Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sudikah Anda Menyelesaikan Konflik dan Mengejar Kedamaian?

Sudikah Anda Menyelesaikan Konflik dan Mengejar Kedamaian?

TUHAN YEHUWA ingin orang Kristian mencintai kedamaian dan menyemai sifat itu dalam kehidupan. Apabila kita suka berdamai, saudara saudari kita akan menikmati kedamaian yang berlimpah, dan orang lain yang mencintai kedamaian juga akan tertarik kepada sidang Kristian.

Contohnya, seorang bomoh yang terkenal di Madagascar memerhatikan keharmonian dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa lalu berfikir, “Jika saya ingin beragama, saya akan pilih agama ini.” Lelaki itu telah menghentikan amalan sihir, menghabiskan masa berbulan-bulan untuk memastikan perkahwinannya mematuhi piawaian Bible, lalu menyembah Yehuwa, Tuhan kedamaian.

Seperti lelaki itu, setiap tahun, ribuan orang telah menyertai sidang Kristian dan merasai kedamaian yang didambakan mereka. Namun, Bible menyatakan bahawa “perasaan cemburu yang kuat dan sikap suka bertengkar” boleh merosakkan persahabatan dan menimbulkan masalah. (Yak. 3:14-16) Tetapi, kita bersyukur kerana Bible memberi kita nasihat yang baik untuk mengelakkan masalah tersebut dan mengekalkan kedamaian. Mari kita lihat bagaimana nasihat Bible telah membantu beberapa orang saudara saudari.

MASALAH DAN PENYELESAIAN

“Saya selalu ada perselisihan dengan seorang saudara yang bekerja bersama saya. Pernah sekali, dua orang nampak kami berteriak memarahi satu sama lain.”​—CHRIS.

“Seorang saudari yang merupakan rakan menginjil saya tiba-tiba tidak ingin menginjil bersama saya lagi. Kemudian, dia berhenti bercakap dengan saya. Saya tidak tahu apa yang berlaku.”​—JANET.

“Saya dan dua orang lain sedang bercakap melalui telefon. Selepas seorang daripada mereka kata, ‘Jumpa lagi,’ saya bercakap buruk tentangnya kepada yang seorang lagi, tetapi rupa-rupanya orang yang pertama masih mendengar perbualan kami.”​—MICHAEL.

“Dua orang perintis di sidang kami ada masalah. Yang seorang memarahi yang seorang lagi. Perselisihan mereka menyedihkan orang lain.”​—GARY.

Peristiwa-peristiwa sedemikian nampaknya kecil, tetapi mampu mendatangkan masalah emosi dan rohani yang serius kepada orang yang terlibat. Namun, saudara saudari itu telah berdamai semula kerana menggunakan prinsip Bible. Apakah bimbingan Bible yang telah membantu mereka?

“Jangan bertengkar dalam perjalanan.” (Kej. 45:24) Yusuf memberikan nasihat yang bijak itu kepada saudara-saudaranya yang akan kembali kepada bapa mereka. Jika seseorang tidak mengawal perasaannya dan cepat naik marah, dia mungkin akan membuat orang lain naik marah juga. Chris sedar bahawa dia angkuh dan tidak suka menerima arahan. Maka dia meminta maaf kepada saudara itu dan berusaha mengawal kemarahannya. Setelah melihat usaha Chris untuk berubah, saudara itu juga mula membuat perubahan. Sekarang mereka bersama-sama berkhidmat kepada Yehuwa dengan gembira.

“Rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.” (Ams. 15:22) Janet memutuskan untuk menerapkan prinsip itu. Dia ingin tahu sebabnya saudari itu menjauhinya. Maka, dia berjumpa dengan saudari tersebut dan mencuba berbual dengannya tentang hal itu secara lembut. Mereka berdua berasa agak kekok pada mulanya, tetapi apabila mereka meluahkan perasaan sendiri dengan tenang, keadaan itu bertambah baik. Saudari itu juga meminta maaf setelah menyedari bahawa dia telah salah faham tentang suatu perkara yang langsung tidak membabitkan Janet. Kini mereka berkhidmat bersama-sama semula.

“Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu.” (Mat. 5:23, 24) Yesus memberikan nasihat itu dalam Ceramah Di Atas Gunung. Michael kesal sekali kerana tindakannya yang tidak bertimbang rasa. Untuk berdamai semula dengan saudara itu, dia berjumpa dengannya dan meminta maaf dengan rendah hati. Apakah hasilnya? Saudara itu mengampuni Michael, dan persahabatan mereka berjaya dipulihkan.

“Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan . . . saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu.” (Kol. 3:12-14) Seorang penatua telah menjemput dua orang perintis itu untuk memikirkan soalan-soalan berikut: “Patutkah kami membuat orang lain sedih kerana pertengkaran kami? Adakah kami mempunyai alasan yang munasabah untuk terus bertengkar dan tidak menyembah Yehuwa dalam keadaan yang damai?” Mereka menerima dan menerapkan nasihat daripada penatua itu. Kini, mereka menikmati hubungan yang baik dan dapat terus menginjil.

Jika ada orang menyinggung perasaan anda, cubalah menerapkan nasihat di Kolose 3:12-14 dahulu. Ramai orang mendapati bahawa sifat rendah hati membantu mereka memaafkan orang dan melupakan hal itu. Namun, jika anda sudah mencuba tetapi hal itu masih mengganggu anda, anda dapat menggunakan prinsip di Matius 18:15. Walaupun nasihat itu sebenarnya adalah untuk dosa yang lebih serius, prinsipnya masih dapat membantu. Carilah saudara atau saudari yang telah menyakiti anda dan berusahalah untuk membincangkan dan menyelesaikan masalah itu. Semasa berbuat demikian, tunjukkanlah sifat baik hati dan rendah hati.

