Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kenakan dan Kekalkan Keperibadian Baharu

Kenakan dan Kekalkan Keperibadian Baharu

“Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baru.”​—KOL. 3:10.

LAGU: 126, 28

1, 2. (a) Mengapakah kita dapat mengenakan keperibadian baharu? (b) Apakah aspek-aspek keperibadian baharu yang disebut di Kolose 3:10-14?

DALAM bahasa asal, ungkapan “keperibadian baru” muncul sebanyak dua kali dalam Bible. (Ef. 4:24; Kol. 3:10) Keperibadian ini merujuk kepada keperibadian yang “diciptakan menurut kehendak Tuhan.” Dapatkah kita memupuk keperibadian ini? Ya, kerana kita diciptakan menurut gambaran Yehuwa.​—Kej. 1:26, 27; Ef. 5:1.

2 Memang benar, kita dipengaruhi keinginan yang salah akibat persekitaran kita dan ketidaksempurnaan yang diwarisi. Namun, Yehuwa dapat membantu kita memupuk sifat-sifat yang diingini-Nya. Bagi menguatkan azam kita untuk mencapai matlamat itu, mari kita bincangkan kata-kata Paulus tentang beberapa aspek keperibadian baharu. (Baca Kolose 3:10-14.) Kita juga akan lihat bagaimana aspek-aspek itu dapat ditunjukkan semasa kita menginjil.

“KAMU SEMUA HIDUP BERSATU”

3. Apakah salah satu ciri keperibadian baharu?

3 Setelah menggesa kita untuk mengenakan keperibadian baharu, Paulus menyatakan bahawa satu aspek penting keperibadian ini ialah sifat tidak berat sebelah. Dia menulis, “Tidaklah penting sama ada seseorang itu orang Yunani, orang Yahudi, orang yang bersunat, orang yang tidak bersunat, orang asing, orang Skithia, hamba, ataupun orang bebas.” * Mengapakah ahli-ahli sidang tidak patut dibezakan mengikut bangsa, kaum, atau kedudukan? Kerana pengikut sejati Kristus “semua hidup bersatu.”​—Kol. 3:11; Gal. 3:28.

4. (a) Bagaimanakah hamba-hamba Yehuwa patut melayan orang lain? (b) Apakah situasi yang mungkin menjejaskan perpaduan orang Kristian?

4 Orang yang mengenakan keperibadian baharu akan menghormati rakan seiman dan orang luar tanpa mengira bangsa atau latar belakang mereka. (Rm. 2:11) Namun, hal itu merupakan cabaran di sesetengah negara. Contohnya, kebanyakan Saksi di Afrika Selatan masih tinggal di kawasan yang dahulunya dikhaskan untuk kaum tertentu, sama ada kawasan bandar yang kaya, pekan yang dikhaskan untuk orang berkulit hitam, atau tempat untuk bangsa-bangsa lain. Maka, untuk menggalakkan saudara saudari agar ‘membuka hati lebar-lebar’ dan lebih mengenali satu sama lain, Badan Pimpinan telah meluluskan satu aturan istimewa pada Oktober 2013. (2 Kor. 6:13) Apakah aturan itu?

5, 6. (a) Apakah aturan yang dibuat di sebuah negara untuk menguatkan perpaduan umat Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah hasilnya?

5 Aturan dibuat supaya saudara saudari daripada dua sidang yang berlainan bahasa atau bangsa meluangkan masa bersama-sama pada hujung minggu. Mereka akan menginjil, menghadiri perjumpaan, dan makan bersama-sama. Ratusan sidang menyertai aturan ini, dan pejabat cawangan telah menerima banyak laporan yang bagus, bahkan daripada orang luar. Seorang pemimpin agama berkata, “Saya bukan Saksi, tetapi saya nampak kerja penyebaran kamu sangat teratur, dan perpaduan kamu menjangkaui batas kaum.” Apakah manfaat yang diraih?

