Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Dahulu Miskin, Sekarang Kaya

Dahulu Miskin, Sekarang Kaya

Saya lahir di dalam sebuah rumah balak di Liberty, sebuah pekan yang sangat kecil di Indiana, A.S. Semasa saya lahir, ibu bapa saya sudah ada seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Kemudian, saya mendapat dua orang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

Rumah balak tempat saya lahir

SEPANJANG zaman persekolahan saya, tidak banyak perubahan berlaku di pekan saya. Orang yang bersamamu di darjah satu akan tamat sekolah bersamamu. Kamu tahu nama kebanyakan orang di pekan, dan mereka pun kenal kamu.

Saya ada enam orang adik-beradik, dan belajar kemahiran berkebun semasa muda

Pekan Liberty dikelilingi ladang kecil yang kebanyakannya ladang jagung. Semasa saya lahir, Ayah bekerja untuk seorang peladang tempatan. Semasa remaja, saya belajar memandu traktor dan belajar kemahiran berkebun yang asas.

Ayah berusia 56 tahun semasa saya lahir, dan Mak pula berusia 35 tahun. Walaupun Ayah tidak muda, dia sihat dan tegap. Dia suka bekerja keras, dan dia ajar kami untuk menghargai sifat itu juga. Pendapatannya tidak banyak, tetapi dia memastikan kami ada tempat tinggal, pakaian, dan makanan, dan dia selalu bersama kami. Ayah meninggal pada usia 93 tahun, dan Mak meninggal pada usia 86 tahun. Mereka berdua tidak menyembah Yehuwa, tetapi salah seorang daripada adik lelaki saya berkhidmat sebagai penatua sejak aturan penatua bermula pada awal tahun 1970-an.

SEMASA SAYA KECIL

Mak rajin sembahyang dan akan membawa kami ke gereja Baptis setiap hari Ahad. Saya dengar tentang Tritunggal buat kali pertama semasa berusia 12 tahun. Saya ingin faham ajaran itu, jadi saya tanya Mak, “Bagaimana Yesus boleh jadi Anak dan Bapa pada masa yang sama?” Saya ingat Mak jawab, “Nak, ini misteri. Kita tidak akan memahaminya.” Memang itu misteri! Meskipun begitu, saya masih dibaptis pada usia 14 tahun. Saya direndam tiga kali untuk Tritunggal di sebatang sungai kecil!

1952—Pada umur 17 tahun sebelum menyertai tentera

Semasa di sekolah menengah, seorang kawan yang merupakan petinju profesional ajak saya cuba meninju, jadi saya mula berlatih lalu menyertai kelab petinju Golden Gloves. Saya tidak pandai meninju, jadi saya putus asa selepas beberapa kali. Kemudian, saya dikerah menyertai tentera A.S. dan dihantar ke Jerman. Di situ, saya dimasukkan ke akademi pegawai tanpa tauliah, kerana atasan saya berasa saya ada bakat memimpin. Mereka mahu saya membina kerjaya dalam bidang tentera, tetapi saya tidak mahu. Jadi selepas tamat tempoh dua tahun, saya bersara secara terhormat pada tahun 1956. Tetapi tidak lama kemudian, saya menyertai khidmat tentera yang sangat berbeza.

1954-1956—Berkhidmat selama dua tahun dalam Tentera A.S.

LEMBARAN HIDUP BAHARU

Sebelum mengenali kebenaran, saya telah belajar untuk kelihatan macho, iaitu gambaran lelaki sejati menurut wayang dan pandangan masyarakat. Bagi saya, penginjil tidak cukup macho. Tetapi kemudian saya belajar sesuatu yang mengubah hidup saya. Suatu hari, semasa saya memandu kereta merah saya di pekan, dua orang gadis yang saya kenal melambai-lambai kepada saya. Mereka ialah adik perempuan kepada suami kakak saya, dan mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka pernah beri saya majalah Watchtower dan Awake!, tetapi saya rasa isi Watchtower terlalu dalam. Kali ini, mereka jemput saya untuk menghadiri Pembelajaran Buku Sidang, iaitu pertemuan kecil di rumah mereka untuk mengkaji dan membincangkan Bible. Saya kata saya akan mempertimbangkan jemputan mereka. “Kamu janji?” tanya dua orang gadis itu sambil tersenyum. Saya jawab, “Ya, saya janji.”

