Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kenalilah Musuhmu

Kenalilah Musuhmu

“Kita bukannya tidak mengetahui muslihat [Syaitan].”​—2 KOR. 2:11.

LAGU: 150, 32

1. Apakah yang dinyatakan Yehuwa tentang musuh kita semasa di Taman Eden?

ADAM pasti tahu bahawa ular tidak dapat bercakap. Maka dia mungkin sudah mengagak bahawa ular yang bercakap kepada Hawa itu diperalatkan oleh makhluk roh. (Kej. 3:1-6) Walaupun Adam dan Hawa tidak tahu siapa roh itu, Adam memilih untuk menyertai pemberontakannya dan menentang kehendak Bapanya yang pengasih. (1 Tim. 2:14) Dengan segera, Yehuwa mula menyingkapkan maklumat tentang roh itu dan berjanji bahawa musuh itu akan dimusnahkan. Tetapi Yehuwa juga menyatakan bahawa buat suatu jangka masa, roh yang bercakap menerusi ular itu akan menentang orang yang mengasihi Tuhan.​—Kej. 3:15.

2, 3. Mengapakah Yehuwa tidak menyebut banyak maklumat tentang Syaitan sebelum kedatangan Mesias?

2 Yehuwa tidak memberitahu kita nama malaikat yang memberontak itu. * Hampir 2,500 tahun selepas pemberontakan di Eden, barulah Yehuwa menyingkapkan gelarannya. (Ayb. 1:6) Sebenarnya, hanya tiga buku dalam Kitab Ibrani, iaitu 1 Tawarikh, Ayub, dan Zakharia, menyebut gelaran Syaitan, yang bermaksud “Penentang.” Mengapakah Tuhan tidak memberikan banyak maklumat tentangnya sebelum ketibaan Mesias?

3 Nampaknya, Yehuwa tidak menyebut banyak perkara tentang Syaitan dan kegiatannya dalam Kitab Ibrani, kerana tujuan utama Kitab Ibrani adalah untuk membantu umat Tuhan mengenal pasti dan mengikut Mesias. (Luk. 24:44; Gal. 3:24) Selepas Mesias tiba, Yehuwa menggunakannya dan murid-muridnya untuk menyingkapkan lebih banyak maklumat tentang Syaitan dan roh-roh jahat. * Tindakan itu memang sesuai, kerana Yesus dan orang Kristian terurap akan digunakan untuk menghancurkan Syaitan dan konco-konconya.​—Rm. 16:20; Why. 17:14; 20:10.

4. Mengapakah kita tidak perlu terlalu risau tentang Iblis?

4 Rasul Petrus menyamakan Syaitan Si Iblis dengan “seekor singa yang mengaum,” dan Yohanes menggambarkannya sebagai seekor “ular” dan “naga.” (1 Ptr. 5:8; Why. 12:9) Namun, kita tidak perlu terlalu risau, kerana kuasa Iblis terhad. (Baca Yakobus 4:7.) Kita ada sokongan Yehuwa, Yesus, dan para malaikat yang setia. Dengan bantuan mereka, kita dapat melawan musuh ini. Namun, kita masih perlu mengetahui jawapan kepada tiga soalan yang penting ini: Seberapa besarkah pengaruh Syaitan? Bagaimanakah dia mencuba mempengaruhi individu-individu? Apakah yang tidak dapat dilakukannya? Marilah kita membincangkan soalan-soalan ini dan pengajarannya.

SEBERAPA BESARKAH PENGARUH SYAITAN?

5, 6. Mengapakah kerajaan manusia tidak mampu membawa perubahan yang paling kita perlukan?

5 Ramai malaikat telah menyokong pemberontakan Syaitan. Sebelum Banjir tiba, Syaitan menggoda sebilangan daripada mereka untuk bersetubuh dengan wanita di bumi. Bible menyatakan peristiwa itu dengan menggambarkan Syaitan sebagai seekor naga yang mengheret satu pertiga daripada bintang-bintang di langit ke bumi. (Kej. 6:1-4; Yud. 6; Why. 12:3, 4) Semasa malaikat-malaikat itu meninggalkan keluarga Tuhan, mereka membiarkan Syaitan mengawal mereka. Namun, mereka bukan sekadar sekumpulan samseng. Syaitan telah meniru Yehuwa dengan mendirikan kerajaan sendiri. Dia menjadikan dirinya raja, dan dia membahagikan roh-roh jahat kepada kerajaan masing-masing, memberi mereka kuasa, dan menjadikan mereka pemerintah dunia.​—Ef. 6:12.

