Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tirulah Iman dan Ketaatan Nuh, Daniel, dan Ayub

Tirulah Iman dan Ketaatan Nuh, Daniel, dan Ayub

“Nuh, Daniel, dan Ayub . . . meskipun mereka baik di mata-Ku, mereka hanya dapat menyelamatkan nyawa mereka sendiri.”​—YEH. 14:14.

LAGU: 89, 119

1, 2. (a) Mengapakah contoh Nuh, Daniel, dan Ayub dapat menguatkan kita? (b) Apakah keadaan Yerusalem semasa Yehezkiel menulis kata-kata di Yehezkiel 14:14?

ADAKAH anda sedang menghadapi cubaan seperti penyakit, masalah kewangan, atau penganiayaan? Adakah anda berasa susah untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita? Jika ya, teladan Nuh, Daniel, dan Ayub dapat menguatkan anda. Mereka tidak sempurna dan menghadapi cabaran seperti kita. Ada kalanya, nyawa mereka terancam, tetapi kesetiaan mereka tidak tergoyah. Di mata Tuhan, iman dan ketaatan mereka memang wajar diteladani.​—Baca Yehezkiel 14:12-14.

2 Kata-kata dalam ayat tema kita ditulis oleh Yehezkiel di Babilonia pada tahun 612 SM. * (Yeh. 1:1; 8:1) Kebanyakan penduduk Yerusalem tidak setia, dan kota itu bakal dimusnahkan pada tahun 607 SM. Hanya segelintir orang yang terselamat kerana mereka taat dan setia seperti Nuh, Daniel, dan Ayub. (Yeh. 9:1-5) Antara mereka ialah Yeremia, Barukh, Ebed-melekh, dan puak Rekhab.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Hari ini, hanya orang yang dianggap tidak bercela oleh Yehuwa, seperti Nuh, Daniel, dan Ayub, akan diselamatkan semasa dunia jahat ini dimusnahkan. (Why. 7:9, 14) Sekarang, mari kita bincangkan sebabnya Yehuwa menganggap mereka bertiga sebagai teladan baik. Kita akan bertumpu kepada (1) cabaran yang dihadapi mereka dan (2) cara untuk meniru iman dan ketaatan mereka.

NUH BERIMAN DAN TAAT SELAMA 900 TAHUN

4, 5. Apakah cabaran yang dihadapi Nuh? Mengapakah ketabahannya sungguh menakjubkan?

4 Cabaran yang dihadapi Nuh. Pada zaman Henokh, moyang Nuh, manusia sudah sangat jahat dan bahkan “melemparkan kata-kata celaan” terhadap Yehuwa. (Yud. 14, 15) Pada zaman Nuh, situasi itu makin buruk sehingga “bumi penuh dengan keganasan.” Malaikat jahat menjelma menjadi manusia dan mengahwini wanita, lalu lahirlah anak yang ganas dan kejam. (Kej. 6:2-4, 11, 12) Tetapi Nuh sangat berbeza. “Nuh menyenangkan hati Yehuwa. . . . Pada zamannya, dialah satu-satunya orang yang tidak berbuat salah. Nuh hidup akrab dengan Tuhan.”​—Kej. 6:8, 9.

5 Melalui ayat tadi, apakah yang kita belajar tentang Nuh? Sebelum Banjir datang, Nuh hidup akrab dengan Yehuwa dalam dunia yang jahat bukan untuk 70 atau 80 tahun, tetapi untuk hampir 600 tahun! (Kej. 7:11) Pada masa itu, dia tidak ada sokongan sidang seperti yang kita ada hari ini, dan nampaknya adik-beradik Nuh juga tidak membantunya secara rohani. *

6. Bagaimanakah Nuh menunjukkan keberanian yang besar?

6 Bagi Nuh, sekadar berbuat baik tidak cukup. Dia juga mengisytiharkan kepercayaannya terhadap Yehuwa dan “menyebarkan apa yang benar.” (2 Ptr. 2:5) Rasul Paulus menulis bahawa “melalui imannya, Nuh menunjukkan bahawa dunia [itu] patut dihukum.” (Ibr. 11:7) Sudah pasti, Nuh diejek, ditentang, dan bahkan mungkin diugut kerana berbuat demikian, tetapi dia tidak “takut akan manusia.” (Ams. 29:25) Sebaliknya, dia memiliki keberanian yang dikurniakan Yehuwa kepada hamba-hamba-Nya.

