Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapa Kita “Terus Menghasilkan Banyak Buah”

Mengapa Kita “Terus Menghasilkan Banyak Buah”

Bapaku dimuliakan jika kamu terus menghasilkan banyak buah dan membuktikan bahawa kamu ialah murid-muridku.”​—YOH. 15:8.

LAGU: 53, 60

1, 2. (a) Apakah yang diberitahukan oleh Yesus kepada murid-muridnya tidak lama sebelum dia dibunuh? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah kita perlu ingat akan sebab-sebab untuk menginjil? (c) Apakah yang akan kita bincangkan?

PADA malam terakhir sebelum kematiannya, Yesus bercakap lama sekali dengan rasul-rasulnya. Setelah meyakinkan mereka akan kasihnya, dia menceritakan perumpamaan tentang pokok anggur, seperti yang telah dibincangkan dalam rencana sebelumnya. Melalui perumpamaan itu, Yesus menggalakkan murid-muridnya untuk “terus menghasilkan banyak buah,” iaitu untuk terus menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan.​—Yoh. 15:8.

2 Yesus bukan sahaja memberitahu murid-muridnya apa yang perlu dilakukan. Dia juga memberitahu mereka beberapa sebab untuk menginjil. Mengapakah kita perlu ingat akan sebab-sebab itu? Jika kita berbuat demikian, kita akan didorong untuk memberikan “kesaksian kepada semua bangsa” dengan tabah. (Mat. 24:13, 14) Sekarang, mari kita bincangkan empat sebab untuk menginjil yang disebut dalam Bible. Kemudian, kita akan meneliti empat kurniaan daripada Yehuwa yang akan membantu kita membuahkan hasil dengan tabah.

KITA MEMULIAKAN YEHUWA

3. (a) Menurut Yohanes 15:8, apakah sebabnya kita menginjil? (b) Apakah yang dilambangkan oleh buah anggur dalam perumpamaan Yesus? Mengapakah gambaran itu sesuai?

3 Sebab terpenting kita menyertai kerja penyebaran adalah untuk memuliakan Yehuwa dan menyucikan nama-Nya. (Baca Yohanes 15:1, 8.) Yesus menjelaskan bahawa Bapanya Yehuwa ialah peladang di kebun anggur, manakala dia ialah pokok anggur, dan para pengikutnya ialah carang pokok anggur. (Yoh. 15:5) Maka, buah anggur melambangkan buah Kerajaan Tuhan yang dihasilkan oleh para pengikut Kristus. Yesus memberitahu para rasulnya, “Bapaku dimuliakan jika kamu terus menghasilkan banyak buah.” Pokok anggur yang menghasilkan buah yang baik akan memuliakan peladang. Begitu juga, apabila kita berusaha sebaik-baiknya untuk mengumumkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kita sedang memuliakan Yehuwa.​—Mat. 25:20-23.

4. (a) Bagaimanakah kita menyucikan nama Tuhan? (b) Apakah perasaan anda terhadap penghormatan untuk menyucikan nama Tuhan?

4 Nama Tuhan memang sudah suci, dan kita tidak dapat menjadikannya lebih suci lagi. Jadi bagaimanakah kerja penyebaran kita menyucikan nama Tuhan? Yehuwa berfirman, “Ingatlah bahawa hanya Aku yang suci. Akulah Yehuwa, ketua angkatan syurga.” (Yes. 8:13) Kita menyucikan nama Tuhan apabila kita menganggap nama-Nya sebagai nama yang paling luhur dan membantu orang lain agar mempunyai pandangan yang sama. (Mat. 6:9) Contohnya, apabila kita mengisytiharkan sifat-sifat Yehuwa yang agung dan tujuan-Nya bagi manusia, kita sedang mempertahankan nama Tuhan yang dicela akibat dusta dan fitnah Syaitan. (Kej. 3:1-5) Selain itu, apabila kita berusaha membantu orang sedar bahawa Yehuwa “layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa,” kita sedang menyucikan nama-Nya. (Why. 4:11) Rune yang telah merintis selama 16 tahun berkata, “Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi saksi bagi Pencipta alam semesta. Itulah yang membuat saya ingin terus menginjil.”