6 Pada mulanya, Saudari Noma yang berbahasa Xhosa teragak-agak untuk menjemput ahli sidang berkulit putih daripada sidang Inggeris ke rumahnya yang sederhana. Tetapi selepas menginjil bersama mereka dan menikmati pergaulan di rumah mereka, dia berkata, “Mereka orang biasa macam kami!” Oleh itu, semasa tiba giliran sidangnya untuk menjamu ahli daripada sidang Inggeris, dia menjemput beberapa orang, termasuk seorang penatua berkulit putih, ke rumahnya. Noma berkata, “Saya kagum kerana saudara itu sudi duduk di atas bakul plastik yang rendah.” Melalui aturan yang masih diteruskan ini, banyak persahabatan baharu dijalin, dan saudara saudari bertekad untuk memperluas pergaulan mereka.

“BELAS KASIHAN, KEBAIKAN HATI”

7. Mengapakah kita perlu sentiasa berbelas kasihan?

7 Selagi dunia Syaitan wujud, kita akan menghadapi cubaan seperti pengangguran, wabak penyakit, bencana alam, kehilangan harta benda, atau kesusahan lain. Maka kita perlu memiliki belas kasihan agar dapat menyokong satu sama lain pada waktu kesusahan. Sifat belas kasihan akan mendorong kita untuk menunjukkan kebaikan hati. (Ef. 4:32) Aspek-aspek itu akan membantu kita meniru sifat Tuhan dan melegakan hati orang lain.​—2 Kor. 1:3, 4.

8. Apakah hasil baik yang mungkin diraih jika kita menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada semua orang di sidang? Berikan contoh.

8 Bagaimanakah kita dapat lebih prihatin terhadap ahli sidang yang hidup susah atau yang merupakan orang asing? Kita perlu menjadi sahabat mereka dan meyakinkan mereka bahawa mereka ialah ahli sidang yang dihargai. (1 Kor. 12:22, 25) Semasa Dannykarl berpindah dari Filipina ke Jepun untuk bekerja, layanan yang diterimanya tidak sebaik pekerja tempatan. Setelah menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, dia berkata, “Hampir semua orang di situ ialah orang Jepun, tetapi mereka menyambut saya dengan mesra, seolah-olah saya ialah kawan lama mereka.” Kebaikan hati yang ditunjukkan kepadanya membantunya membuat kemajuan rohani. Dia kemudiannya dibaptis dan berkhidmat sebagai penatua. Para penatua lain memandang Dannykarl dan isterinya Jennifer sebagai berkat kepada sidang. Mereka berkata, “Pasangan perintis ini hidup sederhana dan merupakan teladan baik kerana mengutamakan Kerajaan Tuhan.”​—Luk. 12:31.

9, 10. Apakah berkat yang diraih kerana menunjukkan belas kasihan dalam kerja penyebaran? Berikan contoh.

9 Semasa kita menyebarkan berita Kerajaan Tuhan, kita berpeluang “berbuat baik kepada semua orang.” (Gal. 6:10) Banyak Saksi telah mempelajari bahasa baharu agar dapat menginjil kepada pendatang asing. (1 Kor. 9:23) Usaha itu membawa berkat yang melimpah. Contohnya, Tiffany, seorang perintis di Australia, mempelajari bahasa Swahili agar dapat membantu sidang bahasa Swahili di Brisbane. Meskipun bukan senang untuk mempelajari bahasa itu, usaha Tiffany telah membuat kehidupannya lebih bermakna. Dia berkata, “Jika kamu ingin cuba kerja penyebaran yang lebih menarik, berkhidmatlah di sidang bahasa asing. Kamu dapat menikmati perpaduan persaudaraan sedunia kita tanpa mengembara.”

