Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Siapakah yang Berpihak kepada Yehuwa?

Siapakah yang Berpihak kepada Yehuwa?

“Kamu harus takut akan Yehuwa, Tuhan kamu, dan mengabdikan diri kepada-Nya. Kamu harus berpaut pada-Nya.”​—UL. 10:20.

LAGU: 28, 32

1, 2. (a) Mengapakah berpihak kepada Yehuwa merupakan pilihan yang bijak? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

BERPAUT pada Yehuwa memang pilihan yang bijak. Tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kuasa, kebijaksanaan, dan kasih Tuhan kita, maka sudah tentu kita ingin berpihak kepada-Nya! (Mzm. 96:4-6) Namun, sesetengah penyembah Tuhan gagal mengambil pendirian itu.

2 Rencana ini akan membincangkan contoh sesetengah individu yang mengaku diri mereka berpihak kepada Yehuwa, tetapi pada masa yang sama mengikut haluan yang dibenci-Nya. Pengajaran daripada kisah mereka dapat membantu kita agar tetap setia kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.

YEHUWA MENYELIDIKI HATI

3. Mengapakah Yehuwa mencuba membantu Kain? Apakah yang diberitahukan Yehuwa kepadanya?

3 Fikirkan contoh Kain. Dia tidak menyembah tuhan palsu, tetapi ibadatnya tidak diterima Yehuwa, kerana Yehuwa mendapati bibit kejahatan sedang bercambah dalam hatinya. (1 Yoh. 3:12) Yehuwa mencuba membantu Kain dan memberitahunya, “Jika engkau berubah dan berbuat baik, bukankah Aku akan berasa senang hati dengan engkau? Namun jika engkau tidak berubah dan tidak berbuat baik, dosa sedang menunggu di pintu dan menanti-nantikan peluang untuk menguasai engkau. Tetapi engkau harus berusaha untuk mengalahkannya.” (Kej. 4:6, 7) Ya, Yehuwa seolah-olah memberitahu Kain, “Jika engkau bertaubat dan berpihak kepada-Ku, Aku juga akan berpihak kepadamu.”

4. Semasa diberi peluang untuk berpihak kepada Yehuwa, apakah yang dilakukan Kain?

4 Jika Kain membetulkan fikirannya, dia akan mendapat semula perkenan Yehuwa. Sedihnya, dia menolak nasihat Tuhan. Fikirannya yang jahat dan nafsunya telah melahirkan perbuatan dosa. (Yak. 1:14, 15) Semasa Kain muda, dia mungkin tidak pernah membayangkan bahawa dia akan melawan Yehuwa. Tetapi akhirnya, dia memberontak terhadap Tuhan dan membunuh adik kandungnya!

5. Fikiran apakah yang dapat menyebabkan kita kehilangan perkenan Yehuwa?

5 Seperti Kain, seorang Kristian mungkin mengaku dirinya menyembah Yehuwa, padahal dia sedang mengikut haluan yang salah. (Yud. 11) Contohnya, dia mungkin giat menginjil dan menghadiri perjumpaan, tetapi pada masa yang sama, dia berkhayal tentang hal yang tidak bermoral, melayan nafsu yang tamak, atau membenci rakan seiman. (1 Yoh. 2:15-17; 3:15) Fikiran sedemikian dapat melahirkan perbuatan dosa. Orang lain mungkin tidak menyedari apa yang kita fikirkan atau lakukan, tetapi Yehuwa melihat segala-galanya dan tahu jika kita tidak berpihak kepada-Nya dengan sepenuh hati.​—Baca Yeremia 17:9, 10.

6. Jika kita berpihak kepada Yehuwa, bagaimanakah Dia akan membantu kita ‘mengalahkan’ keinginan berdosa?

6 Yehuwa tidak cepat putus asa apabila seseorang tersilap langkah dan mula menjauhi-Nya. Sebaliknya Yehuwa menyeru, “Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu.” (Mal. 3:7) Ketika kita bergelut dengan kelemahan sendiri, Yehuwa mahu kita menolak apa yang jahat. (Yes. 55:7) Jika kita berbuat demikian, Dia akan berpihak kepada kita dan memberi kita kekuatan rohani, emosi, dan fizikal, supaya kita dapat ‘mengalahkan’ keinginan berdosa.​—Kej. 4:7.