KITA MENGASIHI YEHUWA DAN ANAK-NYA

5. (a) Menurut Yohanes 15:9, 10, apakah sebabnya kita terus menginjil? (b) Bagaimanakah Yesus menegaskan pentingnya ketabahan?

5 Baca Yohanes 15:9, 10. Kasih kita untuk Yehuwa dan Yesus ialah sebab penting untuk terus menginjil. (Mrk. 12:30; Yoh. 14:15) Yesus memberitahu para pengikutnya bahawa mereka harus ‘tetap berada dalam kasihnya.’ Mengapa? Kerana mereka perlu ketabahan untuk hidup sebagai pengikut sejati Kristus tahun demi tahun. Di Yohanes 15:4-10, Yesus telah menggunakan perkataan “tetap” banyak kali untuk menegaskan pentingnya ketabahan.

6. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita ingin tetap berada dalam kasih Kristus?

6 Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita ingin tetap berada dalam kasih Kristus dan terus mendapat perkenannya? Kita perlu mematuhi perintahnya. Sebenarnya, Yesus hanya menyuruh kita melakukan hal yang dilakukannya juga. Dia menambah, “Aku telah mematuhi perintah-perintah Bapa dan tetap berada dalam kasih-Nya.” Ya, Yesus telah menetapkan teladan bagi kita.​—Yoh. 13:15.

7. Apakah kaitan antara kepatuhan dan kasih?

7 Yesus menjelaskan bahawa kepatuhan berkait rapat dengan kasih. Dia memberitahu para rasulnya, “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku.” (Yoh. 14:21) Perintah Yesus berasal daripada Bapanya. Oleh itu, dengan mematuhi perintah Yesus untuk menginjil, kita juga menunjukkan kasih kepada Tuhan. (Mat. 17:5; Yoh. 8:28) Apabila kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan Yesus, kita akan tetap berada dalam kasih mereka.

KITA MEMBERIKAN AMARAN

8, 9. (a) Apakah satu lagi sebab untuk menginjil? (b) Mengapakah kata-kata Yehuwa di Yehezkiel 3:18, 19 dan 18:23 mendorong kita agar terus menginjil?

8 Terdapat satu lagi sebab untuk terus menginjil: Kita perlu memberikan amaran. Bible menyatakan bahawa Nuh “menyebarkan apa yang benar.” (Baca 2 Petrus 2:5.) Mesej yang disebarkan Nuh sebelum kedatangan Banjir pasti merangkumi amaran. Bagaimanakah kita tahu? Yesus berkata, “Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.” (Mat. 24:38, 39) Meskipun mesej Nuh tidak diendahkan, dia terus mengisytiharkannya dengan setia.

9 Hari ini, kita menyebarkan berita Kerajaan Tuhan supaya orang lain berpeluang mengetahui kehendak-Nya bagi manusia. Seperti Yehuwa, kita berharap agar mereka mendengar mesej kita dan “terus hidup.” (Yeh. 18:23) Pada masa yang sama, dengan menginjil dari rumah ke rumah dan di tempat awam, kita memberikan amaran kepada seberapa banyak orang yang mungkin bahawa Kerajaan Tuhan akan datang dan mengakhiri dunia jahat ini.​—Yeh. 3:18, 19; Dan. 2:44; Why. 14:6, 7.

KITA MENGASIHI ORANG

10. (a) Menurut Matius 22:39, apakah sebabnya kita menginjil? (b) Ceritakan bagaimana Paulus dan Silas membantu seorang penjaga penjara di Filipi.

10 Sebab berikut juga sangat penting: Kita menginjil kerana kita mengasihi orang lain. (Mat. 22:39) Kasih mendorong kita agar terus melakukan kerja ini, kerana kita sedar bahawa sikap sesetengah orang mungkin berubah apabila situasi mereka berubah. Fikirkan contoh Rasul Paulus dan Silas. Mereka dihumban ke dalam penjara di kota Filipi. Tiba-tiba, pada tengah malam, gempa bumi berlaku sehingga pintu-pintu penjara terbuka. Penjaga penjara ingin membunuh diri kerana menyangka para banduan telah melarikan diri. Tetapi Paulus berseru, “Janganlah bunuh diri!” Penjaga penjara itu bertanya, “Apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?” Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Tuan Yesus lalu kamu akan diselamatkan.’​—Kis. 16:25-34.

