Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Jangan Menghakimi Menurut Penampilan Luar

Jangan Menghakimi Menurut Penampilan Luar

“Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.”​—YOH. 7:24.

LAGU: 142, 123

1. Apakah yang dinubuatkan Yesaya tentang Yesus? Mengapakah nubuat itu menggalakkan kita?

YESAYA menubuatkan bahawa Tuan kita, Yesus Kristus, “tidak menghakimi orang berdasarkan apa yang dilihatnya, dan dia tidak menegur orang berdasarkan apa yang didengarnya.” Sebaliknya, dia akan “menghakimi orang yang berkedudukan rendah dengan adil.” (Yes. 11:3, 4) Nubuat yang sungguh melegakan dan menggalakkan! Memandangkan kita hidup dalam dunia yang berat sebelah dan yang penuh dengan prasangka, tidakkah kita mendambakan seorang Hakim yang sempurna, yang tidak menghakimi berdasarkan rupa luaran?

2. Apakah perintah Yesus kepada kita? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Setiap hari, kita membuat kesimpulan tentang orang lain. Namun, kita tidak sempurna dan tidak dapat menilai orang dengan sempurna seperti Yesus. Kita mudah dipengaruhi apa yang dilihat dengan mata. Tetapi Yesus menyuruh kita, “Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.” (Yoh. 7:24) Jelaslah, Yesus ingin kita menirunya dan tidak menghakimi orang berdasarkan rupa luaran. Rencana ini akan membincangkan tiga perkara yang dapat mempengaruhi pandangan kita: Bangsa atau kaum, kekayaan, dan usia. Kita akan mempelajari cara yang praktikal untuk mematuhi perintah Yesus dalam setiap perkara itu.

MENGHAKIMI ORANG MENURUT BANGSA ATAU KAUM

3, 4. (a) Apakah sesetengah peristiwa yang menyebabkan Petrus mengubah pandangannya terhadap orang bukan Yahudi? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah kebenaran baharu yang diajarkan Yehuwa kepada Petrus?

3 Bayangkan apa yang difikirkan Rasul Petrus ketika dijemput ke Kaisarea untuk pergi ke rumah Kornelius, seorang lelaki bukan Yahudi. (Kis. 10:17-29) Seperti orang Yahudi lain, sejak kecil lagi Petrus beranggapan bahawa orang bukan Yahudi najis. Tetapi pengalamannya baru-baru ini telah mengubah pendiriannya. Contohnya, dalam suatu penglihatan, Petrus nampak sehelai kain yang penuh dengan binatang yang najis. Kemudian ada suara dari langit yang berkata, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah dan makanlah binatang-binatang itu!” Petrus menolak arahan tersebut tetapi suara itu berkata, “Jangan lagi anggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.” (Kis. 10:9-16) Selepas penglihatan itu berakhir, sementara Petrus masih berasa bingung tentang maksudnya, para utusan Kornelius tiba. Di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan, Petrus bertolak bersama mereka ke rumah Kornelius.

4 Jika Petrus hanya melihat rupa luaran, dia pasti tidak akan memasuki rumah Kornelius, kerana orang Yahudi tidak akan memasuki rumah orang bukan Yahudi. Mengapakah Petrus dapat membebaskan diri daripada sikap prasangka yang berurat berakar? Penglihatan yang diterimanya dan arahan daripada kuasa suci Tuhan telah meninggalkan kesan yang mendalam. Setelah mendengar kata-kata Kornelius, Petrus tersentuh lalu berkata, “Sekarang barulah aku benar-benar faham bahawa Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kis. 10:34, 35) Pemahaman baharu tentang sikap tidak berat sebelah ini sungguh mendebarkan bagi Petrus, dan akan mempengaruhi semua orang Kristian. Bagaimana?

5. (a) Yehuwa mahu semua orang Kristian memahami apa? (b) Biarpun kita sudah mengenali kebenaran, sikap apakah yang mungkin masih tersembunyi di sudut hati kita?