Saya agak menyesal, tetapi saya mahu menepati janji. Jadi saya pun hadir pada malam itu. Saya sangat kagum dengan kanak-kanak di situ. Saya tidak percaya mereka begitu pandai tentang Bible! Setelah pergi gereja begitu lama dengan Mak, pengetahuan Bible saya sikit sahaja. Sekarang saya mahu tahu lebih banyak, jadi saya setuju untuk belajar Bible. Awal-awal lagi saya diberitahu bahawa nama Tuhan Yang Maha Kuasa ialah Yehuwa. Dahulu semasa saya tanya Mak tentang Saksi-Saksi Yehuwa, dia kata, “Oh, mereka sembah seorang lelaki tua yang bernama Yehuwa.” Sekarang, barulah mata saya terbuka!

Saya maju dengan cepat kerana saya tahu saya sudah menemui kebenaran. Hampir sembilan bulan setelah menghadiri perjumpaan itu, saya dibaptis pada Mac 1957. Pandangan saya terhadap kehidupan telah berubah. Semasa terfikir tentang perangai macho saya dahulu, saya bersyukur kerana Bible mengajar saya maksud sebenar lelaki sejati. Yesus sempurna, dan semua “abang macho” di dunia ini akan kalah teruk jika dibandingkan dengan kekuatan dan tenaganya. Tetapi dia tidak bergaduh. Sebaliknya, semasa “dia diseksa dan ditindas,” dia menanggungnya dengan sabar, seperti yang dinubuatkan. (Yes. 53:2, 7) Saya belajar bahawa pengikut sejati Yesus perlu “baik hati terhadap semua orang.”​—2 Tim. 2:24.

Tahun berikutnya, tahun 1958, saya mula merintis, tetapi tidak lama kemudian saya perlu berhenti seketika. Mengapa? Kerana saya memutuskan untuk berkahwin. Siapa isteri saya? Gloria, salah seorang daripada dua orang gadis yang mengajak saya ke Pembelajaran Buku Sidang! Saya tidak pernah menyesali keputusan itu. Gloria telah menjadi permata hati saya sejak hari itu sampai sekarang. Bagi saya, dia seperti batu permata Hope, salah satu intan yang termahal di dunia, dan saya sangat gembira kerana dapat mengahwininya. Sekarang, Gloria akan menceritakan serba sedikit tentang dirinya:

“Saya ada 16 orang adik-beradik, dan Mak ialah seorang Saksi yang setia. Dia meninggal semasa saya berumur 14 tahun, ketika Ayah baru mula belajar Bible. Memandangkan Mak sudah tiada, Ayah meminta pengetua sekolah membenarkan saya dan kakak saya, yang di kelas menengah tinggi, menghadiri kelas secara selang-seli setiap hari. Dengan itu, salah seorang daripada kami dapat jaga adik-adik di rumah dan menyiapkan makanan malam sebelum Ayah pulang dari kerja. Pengetua kami setuju, maka kami mengikut aturan itu sehingga kakak saya tamat sekolah. Dua keluarga Saksi telah mengajar kami Bible, dan 11 orang antara kami adik-beradik telah menjadi Saksi. Saya suka menginjil, tetapi saya ini pemalu. Jadi, Sam bantu saya mengatasinya secara beransur-ansur.”

Saya dan Gloria berkahwin pada Februari 1959 dan mula merintis bersama-sama. Pada bulan Julai tahun itu, kami memohon untuk khidmat Bethel, kerana kami ingin berkhidmat di ibu pejabat sedunia. Seorang saudara yang pengasih di Bethel, Simon Kraker, telah menemu duga kami. Dia memberitahu kami bahawa Bethel tidak mengambil pasangan suami isteri pada waktu itu. Keinginan kami untuk berkhidmat di Bethel tidak pernah pudar, tetapi kami perlu tunggu sangat lama sebelum hasrat itu tercapai!