6 Melalui organisasinya, Syaitan mengawal semua kerajaan manusia. Bagaimanakah kita tahu? Semasa Syaitan ‘menunjukkan kepada Yesus semua kerajaan di bumi,’ dia berkata, “Semua kuasa dan kemuliaan daripada kerajaan-kerajaan ini akan aku berikan kepadamu, kerana semua ini telah diberikan kepada aku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa sahaja.” (Luk. 4:5, 6) Meskipun dipengaruhi Syaitan, banyak kerajaan manusia menjalankan tugas dengan baik, dan sesetengah pemerintah benar-benar prihatin terhadap rakyat. Namun begitu, tiada kerajaan atau pemerintah manusia yang mampu membawa perubahan yang paling kita perlukan.​—Mzm. 146:3, 4; Why. 12:12.

7. Selain menggunakan kerajaan manusia, bagaimanakah Syaitan menggunakan agama palsu dan sistem perdagangan untuk menyesatkan orang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Syaitan dan roh-roh jahat bukan sahaja menggunakan kerajaan manusia, tetapi juga agama palsu dan sistem perdagangan, untuk “menyesatkan seluruh dunia.” (Why. 12:9) Melalui agama palsu, Syaitan menyebarkan dusta tentang Yehuwa dan mencuba membuat orang melupakan nama Tuhan. (Yer. 23:26, 27) Akibat itu, ramai orang yang jujur sangka bahawa mereka sedang menyembah Tuhan, padahal mereka sebenarnya menyembah roh-roh jahat. (1 Kor. 10:20; 2 Kor. 11:13-15) Syaitan juga menggunakan sistem perdagangan untuk menipu manusia, sehingga mereka percaya bahawa wang dan harta milik ialah kunci kebahagiaan. (Ams. 18:11) Akibatnya, ramai orang menghabiskan seumur hidup sebagai hamba “Kekayaan” dan bukannya hamba Tuhan. (Mat. 6:24) Biarpun mereka dahulunya mengasihi Tuhan, kasih itu akhirnya dibantutkan kerana cinta akan harta benda.​—Mat. 13:22; 1 Yoh. 2:15, 16.

8, 9. (a) Apakah dua pengajaran yang kita peroleh daripada catatan tentang Adam, Hawa, dan malaikat yang memberontak? (b) Mengapakah kita perlu mengetahui tahap pengaruh Syaitan?

8 Contoh Adam, Hawa, dan malaikat yang memberontak, memberi kita dua pengajaran penting: Pertama, kita hanya ada dua pilihan, sama ada untuk setia kepada Tuhan atau untuk berpihak kepada Syaitan. (Mat. 7:13) Kedua, sesiapa yang menyokong Syaitan hanya menerima manfaat yang terhad. Setelah mengikut Syaitan, Adam dan Hawa dapat menentukan apa yang baik dan jahat bagi diri sendiri, dan roh-roh jahat dapat mempengaruhi kerajaan manusia. (Kej. 3:22) Meskipun tawaran Syaitan nampaknya menguntungkan, kesudahannya sentiasa mencelakakan.​—Ayb. 21:7-17; Gal. 6:7, 8.

9 Mengapakah kita perlu mengetahui tahap pengaruh Syaitan? Hal itu akan membantu kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap pihak berkuasa dan mendorong kita untuk menginjil. Yehuwa mahu kita menghormati pihak kerajaan dan mematuhi undang-undang manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip-Nya. (Rm. 13:1-4; 1 Ptr. 2:17) Namun, kita patut ingat bahawa kita mesti tetap neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti atau pemimpin politik. (Yoh. 17:15, 16; 18:36) Oleh sebab kita tahu bahawa Syaitan sedang memburukkan nama dan reputasi Yehuwa, kita terdorong untuk berusaha mengajar orang kebenaran tentang Tuhan. Kita berbangga menyandang dan menggunakan nama-Nya, kerana kasih kepada Tuhan jauh lebih berharga daripada cinta akan wang dan harta.​—Yes. 43:10; 1 Tim. 6:6-10.