Kasih untuk Yehuwa, Yesus, dan orang lain, mendorong kita untuk menginjil (Lihat perenggan 5, 10)

11, 12. (a) Apakah kaitan antara kisah penjaga penjara itu dengan kerja penyebaran kita? (b) Mengapakah kita ingin terus menginjil dengan setia?

11 Apakah kaitan antara kisah penjaga penjara itu dengan kerja penyebaran kita? Perhatikan bahawa penjaga itu mengubah sikapnya dan meminta bantuan selepas gempa bumi berlaku. Begitu juga, sesetengah orang yang enggan mendengarkan berita Bible mungkin berubah setelah mengalami “gempa bumi” dalam hidup mereka. Contohnya, mereka mungkin kehilangan kerja, bercerai, menghidap penyakit serius, atau hancur hati akibat kematian orang tersayang. Pada waktu sebegitu, sesetengah orang mungkin memikirkan soalan tentang makna hidup, soalan yang diketepikan mereka dahulu. Mereka mungkin berfikir, “Apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?” lalu rela mendengar mesej harapan kita buat kali pertama dalam hidup mereka.

12 Maka, jika kita terus menginjil dengan setia, kita dapat memberikan kelegaan pada saat orang sudi menerimanya. (Yes. 61:1) Charlotte, yang telah berkhidmat sepenuh masa selama 38 tahun, berkata, “Hari ini, orang sudah kebuntuan. Mereka perlu ada peluang untuk dengar berita baik.” Ejvor, yang telah merintis untuk 34 tahun, berkata, “Orang berasa lemah semangat, lebih-lebih lagi pada masa ini. Saya benar-benar mahu tolong mereka. Itulah yang mendorong saya untuk menginjil.” Ya, kasih terhadap orang ialah sebab yang kukuh untuk terus menginjil!

KURNIAAN YANG MEMBANTU KITA BERTABAH

13, 14. (a) Apakah kurniaan yang disebut di Yohanes 15:11? (b) Bagaimanakah kita dapat memiliki sukacita yang dimiliki Yesus? (c) Mengapakah sukacita penting dalam kerja penyebaran?

13 Pada malam sebelum kematiannya, Yesus memberitahu para rasulnya beberapa kurniaan yang akan membantu mereka membuahkan hasil dengan tabah. Apakah kurniaan itu? Bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripadanya?

14 Sukacita. Adakah perintah Yesus untuk menginjil membebankan? Sama sekali tidak. Setelah menceritakan perumpamaan tentang pokok anggur, Yesus mengatakan bahawa kita akan mendapat sukacita yang dimilikinya. (Baca Yohanes 15:11.) Bagaimana? Dalam perumpamaan itu, Yesus menyamakan dirinya dengan pokok anggur dan murid-muridnya dengan carang-carang pokok itu. Carang-carang yang tetap bercantum dengan pokok akan terus menerima air dan khasiat. Begitu juga, jika kita terus hidup bersatu dengan Kristus dan mengikut jejaknya dengan teliti, kita akan menuai sukacita yang diraih Yesus semasa dia melakukan kehendak Bapanya. (Yoh. 4:34; 17:13; 1 Ptr. 2:21) Hanne yang telah merintis untuk lebih daripada 40 tahun berkata, “Sukacita yang saya peroleh setiap kali selepas menginjil, merangsang saya agar terus berkhidmat kepada Yehuwa.” Ya, sukacita yang membara dalam hati kita akan memberi kita kekuatan untuk terus menginjil meskipun di kawasan yang mencabar.​—Mat. 5:10-12.

15. (a) Apakah kurniaan yang disebut di Yohanes 14:27? (b) Bagaimanakah kedamaian membantu kita terus membuahkan hasil?

