Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yusuf dari Arimatea Memberanikan Dirinya

Yusuf dari Arimatea Memberanikan Dirinya

YUSUF DARI ARIMATEA perlu berani menghadap Pontius Pilatus, gabenor Roma yang terkenal dengan kedegilannya. Mengapa? Kerana dia mesti meminta mayat Yesus daripada Pilatus agar Yesus dapat dikebumikan dengan baik. Pertemuan Yusuf dengan Pilatus berjalan dengan lancar. Setelah seorang pegawai mengesahkan bahawa Yesus sudah mati, Pilatus mengabulkan permintaan Yusuf. Walaupun hatinya masih sedih, Yusuf bergegas ke tempat Yesus dihukum mati.​—Mrk. 15:42-45.

  • Siapakah Yusuf dari Arimatea?

  • Apakah hubungannya dengan Yesus?

  • Mengapakah anda patut berminat tentang kisahnya?

AHLI MAJLIS ORANG YAHUDI

Catatan Markus menggambarkan Yusuf sebagai “seorang ahli Majlis Orang Yahudi yang dihormati.” Majlis ini merupakan mahkamah agung dan badan pentadbiran tertinggi orang Yahudi. (Mrk. 15:1, 43) Memandangkan Yusuf seorang pemimpin orang Yahudi, tidak hairanlah dia seorang yang kaya dan dapat berjumpa dengan gabenor Roma.​—Mat. 27:57.

Adakah anda cukup berani untuk mengakui diri sebagai orang Kristian?

Secara keseluruhannya, Majlis Orang Yahudi memusuhi Yesus dan berkomplot untuk membunuhnya. Namun, Yusuf ialah seorang yang “baik dan melakukan apa yang benar.” (Luk. 23:50) Tidak seperti rakan sejawatnya, dia hidup jujur dan bermoral, dan dia berusaha mematuhi hukum Tuhan. Dia juga “menantikan Kerajaan Tuhan,” dan mungkin itulah sebabnya dia menjadi murid Yesus. (Mrk. 15:43; Mat. 27:57) Nampaknya, mesej Yesus telah menarik minat lelaki yang mendahagakan kebenaran dan keadilan ini.

PENGIKUT RAHSIA

Yohanes 19:38 menyatakan bahawa Yusuf “ialah murid Yesus, tetapi dia tidak memberitahu orang lain tentang hal itu kerana dia takut akan orang Yahudi.” Apakah yang ditakuti Yusuf? Dia tahu bahawa orang Yahudi membenci Yesus dan bahawa sesiapa sahaja yang mengaku beriman kepada Yesus pasti dihalau dari rumah ibadat. (Yoh. 7:45-49; 9:22) Seseorang yang diusir akan dihina dan dipulaukan oleh orang Yahudi lain. Oleh itu, Yusuf teragak-agak memberitahu orang bahawa dia pengikut Yesus, kerana dia akan kehilangan kedudukan dan nama.

Sebenarnya, ada ramai orang yang berada dalam situasi Yusuf. Menurut Yohanes 12:42, “ramai penguasa beriman kepada [Yesus]. Tetapi disebabkan orang Farisi, mereka tidak mengakuinya secara terang-terangan. Mereka tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat.” Nikodemus, seorang lagi ahli Majlis Orang Yahudi, juga menghadapi cabaran yang sama.​—Yoh. 3:1-10; 7:50-52.

Yusuf pula ialah murid Yesus, tetapi dia tidak berani mengakuinya secara terang-terangan. Sikapnya merupakan masalah yang besar, kerana Yesus pernah berkata, “Sesiapa yang mengaku dirinya sebagai muridku di hadapan umum, aku pun akan mengakui orang itu sebagai muridku di hadapan Bapaku yang di syurga. Tetapi sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia di hadapan Bapaku yang di syurga.” (Mat. 10:32, 33) Memang benar, Yusuf tidak menyangkal Yesus, tetapi dia juga tidak cukup berani untuk mengakuinya. Bagaimana pula dengan anda?

Walaupun Yusuf tidak berani mengakui Yesus, Bible menyatakan bahawa dia tidak menyokong muslihat Majlis Orang Yahudi untuk membunuh Yesus. (Luk. 23:51) Barangkali, Yusuf tidak hadir semasa Yesus dibicarakan. Tidak kira apa situasinya pada masa itu, Yusuf pasti terkilan dengan perbuatan keji Majlis Orang Yahudi, tetapi dia tidak mampu menghalangnya.