BAGAIMANAKAH SYAITAN MEMPENGARUHI INDIVIDU-INDIVIDU?

10-12. (a) Syaitan mungkin telah menggunakan apa untuk mengumpan malaikat yang lain? (b) Apakah yang kita belajar daripada peristiwa yang terjadi kepada malaikat-malaikat itu?

10 Syaitan sangat mahir mempengaruhi makhluk lain. Dia mungkin mengumpan mereka untuk mencapai tujuannya atau menggertak mereka sehingga tunduk kepada kehendaknya.

11 Syaitan berjaya mengumpan ramai malaikat. Sudah pasti dia memerhatikan mereka untuk masa yang lama sebelum bertindak. Sesetengah malaikat yang termakan umpan Syaitan telah bersetubuh dengan wanita dan menghasilkan keturunan yang ganas dan kejam. (Kej. 6:1-4) Barangkali, Syaitan menggoda malaikat-malaikat itu bukan sahaja dengan perbuatan yang tidak bermoral, tetapi juga dengan peluang untuk menguasai umat manusia. Syaitan mungkin berniat menggagalkan nubuat tentang kedatangan ‘keturunan wanita,’ tetapi Yehuwa tidak membiarkannya berjaya. (Kej. 3:15) Apabila Banjir melanda, rancangan Syaitan dan para malaikat jahat turut hanyut.

Syaitan cuba mengumpan kita dengan perbuatan yang tidak bermoral, sikap angkuh, dan alam ghaib (Lihat perenggan 12, 13)

12 Apakah yang dapat kita belajar daripada peristiwa itu? Hubungan seks yang tidak bermoral dan sikap angkuh ialah umpan yang berbahaya. Malaikat yang mengikut Syaitan pernah berkhidmat di hadirat Tuhan untuk masa yang lama, tetapi mereka membiarkan nafsu yang jahat bertumbuh di hati. Begitu juga, kita mungkin sudah berkhidmat selama puluhan tahun dalam organisasi Tuhan, tetapi hal itu tidak bermaksud keinginan yang buruk tidak mungkin berakar di hati kita. (1 Kor. 10:12) Maka, kita mesti sentiasa memeriksa hati sendiri, menolak fikiran yang najis, dan menyingkirkan sikap angkuh.​—Gal. 5:26; baca Kolose 3:5.

13. Apakah satu lagi umpan yang sering digunakan Syaitan? Bagaimanakah kita dapat mengelakkannya?

13 Satu lagi umpan yang sering digunakan Syaitan ialah rasa ingin tahu tentang alam ghaib. Dia mencuba menarik minat orang terhadap roh-roh jahat dan spiritisme, bukan sahaja melalui agama palsu, tetapi juga melalui dunia hiburan, seperti wayang, permainan elektronik, dan sebagainya. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan jerat ini? Kita tidak patut berharap organisasi Tuhan memberi kita senarai semua hiburan yang baik atau buruk. Sebaliknya, kita mesti melatih hati nurani sendiri berdasarkan piawaian Tuhan Yehuwa. (Ibr. 5:14) Jika kita mempunyai ‘kasih yang ikhlas’ terhadap Tuhan, kita dapat membuat keputusan yang bijak. (Rm. 12:9) Tanyalah diri, “Adakah hiburan yang saya pilih membuat saya menjadi orang yang bermuka dua? Jika pelajar Bible atau kunjungan kembali saya melihat hiburan saya, adakah mereka akan berasa bahawa saya cakap tak serupa bikin?” Jika kelakuan kita selaras dengan prinsip yang kita ajarkan, kita dapat mengelakkan jerat-jerat Syaitan.​—1 Yoh. 3:18.

Syaitan cuba menggertak kita dengan larangan pihak berkuasa, tekanan rakan sekolah, dan tentangan keluarga (Lihat perenggan 14)