5 Melalui Petrus, Yehuwa membantu semua orang Kristian untuk faham bahawa Dia tidak berat sebelah. Bagi-Nya, kaum, bangsa, suku, atau bahasa, tidaklah penting. Sesiapa sahaja yang takut kepada Tuhan dan berbuat benar akan diterima oleh-Nya. (Gal. 3:26-28; Why. 7:9, 10) Sudah pasti anda setuju dengan pernyataan itu. Tetapi bagaimana pula jika anda terdedah kepada sikap prasangka sejak kecil lagi di negara atau dalam keluarga anda? Biarpun anda rasa diri anda tidak berat sebelah, sikap prasangka mungkin masih tersembunyi di sudut hati anda. Petrus berpeluang memberitahu orang tentang sifat Yehuwa yang saksama, tetapi sikap prasangkanya timbul lagi pada kemudian hari. (Gal. 2:11-14) Jadi, bagaimanakah kita dapat mematuhi Yesus dan tidak menghakimi orang berdasarkan penampilan mereka?

6. (a) Bagaimanakah kita dapat mencabut sikap prasangka dari hati? (b) Apakah yang ditunjukkan melalui laporan seorang saudara yang mengambil pimpinan?

6 Gunalah Firman Tuhan sebagai suluh dan periksalah diri kita dengan teliti untuk melihat sama ada hati dan minda kita masih dipengaruhi sikap prasangka atau tidak. (Mzm. 119:105) Tanyalah seseorang yang dipercayai, kerana ada kalanya, sikap itu mungkin begitu sebati dengan diri kita sehingga kita tidak menyedarinya. (Gal. 2:11, 14) Fikirkan contoh ini: Seorang saudara yang mengambil pimpinan telah menulis laporan mengenai sepasang suami isteri yang berkhidmat sepenuh masa. Si suami berasal daripada suku minoriti yang sering dipandang rendah. Nampaknya saudara tersebut tidak sedar bahawa dia sendiri pun berprasangka terhadap suku itu. Dia menulis banyak hal yang baik tentang suami itu dalam laporannya, namun kesimpulannya menyatakan, “Walaupun dia daripada [suku ini], kelakuan dan cara hidupnya akan bantu orang lain faham bahawa [orang daripada suku ini] tidak semestinya kotor dan bertaraf rendah, walaupun itulah ciri kebanyakan orang daripada [suku ini].” Apakah pengajarannya? Tidak kira apa pun tanggungjawab yang kita pikul, kita perlu memeriksa diri dengan teliti dan sudi menerima bantuan agar dapat membuang apa sahaja sikap prasangka dari hati kita. Apakah tindakan lain yang dapat kita ambil?

7. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita sedang ‘membuka hati kita lebar-lebar’?

7 Jika kita ‘membuka hati kita lebar-lebar,’ kasih dapat menggantikan sikap prasangka. (2 Kor. 6:11-13) Adakah anda hanya suka bergaul rapat dengan orang daripada bangsa, kaum, suku, atau bahasa sendiri? Jika begitu, luaskanlah pergaulan anda. Jemputlah rakan seiman daripada pelbagai latar belakang untuk menginjil bersama anda, atau undanglah mereka ke rumah untuk makan atau bergaul. (Kis. 16:14, 15) Dengan demikian, hati anda akan dipenuhi kasih sehingga tiada ruang untuk sikap prasangka. Sekarang, mari kita bincang satu lagi perkara yang sering membuat kita menghakimi berdasarkan penampilan luar, iaitu kekayaan.

MENGHAKIMI ORANG MENURUT KEKAYAAN ATAU KEMISKINAN

8. Menurut Imamat 19:15, bagaimanakah kekayaan atau kemiskinan seseorang dapat mempengaruhi cara kita menghakiminya?

8 Kekayaan seseorang dapat mempengaruhi pandangan kita terhadapnya. Imamat 19:15 menyatakan, “Jangan berat sebelah, sama ada terhadap orang miskin ataupun orang kaya. Kamu mesti menghakimi orang lain dengan adil.” Bagaimanakah kekayaan atau kemiskinan seseorang dapat mempengaruhi pandangan kita?