“JANGANLAH DISESATKAN”

7. Bagaimanakah Salomo kehilangan perkenan Yehuwa?

7 Fikirkan contoh Raja Salomo pula. Semasa muda, Salomo bergantung pada bimbingan Yehuwa. Hasilnya, Tuhan menjadikannya sangat bijaksana dan melantiknya untuk membina Rumah Tuhan yang agung di Yerusalem. Namun, Salomo kemudiannya kehilangan perkenan Yehuwa. (1 Raj. 3:12; 11:1, 2) Hukum Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa seorang raja “tidak boleh mempunyai banyak isteri supaya hatinya tidak disimpangkan.” (Ul. 17:17) Tetapi Salomo mengahwini 700 orang puteri dan mempunyai 300 orang gundik. (1 Raj. 11:3) Ramai antara isterinya bukan orang Israel dan menyembah tuhan palsu. Maksudnya, Salomo juga melanggar hukum Tuhan yang melarang penyembah-Nya mengahwini wanita bangsa asing.​—Ul. 7:3, 4.

8. Apakah dosa besar yang dilakukan Salomo?

8 Salomo semakin menyimpang daripada hukum Yehuwa sehingga dia melakukan dosa yang besar. Salomo membina mazbah-mazbah untuk Dewi Asytoret dan Dewa Kamos, dan dia menyembah tuhan-tuhan palsu itu bersama para isterinya. Di manakah dia membina semua mazbah itu? Di atas sebuah gunung di hadapan Yerusalem, tempat dia membina Rumah Yehuwa! (1 Raj. 11:5-8; 2 Raj. 23:13) Mungkin Salomo menipu dirinya dengan berfikir bahawa selagi dia terus mempersembahkan korban di Rumah Yehuwa, Tuhan akan tutup sebelah mata terhadap keingkarannya.

9. Apakah yang berlaku kerana Salomo tidak mempedulikan amaran Tuhan?

9 Tetapi Yehuwa tidak bertoleransi terhadap dosa. Bible menyatakan, “Yehuwa murka dengan Salomo kerana hati Salomo telah menyimpang daripada Yehuwa, . . . yang telah menampakkan diri-Nya kepada Salomo sebanyak dua kali. Tuhan juga telah mengingatkan Salomo bahawa dia tidak patut menyembah tuhan lain. Namun Salomo tidak mematuhi perintah Yehuwa.” Akibatnya, dia kehilangan perkenan dan sokongan Yehuwa. Keturunan Salomo tidak dapat memerintah seluruh bangsa Israel, dan mereka ditimpa masalah demi masalah selama ratusan tahun.​—1 Raj. 11:9-13.

10. Apakah yang dapat mengancam hubungan kita dengan Yehuwa?

10 Contoh Salomo menunjukkan bahawa kerohanian kita akan terancam jika kita bersahabat dengan orang yang tidak memahami atau menghormati piawaian Yehuwa. Orang sebegini mungkin bergaul dengan sidang tetapi lemah secara rohani. Mereka juga mungkin merupakan saudara-mara, jiran, rakan kerja, atau rakan sekolah, yang tidak menyembah Yehuwa. Jika kita selalu menghabiskan masa dengan orang yang tidak berpegang pada piawaian Yehuwa, lambat-laun hubungan baik kita dengan Yehuwa pun akan terjejas.

Bagaimanakah pergaulan anda mempengaruhi hubungan anda dengan Yehuwa? (Lihat perenggan 11)

11. Bagaimanakah kita dapat menentukan sama ada pergaulan kita baik atau tidak?

11 Baca 1 Korintus 15:33. Kebanyakan orang memiliki sifat baik, dan ramai orang di luar sidang tidak melakukan perbuatan yang menjijikkan. Namun, adakah mereka semestinya pergaulan baik? Tanyalah diri: Adakah persahabatan saya dengan mereka akan mengukuhkan hubungan saya dengan Yehuwa? Apakah yang tersimpan dalam hati mereka? Contohnya, adakah perbualan mereka sentiasa berkisarkan fesyen, wang, alat elektronik, hiburan, atau hal kebendaan? Adakah percakapan mereka sering dicampuri kritikan atau jenaka lucah? Yesus berkata, “Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.” (Mat. 12:34) Jika anda mendapati pergaulan anda menggugat persahabatan anda dengan Yehuwa, bertindaklah dengan segera! Kurangkan pergaulan sedemikian, dan jika perlu, hentikannya sama sekali.​—Ams. 13:20.

