Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 12

Hendaklah Kita Mengambil Berat tentang Perasaan Orang Lain

Hendaklah Kita Mengambil Berat tentang Perasaan Orang Lain

“Hendaklah kamu semua . . . menunjukkan simpati . . . berbelas kasihan.”​—1 PTR. 3:8.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

PENGENALAN *

1. Menurut 1 Petrus 3:8, mengapakah kita suka bersama orang yang mengambil berat tentang perasaan dan kesejahteraan kita?

KITA suka bersama orang yang mengambil berat tentang perasaan dan kesejahteraan kita. Mereka membayangkan diri dalam situasi kita, dan berusaha menyelami fikiran dan perasaan kita. Mereka memikirkan keperluan kita dan menawarkan bantuan, bahkan sebelum kita meminta pertolongan mereka. Kita amat menghargai orang sebegini, kerana mereka “menunjukkan simpati” * terhadap kita.​—Baca 1 Petrus 3:8.

2. Mengapakah tidak mudah untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain?

2 Sebagai orang Kristian, kita semua ingin menunjukkan simpati, iaitu mengambil berat tentang perasaan orang lain. Namun, hal ini tidak mudah. Mengapa? Pertama, kita tidak sempurna. (Rm. 3:23) Secara semula jadi, kita akan berfikir tentang diri sendiri sahaja. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk melawan kecenderungan itu. Kedua, kita mungkin berasa susah untuk menunjukkan simpati kerana cara kita dibesarkan atau kerana sesetengah peristiwa yang terjadi dalam kehidupan kita. Ketiga, kita mungkin dipengaruhi oleh sikap orang di sekeliling kita yang “mencintai diri sendiri” dan tidak bertimbang rasa. (2 Tim. 3:1, 2) Bagaimanakah kita dapat mengatasi halangan sebegini?

3. (a) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan simpati dengan lebih baik? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam rencana ini?

3 Jika kita meniru teladan Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus, kita dapat menunjukkan simpati dengan lebih baik. Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih, dan Dia merupakan teladan terbaik dalam hal ini. (1 Yoh. 4:8) Yesus telah meniru sifat Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Melalui kehidupannya di bumi, dia telah menunjukkan bagaimana manusia dapat berbelas kasihan terhadap orang lain. Dalam rencana ini, kita akan bincang terlebih dahulu bagaimana Yehuwa dan Yesus mengambil berat tentang perasaan orang lain. Kemudian, kita akan melihat cara untuk meniru teladan mereka.

YEHUWA MENGAMBIL BERAT TENTANG ORANG LAIN

4. Bagaimanakah Yesaya 63:7-9 menunjukkan bahawa Yehuwa mengambil berat tentang perasaan hamba-hamba-Nya?

4 Bible menyatakan bahawa Yehuwa mengambil berat tentang perasaan hamba-hamba-Nya. Sebagai contoh, ketika orang Israel menderita, “Tuhan juga berasa sedih.” (Baca Yesaya 63:7-9.) Yehuwa menjelaskan bahawa apabila umat-Nya ditindas, Dia dapat merasai kepedihan mereka. Melalui Nabi Zakharia, Yehuwa berkata, “Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku.” (Za. 2:8) Tidakkah gambaran ini menunjukkan bahawa Yehuwa sangat mengambil berat tentang umat-Nya?

Yehuwa mengasihani orang Israel dan membebaskan mereka dari Mesir (Lihat perenggan 5)

