Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Penglihatan Zakharia Mempengaruhi Anda

Bagaimana Penglihatan Zakharia Mempengaruhi Anda

“Kembalilah kepadaku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu.”​—ZA. 1:3.

LAGU: 89, 86

1-3. (a) Apakah situasi umat Yehuwa ketika Zakharia mula bernubuat? (b) Mengapakah Yehuwa meminta umat-Nya untuk ‘kembali kepada-Nya’?

NASKHAH gulungan terbang, wanita di dalam bakul, dua orang wanita yang bersayap seperti sayap burung ranggung​—itulah antara gambaran menarik dalam buku Zakharia. (Za. 5:1, 7-9) Mengapakah Yehuwa memberi nabi-Nya penglihatan yang begitu dramatik? Apakah situasi orang Israel pada masa itu? Bagaimanakah catatan tentang penglihatan itu mempengaruhi kita hari ini?

2 Pada tahun 537 SM, umat Yehuwa dibebaskan dari Babilon setelah ditawan selama 70 tahun. Mereka amat gembira dan tidak sabar-sabar untuk pulang ke Yerusalem dan memulihkan ibadat sejati. Ketika asas Rumah Tuhan diletakkan pada tahun 536 SM, mereka bersorak-sorak sehingga “keriuhannya terdengar sampai jauh.” (Ezr. 3:10-13) Namun, tidak lama kemudian, projek pembinaan mereka ditentang dengan kuat. Akibatnya, orang Israel tawar hati lalu berhenti membina Rumah Tuhan. Mereka mula bertumpu kepada rumah dan ladang sendiri. Enam belas tahun kemudian, Rumah Yehuwa masih terbengkalai. Maka umat Yehuwa perlu diingatkan agar kembali kepada-Nya dan tidak sibuk mengejar hal-hal sendiri. Yehuwa mahu mereka menyembah-Nya dengan berani dan dengan sepenuh hati.

3 Untuk mengingatkan umat-Nya sebab mereka dibebaskan dari Babilon, Tuhan mengutus Nabi Zakharia kepada mereka pada tahun 520 SM. Nama Zakharia, yang bermaksud “Yehuwa Telah Mengingati,” mungkin mengingatkan umat itu bahawa meskipun mereka telah melupakan bagaimana Yehuwa pernah menyelamatkan mereka, Tuhan masih mengingati mereka. (Baca Zakharia 1:3, 4.) Tuhan menjamin bahawa Dia akan membantu mereka memulihkan ibadat sejati, tetapi Dia juga memberi mereka amaran yang tegas bahawa Dia tidak akan bertoleransi terhadap ibadat yang dilakukan dengan sambil lewa. Mari kita lihat bagaimana penglihatan Zakharia yang keenam dan ketujuh mendorong mereka untuk bertindak, dan apa yang dapat kita pelajari daripada hal ini.

TUHAN MENGHUKUM PENCURI

4. Apakah penglihatan Zakharia yang keenam, dan mengapakah gulungan itu ditulis pada kedua-dua belah? (Lihat gambar pertama pada permulaan rencana.)

4 Zakharia bab 5 bermula dengan sebuah penglihatan yang luar biasa. (Baca Zakharia 5:1, 2.) Zakharia nampak sebuah naskhah gulungan terbang di udara. Panjangnya hampir sembilan meter dan lebarnya empat meter setengah! Naskhah itu sudah dibentangkan dan mesej penghakiman yang tertulis padanya sudah sedia untuk dibacakan. (Za. 5:3) Biasanya hanya satu belah gulungan akan ditulis, tetapi gulungan ini ditulis pada kedua-dua belahnya. Maka jelaslah bahawa mesej yang terkandung dalamnya amat penting dan serius.

Orang Kristian harus menjauh segala bentuk pencurian (Lihat perenggan 5-7)

5, 6. Apakah pandangan Yehuwa terhadap segala bentuk pencurian?

5 Baca Zakharia 5:3, 4. Semua manusia bertanggungjawab kepada Yehuwa atas perbuatan mereka, lebih-lebih lagi umat yang menyandang nama-Nya. Mereka yang mengasihi Tuhan sedar bahawa segala bentuk pencurian akan ‘memalukan Tuhan mereka.’ (Ams. 30:8, 9) Sesetengah orang mungkin berasa bahawa tidak salah untuk mencuri jika mereka ada sebab yang baik. Namun, tidak kira apa pun sebabnya, orang yang mencuri menunjukkan bahawa keinginannya yang tamak lebih penting daripada Yehuwa, nama-Nya, dan hukum-Nya.

