Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Mengetahui Faktanya?

Adakah Anda Mengetahui Faktanya?

“Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.”​—AMS. 18:13.

LAGU: 126, 95

1, 2. (a) Apakah kebolehan penting yang perlu kita pupuk? Mengapa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

SEBAGAI orang Kristian sejati, kita perlu memupuk kebolehan untuk menilai maklumat dan membuat kesimpulan yang tepat. (Ams. 3:21-23; 8:4, 5) Jika tidak, Syaitan dan dunianya dapat memutarbalikkan fikiran kita dengan mudah. (Ef. 5:6; Kol. 2:8) Sudah pasti, kita perlu ada fakta yang tepat untuk membuat kesimpulan yang betul. Amsal 18:13 menyatakan, “Orang yang menjawab sebelum mendengar [atau mengetahui faktanya], bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.”

2 Rencana ini akan membincangkan beberapa cabaran yang dihadapi semasa kita ingin mendapat fakta dan membuat kesimpulan yang betul. Kita juga akan mengkaji prinsip dan contoh daripada Bible yang dapat meningkatkan kebolehan kita untuk menilai maklumat dengan tepat.

JANGAN PERCAYA KEPADA “SETIAP KATA”

3. Mengapakah kita perlu menerapkan prinsip Bible di Amsal 14:15? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Manusia hari ini dihujani bermacam-macam maklumat daripada Internet, televisyen, dan media massa lain. Mereka juga dibanjiri e-mel, SMS, dan laporan daripada sahabat dan kenalan yang berniat baik. Memandangkan fakta sering diputarbelitkan, dan terdapat ramai orang yang sengaja menyebarkan maklumat palsu, kita harus berhati-hati dan menilai apa yang kita dengar. Prinsip apakah yang dapat membantu kita? Amsal 14:15 menyatakan, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”

4. Bagaimanakah Filipi 4:8, 9 membantu kita semasa memilih bahan yang ingin dibaca? Mengapakah kita perlu ada maklumat yang tepat? (Lihat juga kotak “ Beberapa Bantuan untuk Mendapat Fakta.”)

4 Untuk membuat keputusan yang baik, kita memerlukan fakta yang kukuh. Maka, pilihlah maklumat dengan cermat. (Baca Filipi 4:8, 9.) Janganlah membuang masa untuk melihat berita di laman web yang tidak dapat dipercayai, atau membaca e-mel atau SMS tentang laporan yang sumbernya tidak sahih. Elakkan juga laman web yang disarankan golongan murtad. Hal ini sangat penting kerana tujuan mereka adalah untuk merobohkan iman umat Tuhan dan memutarbelitkan kebenaran. Maklumat yang tidak sahih akan menyebabkan anda membuat keputusan yang tidak bijak. Jangan sekali-kali meremehkan kesan maklumat sebegini terhadap minda dan hati anda.​—1 Tim. 6:20, 21.

5. Apakah laporan palsu yang diberikan kepada orang Israel? Apakah kesannya?

5 Laporan palsu dapat membawa padah. Contohnya, pada zaman Musa, 10 daripada 12 orang pengintip yang pergi ke Tanah yang Dijanjikan telah membawa laporan buruk. (Bil. 13:25-33) Mereka membesar-besarkan cabaran di situ sehingga umat Yehuwa takut dan hilang semangat. (Bil. 14:1-4) Mengapakah umat itu bereaksi sedemikian? Mereka mungkin berfikir bahawa laporan itu benar kerana disampaikan oleh kebanyakan pengintip. Jadi mereka enggan mendengar laporan baik daripada Yosua dan Kaleb, dua orang yang dapat dipercayai. (Bil. 14:6-10) Umat Yehuwa tidak mencari fakta dan tidak yakin kepada-Nya. Sebaliknya mereka memilih untuk mempercayai laporan buruk. Alangkah bodohnya tindakan mereka!