Apakah yang mendorong orang Kristian untuk membantu pendatang asing? (Lihat perenggan 10)

10 Fikirkan juga contoh sebuah keluarga dari Jepun. Sakiko, anak perempuan dalam keluarga itu, berkata, “Pada tahun 1990-an, kami sering jumpa dengan orang asing dari Brazil semasa menginjil. Ketika kami menunjukkan ayat seperti Wahyu 21:3, 4 atau Mazmur 37:10, 11, 29 dalam Bible bahasa Portugis mereka, mereka menumpukan perhatian dan ada kalanya menitiskan air mata.” Keluarga itu berbelas kasihan terhadap mereka dan ingin memberikan bantuan selanjutnya. Sakiko berkata, “Semasa kami lihat bahawa mereka lapar secara rohani, keluarga kami mula belajar bahasa Portugis.” Keluarga itu telah membantu menubuhkan sebuah sidang bahasa Portugis dan membantu banyak pendatang asing untuk menyembah Yehuwa. “Banyak usaha diperlukan untuk belajar bahasa Portugis,” kata Sakiko, “tetapi berkat yang kami terima jauh lebih banyak. Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa.”​—Baca Kisah 10:34, 35.

“HENDAKLAH KAMU MENGENAKAN . . . KERENDAHAN HATI”

11, 12. (a) Mengapakah kita mesti mempunyai niat yang betul semasa mengenakan keperibadian baharu? (b) Untuk tetap bersikap rendah hati, apakah yang perlu kita lakukan?

11 Kita mengenakan keperibadian baharu kerana kita ingin memuliakan Yehuwa, bukan untuk dipuji oleh orang lain. Ingatlah bahawa makhluk roh yang sempurna pun berdosa akibat keangkuhan. (Bandingkan Yehezkiel 28:17.) Sudah pasti, sebagai manusia yang tidak sempurna, lebih susah bagi kita untuk menghindari keangkuhan! Namun, kita masih dapat mengenakan kerendahan hati. Bagaimana?

12 Untuk tetap bersikap rendah hati, kita perlu merenungkan Firman Tuhan setiap hari. (Ul. 17:18-20) Semasa membuat perenungan, tumpukanlah perhatian khasnya kepada ajaran Yesus dan kerendahan hati yang ditunjukkannya. (Mat. 20:28) Yesus bahkan membasuh kaki murid-muridnya. (Yoh. 13:12-17) Kita juga perlu sentiasa berdoa meminta bantuan kuasa suci Tuhan agar dapat melawan kecenderungan untuk menganggap diri sendiri lebih baik daripada orang lain.​—Gal. 6:3, 4; Flp. 2:3.

13. Apakah berkat yang akan diraih jika kita rendah hati?

13 Baca Amsal 22:4. Semua penyembah Yehuwa mesti rendah hati. Sikap sebegini membawa banyak berkat. Contohnya, kita dapat menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang. Selain itu, dengan memupuk dan memantapkan sikap rendah hati, kita akan diperkenankan Tuhan. Rasul Petrus menulis, “Kamu semua harus rendah hati semasa berurusan dengan satu sama lain, kerana Tuhan menentang orang yang angkuh tetapi Dia memberikan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.”​—1 Ptr. 5:5.

“HENDAKLAH KAMU MENGENAKAN . . . KELEMAHLEMBUTAN . . . DAN KESABARAN”

14. Siapakah yang merupakan teladan terbaik dalam menunjukkan kelemahlembutan dan kesabaran?

14 Dunia sering menganggap orang yang lemah lembut dan sabar sebagai orang yang lemah. Namun, tanggapan itu salah sama sekali, kerana sifat-sifat itu berasal daripada Individu yang paling berkuasa di alam semesta, Tuhan Yehuwa. Dia merupakan teladan terbaik dalam menunjukkan kelemahlembutan dan kesabaran. (2 Ptr. 3:9) Fikirkan reaksi-Nya yang ditunjukkan melalui malaikat semasa Abraham dan Lot mengajukan soalan kepada-Nya. (Kej. 18:22-33; 19:18-21) Fikirkan juga kesabaran yang ditunjukkan-Nya selama lebih daripada 1,500 tahun terhadap bangsa Israel yang jahat.​—Yeh. 33:11.