9. Apakah hakikat yang menyedihkan yang dicatatkan oleh Salomo? Apakah pengajarannya?

9 Kuasa suci Tuhan mendorong Salomo untuk mencatatkan hakikat yang menyedihkan ini: “Orang miskin dibenci bahkan oleh kawannya sendiri, tetapi orang kaya mempunyai banyak sahabat.” (Ams. 14:20) Apakah pengajarannya? Sebagai orang yang tidak sempurna, jika kita tidak berwaspada, kita mungkin akan lebih suka bersahabat dengan rakan seiman yang kaya dan menjauhi mereka yang miskin. Mengapakah menilai orang mengikut kekayaan amat berbahaya?

10. Apakah amaran yang diberikan oleh Yakobus?

10 Jika kita menghakimi orang menurut kekayaan, sidang mungkin berpecah belah. Yakobus mengingatkan orang Kristian pada abad pertama bahawa itulah masalah yang terjadi dalam sesetengah sidang. (Baca Yakobus 2:1-4.) Hari ini, kita mesti berwaspada dan tidak membiarkan sikap sebegitu menggugat perpaduan sidang. Bagaimanakah kita dapat melawan kecenderungan untuk menghakimi berdasarkan harta milik orang?

11. Adakah hubungan seseorang dengan Yehuwa dipengaruhi harta miliknya? Jelaskan.

11 Kita perlu memandang rakan seiman sebagaimana Yehuwa memandang mereka. Kaya atau miskinnya seseorang tidak menentukan nilainya dalam pandangan Yehuwa. Hubungan kita dengan Yehuwa langsung tidak berkaitan dengan wang atau harta kita. Yesus pernah berkata, “Memang susah bagi orang yang kaya memasuki Kerajaan di syurga.” Tetapi dia tidak pernah mengatakan bahawa hal itu mustahil. (Mat. 19:23) Yesus juga pernah berkata, “Berbahagialah kamu yang miskin, kerana Kerajaan Tuhan ialah milik kamu.” (Luk. 6:20) Namun, hal itu tidak bermaksud semua orang miskin akan mengikut ajaran Yesus dan diberi berkat yang istimewa. Sebenarnya, ramai orang miskin tidak mendengarkan Yesus. Apakah pengajarannya? Kita tidak boleh menilai hubungan seseorang dengan Yehuwa berdasarkan harta miliknya.

12. Apakah nasihat Bible kepada orang kaya dan orang miskin?

12 Kita amat bersyukur kerana ramai saudara saudari, baik yang kaya mahupun yang miskin, mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Bible menasihati orang yang kaya agar “jangan berharap kepada kekayaan yang tidak tetap. Sebaliknya hendaklah mereka berharap kepada Tuhan.” (Baca 1 Timotius 6:17-19.) Pada masa yang sama, Firman Tuhan mengingatkan semua hamba Yehuwa, tidak kira kaya ataupun miskin, agar tidak mencintai wang. (1 Tim. 6:9, 10) Ya, apabila kita melihat saudara saudari kita sepertimana Yehuwa memandang mereka, kita tidak akan menghakimi mereka berdasarkan harta milik mereka. Bagaimana pula dengan usia? Adakah faktor itu dasar yang baik untuk menghakimi orang?

MENGHAKIMI ORANG MENURUT USIA

13. Apakah ajaran Bible tentang menghormati orang tua?

13 Bible sering mengingatkan kita untuk menghormati orang yang lebih tua. Imamat 19:32 menyatakan, “Kamu mesti menghormati orang yang sudah beruban dan kamu mesti memuliakan orang yang sudah tua.” Amsal 16:31 memberitahu kita, “Uban orang yang mengikut haluan yang benar bagaikan mahkota yang indah dan mulia.” Paulus menasihati Timotius agar tidak menegur lelaki yang tua dengan kasar, tetapi menganggapnya seperti bapa sendiri. (1 Tim. 5:1, 2) Meskipun Timotius dilantik untuk memimpin saudara-saudara yang lebih tua, dia harus menunjukkan hormat dan belas kasihan kepada mereka.