6. Mengapakah kita tidak patut terperanjat semasa terdengar laporan yang mengejutkan tentang umat Yehuwa?

6 Kita perlu sangat berwaspada semasa terdengar laporan tentang umat Yehuwa. Jangan lupa bahawa Syaitan sentiasa menuduh hamba-hamba Tuhan. (Why. 12:10) Yesus memberi kita amaran bahawa penentang akan “mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah” kita. (Mat. 5:11) Maka, janganlah terperanjat semasa terdengar cerita yang mengejutkan tentang umat Yehuwa.

7. Sebelum menghantar e-mel atau SMS, apakah yang perlu kita fikir?

7 Adakah anda suka menghantar e-mel dan SMS kepada kawan dan kenalan? Jika ya, ketika anda nampak berita baharu di media atau mendengar suatu pengalaman, anda mungkin berasa seperti wartawan yang ingin menjadi orang pertama untuk menghebohkan sebuah cerita sensasi. Namun, sebelum menghantar apa-apa, tanyalah diri, “Adakah saya pasti maklumat yang akan saya hantar itu benar? Adakah saya memiliki fakta yang tepat?” Jika anda tidak pasti, anda mungkin akan menyebarkan maklumat palsu kepada rakan seiman. Maka, jika anda ragu-ragu, tekanlah “padam,” dan bukannya “hantar.”

8. Apakah yang pernah dilakukan para penentang di sesetengah negara? Mungkinkah kita membantu mereka tanpa menyedarinya?

8 Terdapat satu lagi bahaya jika kita menerima e-mel atau SMS lalu menghantarnya tanpa berfikir panjang. Di sesetengah negara, kerja kita disekat atau dilarang. Para penentang di situ mungkin sengaja menghantar laporan yang membuat kita berasa takut atau mencurigai satu sama lain. Di bekas Kesatuan Soviet, polis rahsia, yang dikenali sebagai KGB, menyebarkan khabar angin bahawa sesetengah saudara yang mengambil pimpinan telah mengkhianati umat Yehuwa. * Sedihnya, banyak orang mempercayai laporan palsu itu lalu meninggalkan organisasi Yehuwa. Walaupun ramai antara mereka kemudiannya kembali, ada juga yang tidak kembali kerana iman mereka telah hancur bagaikan kapal yang karam. (1 Tim. 1:19) Bagaimanakah kita dapat mengelakkan malapetaka sebegini? Janganlah menyebarkan laporan yang negatif atau yang tidak sahih. Janganlah terima bulat-bulat apa sahaja maklumat yang didengar. Pastikan anda mengetahui faktanya dahulu.

MAKLUMAT YANG TIDAK LENGKAP

9. Apakah satu lagi cabaran yang dihadapi semasa kita ingin membuat kesimpulan yang tepat?

9 Laporan yang separuh benar atau yang tidak lengkap juga dapat menghalang kita membuat kesimpulan yang tepat. Cerita yang 10 peratus benar, sebenarnya 100 peratus menyesatkan. Apakah yang dapat dilakukan supaya kita tidak ditipu oleh cerita sebegini?​—Ef. 4:14.

10. Mengapakah orang Israel hampir menyerang saudara-saudara mereka? Bagaimanakah hal itu berjaya dielakkan?

10 Fikirkan apa yang terjadi kepada orang Israel yang tinggal di sebelah barat Sungai Yordan pada zaman Yosua. (Yos. 22:9-34) Mereka dengar bahawa orang Israel di sebelah timur Sungai Yordan (suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye) telah membina sebuah mazbah yang besar dan mengagumkan. Maklumat itu memang tepat, tetapi tidak lengkap. Disebabkan laporan itu, orang Israel di sebelah barat berkumpul untuk menyerang rakan sebangsa mereka kerana berfikir bahawa rakan sebangsa mereka telah memberontak terhadap Yehuwa. (Baca Yosua 22:9-12.) Namun, sebelum melancarkan serangan, mereka mengutus wakil-wakil untuk mengetahui semua fakta. Apakah faktanya? Suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah membina mazbah itu, bukan untuk mempersembahkan korban, tetapi sebagai peringatan kepada keturunan yang akan datang, bahawa mereka juga penyembah Yehuwa yang setia. Sudah pasti orang Israel sangat bersyukur kerana meluangkan masa untuk memperoleh fakta yang lengkap. Jika tidak, mereka mungkin sudah membunuh saudara sendiri berdasarkan maklumat yang tidak lengkap!

