Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

Tetap Setia kepada Tuhan!

Tetap Setia kepada Tuhan!

“Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!”​—AYB. 27:5.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah tiga orang Saksi dalam perenggan ini tetap setia kepada Yehuwa?

BAYANGKAN tiga situasi berikut yang melibatkan Saksi-Saksi Yehuwa: (1) Suatu hari, cikgu seorang gadis menyuruh seluruh kelas untuk menyertai suatu perayaan. Gadis itu tahu bahawa perayaan itu tidak menyenangkan Tuhan, maka dengan hormat, dia menolak untuk ikut serta. (2) Seorang pemuda yang pemalu sedang menginjil dari rumah ke rumah. Rumah seterusnya ialah rumah rakan sekolahnya yang pernah mengejek Saksi. Tetapi pemuda itu masih pergi ke situ dan mengetuk pintu. (3) Seorang lelaki bekerja keras untuk menyara keluarganya. Suatu hari, bosnya menyuruhnya membuat sesuatu yang tidak jujur atau yang salah di sisi undang-undang. Meskipun dia mungkin dipecat, lelaki itu menjelaskan bahawa dia mesti jujur dan mematuhi undang-undang, kerana itulah yang dikehendaki Tuhan daripada hamba-hamba-Nya.​—Rm. 13:1-4; Ibr. 13:18.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan? Mengapa?

2 Apakah sifat yang ditunjukkan tiga orang Saksi itu? Anda mungkin menjawab, “Keberanian” atau “Kejujuran.” Namun, mereka semua memiliki satu lagi sifat yang sangat penting, iaitu integriti, atau kesetiaan kepada Yehuwa. Kerana memiliki sifat itu, mereka enggan melanggar piawaian Tuhan. Sudah pasti Yehuwa sangat berbangga dengan mereka. Kita juga ingin membuat Bapa kita yang di syurga berasa bangga. Maka, marilah kita membincangkan soalan-soalan ini: Apakah maksud kesetiaan? Mengapakah kita perlu setia? Bagaimanakah kita dapat menguatkan tekad untuk tetap setia kepada Yehuwa pada masa yang mencabar ini?

APAKAH MAKSUD KESETIAAN?

3. (a) Bagaimanakah hamba-hamba Tuhan menunjukkan kesetiaan kepada-Nya? (b) Apakah contoh-contoh yang dapat membantu kita memahami pentingnya kesetiaan?

3 Bagaimanakah hamba-hamba Tuhan menunjukkan kesetiaan kepada-Nya? Mereka mengasihi Yehuwa dan mengabdikan diri kepada-Nya dengan sepenuh hati. Oleh itu, mereka akan mengutamakan kehendak-Nya dalam semua keputusan mereka. Dalam Bible, perkataan “kesetiaan” membawa maksud lengkap, sihat, dan tidak ada kecacatan. Contohnya, Hukum Musa menyatakan bahawa binatang yang dijadikan sebagai korban tidak boleh ada kecacatan. * (Im. 22:21, 22) Umat Tuhan tidak dibenarkan mempersembahkan binatang yang sakit atau yang hilang sebelah kaki, telinga, atau matanya. Yehuwa mahu binatang yang sihat dan lengkap. (Mal. 1:6-9) Mengapakah Yehuwa memberikan perintah sedemikian? Fikirkan: Semasa kita membeli buah-buahan, buku, atau alat, kita tidak mahu buah yang berlubang, buku yang hilang muka suratnya, atau alat yang tidak lengkap. Begitu juga, Yehuwa mahu kita menunjukkan kasih dan kesetiaan yang lengkap, yang tidak berbelah bahagi.

4. (a) Mengapakah orang yang tidak sempurna pun dapat setia kepada Tuhan? (b) Menurut Mazmur 103:12-14, apakah yang diharapkan oleh Yehuwa daripada kita?

4 Perlukah kita menjadi sempurna untuk setia kepada Tuhan? Tidak. Sebenarnya, biarpun kita ada banyak kelemahan dan kesilapan, kita masih dapat tetap setia. Mengapa? Terdapat dua sebab: Pertama, Yehuwa tidak bertumpu kepada kesilapan kita. Bible menyatakan, “Ya Tuhan Yah, jika Engkau hanya memperhatikan kesalahan, siapakah yang dapat terlepas daripada hukuman?” (Mzm. 130:3) Dia tahu bahawa kita tidak sempurna, dan Dia rela mengampuni kita. (Mzm. 86:5) Kedua, Yehuwa tahu keterbatasan kita, dan Dia tidak mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan kita. (Baca Mazmur 103:12-14.) Jadi, bagaimanakah manusia yang tidak sempurna dapat menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi?