15. Bagaimanakah Yesus menunjukkan teladan yang baik dalam soal kelemahlembutan dan kesabaran?

15 Yesus “lemah lembut.” (Mat. 11:29) Dia sangat bersabar terhadap kelemahan para pengikutnya. Semasa di bumi, para pemimpin agama asyik mencelanya, tetapi dia tetap sabar dan lemah lembut sehingga saat kematiannya. Semasa menderita di atas tiang seksaan, Yesus memohon Bapanya untuk mengampuni askar-askar yang membunuhnya kerana “mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” (Luk. 23:34) Ya, biarpun dia menderita dan sangat tertekan, Yesus tetap lemah lembut dan sabar. Tidakkah teladannya sangat menakjubkan?​—Baca 1 Petrus 2:21-23.

16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kelemahlembutan dan kesabaran?

16 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kelemahlembutan dan kesabaran? Paulus menulis, “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan hendaklah kamu saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.” (Kol. 3:13) Kita perlu lemah lembut dan sabar untuk mengampuni orang lain. Dengan berbuat demikian, perpaduan dalam sidang akan terpelihara dan diperkukuh.

17. Mengapakah kelemahlembutan dan kesabaran amat penting?

17 Orang Kristian mesti lemah lembut dan sabar. Dua sifat ini merupakan sebahagian daripada syarat untuk diselamatkan. (Mat. 5:5; Yak. 1:21) Lebih penting lagi, dengan memupuk sifat-sifat ini, kita memuliakan Yehuwa dan membantu orang lain untuk menerapkan nasihat Bible.​—Gal. 6:1; 2 Tim. 2:24, 25.

“HENDAKLAH KAMU MENGENAKAN KASIH”

18. Apakah kaitan antara kasih dan sifat tidak berat sebelah?

18 Semua sifat yang dibincangkan tadi berkait rapat dengan kasih. Yakobus pernah menegur saudara-saudaranya yang sering menyebelahi orang kaya. Dia menegaskan bahawa tindakan sebegini melanggar hukum agung Tuhan yang berbunyi: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Dia juga berkata, “Jika kamu terus bersikap berat sebelah, kamu berdosa.” (Yak. 2:8, 9) Kasih akan mendorong kita agar tidak berprasangka terhadap orang kerana pendidikan, kaum, atau kedudukan mereka. Sesungguhnya, sifat tidak berat sebelah harus tersemai dalam keperibadian kita dan ditunjukkan secara ikhlas.

19. Mengapakah amat penting untuk mengenakan kasih?

19 Kasih itu “sabar dan baik hati,” dan “tidak menjadi angkuh.” (1 Kor. 13:4) Kita perlu sabar, baik hati, dan rendah hati, agar dapat terus menyebarkan berita baik. (Mat. 28:19) Sifat-sifat itu juga membantu kita menikmati hubungan yang lebih baik dengan semua saudara saudari di sidang. Jika kita menunjukkan kasih sebegini, sidang-sidang akan bersatu padu dan memuliakan Yehuwa. Orang yang melihat perpaduan kita juga akan tertarik kepada kebenaran. Maka, setelah menggambarkan keperibadian baharu, Bible membuat kesimpulan ini: “Selain daripada hal-hal ini, hendaklah kamu mengenakan kasih, kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.”​—Kol. 3:14.

‘TERUSLAH DIBAHARUI’

20. (a) Apakah soalan-soalan yang patut kita fikirkan? Mengapa? (b) Apakah yang kita nanti-nantikan?

20 Kita semua harus menanya diri, “Apa lagi yang dapat saya lakukan untuk menanggalkan dan tetap menjauhi keperibadian lama?” Kita mesti berdoa dan berusaha untuk mengatasi apa sahaja sikap atau amalan yang menghalang kita daripada mewarisi Kerajaan Tuhan. (Gal. 5:19-21) Kita juga perlu tanya diri, “Adakah saya terus membaharui cara saya berfikir?” (Ef. 4:23, 24) Kita perlu terus berusaha mengenakan dan mengekalkan keperibadian baharu sehingga kita dapat melakukannya dengan sepenuhnya. Bayangkan betapa baiknya kehidupan kita apabila semua orang mengenakan keperibadian baharu dengan sempurna nanti!

^ per. 3 Pada zaman Bible, orang Skithia dipandang rendah dan dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun.