untuk mengkaji dan merenungkan maklumat baharu itu. (Kis. 17:11; 1 Tim. 4:15) Kita bukan sahaja ingin mengetahui perbezaan besar antara pemahaman baharu dengan pemahaman lama, tetapi kita ingin memahami butiran dan selok-beloknya juga. Dengan itu, kita sedang menyimpan kebenaran baharu itu dengan cermat di ‘tempat penyimpanan harta’ kita. Mengapakah hal itu penting?

17, 18. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kita?

17 Yesus mengajarkan bahawa kuasa suci Tuhan dapat mengingatkan kita tentang apa yang sudah kita pelajari. (Yoh. 14:25, 26) Hal itu sangat berguna. Contohnya, pada tahun 1970, Peter berusia 19 tahun dan baru berkhidmat di Bethel. Semasa menginjil dari rumah ke rumah, dia menawarkan pembelajaran Bible kepada seorang lelaki yang berjanggut. Lelaki yang berusia sekitar 50 tahun itu berasa hairan dan menjawab bahawa dia seorang guru agama Yahudi. Kemudian dia menguji Peter dengan bertanya, “Adik, buku Daniel ditulis dalam bahasa apa?” Peter menjawab, “Sebahagiannya dalam bahasa Aram.” Guru agama itu terkejut mendengar jawapan Peter, tetapi Peter lagi terkejut kerana dia tidak sangka bahawa dia sendiri tahu jawapannya! Peter menjelaskan, “Semasa saya pulang dan memeriksa majalah-majalah kita yang lalu, saya menjumpai sebuah rencana yang menjelaskan bahawa buku Daniel ditulis dalam bahasa Aram.” (Dan. 2:4, nota kaki) Ya, apabila kita menyimpan kebenaran Bible dalam gudang rohani kita, kuasa suci Tuhan dapat membantu kita mengingatnya kembali.​—Luk. 12:11, 12; 21:13-15.

18 Jika kita menghargai kebijaksanaan Yehuwa, kita akan rajin mengumpulkan kebenaran yang baharu dan lama. Apabila kita berbuat demikian, kita akan menjadi pengajar yang lebih mahir.

LINDUNGI HARTA ANDA

19. Mengapakah kita perlu melindungi harta rohani kita?

19 Syaitan dan dunianya sentiasa menggunakan pelbagai helah untuk menghakis penghargaan kita terhadap harta rohani. Jika kita tidak berwaspada, kita mungkin digoda kerana menginginkan kerja yang bergaji tinggi, kehidupan yang mewah, atau ingin menunjuk-nunjuk harta benda kita. Rasul Yohanes mengingatkan kita bahawa dunia dan segala yang diingini manusia sedang berlalu. (1 Yoh. 2:15-17) Oleh itu, kita mesti berusaha memelihara kasih dan penghargaan kita untuk harta rohani.

20. Bagaimanakah anda dapat melindungi harta rohani anda?

20 Semoga kita meninggalkan apa sahaja yang akan melemahkan kasih kita untuk Kerajaan Tuhan. Hargailah kerja penyebaran dan teruslah menginjil dengan bersemangat. Carilah kebenaran dengan sungguh-sungguh. Dengan berbuat demikian, anda sedang mengumpulkan “harta di syurga yang tidak akan habis. Di situ pencuri tidak dapat menghampiri harta kamu dan gegat tidak dapat merosakkannya. Hal ini demikian kerana di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.”​—Luk. 12:33, 34.