14. Apakah yang mungkin dilakukan Syaitan untuk menggertak kita? Bagaimanakah kita dapat mengatasinya?

14 Syaitan juga mungkin menggertak kita supaya kesetiaan kita tergadai. Dia mungkin menggerakkan kerajaan untuk mengharamkan kerja penyebaran, atau membuat kita ditertawakan di sekolah atau di tempat kerja kerana kita ingin hidup menurut prinsip moral Bible. (1 Ptr. 4:4) Dia juga dapat mempengaruhi keluarga kita yang tidak seiman, yang mungkin berniat baik, untuk menghalang kita menghadiri perjumpaan. (Mat. 10:36) Bagaimanakah kita dapat berdiri teguh? Pertama, janganlah terkejut. Ingatlah bahawa Syaitan sedang berperang dengan kita. (Why. 2:10; 12:17) Kedua, kita perlu sedar akan isu yang terpenting: Syaitan mendakwa bahawa kita hanya menyembah Yehuwa semasa senang dan akan meninggalkan-Nya pada waktu susah. (Ayb. 1:9-11; 2:4, 5) Selain itu, kita perlu bergantung pada kekuatan Yehuwa. Ingatlah, Dia sama sekali tidak akan meninggalkan kita.​—Ibr. 13:5.

APAKAH YANG TIDAK DAPAT DILAKUKAN SYAITAN?

15. Dapatkah Syaitan memaksa kita melakukan sesuatu yang tidak kita ingini? Jelaskan.

15 Syaitan tidak dapat memaksa orang untuk melakukan sesuatu yang tidak diingini mereka. (Yak. 1:14) Ramai orang melakukan kehendak Syaitan tanpa menyedarinya, tetapi selepas mempelajari kebenaran, mereka harus memilih sama ada untuk berpihak kepada Yehuwa atau Syaitan. (Kis. 3:17; 17:30) Jika kita bertekad untuk melakukan kehendak Tuhan, Syaitan tidak mampu mematahkan kesetiaan kita.​—Ayb. 2:3; 27:5.

16, 17. (a) Apakah hal-hal lain yang tidak dapat dilakukan Syaitan dan roh-roh jahat? (b) Mengapakah kita tidak patut takut untuk berdoa dengan lantang kepada Yehuwa?

16 Terdapat hal-hal lain yang tidak dapat dilakukan Syaitan dan roh-roh jahat. Contohnya, Bible tidak pernah menyatakan bahawa mereka mampu membaca isi hati orang. Hanya Yehuwa dan Yesus dapat berbuat demikian. (1 Sam. 16:7; Mrk. 2:8) Bagaimana pula dengan percakapan atau doa yang kita ucapkan dengan lantang? Perlukah kita risau bahawa Si Iblis atau roh-roh jahat akan mendengarnya dan mengapa-apakan kita? Tidak. Fikirkan: Kita tidak takut berkhidmat kepada Yehuwa walaupun Si Iblis mungkin melihat kita. Begitu juga, kita tidak patut takut untuk berdoa dengan lantang walaupun Si Iblis mungkin mendengar kita. Bible mengandungi contoh banyak hamba Tuhan yang berdoa dengan lantang, dan kita tidak pernah membaca bahawa mereka risau Si Iblis akan mendengar doa mereka. (1 Raj. 8:22, 23; Yoh. 11:41, 42; Kis. 4:23, 24) Jika kita berusaha sedaya upaya untuk bercakap dan bertindak selaras dengan kehendak Tuhan, yakinlah bahawa Yehuwa tidak akan membenarkan Si Iblis meragut harapan kita untuk hidup kekal.​—Baca Mazmur 34:7.

17 Kita perlu mengenali musuh kita, tetapi kita tidak perlu takut kepadanya. Dengan adanya bantuan Yehuwa, bahkan manusia yang tidak sempurna pun dapat mengalahkan Syaitan. (1 Yoh. 2:14) Jika kita melawannya, dia akan melarikan diri daripada kita. (Yak. 4:7; 1 Ptr. 5:9) Kaum muda hari ini merupakan sasaran utama Syaitan. Jadi bagaimanakah mereka dapat menangkis serangannya? Soalan ini akan dijawab dalam rencana seterusnya.

^ per. 2 Bible menyatakan nama sesetengah malaikat. (Hak. 13:18; Dan. 8:16; Luk. 1:19; Why. 12:7) Memandangkan Yehuwa telah memberikan nama kepada setiap bintang (Mzm. 147:4), adalah munasabah untuk menganggap bahawa semua malaikat, termasuk malaikat yang menjadi Syaitan, juga mempunyai nama.

^ per. 3 Nama Syaitan hanya disebut 18 kali dalam Kitab Ibrani tetapi lebih daripada 30 kali dalam Kitab Yunani Kristian.