6 Adakah anda perhatikan kata-kata di Zakharia 5:3, 4 bahawa ‘kutukan itu akan datang ke rumah setiap pencuri,’ dan “kutukan itu akan tinggal di rumah mereka sehingga semuanya menjadi runtuhan”? Yehuwa akan mendedahkan dan menghakimi apa sahaja salah laku yang tersembunyi dalam kalangan umat-Nya. Biarpun seorang pencuri dapat merahsiakan perbuatannya daripada pihak berkuasa, majikan, penatua, atau ibu bapa, dia tidak dapat mengelabui mata Yehuwa. (Ibr. 4:13) Tidakkah kita suka bergaul dengan orang yang jujur dalam “segala sesuatu”?​—Ibr. 13:18.

7. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan kutukan yang tercatat pada naskhah gulungan yang terbang?

7 Yehuwa membenci segala bentuk pencurian. Maka kita berbangga kerana hidup selaras dengan piawaian moral Yehuwa yang luhur, dan kita memastikan kelakuan kita tidak mengaibkan nama-Nya. Dengan itu, kita dapat mengelakkan hukuman Yehuwa yang akan menimpa orang yang sengaja melanggar hukum-Nya.

MENEPATI JANJI KITA “SETIAP HARI”

8-10. (a) Apakah maksud sumpah? (b) Apakah sumpah yang dimungkiri oleh Raja Zedekia?

8 Mesej seterusnya yang tertulis pada naskhah gulungan yang terbang ditujukan kepada “orang yang mengangkat sumpah palsu demi nama Tuhan.” (Za. 5:4, NW) Seseorang akan mengangkat sumpah untuk mengesahkan bahawa suatu pernyataan itu benar atau untuk menjanjikan sesuatu.

9 Bersumpah demi nama Yehuwa merupakan hal yang sangat serius. Zedekia, raja yang terakhir di Yerusalem, telah bersumpah demi nama Yehuwa bahawa dia akan tunduk kepada raja Babilon. Namun, Zedekia memungkiri janjinya. Maka Yehuwa berfirman, “Demi Aku, Tuhan yang hidup, . . . [Zedekia] akan mangkat di Babilonia, kerana memungkiri sumpah dan perjanjiannya dengan raja Babilonia yang telah melantik dia menjadi raja.”​—Yeh. 17:16.

10 Raja Zedekia telah bersumpah atas nama Yehuwa, dan Yehuwa ingin dia menunaikan sumpah itu. (2 Taw. 36:13) Namun, Zedekia memungkiri sumpahnya dan meminta bantuan Mesir untuk membebaskan diri daripada Babilon. Tetapi, usaha itu sia-sia.​—Yeh. 17:11-15, 17, 18.

11, 12. (a) Apakah sumpah yang terpenting bagi kita? (b) Bagaimanakah pembaktian kita patut mempengaruhi kehidupan kita “setiap hari”?

11 Yehuwa juga tahu akan sumpah yang kita ucapkan. Dia memandang serius akan sumpah kita, dan kita harus menunaikannya jika ingin mendapat perkenan-Nya. (Mzm. 76:12) Antara semua sumpah yang kita ucapkan, yang terpenting ialah janji pembaktian kita kepada-Nya. Sewaktu kita membaktikan diri kepada-Nya, kita berjanji untuk menyembah-Nya tidak kira apa pun yang berlaku.

12 Bagaimanakah kita dapat menepati janji pembaktian kita? Melalui reaksi kita semasa menghadapi cubaan yang besar dan kecil “setiap hari.” (Mzm. 61:9) Contohnya, semasa seseorang cuba mengurat kita di sekolah atau di tempat kerja, adakah kita menolak godaan itu kerana kita ‘mencintai Taurat Yehuwa’? (Mzm. 119:113) Jika ahli keluarga kita tidak seiman, adakah kita meminta bantuan Yehuwa untuk mengekalkan keperibadian Kristian? Adakah kita sentiasa berdoa kepada Bapa kita yang di syurga untuk mengucapkan syukur kerana mengasihi kita dan menjadikan kita umat-Nya? Adakah kita membaca Bible setiap hari? Semasa membaktikan diri, kita sebenarnya berjanji untuk melakukan semua itu. Dengan mentaati Tuhan dan memberikan yang terbaik kepada-Nya, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya dan kita milik-Nya. Ibadat kita patut mempengaruhi seluruh kehidupan kita. Jika kita menunaikan janji pembaktian, kita akan menikmati manfaat yang berkekalan.​—Ul. 10:12, 13.

13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada penglihatan Zakharia yang keenam?

13 Penglihatan Zakharia yang keenam mengajar kita bahawa orang yang mengasihi Yehuwa tidak patut mencuri atau mengangkat sumpah palsu. Kita juga belajar bahawa Yehuwa tidak meninggalkan umat-Nya meskipun mereka membuat banyak kesilapan. Dia memahami cabaran yang dihadapi umat-Nya yang dikelilingi oleh musuh-musuh. Teladan Tuhan mengajar kita bahawa kita patut menunaikan janji kita, dan Dia akan membantu kita untuk berbuat demikian. Satu cara Dia membantu kita adalah dengan memberi kita harapan bahawa Dia akan mengakhiri semua kejahatan tidak lama lagi. Penglihatan Zakharia yang seterusnya memberi kita keyakinan akan harapan ini.