Semasa kami menulis kepada ibu pejabat sedunia dan minta dihantar ke tempat yang lebih memerlukan bantuan, kami hanya diberi satu pilihan: Pine Bluff, Arkansas. Ketika itu, ada dua buah sidang di situ​—sidang orang putih dan sidang orang berkulit hitam. Kami dihantar ke sidang orang berkulit hitam, yang ada kira-kira 14 orang penyiar.

MENGHADAPI MASALAH PENGASINGAN KAUM

Mengapakah sidang Saksi-Saksi Yehuwa dibahagikan mengikut bangsa? Jawapannya secara ringkas ialah: Kami tiada pilihan pada zaman itu. Pertemuan yang dihadiri pelbagai bangsa diharamkan di sisi undang-undang dan mungkin mencetuskan keganasan. Di banyak tempat, jika saudara saudari berbilang bangsa berkumpul untuk beribadat, Dewan Perjumpaan mereka mungkin dimusnahkan, dan hal itu pernah berlaku. Jika Saksi berkulit hitam menginjil dari rumah ke rumah di kawasan orang putih, mereka akan ditahan dan mungkin dibelasah. Jadi, untuk melakukan kerja penyebaran, kami mematuhi undang-undang dan berharap keadaannya akan berubah suatu hari nanti.

Semasa kami menginjil di kawasan orang berkulit hitam, ada kalanya kami terketuk pintu orang putih, jadi kami perlu segera memutuskan sama ada kami akan membuat penyampaian yang singkat atau meminta maaf lalu beredar. Itulah cabaran di sesetengah tempat pada masa itu.

Kami perlu bekerja keras untuk cari makan dan terus merintis. Kebanyakan kerja kami membayar gaji tiga dolar sehari. Gloria membuat kerja pembersihan di beberapa tempat, dan saya dibenarkan membantunya di salah sebuah rumah supaya kerjanya disiapkan dengan lebih cepat. Kami diberi bekal makanan tengah hari untuk dikongsi sebelum beredar. Setiap minggu, Gloria akan menyeterika baju untuk sebuah keluarga. Saya pula membuat kerja di luar seperti mencuci tingkap dan sebagainya. Di rumah sebuah keluarga orang putih, Gloria akan cuci tingkap dari dalam manakala saya akan cuci dari luar. Kerja itu makan masa sepanjang hari, jadi kami diberi makanan tengah hari. Gloria akan makan di dalam rumah tetapi berasingan dengan keluarga itu, dan saya pula makan di luar. Saya tidak kisah pun. Makanan itu sedap, dan keluarga itu baik. Mereka hanya terkunci oleh sistem dan fikiran zaman itu. Pernah sekali selepas kami isi minyak kereta di stesen minyak, saya tanya pekerja di sana sama ada Gloria boleh guna tandas. Orang itu pandang saya dengan garang dan kata, “Sudah kunci.”

KEBAIKAN HATI YANG TETAP DIKENANG

Meskipun begitu, kami sangat menikmati kerja penyebaran dan pergaulan bersama rakan seiman. Apabila kami baru sampai di Pine Bluff, kami tinggal dengan hamba sidang di situ. Isterinya bukan Saksi, jadi Gloria mula belajar bersamanya. Saya pula belajar dengan anak perempuan dan menantu mereka. Akhirnya, ibu itu dan anak perempuannya telah dibaptis.

Kami ada kawan baik dalam sidang orang putih. Mereka akan jemput kami makan di rumah, tetapi hanya semasa hari sudah gelap. Pada zaman itu, Ku Klux Klan (KKK), sebuah pertubuhan yang suka membangkitkan semangat perkauman dan keganasan, sangat aktif. Saya ingat pada suatu malam Halloween, saya nampak seorang lelaki sedang duduk di depan rumahnya dengan memakai kain putih berhud, pakaian yang biasa digunakan oleh ahli KKK. Tetapi keadaan itu tidak menghalang saudara saudari daripada bermurah hati. Pernah sekali, kami tidak cukup wang untuk pergi ke konvensyen, jadi seorang saudara membeli kereta Ford tahun 1950 kami untuk membantu kami. Sebulan kemudian, setelah penat berjalan dari rumah ke rumah di bawah panas terik dan mengadakan pembelajaran Bible, kami pulang dan nampak kereta kami di depan rumah! Di atas cermin kereta terdapat satu nota: “Terimalah kereta kamu sebagai hadiah daripadaku. Saudaramu.”