7. Apakah cabaran yang dihadapi Nuh semasa membina bahtera?

7 Selepas hidup akrab dengan Tuhan selama 500 tahun, Nuh disuruh membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan manusia dan binatang. (Kej. 5:32; 6:14) Projek itu bukan sahaja amat mencabar, malah akan mengundang lebih banyak ejekan dan tentangan. Tetapi Nuh beriman dan taat. “Dia melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Tuhan.”​—Kej. 6:22.

8. Bagaimanakah Nuh menunjukkan keyakinannya bahawa Yehuwa pasti menjaga keperluannya?

8 Nuh juga perlu menyediakan keperluan keluarganya. Hal itu tidak mudah, kerana sebelum Banjir, manusia perlu membanting tulang untuk mendapat hasil tanah, dan Nuh juga tidak terkecuali. (Kej. 5:28, 29) Meskipun begitu, tumpuan utama Nuh ialah Tuhan, bukan keperluan fizikal. Semasa dia sibuk membina bahtera, kerja yang mengambil masa 40 atau 50 tahun lamanya, dia tetap bertumpu kepada hal rohani. Selepas Banjir, dia masih berbuat demikian selama 350 tahun. (Kej. 9:28) Tidakkah anda kagum dengan iman dan ketaatannya?

9, 10. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru iman dan ketaatan Nuh? (b) Jika kita menjunjung piawaian Tuhan, apakah yang pasti dilakukan-Nya?

9 Cara untuk meniru iman dan ketaatan Nuh. Kita perlu menjunjung piawaian Tuhan, tidak menjadi sebahagian daripada dunia Syaitan, dan mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Mat. 6:33; Yoh. 15:19) Cara hidup sedemikian tidak disenangi dunia. Apabila kita berpegang teguh pada prinsip moral Tuhan, seperti dalam hal perkahwinan dan seks, kita dipandang negatif di sesetengah negara. (Baca Maleakhi 3:17, 18.) Namun seperti Nuh, kita takut akan Tuhan, bukan manusia. Kita tahu bahawa hanya Dia yang dapat memberikan kehidupan kekal.​—Luk. 12:4, 5.

10 Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda akan terus “hidup akrab dengan Tuhan” walaupun dikritik, diejek, atau dilanda masalah ekonomi yang menguji iman anda? Jika anda meniru iman dan ketaatan Nuh, yakinlah bahawa Yehuwa pasti akan menjaga anda.​—Flp. 4:6, 7.

DANIEL BERIMAN DAN TAAT DALAM KOTA YANG JAHAT

11. Apakah cabaran besar yang dihadapi Daniel dan tiga orang rakannya di Babilon? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Cabaran yang dihadapi Daniel. Dia ditawan ke kota Babilon, tempat yang penuh dengan berhala dan amalan sihir. Tambahan lagi, orang Babilon memandang hina terhadap orang Yahudi, mencemuh mereka, dan mentertawakan Tuhan mereka, Yehuwa. (Mzm. 137:1, 3) Bagi orang Yahudi yang setia seperti Daniel, hal itu sungguh menyedihkan! Selain itu, dia dan tiga orang rakannya, iaitu Hanania, Misael, dan Azarya, juga menjadi tumpuan orang, kerana mereka akan dilatih untuk berkhidmat kepada raja. Mereka perlu memakan hidangan yang tertentu, dan hal itu menjadi masalah bagi Daniel, yang enggan “mencemari dirinya dengan makanan dan wain raja.”​—Dan. 1:5-8, 14-17.

12. (a) Apakah sifat murni yang dimiliki Daniel? (b) Apakah pandangan Yehuwa terhadap Daniel?

12 Daniel juga menghadapi satu cabaran yang kurang ketara: Dia sangat berbakat dan diberi tugas-tugas istimewa. (Dan. 1:19, 20) Semua itu mungkin membuatnya menjadi sombong atau berlagak pandai, tetapi dia tidak bersikap begitu. Sebaliknya dia tetap rendah hati, mengakui keterbatasan sendiri, dan sentiasa memuliakan Yehuwa. (Dan. 2:30) Semasa Yehuwa menyebut Daniel bersama Nuh dan Ayub sebagai teladan yang baik, Daniel masih sangat muda. Sungguhpun begitu, Daniel tidak menghampakan Tuhan. Dia taat dan setia sehingga akhir hayatnya. Ketika Daniel sudah hampir berumur 100 tahun, malaikat Tuhan memberitahunya, “Wahai Daniel, kamu sangat berharga di mata Tuhan.”​—Dan. 10:11.