YEHUWA MELENYAPKAN KEJAHATAN

14, 15. (a) Apakah penglihatan Zakharia yang ketujuh? (Lihat gambar kedua pada permulaan rencana.) (b) Wanita dalam bakul itu melambangkan apa, dan mengapakah dia dikurung?

14 Selepas penglihatan tentang naskhah gulungan yang terbang, satu malaikat berkata kepada Zakharia, “Lihatlah!” Apakah penglihatan Zakharia yang ketujuh? Dia nampak sebuah bakul yang mempunyai “penutup yang dibuat daripada timah hitam.” (Baca Zakharia 5:5-8.) Apabila penutup itu dibuka, Zakharia nampak “seorang wanita duduk di dalam bakul itu.” Malaikat itu menjelaskan bahawa wanita tersebut ialah “Kejahatan.” Bayangkan ketakutan Zakharia apabila dia nampak wanita itu cuba keluar dari bakul! Malaikat tersebut segera menolak wanita itu ke dalam bakul dan menutupnya dengan penutup yang berat itu. Apakah maksud penglihatan itu?

15 Penglihatan ini menekankan bahawa Yehuwa tidak akan membenarkan kejahatan apa pun berlaku dalam kalangan umat-Nya. Jika Yehuwa nampak ada kejahatan yang berlaku, Dia akan segera melenyapkannya. (1 Kor. 5:13) Malaikat yang segera menutup bakul itu meyakinkan kita akan hal ini.

Yehuwa berusaha untuk memastikan ibadat sejati tetap murni (Lihat perenggan 16-18)

16. (a) Apakah yang berlaku kepada bakul itu? (Lihat gambar ketiga pada permulaan rencana.) (b) Ke manakah dua wanita yang bersayap membawa bakul itu?

16 Kemudian, dua wanita yang mempunyai sayap yang kuat seperti sayap burung ranggung muncul. (Baca Zakharia 5:9-11.) Dua wanita ini berbeza daripada wanita yang di dalam bakul! Wanita-wanita ini menggunakan sayap mereka yang kuat untuk mengangkat bakul yang mengandungi “kejahatan.” Ke manakah mereka membawa bakul itu? “Ke Babilonia.” Mengapakah mereka membawanya ke Babilonia?

17, 18. (a) Mengapakah Babilonia merupakan tempat yang sesuai bagi “kejahatan”? (b) Apakah seharusnya tekad kita?

17 Bagi orang Israel pada zaman Zakharia, Babilonia memang tempat yang sesuai untuk mengurung “kejahatan.” Zakharia dan orang Yahudi yang membesar di Babilonia tahu bahawa kota itu sarat dengan penyembahan berhala dan perbuatan yang tidak bermoral. Mereka perlu berjuang keras setiap hari agar tidak dicemari pengaruh jahat di situ. Maka penglihatan itu pasti telah melegakan hati mereka, kerana mereka diyakinkan bahawa Yehuwa akan memelihara ibadat yang murni!

18 Namun, penglihatan ini juga mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka harus mengekalkan ibadat yang murni. Kejahatan tidak boleh dan tidak akan dibenarkan menyusup masuk ke dalam kalangan umat Yehuwa. Setelah kita berada di bawah naungan organisasi Yehuwa yang murni, kita bertanggungjawab untuk mengekalkan kemurniannya. Kejahatan dalam bentuk apa pun tidak ada tempatnya di dalam firdaus rohani kita.

UMAT YANG BERSIH MEMULIAKAN YEHUWA

19. Bagaimanakah penglihatan Zakharia mempengaruhi kita pada hari ini?

19 Penglihatan Zakharia yang keenam dan ketujuh merupakan amaran yang tegas kepada orang yang terus berbuat jahat, bahawa Yehuwa tidak bertoleransi terhadap salah laku. Sebagai penyembah-Nya, kita juga harus membenci kejahatan. Jika kita berusaha untuk menyenangkan hati Tuhan, kita akan dilindungi-Nya, diberkati-Nya, dan tidak ditimpa kutukan-Nya. Semua usaha kita untuk tetap bersih dalam dunia yang penuh kejahatan ini tidak akan sia-sia. Yakinlah bahawa kita boleh berjaya dengan bantuan Yehuwa! Namun, mengapakah kita yakin bahawa ibadat sejati akan bertahan di dunia yang penuh kejahatan ini? Apakah yang meyakinkan kita bahawa Yehuwa akan melindungi organisasi-Nya seraya kita mendekati kesengsaraan besar? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.