YEHUWA INGIN KITA MENYEMBAH-NYA SAHAJA

12. (a) Apakah yang diberitahukan oleh Yehuwa kepada orang Israel tidak lama selepas mereka meninggalkan Mesir? (b) Apakah reaksi orang Israel apabila Yehuwa berfirman, “Sembahlah Aku sahaja”?

12 Kita juga dapat belajar daripada apa yang berlaku tidak lama selepas orang Israel keluar dari Mesir. Semasa mereka berhimpun di hadapan Gunung Sinai, Yehuwa menunjukkan kehadiran-Nya dengan cara yang menakjubkan. Orang Israel nampak awan tebal, kilat, dan asap, dan mereka dengar guruh dan bunyi seperti trompet yang kuat. (Kel. 19:16-19) Yehuwa memberitahu mereka, “Sembahlah Aku sahaja,” dan Dia berjanji untuk setia kepada orang yang mengasihi dan mematuhi-Nya. (Baca Keluaran 20:1-6.) Yehuwa ingin mereka faham bahawa jika mereka berpihak kepada-Nya, Dia juga akan berpihak kepada mereka. Apakah reaksi anda jika anda bersama orang Israel? Barangkali, anda akan menjawab dengan sebulat suara bersama mereka, “Kami rela melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa.” (Kel. 24:3) Namun, kesetiaan orang Israel telah diuji tidak lama selepas itu.

13. Bagaimanakah kesetiaan orang Israel diuji?

13 Awan tebal, kilat, dan tanda-tanda lain daripada Tuhan membuat orang Israel takut. Maka mereka meminta Musa mewakili mereka untuk bercakap kepada Yehuwa di atas Gunung Sinai. (Kel. 20:18-21) Semasa Musa berada di atas gunung untuk masa yang lama, orang Israel seperti terbiar di padang belantara tanpa pemimpin. Nampaknya mereka terlalu bergantung pada Musa, pemimpin yang dapat dilihat. Mereka mula menjadi risau dan memberitahu Harun, “Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa. . . . Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.”​—Kel. 32:1, 2.

14. Bagaimanakah orang Israel menipu diri? Apakah reaksi Yehuwa?

14 Orang Israel tahu bahawa menyembah berhala ialah kesalahan besar. (Kel. 20:3-5) Tetapi mereka kemudiannya menyembah anak lembu emas! Mereka terang-terang mengingkari Yehuwa, tetapi masih menipu diri dan berfikir bahawa mereka sedang berpihak kepada-Nya. Harun bahkan memanggil pesta mereka sebagai “perayaan untuk Yehuwa”! Apakah reaksi Yehuwa? Dia berasa dikhianati dan memberitahu Musa bahawa umat-Nya telah “melakukan dosa yang besar” dan ‘menyimpang daripada jalan yang diperintahkan-Nya.’ Yehuwa sangat murka sehingga Dia ingin membinasakan bangsa baharu itu.​—Kel. 32:5-10.

15, 16. Bagaimanakah Musa dan Harun menunjukkan bahawa mereka berpihak kepada Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

15 Namun, Yehuwa memutuskan untuk tidak membinasakan bangsa itu. Belas kasihan-Nya telah memberi penyembah-Nya yang setia peluang untuk berpihak kepada-Nya. (Kel. 32:14) Setelah melihat umat itu berpesta liar, berteriak, bernyanyi, dan menari di hadapan patung anak lembu itu, Musa menumbuk patung itu menjadi serbuk dan berseru, “Sesiapa yang berpihak kepada Yehuwa haruslah datang ke sini!” Lalu “semua orang Lewi berkumpul di sekelilingnya.”​—Kel. 32:17-20, 26.

