Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kereta Kuda dan Mahkota yang Melindungi Anda

Kereta Kuda dan Mahkota yang Melindungi Anda

‘Semua hal itu akan berlaku jika kamu sungguh-sungguh mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu.’​—ZA. 6:15.

LAGU: 61, 22

1, 2. Apabila penglihatan Zakharia yang ketujuh berakhir, bagaimanakah keadaan orang Yahudi di Yerusalem?

APABILA penglihatan Zakharia yang ketujuh berakhir, dia pasti dikuatkan oleh janji Yehuwa untuk menghukum orang yang tidak jujur. Namun, keadaan di depan matanya masih tidak berubah. Kejahatan dan penyelewengan masih berleluasa, dan projek pembinaan Rumah Yehuwa di Yerusalem masih tergendala. Mengapakah orang Yahudi begitu cepat meninggalkan tugasan yang diberikan Tuhan? Adakah mereka pulang ke Yerusalem semata-mata untuk mengejar kesenangan hidup?

2 Zakharia tahu bahawa orang Yahudi yang berpindah ke Yerusalem ialah lelaki dan wanita yang beriman. ‘Tuhan telah menggerakkan hati mereka’ agar meninggalkan rumah dan perniagaan mereka di Babilon, lalu pergi ke negeri yang tidak pernah dikunjungi oleh kebanyakan daripada mereka. (Ezr. 1:2, 3, 5) Mereka perlu menempuh banyak kesusahan dalam perjalanan itu yang kira-kira 1,600 km jauhnya. Sudah pasti mereka tidak sanggup mengharungi semua itu jika pembinaan Rumah Yehuwa tidak penting bagi mereka.

3, 4. Apakah halangan yang dihadapi oleh orang Yahudi yang kembali ke Yerusalem?

3 Sepanjang perjalanan, orang Yahudi mempunyai banyak masa untuk berfikir tentang tempat yang akan didiami mereka. Orang yang lebih tua antara mereka pernah melihat keindahan Rumah Tuhan dahulu dan menceritakannya kepada mereka. (Ezr. 3:12) Jika anda menyertai mereka, apakah perasaan anda semasa anda nampak keadaan Yerusalem? Adakah anda akan berasa sedih semasa melihat reruntuhan yang dipenuhi lalang? Adakah anda akan membandingkan tembok kota Babilon yang tinggi dengan tembok Yerusalem yang rosak dan berlubang? Namun, umat Tuhan tidak tawar hati kerana mereka sudah menyaksikan penyelamatan daripada Yehuwa sepanjang perjalanan. Setibanya di situ, mereka membina mazbah di tapak Rumah Tuhan dahulu, dan mula mempersembahkan korban kepada Yehuwa setiap hari. (Ezr. 3:1, 2) Nampaknya tiada apa-apa yang dapat melemahkan semangat mereka ketika itu.

4 Orang Israel ada banyak kerja yang perlu dibuat. Selain membina Rumah Tuhan, mereka perlu membina semula kota mereka. Mereka harus membaiki rumah, bercucuk tanam, dan menyara keluarga. (Ezr. 2:70) Tidak lama kemudian, usaha mereka ditentang keras. Meskipun mereka berdiri teguh pada mulanya, tentangan musuh yang berlanjutan selama 15 tahun akhirnya mematahkan semangat mereka. (Ezr. 4:1-4) Pada tahun 522 SM, mereka menerima tamparan besar apabila raja Persia mengharamkan kerja pembinaan di Yerusalem. Nampaknya kota itu tidak akan dibina semula.​—Ezr. 4:21-24.

5. Bagaimanakah Yehuwa membantu umat-Nya yang patah semangat?

5 Yehuwa tahu apa yang diperlukan umat-Nya, maka Dia memberi Zakharia satu lagi penglihatan. Melalui penglihatan yang terakhir itu, Tuhan meyakinkan orang Yahudi bahawa Dia mengasihi mereka dan menghargai kerja keras mereka selama ini. Yehuwa juga menjamin bahawa Dia pasti melindungi mereka yang kembali untuk membina Rumah-Nya. Tuhan menegaskan bahawa kerja pembinaan itu akan selesai dengan berfirman, ‘Semua hal itu akan berlaku jika kamu sungguh-sungguh mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu.’​—Za. 6:15.