Saya juga tidak akan lupa apa yang berlaku pada tahun 1962, semasa saya dijemput untuk menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Lansing Selatan, New York. Kursusnya mengambil masa satu bulan dan bertujuan melatih saudara yang menyelia sidang, litar, dan distrik. Tetapi saya menganggur dan tidak cukup wang ketika itu. Sebuah syarikat telefon di Pine Bluff telah menemu duga saya dan memutuskan untuk mengupah saya sebagai pekerja berkulit hitam yang pertama dalam syarikat mereka. Apakah yang harus saya buat? Saya tiada wang untuk pergi ke New York, jadi saya bercadang untuk menerima kerja itu dan tidak pergi ke Sekolah Bible. Semasa saya hendak menulis surat untuk menolak jemputan itu, sesuatu yang sangat istimewa telah berlaku.

Seorang saudari di sidang kami, yang suaminya tidak seiman, mengetuk pintu kami pada satu pagi dan memberi saya sebuah sampul berisi wang. Selama berminggu-minggu, dia dan beberapa anak kecilnya bangun pagi-pagi buta untuk mencabut lalang di ladang kapas supaya mereka dapat mengumpulkan wang bagi saya untuk pergi ke New York. Saudari itu berkata, “Belajarlah banyak-banyak di sekolah supaya kamu dapat pulang dan ajar kami nanti!” Kemudian, saya bertanya kepada syarikat telefon itu sama ada saya boleh mula bekerja lima minggu lebih lewat. Jawapannya sangat jelas: “Tidak!” Tetapi saya tidak kisah. Saya sudah membuat keputusan, dan saya sangat gembira kerana tidak menerima kerja itu!

Beginilah cerita Gloria tentang masa kami di Pine Bluff: “Saya jatuh cinta dengan kawasan itu! Saya ada 15 hingga 20 orang pelajar Bible. Selepas menginjil dari rumah ke rumah pada sebelah pagi, kami akan mengadakan pembelajaran Bible, kadang-kadang sampai pukul 11 malam. Saya sangat suka khidmat ini dan ingin terus melakukannya. Sebenarnya saya keberatan untuk menyertai kerja lawatan, tetapi Yehuwa ada rancangan lain untuk kami.”

KEHIDUPAN DALAM KERJA LAWATAN

Semasa merintis di Pine Bluff, kami memohon untuk menjadi perintis khas. Kami rasa itulah hala tuju kami dan kami sangat menantikannya. Mengapa? Sebab penyelia distrik mahu kami berkhidmat dalam sebuah sidang di Texas sebagai perintis khas. Tetapi setelah lama menunggu, peti surat kami kosong sahaja. Akhirnya, pada Januari 1965, kami menerima sepucuk surat. Kami ditugaskan untuk buat kerja litar! Saudara Leon Weaver, kini koordinator Jawatankuasa Cawangan A.S., juga menjadi penyelia litar pada masa yang sama.

Saya sangat gementar setelah diberi tugasan ini. Kira-kira setahun sebelum itu, James A. Thompson, Jr., penyelia distrik kami, telah memeriksa kelayakan saya. Dia memberitahu saya sesetengah aspek yang perlu saya tingkatkan dan menyebut kemahiran yang diperlukan oleh penyelia litar. Tidak lama selepas saya mula membuat kerja lawatan, saya sedar nasihatnya memang berguna. Selepas saya dilantik, Saudara Thompson menjadi penyelia distrik pertama yang berkhidmat bersama saya. Banyak yang saya belajar daripada saudara yang setia itu.