5. Jelaskan bagaimana Yehuwa telah menghulurkan bantuan semasa hamba-hamba-Nya menderita.

5 Yehuwa bukan sahaja berasa kasihan terhadap hamba-hamba-Nya yang menderita, tetapi Dia juga menghulurkan bantuan. Misalnya, semasa orang Israel ditindas di Mesir, Yehuwa memahami penderitaan mereka dan terdorong untuk membantu mereka. Yehuwa memberitahu Musa, “Aku memang sudah melihat penderitaan umat-Ku . .   , dan Aku mendengar rintihan mereka . . . Aku tahu benar kesakitan mereka. Aku akan turun untuk menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir.” (Kel. 3:7, 8) Rasa belas kasihan telah menggerakkan Yehuwa untuk membebaskan umat-Nya daripada perhambaan. Ratusan tahun kemudian, semasa orang Israel tinggal di Tanah yang Dijanjikan, mereka diserang oleh musuh. Apakah reaksi Yehuwa? Dia “berasa kasihan terhadap mereka apabila mereka merintih kerana dianiaya dan ditindas.” Sekali lagi, perasaan simpati mendorong Yehuwa untuk bertindak. Dia mengutus para hakim untuk menyelamatkan umat-Nya daripada musuh.​—Hak. 2:16, 18.

6. Bagaimanakah Yehuwa mengambil berat tentang perasaan Yunus, biarpun fikiran Yunus perlu dibetulkan?

6 Yehuwa mengambil berat tentang perasaan umat-Nya, bahkan semasa fikiran mereka perlu dibetulkan. Fikirkan contoh Nabi Yunus. Tuhan telah mengutus Yunus untuk memberitahu orang Niniwe bahawa mereka akan dihukum. Namun, oleh sebab mereka bertaubat, Yehuwa mengubah keputusan-Nya. Yunus “menjadi sangat marah” kerana pembinasaan yang dinubuatkannya tidak berlaku. Meskipun begitu, Yehuwa bersabar dengannya dan membantunya untuk memupuk pandangan yang betul. (Yun. 3:10–4:11) Akhirnya, Yunus memahami maksud Yehuwa, dan dia bahkan digunakan oleh Yehuwa untuk mencatatkan kisah ini demi manfaat kita.​—Rm. 15:4. *

7. Cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya meyakinkan kita tentang hal apa?

7 Cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya meyakinkan kita bahawa Dia prihatin terhadap perasaan hamba-hamba-Nya. Dia memahami kesusahan dan kepedihan setiap orang. Bible menyatakan bahawa Yehuwa “benar-benar tahu isi hati manusia.” (2 Taw. 6:30) Dia memahami fikiran dan perasaan kita yang terpendam, dan Dia mengetahui keterbatasan kita. Yehuwa juga menjamin bahawa Dia “tidak akan membiarkan [kita] menghadapi godaan yang tidak dapat [kita] tanggung.” (1 Kor. 10:13) Tidakkah hal itu melegakan hati kita?

YESUS MENGAMBIL BERAT TENTANG ORANG LAIN

8-10. Apakah yang membolehkan Yesus mengambil berat tentang orang lain?

8 Semasa Yesus hidup di bumi, dia amat mengambil berat tentang orang lain. Mengapakah dia dapat menunjukkan sifat ini? Terdapat sekurang-kurangnya tiga sebab. Pertama, seperti yang disebut tadi, Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna. Yehuwa mengasihi manusia, begitu juga dengan Yesus. Yesus telah membantu Yehuwa menciptakan segala sesuatu, dan dia memang senang hati dengan segala ciptaan itu. Namun, Yesus ‘paling menyukai manusia.’ (Ams. 8:31) Kasih mendorong Yesus untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain.

9 Kedua, seperti Yehuwa, Yesus dapat membaca isi hati. Dia mengetahui niat hati dan perasaan orang. (Mat. 9:4; Yoh. 13:10, 11) Oleh itu, semasa Yesus melihat orang yang hancur hati, dia mengambil berat tentang mereka dan ingin melegakan mereka.​—Yes. 61:1, 2; Luk. 4:17-21.

10 Ketiga, Yesus sendiri pernah hidup susah. Contohnya, Yesus dibesarkan dalam keluarga yang miskin. Semasa bekerja bersama bapa angkatnya Yusuf, Yesus belajar untuk melakukan kerja yang berat. (Mat. 13:55; Mrk. 6:3) Nampaknya Yusuf telah meninggal sebelum Yesus memulakan aktiviti penyebarannya, jadi Yesus tahu betapa sedihnya kita semasa orang tersayang kita mati. Yesus juga tahu rasanya memiliki ahli keluarga yang tidak seiman. (Yoh. 7:5) Situasi sebegini dan kesusahan lain telah membantu Yesus memahami cabaran dan perasaan yang dialami kebanyakan orang.