PERUBAHAN SIKAP

Pada waktu Yesus meninggal, Yusuf nampaknya telah mengatasi rasa takutnya dan memutuskan untuk menyokong para pengikut Yesus. Markus 15:43 menyatakan, “Dengan berani, dia menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus.”

Yusuf tahu tentang kematian Yesus sebelum Pilatus mengetahuinya. Maka ketika Yusuf meminta mayat Yesus, Pilatus “memanggil pegawai tenteranya dan bertanya sama ada Yesus sudah mati.” (Mrk. 15:44) Barangkali, Yusuf hadir semasa Yesus meninggal. Adakah dia juga nampak bagaimana Yesus menderita di tiang seksaan? Jika ya, peristiwa itu mungkin telah menggerakkannya untuk memeriksa hati nurani sendiri dan memutuskan bahawa dia perlu mengaku diri sebagai murid Yesus. Sejak itu, Yusuf tidak lagi menyembunyikan identitinya.

YUSUF MENGEBUMIKAN YESUS

Menurut hukum orang Yahudi, mayat orang yang dihukum mati mesti dikebumikan sebelum matahari terbenam. (Ul. 21:22, 23) Tetapi mengikut kebiasaan orang Roma, mayat penjenayah dibiarkan reput di atas tiang atau dilemparkan ke dalam kuburan besar. Yusuf tidak mahu hal itu terjadi kepada Yesus, maka dia mengaturkan agar mayat Yesus dikuburkan di makamnya. Makam itu digali di bukit batu dan terletak tidak jauh dari tempat Yesus dibunuh. Memandangkan makam itu belum pernah digunakan, hal itu mungkin menunjukkan bahawa Yusuf baru sahaja berpindah dari Arimatea * ke Yerusalem dan bercadang menggunakan makam itu bagi keluarganya. (Luk. 23:32; Yoh. 19:41) Perbuatan Yusuf mencerminkan kemurahan hatinya, dan memenuhi nubuat bahawa Mesias akan “dikebumikan bersama-sama orang kaya.”​—Yes. 53:5, 8, 9.

Bagi anda, adakah apa-apa yang lebih penting daripada hubungan anda dengan Yehuwa?

Catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, menyatakan bahawa selepas mayat Yesus diturunkan, Yusuf membalutnya dengan kain linen yang bermutu tinggi lalu meletakkannya di dalam makam sendiri. (Mat. 27:59-61; Mrk. 15:46, 47; Luk. 23:53, 55; Yoh. 19:38-40) Dalam kisah Bible, ada seorang lagi yang membantu Yusuf, iaitu Nikodemus yang membawa ramuan wangi untuk pengebumian. Namun, oleh sebab mereka merupakan orang ternama, kemungkinan besar mereka menggunakan hamba-hamba untuk mengangkut dan memakamkan mayat Yesus. Sungguhpun demikian, apa yang dilakukan mereka patut dipuji. Oleh sebab mereka telah menyentuh mayat, mereka dianggap najis selama tujuh hari, dan apa sahaja yang disentuh mereka juga akan menjadi najis. (Bil. 19:11; Hag. 2:13) Maksudnya, mereka tidak boleh bergaul dengan orang lain semasa minggu Paska dan tidak dapat menyertai semua upacara dan sambutan Paska. (Bil. 9:6) Yusuf juga mungkin diejek oleh ahli Majlis lain kerana mengaturkan pengebumian Yesus. Namun, Yusuf sudah bersedia dikenali sebagai murid Kristus, dan dia sudi menanggung akibat daripada mengebumikan Yesus dengan cara terhormat.

AKHIR KISAH YUSUF

Catatan mengenai Yusuf berakhir selepas kisah pengebumian Yesus. Apakah yang terjadi kemudian? Kita tidak tahu. Namun, memandangkan dia telah menunjukkan iman dan keberanian yang semakin bertambah ketika diuji, semua itu merupakan tanda bahawa dia mungkin telah mengaku di hadapan umum bahawa dia orang Kristian.

Setelah meneliti kisah Yusuf, fikirkan soalan ini: Dalam hati kita, adakah apa-apa—baik kedudukan, kerjaya, harta milik, hubungan keluarga, atau bahkan kebebasan—​yang lebih penting daripada hubungan kita dengan Yehuwa?

^ per. 18 Arimatea mungkin ialah Rama, yang dipanggil Rentis (Rantis) hari ini. Tempat itu merupakan kampung halaman Nabi Samuel yang terletak kira-kira 35 km dari barat laut Yerusalem.​—1 Sam. 1:19, 20.