13. Apakah satu sebab Yehuwa membolehkan Daniel menjadi pegawai tinggi?

13 Dengan adanya berkat Tuhan, Daniel dijadikan pegawai tinggi di Babilon dan kemudiannya dalam kerajaan Media dan Persia. (Dan. 1:21; 6:1, 2) Yehuwa mungkin berbuat demikian supaya Daniel dapat membantu bangsanya, seperti halnya dengan Yusuf di Mesir dan Ester dan Mordekhai di Persia. * (Dan. 2:48) Tawanan Yahudi seperti Yehezkiel pasti berasa sangat lega untuk melihat bagaimana Yehuwa menggunakan Daniel untuk membantu mereka!

Semua orang yang tetap setia berharga di mata Yehuwa (Lihat perenggan 14, 15)

14, 15. (a) Bagaimanakah situasi kita hari ini mirip dengan keadaan Daniel? (b) Bagaimanakah ibu bapa zaman ini dapat mengikut teladan ibu bapa Daniel?

14 Cara untuk meniru iman dan ketaatan Daniel. Hari ini, kita hidup seperti orang asing dalam dunia yang diracuni secara moral dan rohani oleh Babilon Besar, empayar agama palsu sedunia yang menjadi “tempat tinggal roh-roh jahat.” (Why. 18:2) Oleh itu, kita berbeza daripada kebanyakan orang dan bahkan menjadi bahan ejekan. (Mrk. 13:13) Namun, seperti Daniel, kita ingin menghampiri Yehuwa. Apabila kita taat dan yakin kepada-Nya dan tetap rendah hati, kita juga menjadi orang yang berharga di mata-Nya.​—Hag. 2:7.

15 Ibu bapa sekalian, apakah yang dapat anda belajar daripada ibu bapa Daniel? Semasa Daniel kecil, negeri Yehuda dipenuhi kejahatan, namun dia tetap mengasihi Tuhan. Hal itu tidak terjadi secara kebetulan, tetapi menunjukkan betapa baiknya latihan yang diberikan oleh ibu bapa Daniel. (Ams. 22:6) Nama Daniel, yang bermaksud “Tuhan ialah Hakimku,” juga menunjukkan bahawa ibu bapanya menghormati Tuhan. (Dan. 1:6, nota kaki) Maka, ajarlah anak anda dengan sabar dan janganlah putus asa. (Ef. 6:4) Berdoalah untuk mereka dan bersama mereka. Usaha anda untuk menanamkan kebenaran Bible dalam hati mereka akan membawa berkat yang besar daripada Yehuwa.​—Mzm. 37:5.

AYUB BERIMAN DAN TAAT SEMASA MISKIN DAN KAYA

16, 17. Apakah cabaran yang dihadapi Ayub semasa (a) dia kaya dan disegani? (b) dia ditimpa musibah?

16 Cabaran yang dihadapi Ayub. Kehidupan Ayub bagaikan sandiwara yang dramatik. Sebelum diuji, dia “merupakan orang yang terhormat dalam kalangan penduduk di daerah Timur.” (Ayb. 1:3) Dia kaya, masyhur, dan disegani. (Ayb. 29:7-16) Meskipun begitu, Ayub tidak bermegah diri atau berasa bahawa dia tidak memerlukan Tuhan. Setelah memanggilnya “hamba-Ku,” Yehuwa berfirman, “Dia setia dan tulus hati. Dia takut kepada-Ku dan menjauhi kejahatan.”​—Ayb. 1:8.

17 Dalam masa yang singkat, mutu hidup Ayub jatuh menjunam. Dia kehilangan segala-galanya dan bahkan ingin mati. Kini, kita tahu bahawa segala musibah itu disebabkan oleh Syaitan, makhluk yang menuduh bahawa Ayub menyembah Yehuwa demi kepentingan diri. (Baca Ayub 1:9, 10.) Yehuwa telah bertindak untuk menangkis tuduhan keji itu. Bagaimana? Ayub diberi peluang untuk membuktikan bahawa dia memang setia dan menyembah Tuhan dengan hati yang ikhlas.

18. (a) Mengapakah anda kagum dengan teladan Ayub? (b) Apakah yang kita belajar tentang Yehuwa daripada cara Dia memperlakukan Ayub?