Saya menghargai bantuan daripada saudara rohani yang setia

Waktu itu, penyelia litar tidak diberi banyak latihan. Selama satu minggu, saya memerhatikan bagaimana seorang penyelia litar membuat lawatannya. Minggu seterusnya dia akan melihat bagaimana saya melawat sidang yang lain dan memberi saya cadangan. Selepas itu, kami harus membuat lawatan tanpa bantuannya. Saya pernah beritahu Gloria, “Kenapa dia harus tinggalkan kami sekarang?” Namun, saya kemudiannya belajar sesuatu: Jika kamu rela dibantu, kamu selalu akan jumpa saudara-saudara yang baik, yang dapat membantu kamu. Saya masih menghargai bantuan daripada saudara yang berpengalaman, seperti J. R. Brown yang membuat kerja lawatan ketika itu, dan Fred Rusk dari Bethel.

Semangat perkauman sangat membara masa itu. Pernah sekali, KKK mengadakan perarakan semasa kami melawat sebuah pekan di Tennessee. Pada masa lain, semasa kumpulan menginjil kami berehat di restoran, saya pergi ke tandas. Tiba-tiba, seorang lelaki berbadan besar dan ada tatu yang membanggakan orang putih, berdiri dan mengekori saya. Tetapi seorang saudara orang putih, yang saiznya jauh lebih besar daripada saya dan lelaki itu, segera datang dan tanya, “Saudara Herd, semuanya ok?” Lelaki itu cepat-cepat beredar tanpa menggunakan tandas. Selama ini, saya telah melihat bahawa sikap prasangka tiada kaitan dengan kulit kita; semuanya disebabkan dosa Adam yang menjangkiti kita. Saya juga belajar bahawa saudara kita tetap saudara kita, tidak kira warna kulit mereka, dan mereka sanggup mati untuk kita jika perlu.

SEKARANG KAYA

Kami menghabiskan 33 tahun dalam kerja lawatan, termasuk 21 tahun dalam kerja distrik. Sepanjang masa itu, hidup kami kaya dengan berkat dan pengalaman yang menggalakkan. Namun, ada satu lagi berkat yang bakal tiba. Pada Ogos 1997, hasrat yang tersimpan sekian lama akhirnya dikabulkan. Hampir 38 tahun selepas permohonan kami yang pertama, kami dijemput ke Bethel Amerika Syarikat. Bulan berikutnya, kami mula bekerja di Bethel. Saya sangka saya hanya akan berkhidmat untuk sementara sahaja, tetapi saya sudah silap.

Gloria, permata hatiku dari dulu sampai sekarang

Mula-mulanya, saya ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran. Saya belajar banyak hal di situ. Saudara-saudara dalam bahagian itu perlu mengurus banyak soalan yang sensitif dan rumit daripada badan penatua dan penyelia litar di seluruh negara. Saya bersyukur kerana mereka sangat sabar dan rela melatih saya. Namun, saya rasa jika saya ditugaskan ke situ lagi, saya masih seperti budak baru belajar.

Saya dan Gloria suka kehidupan di Bethel. Kami sudah biasa bangun awal, dan tabiat itu memang sesuai untuk kerja Bethel. Kira-kira setahun kemudian, saya menjadi pembantu kepada Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan, dan dilantik sebagai ahli Badan Pimpinan pada tahun 1999. Tugasan ini mengajar saya banyak perkara, tetapi pengajaran terpenting yang sentiasa saya ingat ialah: Kepala sidang Kristian bukanlah mana-mana manusia, melainkan Yesus.

Sejak tahun 1999, saya berpeluang menganggotai Badan Pimpinan

Saya rasa hidup saya agak mirip dengan Nabi Amos. Yehuwa telah memerhatikan seorang gembala miskin yang menjaga sejenis pokok ara yang buahnya hanya dimakan orang miskin. Tetapi Tuhan melantiknya sebagai nabi, tugasan yang cukup istimewa. (Amo. 7:14, 15) Begitu juga, Yehuwa memerhatikan saya, anak seorang peladang miskin di Liberty, Indiana, dan melimpahi saya dengan berkat yang tidak terkira! (Ams. 10:22) Saya memang orang miskin semasa kecil, tetapi sekarang saya dilimpahi kekayaan rohani yang tidak pernah saya bayangkan!