5. Mengapakah hamba-hamba Yehuwa memerlukan kasih untuk tetap setia kepada-Nya?

5 Kasih ialah kunci kepada kesetiaan. Jika kita mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati tidak kira senang atau susah, maksudnya kita sudah memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. (1 Taw. 28:9; Mat. 22:37) Fikirkan tiga orang Saksi yang disebut di perenggan pertama. Apakah sebab di sebalik tindakan mereka? Adakah gadis itu tidak suka berseronok di sekolah? Adakah pemuda itu ingin diejek? Adakah lelaki itu ingin dibuang kerja? Pastinya tidak. Namun, mereka mengenali piawaian Tuhan yang benar, dan mereka ingin menyenangkan hati-Nya. Oleh sebab mereka mengasihi-Nya, mereka mengambil kira perasaan-Nya sebelum membuat keputusan, dan hal ini membuktikan bahawa mereka memang setia kepada-Nya.

MENGAPAKAH KITA MEMERLUKAN KESETIAAN?

6. (a) Mengapakah anda perlu menunjukkan kesetiaan kepada Tuhan? (b) Bagaimanakah Adam dan Hawa gagal menunjukkan kesetiaan?

6 Mengapakah kita masing-masing perlu menunjukkan kesetiaan kepada Tuhan? Kerana Syaitan telah mencabar Yehuwa dan mencabar anda. Di Taman Eden, malaikat yang memberontak lalu menjadi Syaitan, atau “Penentang,” cuba merosakkan nama Yehuwa. Dia ingin Adam dan Hawa percaya bahawa Tuhan ialah Pemerintah yang jahat, mementingkan diri, dan tidak jujur. Sedihnya, Adam dan Hawa menyokong pemberontakan Syaitan. (Kej. 3:1-6) Semasa di Eden, mereka ada banyak peluang untuk memperdalam kasih mereka terhadap Yehuwa. Tetapi semasa Syaitan memberontak, kasih mereka terbukti tidak lengkap. Kemudian, pada zaman Ayub, satu lagi persoalan timbul: Adakah manusia akan tetap setia kepada Yehuwa kerana mengasihi-Nya?

7. Menurut Ayub 1:8-11, apakah pandangan Yehuwa terhadap kesetiaan Ayub? Bagaimana pula dengan Syaitan?

7 Pada zaman Ayub, orang Israel tinggal di Mesir. Ketika itu, tiada sesiapa pun yang begitu setia seperti Ayub. Walaupun Ayub juga tidak sempurna dan pernah tersilap, Yehuwa mengasihinya kerana dia seorang yang setia. Nampaknya, Syaitan sudah mencela Yehuwa tentang kesetiaan manusia sebelum masa itu. Jadi Yehuwa memberitahu Syaitan tentang Ayub, kerana kehidupannya membuktikan bahawa Syaitan ialah pembohong. Yehuwa sangat yakin terhadap sahabat-Nya Ayub. Maka, apabila Syaitan mahu menguji kesetiaan Ayub, Yehuwa mengizinkannya bertindak.​—Baca Ayub 1:8-11.

8. Bagaimanakah Syaitan menyerang Ayub?

8 Syaitan ialah pembunuh yang kejam. Mula-mulanya, dia meragut harta Ayub, membunuh hamba-hambanya, dan merosakkan nama baiknya. Kemudian Syaitan membunuh 10 orang anak Ayub, lalu menyebabkan Ayub dijangkiti bisul yang menyakitkan, dari kepala sampai kaki. Semua itu membuat isteri Ayub begitu sedih sehingga dia mendesak Ayub untuk mengutuk Tuhan dan mati. Ayub sendiri pun berasa ingin mati, tetapi dia tetap setia kepada Tuhan. Selepas itu, Syaitan mengubah taktiknya. Dia menggunakan tiga orang rakan Ayub yang kononnya hendak melegakan hati Ayub. Mereka menemaninya selama beberapa hari, tetapi mereka hanya mengkritik dan memarahinya. Mereka berkata bahawa Tuhanlah punca segala kesusahannya dan kesetiaannya tidak penting bagi Tuhan. Mereka bahkan berkata bahawa Ayub patut ditimpa kecelakaan kerana pernah berbuat jahat!​—Ayb. 1:13-22; 2:7-11; 15:4, 5; 22:3-6; 25:4-6.