18 Cara Syaitan menyerang Ayub menyebabkan Ayub berfikir bahawa malapetaka yang menghujaninya datang daripada Tuhan. (Ayb. 1:13-21) Ekoran itu, tiga sahabat palsu Ayub datang dan memberitahunya bahawa dia sedang dihukum oleh Tuhan kerana kejahatannya. Kata-kata mereka pasti menusuk hati Ayub. (Ayb. 2:11; 22:1, 5-10) Namun, Ayub tetap setia. Meskipun dia pernah bercakap dengan melulu, Yehuwa faham bahawa hati Ayub terlalu pilu dan luka. (Ayb. 6:1-3) Dalam pandangan Yehuwa, Ayub tetap setia kepada-Nya walaupun Syaitan seolah-olah menghempaskannya ke tanah dan membedilnya dengan nista dan celaan. Selepas cubaan itu berakhir, Yehuwa memberi Ayub dua kali ganda apa yang pernah dimilikinya, dan membolehkannya hidup 140 tahun lagi. (Yak. 5:11) Sudah tentu Ayub tetap setia kepada Yehuwa sepanjang masa itu, kerana kata-kata yang menjadi ayat tema kita ditulis oleh Yehezkiel ratusan tahun selepas Ayub meninggal.

19, 20. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru iman dan ketaatan Ayub? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru belas kasihan Yehuwa?

19 Cara untuk meniru iman dan ketaatan Ayub. Tidak kira apa yang terjadi, semoga kita sentiasa mengutamakan Yehuwa, yakin kepada-Nya, dan mentaati-Nya dengan sepenuh hati. Kita ada sebab yang lebih kukuh daripada Ayub untuk berbuat demikian! Contohnya, kita lebih mengenali Syaitan dan muslihatnya. (2 Kor. 2:11) Melalui catatan Bible seperti kisah Ayub, kita tahu sebabnya Tuhan mengizinkan penderitaan berlaku. Kita juga belajar daripada nubuat Daniel bahawa Kerajaan Tuhan yang diperintah oleh Kristus Yesus akan memerintah seluruh bumi dan mengakhiri semua kesusahan tidak lama lagi.​—Dan. 7:13, 14.

20 Pengalaman Ayub mengajar kita pentingnya bertimbang rasa terhadap rakan seiman yang sedang menderita. Mereka mungkin bercakap dengan melulu seperti Ayub, tetapi janganlah kita menghakimi mereka. (Pkh. 7:7) Sebaliknya, cubalah memahami dan menyelami perasaan mereka, kerana itulah caranya kita meniru kasih dan belas kasihan Yehuwa.​—Mzm. 103:8.

YEHUWA “AKAN MENGUATKAN KAMU”

21. Bagaimanakah 1 Petrus 5:10 mengingatkan kita tentang kisah hidup Nuh, Daniel, dan Ayub?

21 Nuh, Daniel, dan Ayub, hidup pada masa yang berbeza dan menghadapi cabaran yang berlainan. Namun, ketabahan mereka mengingatkan kita tentang kata-kata Rasul Petrus: ‘Selepas kamu menderita buat suatu jangka waktu yang singkat, Tuhan yang penuh dengan kebaikan hati yang unggul akan menyempurnakan latihan kamu. Dia akan meneguhkan kamu, menguatkan kamu, dan mengukuhkan kamu.’​—1 Ptr. 5:10.

22. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

22 Melalui kata-kata Petrus, Yehuwa menjamin bahawa Dia pasti meneguhkan dan menguatkan hamba-hamba-Nya. Kata-kata itu juga benar bagi umat Tuhan hari ini. Kita tentu ingin Yehuwa meneguhkan dan mengukuhkan kita. Maka, tirulah iman dan ketaatan Nuh, Daniel, dan Ayub! Rencana seterusnya akan membincangkan kunci kepada kesetiaan mereka: Mereka benar-benar mengenali Yehuwa dan “memahami segala sesuatu” yang dikehendaki-Nya. (Ams. 28:5) Kita juga dapat berbuat demikian.

^ per. 2 Yehezkiel dibawa ke Babilonia pada tahun 617 SM. Yehezkiel 8:1–19:14 ditulis pada “tahun keenam” pembuangan itu, iaitu pada tahun 612 SM.

^ per. 5 Lamekh, bapa Nuh yang merupakan penyembah Tuhan, meninggal kira-kira lima tahun sebelum Banjir berlaku. Jika ibu dan adik-beradik Nuh masih hidup semasa Banjir bermula, mereka tidak terselamat.

^ per. 13 Barangkali, Yehuwa membolehkan tiga orang rakan Daniel menjadi pegawai raja untuk tujuan yang sama.​—Dan. 2:49.