11. (a) Bagaimanakah Mefiboset menjadi mangsa ketidakadilan? (b) Bagaimanakah Daud dapat mengelakkan kejadian itu?

11 Kita mungkin menjadi mangsa ketidakadilan disebabkan maklumat yang separa benar atau yang tidak lengkap. Fikirkan contoh Raja Daud dan Mefiboset. Daud menunjukkan kemurahan hati dan kebaikan hati kepada Mefiboset dengan mengembalikan kepadanya semua tanah yang dahulu dimiliki datuknya Saul. (2 Sam. 9:6, 7) Namun, Daud kemudiannya mendengar laporan buruk tentang Mefiboset, lalu merampas semua harta Mefiboset tanpa menyiasat laporan itu dengan teliti. (2 Sam. 16:1-4) Setelah berjumpa dengan Mefiboset, barulah Daud sedar bahawa keputusannya itu silap. Maka dia memulangkan sebahagian daripada harta Mefiboset. (2 Sam. 19:24-29) Tindakan yang tidak adil itu dapat dielakkan sekiranya Daud meluangkan masa untuk mengetahui faktanya, dan tidak bertindak melulu berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.

12, 13. (a) Apakah yang dilakukan Yesus semasa difitnah? (b) Apakah yang dapat kita lakukan jika orang lain menyebarkan laporan palsu tentang kita?

12 Bagaimana pula jika anda difitnah? Hal itu pernah terjadi kepada Yesus dan Yohanes Pembaptis. (Baca Matius 11:18, 19.) Apakah yang dilakukan Yesus? Dia tidak membazirkan masa atau tenaganya untuk membela diri. Sebaliknya dia menggalakkan orang untuk melihat fakta, iaitu ajaran dan perbuatannya. Yesus berkata, “Kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.”​—Mat. 11:19.

13 Kita dapat belajar sesuatu daripada Yesus. Ada kalanya, orang mungkin merosakkan nama baik kita dengan memfitnah atau mengkritik kita. Apakah yang dapat kita lakukan? Buktikanlah bahawa tuduhan mereka tidak berasas melalui cara hidup kita. Seperti yang ditunjukkan menerusi contoh Yesus, apabila kita sentiasa berkelakuan baik sebagai orang Kristian, kita dapat menyangkal tuduhan yang separuh benar dan fitnah.

BAGAIMANAKAH ANDA MEMANDANG DIRI SENDIRI?

14, 15. Mengapakah kita tidak patut bergantung pada pengertian sendiri?

14 Memperoleh fakta yang sahih bukanlah satu-satunya cabaran yang kita hadapi semasa ingin membuat kesimpulan yang tepat. Kita juga perlu berdepan dengan ketidaksempurnaan sendiri. Jika kita sudah menyembah Yehuwa selama puluhan tahun, kita mungkin sudah mengasah kemahiran berfikir dan bahkan dihormati kerana mampu membuat pertimbangan dan penilaian yang baik. Namun, dapatkah kelebihan itu menjadi perangkap?

15 Ya, jika kita terlampau bergantung pada diri kita dan membiarkan fikiran kita dikuasai emosi dan pendapat sendiri. Kita mungkin akan berasa bahawa kita dapat memahami apa-apa situasi dengan baik meskipun kita tidak memiliki semua fakta yang terlibat. Sikap sebegini sangat berbahaya! Bible memberi kita amaran agar tidak bergantung pada pengertian sendiri.​—Ams. 3:5, 6; 28:26.