9. Meskipun menghadapi cubaan, apakah yang enggan dilakukan oleh Ayub?

9 Apakah reaksi Ayub? Dia tidak sempurna, maka dia memarahi tiga rakannya itu, dan mengucapkan kata-kata melulu yang kemudiannya dikesalinya. Dia juga begitu sibuk membela diri sehingga tidak menyanjung keadilan Tuhan. (Ayb. 6:3; 13:4, 5; 32:2; 34:5) Sungguhpun begitu, Ayub enggan meninggalkan Tuhan Yehuwa, bahkan pada detik yang paling susah dalam hidupnya. Dia tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh sahabat-sahabat palsu itu. Ayub berkata, “Mustahil aku mengatakan kamu semua benar. Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!” (Ayb. 27:5) Kata-kata itu membuktikan bahawa Ayub bertekad untuk tetap setia, tidak kira apa pun yang terjadi. Ya, Ayub enggan mengalah, dan kita juga dapat melakukan hal yang sama.

10. Bagaimanakah tuduhan Syaitan terhadap Ayub melibatkan anda?

10 Bagaimanakah tuduhan Syaitan terhadap Ayub melibatkan anda? Syaitan mendakwa bahawa anda tidak benar-benar mengasihi Tuhan Yehuwa dan anda akan berhenti menyembah-Nya jika nyawa anda terancam. Dalam kata lain, Syaitan berkata bahawa anda hanya berpura-pura setia kepada Tuhan. (Ayb. 2:4, 5; Why. 12:10) Tidakkah anda sakit hati semasa mendengar tuduhan itu? Namun, Yehuwa cukup yakin bahawa anda dapat tetap setia kepada-Nya. Maka, Dia membenarkan Syaitan menguji anda, supaya anda berpeluang membuktikan bahawa tuduhan Syaitan ialah dusta. Yehuwa percaya bahawa anda mampu melakukannya, dan Dia berjanji untuk membantu anda. (Ibr. 13:6) Tidakkah anda berbesar hati kerana Pemerintah seluruh alam semesta yakin terhadap anda? Sekarang, dapatkah anda memahami sebabnya kesetiaan begitu penting? Sifat ini membolehkan kita menyangkal dusta Syaitan, menjunjung nama suci Bapa kita, dan menyokong pemerintahan-Nya. Bagaimanakah kita dapat terus memelihara kesetiaan kita?

CARA UNTUK MEMELIHARA KESETIAAN KITA SEKARANG

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Ayub?

11 Pada “hari-hari terakhir” ini, Syaitan menyerang umat Tuhan dengan lebih sengit lagi. (2 Tim. 3:1) Namun, dengan meneliti contoh Ayub, kita dapat menguatkan tekad kita untuk tetap setia kepada Tuhan. Mari kita perhatikan tiga perkara yang membolehkan Ayub tetap setia kepada Yehuwa, bahkan sebelum dia diuji.

Bagaimanakah kita dapat menguatkan tekad sendiri untuk tetap setia kepada Yehuwa? (Lihat perenggan 12) *

12. (a) Menurut Ayub 26:7, 8, 14, bagaimanakah Ayub memupuk rasa kagum dan hormat terhadap Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita dapat memupuk rasa kagum terhadap Tuhan?

12 Ayub memperdalam kasihnya kepada Tuhan dengan memupuk rasa kagum terhadap Yehuwa. Ayub meluangkan masa untuk berfikir tentang ciptaan Yehuwa yang menakjubkan, seperti bumi, langit, awan, dan guruh. (Baca Ayub 26:7, 8, 14.) Dia berasa sangat kagum kerana dia sedar bahawa apa yang diketahuinya tentang ciptaan Tuhan amat terhad. Selain itu, Ayub menghargai firman Yehuwa. Dia berkata, “Aku amat menyukai perintah-Nya.” (Ayb. 23:12) Ayub menghormati dan berasa kagum terhadap Yehuwa. Dia mengasihi Tuhan dan ingin menggembirakan hati-Nya, dan hal itu menguatkan tekad Ayub untuk memelihara kesetiaannya. Hari ini, kita tahu lebih banyak lagi tentang ciptaan Tuhan. Tambahan lagi, kita lebih mengenali Yehuwa kerana kita memiliki seluruh Bible. Jika kita merenungkan ciptaan Yehuwa dan mengkaji Firman-Nya, kita dapat memupuk rasa kagum dan hormat terhadap Yehuwa. Sikap sedemikian akan mendorong kita untuk mengasihi dan mentaati-Nya, serta menguatkan tekad kita untuk tetap setia kepada-Nya.​—Ayb. 28:28.

Kita menguatkan tekad sendiri untuk tetap setia dengan menolak bahan lucah (Lihat perenggan 13) *

13-14. (a) Seperti yang dinyatakan di Ayub 31:1, bagaimanakah Ayub menunjukkan ketaatannya? (b) Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Ayub?