Bible mempunyai banyak lagi cadangan yang praktikal. Untuk menggunakan cadangan itu dengan berkesan, kita harus menunjukkan “buah daya aktif Tuhan,” iaitu “kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri.” (Gal. 5:22, 23) Seperti minyak pelincir yang melancarkan pergerakan mesin, sifat-sifat itu dapat melancarkan usaha untuk berdamai.

KEPELBAGAIAN SIFAT MENJADIKAN SIDANG LEBIH MENARIK

Keperibadian setiap orang berbeza. Perbezaan ini dapat membuat persahabatan kita menjadi menarik, tetapi juga mungkin menjadi punca konflik. Seorang penatua berkata, “Seorang yang pemalu mungkin berasa susah bergaul dengan seorang yang periang dan peramah. Perbezaan itu boleh menyebabkan masalah yang besar.” Namun, adakah masalah pasti akan timbul antara dua orang yang keperibadian mereka berbeza? Cuba fikirkan Petrus dan Yohanes. Nampaknya keperibadian dua orang rasul itu agak berbeza. Kita mungkin membayangkan Petrus sebagai seorang yang terburu-buru dan suka meluahkan pendapatnya, manakala Yohanes seorang yang pengasih dan lebih terkawal pertuturan dan kelakuannya. Meskipun demikian, mereka masih dapat bekerjasama dengan baik. (Kis. 8:14; Gal. 2:9) Maka, orang Kristian memang dapat bekerjasama walaupun perwatakan mereka berbeza-beza.

Jika kata-kata atau kelakuan seorang rakan seiman menjengkelkan anda, ingatlah bahawa Kristus telah mati deminya juga, dan anda perlu menunjukkan kasih. (Yoh. 13:34, 35; Rm. 5:6-8) Oleh itu, sebelum memutuskan bahawa kita akan mengelakkan rakan seiman itu atau tidak menjadi sahabatnya lagi, tanyalah diri, “Adakah dia sedang melanggar prinsip Bible? Adakah dia sengaja ingin melukai hati saya? Atau adakah kami sekadar mempunyai keperibadian yang berbeza?” Penting sekali, fikirkan: “Apakah sifat-sifat baiknya yang dapat saya tiru?”

Contohnya, jika orang itu suka bercakap manakala anda pendiam, cubalah menginjil bersama-samanya dan pelajarilah bagaimana dia memulakan perbualan. Jika dia lebih murah hati berbanding anda, cubalah perhatikan sukacita yang diraihnya kerana membantu orang yang tua, sakit, atau miskin. Ya, apabila kita berfokus kepada sifat-sifat baik seseorang, kita dapat lebih menghampirinya. Orang itu mungkin tidak akan menjadi sahabat karib anda, tetapi hubungan anda dengannya akan menjadi lebih rapat, justeru menyumbang kepada kedamaian dalam hati anda dan di dalam sidang.

Keperibadian Euodia dan Sintikhe mungkin sangat berbeza, tetapi Rasul Paulus menggalakkan mereka “agar berkhidmat kepada Tuan kita dengan seia sekata.” (Flp. 4:2) Adakah anda juga akan berusaha berbuat demikian dan mengejar kedamaian?

JANGAN BIAR KONFLIK BERTERUSAN

Jika dibiarkan, rasa sakit hati akan bertumbuh liar seperti lalang di kebun bunga sehingga meracuni hati kita dan menjejaskan semangat sidang. Maka, sekiranya kita mengasihi Yehuwa dan saudara saudari, cabutlah perasaan buruk itu dan janganlah biarkan perselisihan faham mengganggu kedamaian umat Tuhan.

Jika anda bersikap rendah hati dan berusaha mengejar kedamaian, anda mungkin meraih hasil yang sangat baik

Apabila kita berusaha menyelesaikan konflik kerana mengutamakan kedamaian, hasil baik yang kita raih mungkin di luar jangkaan kita. Seorang saudari berkata, “Saya berasa seorang saudari melayan saya seperti budak-budak. Apabila saya semakin geram dengan perangainya, kata-kata saya kepadanya juga semakin tajam. Saya fikir, ‘Dia tidak menghormati saya, jadi saya pun tidak akan menghormatinya.’”

Kemudian, saudari itu mula memikirkan kelakuannya sendiri. Dia berkata, “Saya sangat kecewa setelah nampak betapa buruknya sikap saya. Jelaslah saya perlu ubah fikiran sendiri. Selepas berdoa tentang hal itu kepada Yehuwa, saya membeli sebuah hadiah kecil untuk saudari itu dan menulis sekeping kad kepadanya untuk meminta maaf. Kami berpeluk dan setuju untuk melupakan hal itu. Sampai hari ini, kami tidak ada masalah dengan satu sama lain.”

Semua orang amat memerlukan kedamaian, tetapi banyak orang yang tidak menyembah Yehuwa sanggup berkelahi dengan orang lain demi menjaga kedudukan dan air muka. Tetapi bagi umat yang menyandang nama Tuhan, kedamaian dan perpaduan jauh lebih penting. Yehuwa menyuruh Paulus menulis, “Aku . . . merayu kamu: Hendaklah jalan hidup kamu sesuai dengan jalan hidup orang yang dipanggil oleh Tuhan. Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Biarlah kasih mendorong kamu untuk bersabar terhadap satu sama lain, dan hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh daya aktif Tuhan tetap terpelihara.” (Ef. 4:1-3) Sesungguhnya, perpaduan kita amat berharga, maka marilah kita memeliharanya dan bertekad untuk menyelesaikan apa sahaja perselisihan yang mungkin timbul.