PASUKAN TENTERA MALAIKAT

6. (a) Bagaimanakah penglihatan Zakharia yang terakhir bermula? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah kuda-kuda yang menarik kereta kuda berlainan warna?

6 Penglihatan Zakharia yang terakhir mungkin ialah penglihatan yang paling menggalakkan. (Baca Zakharia 6:1-3.) Bayangkan: Empat buah kereta kuda perang keluar “dari antara dua gunung gangsa.” Kuda-kuda yang menarik kereta kuda itu berlainan warna, supaya penunggangnya mudah dibezakan. Kemudian Zakharia bertanya, “Apakah makna kereta kuda ini?” (Za. 6:4) Kita pun ingin tahu jawapannya, kerana penglihatan ini berkait rapat dengan kita.

Yehuwa masih menggunakan para malaikat untuk melindungi dan menguatkan umat-Nya

7, 8. (a) Apakah yang dilambangkan oleh dua buah gunung itu? (b) Mengapakah dua buah gunung itu dibuat daripada gangsa?

7 Dalam Bible, gunung juga mewakili kerajaan. Gunung-gunung dalam catatan Zakharia sama dengan dua buah gunung dalam nubuat Daniel. Salah sebuah gunung melambangkan pemerintahan Yehuwa yang kekal atas segala-galanya, dan satu lagi melambangkan Kerajaan Mesias yang dikuasai Yesus. (Dan. 2:35, 45) Sejak Yesus menjadi raja pada musim luruh tahun 1914, kedua-dua gunung itu memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan kehendak Tuhan di bumi.

8 Mengapakah gunung-gunung itu diperbuat daripada gangsa? Seperti emas, gangsa merupakan logam yang berharga. Yehuwa telah mengarahkan agar gangsa digunakan dalam pembinaan khemah suci dan Rumah Tuhan di Yerusalem. (Kel. 27:1-3; 1 Raj. 7:13-16) Maka dua buah gunung gangsa itu mengingatkan kita betapa unggulnya pemerintahan Yehuwa dan Kerajaan Mesias, yang akan mendatangkan ketenteraman dan berkat kepada umat manusia.

9. Siapakah penunggang kereta kuda itu, dan apakah kerja mereka?

9 Apakah pula yang dilambangkan oleh kereta kuda dan penunggangnya? Penunggang kereta kuda itu ialah malaikat atau kumpulan malaikat. (Baca Zakharia 6:5-8.) Mereka “baru datang dari hadirat Tuhan alam semesta” dan ditugaskan ke kawasan tertentu untuk melaksanakan suatu kerja yang istimewa. Apakah kerja itu? Mereka harus melindungi umat Yehuwa, terutamanya yang datang dari “Babilonia di utara.” Ya, Yehuwa tidak akan membiarkan Babilon menawan umat-Nya lagi. Sudah pasti para pembina Rumah Tuhan pada zaman Zakharia berasa amat lega kerana mereka tidak perlu risau akan diganggu oleh musuh.

10. Nubuat Zakharia tentang kereta kuda dan penunggang kereta kuda meyakinkan kita akan hal apa?

10 Seperti yang berlaku pada zaman Zakharia, Yehuwa, ketua angkatan syurga, masih menggunakan malaikat-Nya untuk melindungi dan menguatkan umat-Nya hari ini. (Mal. 3:6; Ibr. 1:7, 14) Sejak Israel rohani dibebaskan daripada cengkaman Babilon Besar pada tahun 1919, ibadat sejati terus berkembang maju meskipun asyik ditentang. (Why. 18:4) Oleh sebab malaikat melindungi kita, kita tidak perlu takut bahawa organisasi Yehuwa akan ditawan oleh agama palsu lagi. (Mzm. 34:8) Sebaliknya, kita yakin bahawa hamba-hamba Yehuwa di serata bumi akan terus menikmati kemakmuran rohani yang berlimpah-limpah. Penglihatan Zakharia merupakan jaminan bahawa kita akan selamat di bawah naungan kedua-dua gunung itu.