13 Ayub sentiasa taat kepada Tuhan, dan hal itu membantunya tetap setia. Ayub tahu bahawa kesetiaannya mesti ditunjukkan melalui ketaatan. Setiap kali kita mentaati Tuhan, tekad kita untuk tetap setia akan menjadi semakin kuat. Ayub berusaha mematuhi Tuhan setiap hari. Contohnya, dia menjaga kelakuannya semasa berurusan dengan kaum wanita. (Baca Ayub 31:1.) Sebagai seorang suami, dia tahu bahawa dia tidak patut tertarik dengan sesiapa pun selain isterinya. Dunia kita hari ini penuh dengan godaan seks. Oleh itu, seperti Ayub, kita bertekad agar tidak menaruh perasaan romantik terhadap seseorang yang bukan teman hidup kita. Kita juga bertekad untuk menolak semua bentuk gambar lucah. (Mat. 5:28) Jika kita mengawal diri dalam cara sebegini setiap hari, tekad kita untuk tetap setia akan bertambah teguh.

Kita menguatkan tekad sendiri untuk tetap setia dengan memiliki pandangan yang seimbang terhadap harta benda (Lihat perenggan 14) *

14 Ayub juga mematuhi Yehuwa dengan tidak bergantung pada harta benda. Dia faham bahawa jika dia bergantung pada harta milik sendiri, dia sudah melakukan kesalahan besar dan harus dihukum. (Ayb. 31:24, 25, 28) Dunia kita hari ini sangat mementingkan kebendaan. Jika kita mengikut nasihat Bible dan memupuk pandangan yang seimbang terhadap wang dan harta, kita dapat menguatkan tekad kita untuk tetap setia kepada Tuhan.​—Ams. 30:8, 9; Mat. 6:19-21.

Kita menguatkan tekad sendiri untuk tetap setia dengan memastikan harapan kita tetap membara dalam hati (Lihat perenggan 15) *

15. (a) Apakah yang membantu Ayub tetap setia kepada Yehuwa? (b) Mengapakah penting untuk ingat akan harapan yang dijanjikan Yehuwa?

15 Ayub dapat tetap setia kepada Tuhan kerana dia bertumpu kepada ganjaran daripada-Nya. Ayub percaya bahawa kesetiaannya penting dalam mata Tuhan. (Ayb. 31:6) Meskipun menderita, Ayub yakin bahawa Yehuwa pasti memberkatinya pada akhirnya. Keyakinan itu telah membantu Ayub agar tetap setia. Yehuwa begitu gembira dengan kesetiaan Ayub sehingga memberinya ganjaran yang melimpah, walaupun Ayub masih tidak sempurna ketika itu! (Ayb. 42:12-17; Yak. 5:11) Pada masa depan, ganjaran yang lebih besar menantikan Ayub. Adakah anda yakin bahawa Yehuwa akan memberkati anda sekiranya anda tetap setia? Tuhan kita tidak pernah berubah. (Mal. 3:6) Jika kita ingat bahawa Dia menghargai orang yang setia dan pasti memberi mereka masa depan yang cerah, kita akan terdorong agar tetap setia kepada-Nya.​—1 Tes. 5:8, 9.

16. Apakah seharusnya tekad kita?

16 Maka, bertekadlah untuk tetap setia kepada Yehuwa! Ada masanya, anda mungkin berasa bahawa anda seorang sahaja yang berbuat demikian. Namun ingatlah, anda tidak bersendirian. Pada zaman dahulu, terdapat ramai lelaki dan wanita yang tetap setia meskipun diancam maut, dan pada zaman ini, terdapat jutaan rakan seiman di serata dunia yang sentiasa memelihara kesetiaan mereka. (Ibr. 11:36-38; 12:1) Marilah kita meniru tekad Ayub yang berbunyi, “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!” Semoga haluan hidup kita yang setia memuliakan Yehuwa buat selama-lamanya!

LAGU 124 Selalu Setia

^ per. 5 Apakah maksud kesetiaan? Mengapakah Yehuwa ingin hamba-hamba-Nya memiliki sifat itu? Mengapakah kesetiaan begitu penting bagi kita? Rencana ini akan menunjukkan jawapannya daripada Bible. Kita juga akan belajar cara untuk memelihara kesetiaan kita kepada Yehuwa setiap hari. Usaha ini akan membawa berkat yang besar.

^ per. 3 Perkataan Ibrani untuk menggambarkan binatang yang “tidak ada kecacatan” berkaitan dengan perkataan “kesetiaan.”

^ per. 50 KETERANGAN GAMBAR: Ayub yang masih muda mengajar anak-anaknya tentang ciptaan Yehuwa yang menakjubkan.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara enggan melihat bahan lucah bersama rakan sekerjanya.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara melawan keinginan untuk membeli sebuah televisyen yang besar dan mahal, yang tidak diperlukannya dan yang tidak mampu dibelinya.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara meluangkan masa untuk merenungkan harapan tentang Firdaus.