Yesus mengasihani seorang lelaki pekak, lalu membawanya jauh daripada orang ramai untuk disembuhkan (Lihat perenggan 11)

11. Bilakah perasaan simpati Yesus menjadi lebih menonjol? Jelaskan. (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

11 Perasaan simpati Yesus menjadi lebih menonjol semasa dia melakukan mukjizat. Yesus tidak melakukan mukjizat semata-mata kerana itulah tanggungjawabnya. Sebaliknya, dia “berasa kasihan” terhadap orang yang menderita. (Mat. 20:29-34; Mrk. 1:40-42) Bayangkan perasaan Yesus semasa dia membawa seorang lelaki yang pekak jauh daripada orang ramai lalu menyembuhkannya, atau semasa dia membangkitkan anak tunggal seorang balu. (Mrk. 7:32-35; Luk. 7:12-15) Yesus dapat merasai keperitan mereka dan ingin membantu mereka.

12. Bagaimanakah Yohanes 11:32-35 menunjukkan bahawa Yesus bersimpati terhadap Marta dan Maria?

12 Yesus menunjukkan simpati terhadap Marta dan Maria semasa adik mereka, Lazarus, meninggal. Apabila Yesus melihat mereka menangis, dia juga “mula menangis.” (Baca Yohanes 11:32-35.) Yesus menangis bukan kerana dia bersedih atas kematian sahabat karibnya. Sebenarnya, Yesus sudah tahu bahawa dia akan membangkitkan Lazarus. Yesus menangis kerana dia memahami dan merasai betapa pedihnya hati kawan-kawannya yang kehilangan Lazarus.

13. Mengapakah kita berasa digalakkan setelah mengetahui bahawa Yesus mengambil berat tentang perasaan orang lain?

13 Setelah mengetahui bahawa Yesus begitu berbelas kasihan dan mengambil berat tentang perasaan orang lain, kita pasti terdorong untuk mengasihinya. (1 Ptr. 1:8) Kita berasa digalakkan kerana tahu bahawa Yesus sedang memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Memandangkan Yesus pernah hidup sebagai manusia, dia memahami kesusahan yang disebabkan oleh pemerintahan Syaitan. Dia tahu cara yang terbaik untuk melenyapkan segala penderitaan manusia dan akan bertindak tidak lama lagi. Kita amat bersyukur kerana mempunyai Raja yang dapat “bersimpati terhadap kelemahan kita.”​—Ibr. 2:17, 18; 4:15, 16.

TIRULAH TELADAN YEHUWA DAN YESUS

14. Efesus 5:1, 2 mendorong kita untuk melakukan apa?

14 Teladan Yehuwa dan Yesus mendorong kita untuk menunjukkan simpati dengan lebih baik lagi. (Baca Efesus 5:1, 2.) Walaupun kita tidak dapat membaca isi hati orang, kita dapat berusaha memahami perasaan dan keperluan orang lain. (2 Kor. 11:29) Ramai orang di dunia ini mementingkan diri, tetapi kita berusaha ‘menjaga kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri sendiri.’​—Flp. 2:4.

(Lihat perenggan 15-19) *

15. Siapakah yang khususnya perlu menunjukkan simpati?

15 Para penatua khususnya perlu menunjukkan simpati. Mereka bertanggungjawab kepada Tuhan untuk menjaga kawanan bebiri. (Ibr. 13:17) Untuk berbuat demikian, mereka harus mengambil berat tentang perasaan saudara saudari. Apakah yang dapat dilakukan oleh mereka?

16. Bagaimanakah seorang penatua dapat menunjukkan simpati? Mengapakah hal ini penting?

16 Penatua yang menunjukkan simpati akan meluangkan masa bersama saudara saudari. Dia akan menanyakan soalan, lalu mendengar dengan sabar dan teliti. Hal ini sangat penting terutamanya jika seorang rakan seiman ingin meluahkan isi hati tetapi berasa susah untuk mengungkapkannya menerusi kata-kata. (Ams. 20:5) Penatua yang rela menghabiskan masa bersama rakan seiman dapat menjalin persahabatan yang akrab dengan mereka. Mereka juga akan lebih mempercayai dan mengasihi satu sama lain.​—Kis. 20:37.