11. Mengapakah kita tidak perlu berasa takut apabila umat Tuhan diserang?

11 Tidak lama lagi, kuasa-kuasa politik dunia Syaitan akan bergabung untuk memusnahkan umat Tuhan. (Yeh. 38:2, 10-12; Dan. 11:40, 44, 45; Why. 19:19) Dalam nubuat Yehezkiel, kuasa-kuasa itu digambarkan seperti badai dan pasukan berkuda yang datang menyerang kita dengan kemarahan yang berkobar-kobar. (Yeh. 38:15, 16) * Perlukah kita berasa takut? Tidak! Pasukan tentera malaikat berada di pihak kita. Semasa kesengsaraan besar, mereka akan melindungi umat Yehuwa dan memusnahkan orang yang menentang kedaulatan-Nya. (2 Tes. 1:7, 8) Hari itu memang dahsyat! Namun, siapakah yang akan memimpin angkatan tentera Yehuwa?

YEHUWA MELANTIK RAJA DAN IMAM-NYA

12, 13. (a) Apakah yang dilakukan Zakharia selepas itu? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa lelaki yang bernama Tunas ialah Yesus Kristus?

12 Zakharia mendapat lapan penglihatan yang hanya diberikan kepadanya. Namun selepas itu, dia melakukan sesuatu yang akan dilihat oleh orang lain dan yang akan menggalakkan para pembina Rumah Tuhan. (Baca Zakharia 6:9-12.) Zakharia disuruh mengambil persembahan emas dan perak daripada Heldai, Tobia, dan Yedaya, tiga orang yang baru kembali dari pembuangan di Babilonia, dan membuat “sebuah mahkota” daripada persembahan mereka. (Za. 6:11) Adakah Zakharia disuruh meletakkan mahkota itu di atas kepala Gabenor Zerubabel yang datang daripada suku Yehuda dan daripada keturunan Daud? Tidak. Para pemerhati tentu terkejut apabila melihat mahkota itu diletakkan di atas kepala Imam Agung Yosua.

13 Adakah Imam Agung Yosua dilantik untuk menjadi raja? Tidak, kerana dia bukan daripada keturunan Daud. Sebaliknya, Imam Agung yang memakai mahkota menggambarkan seorang raja dan imam yang kekal, yang akan muncul pada masa depan. Raja dan imam itu bernama Tunas, dan Bible menyatakan dengan jelas bahawa Tunas ialah Yesus Kristus. *​—Yes. 11:1; Mat. 2:23.

14. Apakah yang perlu dilakukan Yesus sebagai Raja dan Imam Agung?

14 Sebagai Raja dan Imam Agung, Yesus ialah pemimpin angkatan tentera Yehuwa. Dia bekerja keras supaya umat Yehuwa berasa selamat dalam dunia yang ganas ini. (Yer. 23:5, 6) Tidak lama lagi, Kristus akan mengalahkan bangsa-bangsa demi menjunjung kedaulatan Tuhan dan mempertahankan umat-Nya. (Why. 17:12-14; 19:11, 14, 15) Namun sebelum hari itu tiba, Tunas perlu melaksanakan satu tugas yang besar.

DIA AKAN MEMBINA RUMAH TUHAN

15, 16. (a) Bagaimanakah umat Tuhan dipulihkan dan dimurnikan pada hari ini, dan oleh siapa? (b) Apakah keadaan bumi pada penghujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

15 Selain ditugaskan sebagai Raja dan Imam Agung, Yesus juga ditugaskan untuk ‘membina Rumah Yehuwa.’ (Baca Zakharia 6:13.) Pada zaman moden, kerja pembinaan Yesus merangkumi pembebasan umat Tuhan daripada Babilon Besar dan pemulihan sidang Kristian pada tahun 1919. Dia juga melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memimpin kerja yang sedang dijalankan di Rumah Rohani Tuhan di bumi. (Mat. 24:45) Selain itu, Yesus sibuk memurnikan umat Tuhan dan membantu mereka menjalankan ibadat yang murni.​—Mal. 3:1-3.