16 Walaupun Harunlah yang membuat patung itu, dia kemudiannya bertaubat dan berpihak kepada Yehuwa bersama orang Lewi yang setia. Mereka bukan sahaja berpihak kepada Yehuwa, tetapi juga mengasingkan diri daripada para pendosa. Tindakan itu memang bijak. Pada hari itu, ribuan orang yang menyembah berhala telah mati. Namun, Yehuwa telah berjanji untuk memberkati mereka yang berpihak kepada-Nya.​—Kel. 32:27-29.

17. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Paulus tentang peristiwa patung anak lembu?

17 Setelah menyebut peristiwa itu, Rasul Paulus menulis, “Semua hal ini menjadi contoh bagi kita, supaya kita tidak . . . menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang. [Contoh itu] dicatatkan sebagai amaran untuk kita yang hidup pada akhir sistem-sistem dunia ini. Oleh itu, jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh.” (1 Kor. 10:6, 7, 11, 12) Seperti yang dinyatakan Paulus, orang yang menyembah Yehuwa pun dapat terjebak dalam amalan buruk. Mereka mungkin berfikir bahawa Yehuwa masih berkenan kepada mereka. Namun, sekadar ingin menjadi sahabat Yehuwa atau mengaku setia kepada-Nya tidak semestinya membawa perkenan Yehuwa.​—1 Kor. 10:1-5.

18. Apakah yang dapat menyebabkan kita beransur-ansur menjauhi Yehuwa? Apakah yang mungkin terjadi selepas itu?

18 Sepertimana orang Israel berasa risau apabila Musa lambat turun dari Sinai, orang Kristian pun mungkin berasa risau apabila hari Yehuwa dan dunia baharu nampaknya lambat tiba. Kita mungkin rasa bahawa berkat yang dijanjikan Tuhan masih jauh di masa depan atau terlalu baik untuk dipercayai. Fikiran sebegini dapat mempengaruhi kita sehingga mengutamakan keinginan sendiri dan mengetepikan kehendak Yehuwa. Jika kita tidak berwaspada, kita akan semakin menjauhi Yehuwa dan bahkan melakukan hal-hal buruk yang tidak pernah kita bayangkan semasa kita sihat secara rohani.

19. Apakah yang mesti kita sentiasa ingat? Mengapa?

19 Janganlah lupa bahawa Yehuwa mahu kita menyembah-Nya sahaja dan mentaati-Nya dengan sepenuh hati. (Kel. 20:5) Jika kita tersimpang biarpun sedikit daripada ibadat Yehuwa, kita sedang melakukan kehendak Syaitan, dan hal itu pasti membawa padah. Maka, Paulus mengingatkan kita, “Kamu tidak boleh minum daripada cawan Yehuwa dan pada masa yang sama minum daripada cawan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh makan di ‘meja Yehuwa’ dan pada masa yang sama makan di meja roh-roh jahat.”​—1 Kor. 10:21.

BERPAUTLAH PADA YEHUWA!

20. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita biarpun kita sudah tersilap langkah?

20 Terdapat satu persamaan antara Kain, Salomo, dan orang Israel di Gunung Sinai: Mereka ada peluang untuk ‘bertaubat dan berpaling kepada Tuhan.’ (Kis. 3:19) Yehuwa tidak cepat putus asa terhadap orang yang tersilap langkah. Ingatlah bahawa Dia telah mengampuni Harun. Hari ini, Yehuwa mungkin memberi kita amaran menerusi kisah Bible, bahan bacaan Bible, atau nasihat daripada rakan Kristian. Apabila kita mendengarkan amaran itu, kita pasti dicucuri belas kasihan Yehuwa.

21. Apakah seharusnya tekad kita apabila kesetiaan kita kepada Yehuwa diuji?

21 Kebaikan hati Yehuwa yang unggul memberi kita peluang untuk “menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan.” (Baca Titus 2:11-14.) Maka janganlah mensia-siakan kebaikan hati-Nya. (2 Kor. 6:1) Selagi kita “hidup dalam sistem dunia ini,” kesetiaan kita kepada Yehuwa akan diuji. Semoga kita sentiasa bertekad untuk berpihak sepenuhnya kepada Yehuwa. Ingatlah, ‘kita harus takut akan Yehuwa, Tuhan kita, mengabdikan diri kepada-Nya, dan berpaut pada-Nya.’​—Ul. 10:20.