Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah kita tidak dibenarkan memaparkan bahan terbitan Saksi-Saksi Yehuwa di laman web peribadi atau di laman sosial?

Bahan bacaan kita diberikan secara percuma, maka sesetengah pihak berasa bahawa tidak salah untuk memaparkannya di laman web lain atau di laman sosial. Namun, perbuatan itu melanggar Syarat Penggunaan * laman kita dan pernah menimbulkan masalah yang serius. Seperti yang dinyatakan dalam Syarat itu, tiada orang boleh “memaparkan gambar, bahan bacaan elektronik, tanda dagang, muzik, foto, video, atau rencana dari laman web ini dalam Internet (sama ada laman web, laman perkongsian fail, laman perkongsian video, atau rangkaian sosial).” Mengapa?

Tiada orang dibenarkan memaparkan bahan terbitan kita di laman web lain

Hak cipta semua bahan di laman web kita terpelihara. Golongan murtad dan penentang lain pernah memaparkan bahan bacaan kita di laman web mereka untuk mengumpan saudara saudari dan orang lain supaya membaca maklumat yang menimbulkan keraguan. (Mzm. 26:4; Ams. 22:5) Ada pula yang menggunakan bahan kita atau logo jw.org dalam iklan, produk jualan, dan aplikasi alat mudah alih. Maka dengan melindungi hak cipta dan tanda dagang, kami dapat menggunakan undang-undang untuk mencegah penyalahgunaan sedemikian. (Ams. 27:12) Namun, pihak mahkamah mungkin tidak akan menyokong usaha kami untuk menghalang perbuatan penentang dan para peniaga jika kami membiarkan orang lain, bahkan saudara saudari, untuk memaparkan bahan digital kami di laman web lain atau menggunakan logo jw.org untuk menjual barang.

Terdapat risiko jika kita memuat turun bahan bacaan kita dari laman web selain jw.org. Yehuwa hanya memberikan tanggungjawab untuk menyediakan makanan rohani kepada “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) “Hamba” itu hanya menggunakan laman web rasmi berikut untuk menyebarkan makanan rohani: www.pr418.com, tv.pr418.com, dan wol.pr418.com. Kita hanya ada tiga aplikasi rasmi untuk alat mudah alih, iaitu JW Language®, JW Library®, dan JW Library Sign Language®. Semua bahan di situ bebas daripada iklan dan tidak dicemari dunia Syaitan. Tetapi jika makanan rohani kita diperoleh menerusi sumber lain, kita mungkin mendapat maklumat yang sudah diputarbelitkan atau yang dicemari.​—Mzm. 18:26; 19:8.

Tambahan lagi, jika bahan bacaan dipaparkan di laman web yang membolehkan pengguna memasukkan komen, golongan murtad dan para pengkritik akan berpeluang menanam syak wasangka terhadap organisasi Yehuwa. Sesetengah rakan seiman terjerat dalam perdebatan dalam talian sehingga nama Yehuwa dicela. Ingatlah, forum di Internet bukanlah tempat yang sesuai untuk “mengajar orang yang suka menentang.” (2 Tim. 2:23-25; 1 Tim. 6:3-5) Terdapat juga akaun media sosial dan laman web palsu yang diciptakan atas nama organisasi kita, Badan Pimpinan, dan ahli Badan Pimpinan. Namun, tiada seorang ahli Badan Pimpinan pun yang ada laman peribadi atau akaun sosial media.

Dengan menjemput orang lain untuk mengunjungi jw.org, kita sedang membantu menyebarkan “berita baik.” (Mat. 24:14) Alat bantuan digital yang disediakan untuk kerja penyebaran sentiasa ditingkatkan mutunya. Kami ingin semua orang memanfaatkannya. Oleh itu, seperti yang dinyatakan dalam Syarat Penggunaan, anda boleh mengongsi pautan atau mengirim salinan elektronik bahan terbitan daripada jw.org. Dengan memperkenalkan laman web rasmi kita kepada orang yang berminat, kita sedang membantu mereka mendapat makanan rohani daripada satu-satunya sumber yang sah, iaitu “hamba yang setia dan bijaksana.”

^ per. 1 Pautan kepada Syarat Penggunaan terdapat di bahagian bawah halaman utama jw.org, dan semua maklumat di laman web kita tertakluk kepada peraturan di situ.