16 Semasa Pemerintahan Seribu Tahun, Yesus dan 144,000 orang yang akan menjadi raja dan imam bersamanya akan membantu manusia menjadi sempurna. Apabila hal ini terlaksana, hanya penyembah sejati Tuhan yang akan tinggal di bumi. Akhirnya, ibadat sejati akan dipulihkan dengan sepenuhnya!

SERTAILAH KERJA PEMBINAAN

17. Apakah jaminan yang diberikan Yehuwa kepada orang Yahudi? Bagaimanakah perkhabaran-Nya mempengaruhi mereka?

17 Bagaimanakah perkhabaran Zakharia mempengaruhi orang Yahudi pada zamannya? Hati mereka yang lesu tentu dipenuhi harapan setelah mendengar bahawa Yehuwa pasti membantu dan melindungi mereka, dan bahawa Rumah Tuhan pasti akan dibina. Namun bagaimanakah mereka dapat melaksanakan tugas yang begitu besar sedangkan bilangan mereka hanya sedikit? Kata-kata Zakharia yang seterusnya telah melenyapkan segala ketakutan dan keraguan mereka. Selain mendapat sokongan daripada orang yang setia seperti Heldai, Tobia, dan Yedaya, Tuhan berkata bahawa banyak orang akan ‘datang untuk membantu membina Rumah Yehuwa.’ (Baca Zakharia 6:15.) Dengan adanya jaminan Tuhan, orang Yahudi segera menyambung kerja pembinaan mereka meskipun kerja itu dilarang. Tidak lama kemudian, Yehuwa menyingkirkan larangan yang bagaikan gunung besar itu, lalu Rumah Tuhan siap dibina pada tahun 515 SM. (Ezr. 6:22; Za. 4:6, 7) Namun firman Yehuwa itu menggambarkan perkara yang lebih agung pada hari ini.

Yehuwa tidak akan melupakan kasih yang kita tunjukkan kepada-Nya! (Lihat perenggan 18, 19)

18. Bagaimanakah Zakharia 6:15 menjadi kenyataan pada hari ini?

18 Hari ini, jutaan orang yang menyertai ibadat sejati didorong untuk memberikan persembahan “yang terbaik,” iaitu masa, tenaga, dan harta benda mereka, untuk menyokong Rumah Rohani Yehuwa. (Ams. 3:9) Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa menghargai sokongan kita? Ingatlah bahawa bahan-bahan untuk mahkota yang dibuat oleh Zakharia diberikan oleh Heldai, Tobia, dan Yedaya. Mahkota itu telah disimpan untuk “mengenang” sumbangan mereka kepada ibadat sejati. (Za. 6:14) Begitu juga, kerja dan kasih kita untuk Yehuwa tidak akan dilupakan sama sekali. (Ibr. 6:10) Semua itu akan diabadikan dalam ingatan Yehuwa.

19. Bagaimanakah penglihatan-penglihatan Zakharia patut mempengaruhi kita pada hari ini?

19 Segala pencapaian umat Tuhan pada hari-hari terakhir ini merupakan bukti yang kukuh akan berkat Yehuwa dan kepimpinan Kristus. Kita bersyukur kerana dapat menganggotai sebuah organisasi yang stabil, selamat, dan berkekalan. Kehendak Yehuwa bagi ibadat sejati “akan berlaku.” Maka, hargailah penghormatan anda untuk menjadi umat Yehuwa, dan ‘patuhilah perintah Yehuwa dengan sungguh-sungguh.’ Dengan demikian, anda akan terus dilindungi oleh Raja dan Imam Agung kita dan oleh para penunggang kereta kuda di syurga. Lakukan apa yang terdaya untuk menyokong ibadat sejati, dan anda pasti akan dilindungi oleh Yehuwa sepanjang penghujung sistem dunia ini dan untuk selama-lamanya!

^ per. 11 Untuk maklumat lanjut, sila lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2015, ms. 29-30.

^ per. 13 Perkataan “orang Nasaret” mungkin berasal daripada perkataan Ibrani “tunas.”