Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hidup Anda MEMANG Bermakna

Hidup Anda MEMANG Bermakna

Frank telah menjalani pembedahan jantung kira-kira setahun selepas kematian isterinya. Dia berkata, “Semasa membaca buku Ayub, saya tahu bahawa pasti ada sebabnya Yehuwa mencatatkan kisah itu dalam Bible. Apabila kita baca kisah Bible yang mirip dengan situasi kita, hati kita akan berasa lebih lega.” Dia menambah, “Hidup saya memang bermakna.”

Tarsha kehilangan ibunya pada usia yang muda. Dia berkata, “Oleh sebab saya mengenali Pencipta, kehidupan saya ada tujuan dan harapan. Saya dapat bersukacita meskipun menghadapi banyak masalah. Saya yakin Yehuwa dapat menyokong kita dan membantu kita mengharungi cabaran hidup setiap hari.”

DALAM rencana-rencana sebelumnya, kita telah melihat bagaimana kehidupan kita mungkin ditenggelami pelbagai masalah. Semasa bergelut dengan cabaran sendiri, anda mungkin tertanya-tanya sama ada hidup anda bermakna, atau adakah sesiapa yang peduli tentang kesusahan anda. Percayalah bahawa Tuhan mengambil berat tentang anda. Anda memang berharga di mata-Nya.

Penulis Mazmur 86 yakin bahawa Tuhan akan membantunya. Dia berkata, “Aku berseru kepada-Mu semasa aku dalam kesusahan, kerana Engkau akan menjawabku.” (Mazmur 86:7) Namun, anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah Tuhan akan menjawab ‘semasa saya dalam kesusahan’?”

Walaupun Tuhan mungkin tidak segera menghilangkan semua masalah anda, Bible menjamin bahawa Dia akan memberi anda ketenangan batin supaya anda dapat mengharungi cabaran hidup. Bible menyatakan, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.” (Filipi 4:6, 7) Perhatikan beberapa ayat Bible yang membuktikan bahawa Tuhan benar-benar mengambil berat terhadap kita.

Tuhan Memang Peduli tentang Anda

“Tidak seekor pun [burung pipit] diabaikan oleh Tuhan. . . . Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.”​Lukas 12:6, 7, nota kaki.

FIKIRKAN: Burung pipit mungkin tidak bernilai di mata kita, tetapi Tuhan memperhatikan dan menghargai setiap burung pipit. Bagi Tuhan, manusia jauh lebih berharga daripada burung pipit. Manusia ialah ciptaan Tuhan yang paling istimewa di bumi. Kita diciptakan “menurut gambaran-Nya” dan mampu memupuk serta menunjukkan sifat-sifat-Nya yang mulia.​—Kejadian 1:26, 27.

“Ya Yehuwa, Engkau menyelidiki aku, dan Engkau mengenali aku. Engkau mengetahui fikiranku . . . Periksalah aku dan ketahuilah kerunsinganku.”​Mazmur 139:1, 2, 23.

FIKIRKAN: Tuhan mengenali anda secara mendalam. Dia tahu perasaan dan kerisauan anda yang terpendam. Orang lain mungkin tidak memahami kesusahan anda, tetapi Tuhan mengambil berat terhadap anda dan ingin menolong anda. Itulah sebabnya hidup anda bermakna.

Tuhan Akan Menyokong dan Membimbing Anda

“Ya Yehuwa, dengarlah doaku. Semoga seruanku untuk meminta tolong sampai kepada-Mu. . . . Dengarlah aku, dan jawablah seruanku dengan segera. . . . [Tuhan] akan mendengar doa orang yang miskin.”​Mazmur 102:1, 2, 17.

FIKIRKAN: Sejak dahulu lagi, Yehuwa seolah-olah mencatatkan setiap titisan air mata manusia, termasuk air mata anda. (Mazmur 56:8) Tuhan ingat akan setiap penderitaan anda dan nampak air mata anda, kerana Dia amat menyayangi anda.

“Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. . . . Aku, Yehuwa, Tuhanmu, . . . berfirman kepadamu, ‘Janganlah takut. Aku akan menolongmu.’”​Yesaya 41:10, 13.

FIKIRKAN: Tuhan bersedia menolong anda. Jika anda terjatuh, Dia akan membantu anda bangun semula.

Masa Depan yang Cerah Menantikan Anda

“Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”​Yohanes 3:16.

INGATLAH: Anda begitu berharga di mata Tuhan sehingga Dia rela mengorbankan Anak-Nya Yesus, supaya anda berpeluang menikmati kehidupan yang bahagia dan bermakna buat selama-lamanya. *

Meskipun anda berasa runsing kerana kehidupan anda penuh dengan masalah, kajilah Firman Tuhan dengan teliti dan kuatkanlah iman anda terhadap janji-janji Tuhan. Anda akan berasa bahagia dan yakin bahawa hidup anda memang bermakna.

^ Untuk mengetahui cara anda dapat menerima manfaat daripada korban Yesus, sila lihat video Kenanglah Kematian Yesus di www.pr418.com/ms. Lihat bahagian MENGENAI KAMI > PERINGATAN.