16. Apakah yang terjadi dalam contoh ini? Apakah kesimpulan yang dibuat oleh Tom?

16 Bayangkan situasi ini: Semasa makan di restoran, Tom, seorang penatua yang berpengalaman, terkejut semasa melihat John, seorang lagi penatua, sedang duduk dan makan di meja lain bersama seorang wanita yang bukan isterinya. Tom nampak mereka bersembang dengan gembira, bergurau senda, dan berpelukan. Hati Tom semakin terganggu. Adakah John dan isterinya akan bercerai? Apakah yang akan terjadi kepada isteri John dan anak-anaknya? Tom pernah melihat masalah sebegini berlaku. Jika anda ialah Tom, bagaimanakah perasaan anda?

17. Apakah yang diketahui Tom pada akhirnya? Apakah pengajarannya bagi kita?

17 Walaupun Tom menyimpulkan bahawa John berlaku curang, adakah dia memiliki semua faktanya? Pada malam yang sama, Tom menelefon John. Bayangkan betapa leganya Tom ketika mendapat tahu bahawa wanita itu ialah kakak John yang tinggal di tempat yang jauh. Sudah lama mereka tidak berjumpa, dan mereka hanya ada beberapa jam untuk bertemu. John hanya sempat makan bersamanya di restoran, manakala isteri John tidak dapat datang. Tom bersyukur kerana tidak memberitahu orang lain tentang sangkaannya. Apakah pengajarannya? Biarpun kita seorang Kristian yang sangat berpengalaman, kita masih perlu mendapatkan faktanya.

18. Bagaimanakah perselisihan faham dapat mengelabui penilaian kita?

18 Satu lagi cabaran untuk membuat penilaian yang tepat berkaitan dengan perselisihan faham antara kita dengan rakan seiman. Jika kita asyik memikirkan perselisihan itu, kita mungkin akan mula mencurigai saudara kita dan bahkan ingin mempercayai laporan buruk tentangnya. Apakah pengajarannya? Rasa dendam dapat mengelabui fikiran kita sehingga kita membuat kesimpulan yang tidak berdasarkan fakta. (1 Tim. 6:4, 5) Maka, janganlah membiarkan perasaan negatif berakar dalam hati kita. Sebaliknya, ingatlah bahawa kita wajib mengasihi saudara saudari kita dan mengampuni mereka dengan rela hati.​—Baca Kolose 3:12-14.

PRINSIP BIBLE MELINDUNGI KITA

19, 20. (a) Apakah beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita menilai maklumat dengan tepat? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

19 Memang tidak mudah untuk mendapatkan fakta dan menilainya dengan tepat, kerana dunia ini penuh dengan maklumat yang tidak lengkap atau separuh benar, dan kerana kita tidak sempurna. Apakah yang dapat membantu kita? Kita mesti mengenali dan mengamalkan prinsip Bible. Contohnya, satu prinsip Bible menyatakan bahawa orang yang menjawab sebelum mengetahui fakta, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri. (Ams. 18:13) Satu lagi prinsip mengingatkan kita agar tidak percaya kepada setiap kata orang. (Ams. 14:15) Akhir sekali, tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, janganlah bergantung pada pengertian sendiri. (Ams. 3:5, 6) Prinsip-prinsip Bible akan melindungi kita jika kita menggunakan maklumat daripada sumber yang sahih untuk membuat kesimpulan dan keputusan yang bijak.

20 Terdapat satu lagi halangan untuk membuat penilaian yang tepat, iaitu kecenderungan kita untuk menghakimi berdasarkan penampilan luar. Rencana seterusnya akan membincangkan beberapa jerat dalam aspek ini dan cara untuk mengelakkannya.

^ per. 8 Lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2004, ms. 111-112, dan Buku Tahunan 2008 ms. 133-135 dalam bahasa Indonesia.