17. Apakah sifat penatua yang paling dihargai ramai saudara saudari? Berikan contoh.

17 Ramai saudara saudari berkata bahawa mereka paling menghargai penatua yang mengambil berat tentang perasaan orang lain. Mengapa? Adelaide berkata, “Kamu berasa lebih senang untuk bercakap dengan mereka, kerana kamu yakin mereka akan faham perasaan kamu. Reaksi mereka semasa mendengar kamu bercakap akan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang kamu.” Seorang saudara berkata, “Saya tidak akan lupa bagaimana air mata seorang penatua mula bergenang semasa saya memberitahunya tentang situasi saya.”​—Rm. 12:15.

18. Bagaimanakah kita dapat memupuk perasaan simpati terhadap orang lain?

18 Sudah tentu, bukan penatua sahaja yang perlu menunjukkan simpati. Kita semua dapat memupuk sifat ini. Bagaimana? Cubalah memahami kesusahan yang dialami ahli keluarga dan rakan seiman. Berusahalah untuk mengambil berat terhadap remaja dalam sidang, saudara saudari yang sakit, yang tua, dan yang kehilangan orang tersayang. Tanyalah khabar dan dengarlah dengan teliti semasa mereka mencurahkan perasaan mereka. Biarlah mereka rasa bahawa anda betul-betul memahami keadaan mereka, dan cubalah tawarkan bantuan. Dengan berbuat demikian, kita sedang menunjukkan kasih yang sejati.​—1 Yoh. 3:18.

19. Mengapakah kita perlu fleksibel semasa membantu orang lain?

19 Semasa membantu orang lain, kita harus fleksibel. Mengapa? Kerana setiap orang mempunyai reaksi masing-masing. Ada yang suka meluahkan masalah mereka, manakala yang lain lebih pendiam. Jadi, walaupun kita ingin membantu mereka, janganlah menanyakan soalan yang mungkin membuat mereka berasa malu atau tidak selesa. (1 Tes. 4:11) Ada kalanya, kita mungkin tidak setuju dengan pandangan mereka, tetapi kita perlu ingat bahawa itulah perasaan mereka. Kita ingin mengikut nasihat Bible untuk cepat mendengar tetapi lambat berkata-kata.​—Mat. 7:1; Yak. 1:19.

20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Kita bukan sahaja ingin menunjukkan simpati dalam sidang, tetapi juga semasa menginjil. Apakah cara untuk berbuat demikian? Rencana seterusnya akan membincangkan jawapannya.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

^ per. 5 Yehuwa dan Yesus mengambil berat tentang perasaan orang lain. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan teladan mereka. Kita juga akan meneliti sebabnya kita perlu menunjukkan simpati dan cara untuk berbuat demikian.

^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Orang yang “menunjukkan simpati” akan berusaha memahami dan mendalami perasaan orang lain. (Rm. 12:15) Dalam rencana ini, ungkapan “menunjukkan simpati” dan “mengambil berat” membawa maksud yang sama.

^ per. 6 Yehuwa juga menunjukkan belas kasihan terhadap hamba-hamba-Nya yang tawar hati atau takut, seperti Hana (1 Sam. 1:10-20), Elia (1 Raj. 19:1-18), dan Ebed-melekh (Yer. 38:7-13; 39:15-18).

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Di Dewan Perjumpaan, kita ada banyak peluang untuk mengambil berat terhadap rakan seiman. Kita melihat (1) seorang penatua berbual dengan mesra bersama seorang penyiar muda dan ibunya, (2) seorang bapa dan anak perempuannya membantu seorang saudari tua untuk menaiki kereta, dan (3) dua orang penatua mendengar dengan teliti semasa seorang saudari meminta nasihat mereka.