15 Kedamaian. (Baca Yohanes 14:27.) Pada malam sebelum kematian Yesus, dia memberitahu para rasulnya, “Aku memberi kamu kedamaianku.” Bagaimanakah kurniaan itu membantu kita terus membuahkan hasil? Apabila kita bertabah, kita merasai kedamaian dalam hati kerana kita tahu bahawa kita mendapat perkenan Yehuwa dan Yesus. (Mzm. 149:4; Rm. 5:3, 4; Kol. 3:15) Ulf, yang telah berkhidmat sepenuh masa selama 45 tahun, berkata, “Kerja menginjil buat saya penat, tetapi kerja itu memberi saya kepuasan dan tujuan hidup yang sejati.” Betapa bersyukurnya kita kerana dikurniai kedamaian batin yang kekal!

16. (a) Apakah kurniaan yang disebut di Yohanes 15:15? (b) Bagaimanakah para rasul dapat tetap menjadi sahabat Yesus?

16 Persahabatan dengan Yesus. Selepas menyatakan keinginannya agar sukacita yang dinikmati para rasulnya “menjadi sempurna,” Yesus menjelaskan pentingnya menunjukkan kasih yang rela berkorban. (Yoh. 15:11-13) Kemudian, dia berkata, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku.” Betapa berharganya kurniaan untuk menjadi sahabat Yesus! Namun, bagaimanakah mereka dapat tetap menjadi sahabat Yesus? Mereka perlu “terus menghasilkan buah.” (Baca Yohanes 15:14-16.) Kira-kira dua tahun sebelum itu, Yesus memerintahkan para rasulnya, “Sebarkanlah berita ini: ‘Kerajaan di syurga sudah dekat.’” (Mat. 10:7) Jadi, pada malamnya yang terakhir, dia menggalakkan mereka untuk tabah dalam kerja penyebaran. (Mat. 24:13; Mrk. 3:14) Yesus tahu hal itu tidak mudah, tetapi mereka boleh berjaya dan tetap menjadi sahabatnya. Bagaimana? Terdapat satu lagi kurniaan yang akan membantu mereka.

17, 18. (a) Apakah kurniaan yang disebut di Yohanes 15:16? (b) Bagaimanakah kurniaan itu membantu para pengikut Yesus? (c) Apakah kurniaan-kurniaan yang menguatkan kita hari ini?

17 Doa yang dijawab. Yesus berkata, “Apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa atas namaku akan diberikan kepada kamu.” (Yoh. 15:16) Janji ini pasti amat menggalakkan para rasul! * Mereka tidak faham sepenuhnya bahawa kehidupan Yesus di bumi bakal berakhir. Namun, kematian Tuan mereka tidak bermaksud mereka dibiarkan. Yehuwa bersedia mengabulkan permintaan mereka dan pasti membantu mereka melaksanakan kerja penyebaran. Tidak lama selepas itu, mereka telah menyaksikan bagaimana doa mereka dijawab.​—Kis. 4:29, 31.

Apabila kita berdoa meminta bantuan, Yehuwa pasti menjawab doa kita (Lihat perenggan 18)

18 Begitu juga, apabila kita membuahkan hasil dengan tabah pada hari ini, kita dapat menjadi sahabat Yesus. Tambahan lagi, kita dapat yakin bahawa Yehuwa bersedia untuk menjawab doa kita dan membantu kita mengatasi halangan semasa kita menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Flp. 4:13) Tidakkah kita bersyukur kerana dapat menjadi sahabat Yesus, dan kerana Yehuwa sudi menjawab doa kita? Kurniaan sedemikian akan menguatkan kita agar terus membuahkan hasil.​—Yak. 1:17.

19. (a) Mengapakah kita terus menginjil? (b) Apakah yang akan membantu kita melaksanakan tugas daripada Tuhan?

19 Seperti yang dibincangkan dalam rencana ini, kita terus menginjil untuk memuliakan Yehuwa dan menyucikan nama-Nya, membuktikan kasih kita kepada Yehuwa dan Yesus, memberikan amaran, dan menunjukkan kasih kepada orang lain. Selain itu, kurniaan berupa sukacita, kedamaian, persahabatan dengan Yesus, dan doa yang dijawab, menguatkan kita untuk melaksanakan tugas daripada Tuhan. Yehuwa tentu gembira melihat kerja keras kita untuk “terus menghasilkan banyak buah”!

^ per. 17 Semasa bercakap kepada rasul-rasulnya, Yesus berulang kali menegaskan bahawa doa mereka akan dijawab.​—Yoh. 14:13; 15:7, 16; 16:23.