14. Bilakah kita perlu memberikan teguran atau disiplin kepada seseorang yang lebih tua?

14 Bagaimana pula jika seseorang yang berusia sengaja berdosa atau menggalakkan perbuatan yang dibenci Yehuwa? Yehuwa tidak akan tutup sebelah mata terhadap orang yang sengaja berdosa, biarpun orang itu lanjut usia. Perhatikan prinsip di Yesaya 65:20: “Meskipun orang yang berdosa hidup sehingga seratus tahun, dia akan mati kerana dikutuk.” Prinsip yang sama juga ditegaskan dalam penglihatan Yehezkiel. (Yeh. 9:5-7) Maka, hal terpenting ialah kita mesti sentiasa menghormati Dia Yang Lanjut Usia, iaitu Yehuwa. (Dan. 7:9, 10, 13, 14) Dengan itu, kita tidak akan takut untuk menegur seseorang yang perlu dibetulkan, tidak kira berapa usianya.​—Gal. 6:1.

Adakah anda menghormati saudara yang lebih muda? (Lihat perenggan 15)

15. Dalam soal menghormati saudara yang muda, apakah yang kita pelajari daripada Rasul Paulus?

15 Bagaimana pula dengan saudara yang lebih muda? Bagaimanakah anda memandang mereka? Rasul Paulus menasihati Timotius, “Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda. Sebaliknya, hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu, menjadi contoh kepada orang yang setia.” (1 Tim. 4:12) Semasa Paulus menulis kata-kata itu, Timotius mungkin berumur sekitar 30 tahun, tetapi Paulus telah memberinya tugas yang penting. Apakah pengajarannya bagi kita? Janganlah menghakimi saudara yang muda berdasarkan umur mereka. Ingatlah bahawa Tuan Yesus telah menyempurnakan tugasnya di bumi pada usia 33 tahun!

16, 17. (a) Bagaimanakah para penatua menentukan sama ada seorang saudara dapat disyorkan sebagai pembantu sidang atau penatua? (b) Bagaimanakah budaya atau pendapat peribadi mungkin bercanggah dengan ajaran Bible?

16 Dalam sesetengah budaya, lelaki muda dipandang rendah. Akibatnya, para penatua mungkin teragak-agak untuk mengesyorkan seorang saudara muda sebagai pembantu sidang atau penatua, biarpun dia sudah memenuhi syarat. Para penatua, ingatlah bahawa Bible tidak menetapkan umur minimum untuk dilantik sebagai pembantu sidang atau penatua. (1 Tim. 3:1-10, 12, 13; Tit. 1:5-9) Penatua yang menetapkan peraturan tentang umur atas alasan budaya tidak bertindak mengikut Firman Tuhan. Kelayakan saudara-saudara muda haruslah diukur menurut piawaian Bible, bukan budaya atau pendapat sendiri.​—2 Tim. 3:16, 17.

17 Pandangan yang tidak berdasarkan Bible dapat menghalang kemajuan saudara-saudara yang layak. Di sebuah negara, seorang pembantu sidang diberi tanggungjawab yang berat. Dia melakukan tugasnya dengan baik, dan para penatua setuju bahawa dia memenuhi syarat Bible untuk menjadi penatua. Namun, mereka tidak mengesyorkannya kerana paras rupanya. Sesetengah penatua yang lebih tua mengatakan bahawa paras rupanya terlalu muda untuk dipandang sebagai penatua. Situasi sebegini nampaknya terjadi di banyak negara. Amatlah penting untuk bergantung pada Bible dan bukannya budaya atau pendapat peribadi! Itulah satu-satunya cara untuk mentaati Yesus dan tidak menghakimi berdasarkan rupa luaran.

HAKIMILAH DENGAN ADIL

18, 19. Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan Yehuwa terhadap orang lain?

18 Biarpun kita tidak sempurna, kita masih dapat meniru pandangan Yehuwa yang tidak berat sebelah. (Kis. 10:34, 35) Untuk berbuat begitu, kita perlu sentiasa memperhatikan peringatan daripada Firman Tuhan dan terus berusaha untuk menerapkannya. Dengan itu, kita dapat mematuhi perintah Yesus dan tidak menghakimi berdasarkan penampilan luar.​—Yoh. 7:24.

19 Tidak lama lagi, Yesus Kristus, Raja kita, akan menghakimi semua manusia. Dia tidak akan menghakimi orang berdasarkan apa yang didengar atau dilihatnya, tetapi akan menghakimi mereka dengan adil. (Yes. 11:3, 4) Kita menantikan kedatangan masa itu!