Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 10

Apakah yang Menghalang Saya daripada Dibaptis?

Apakah yang Menghalang Saya daripada Dibaptis?

“Filipus dan sida-sida itu turun ke dalam air, lalu Filipus membaptisnya.”​—KIS. 8:38.

LAGU 52 Pembaktian Kristian

PENGENALAN *

1. Apakah akibat daripada keputusan Adam dan Hawa?

MENURUT anda, siapakah yang patut menentukan apa yang baik dan jahat? Semasa Adam dan Hawa makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, mereka menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak mempercayai Yehuwa dan piawaian-Nya. Mereka ingin menentukan bagi diri sendiri apa yang baik dan apa yang jahat, tetapi keputusan itu membawa akibat buruk. (Kej. 3:22) Mereka tidak lagi dapat menjadi sahabat Yehuwa, mereka kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya, dan mereka mewariskan dosa dan kematian kepada keturunan mereka.​—Rm. 5:12.

Selepas mempercayai Yesus, sida-sida Etiopia itu ingin dibaptis dengan secepat yang mungkin (Lihat perenggan 2-3)

2-3. (a) Apakah reaksi seorang sida-sida selepas Filipus menginjil kepadanya? (b) Apakah berkat yang dinikmati orang yang dibaptis? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

2 Sikap seorang sida-sida dari Etiopia sangat berbeza daripada Adam dan Hawa. Selepas Filipus menginjil kepadanya, dia begitu menghargai segala yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus baginya sehingga dia segera dibaptis. (Kis. 8:34-38) Apabila kita membaktikan diri dan dibaptis, seperti yang dilakukan oleh sida-sida itu, kita menunjukkan dengan jelas bahawa kita menghargai segala yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus bagi kita. Kita juga menunjukkan bahawa kita mempercayai Yehuwa dan mengakui bahawa Dialah yang harus menentukan apa yang baik dan jahat.

3 Orang yang menyembah Yehuwa diberi banyak berkat! Pada masa depan, kita berpeluang menikmati semua kurniaan yang dihilangkan oleh Adam dan Hawa, termasuk kehidupan kekal. Oleh sebab kita beriman kepada Yesus Kristus, Yehuwa rela mengampunkan kesilapan kita dan memberi kita hati nurani yang murni. (Mat. 20:28; Kis. 10:43) Kita juga dapat menyertai keluarga hamba-hamba Yehuwa. (Yoh. 10:14-16; Rm. 8:20, 21) Meskipun menjadi penyembah Yehuwa begitu bermanfaat, sesetengah orang yang sudah mengenali Tuhan masih teragak-agak untuk dibaptis. Apakah yang mungkin menghalang mereka? Bagaimanakah mereka dapat mengatasinya?

CABARAN YANG MENGHALANG SESETENGAH ORANG DARIPADA DIBAPTIS

Cabaran yang mungkin menghalang anda daripada dibaptis

Berasa Kurang Yakin (Lihat perenggan 4-5) *

4-5. Apakah cabaran yang dihadapi Avery dan Hannah?

4 Berasa kurang yakin. Ibu bapa Avery merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, dan ayahnya seorang penatua yang cekap dan bapa yang penyayang. Meskipun demikian, Avery teragak-agak untuk dibaptis. Mengapa? “Saya rasa saya tidak dapat menjadi sebaik bapa saya,” katanya. Avery juga risau bahawa dia tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai saudara yang terbaptis. Dia berkata, “Saya takut disuruh berdoa di depan orang ramai, memberikan ceramah, atau memimpin kumpulan penyebaran.”

5 Hannah berumur 18 tahun dan dibesarkan oleh ibu bapa yang menyembah Yehuwa. Namun, gadis ini berasa bahawa dia tidak mungkin dapat hidup menurut piawaian Yehuwa. Mengapa? Hannah memandang rendah pada diri sendiri. Ada kalanya, perasaannya akan begitu negatif sehingga dia sengaja mencederakan diri, dan hal itu hanya memburukkan lagi masalahnya. Hannah berkata, “Saya tidak pernah memberitahu sesiapa pun tentang masalah saya. Mak dan Ayah pun tidak tahu. Saya fikir Yehuwa tidak akan menerima orang seperti saya.”

Pengaruh Kawan (Lihat perenggan 6) *

6. Mengapakah Vanessa teragak-agak untuk dibaptis?

6 Pengaruh kawan. Vanessa yang berumur 22 tahun berkata, “Saya ada seorang kawan baik yang sudah saya kenal untuk hampir 10 tahun.” Vanessa ingin dibaptis, tetapi pengaruh kawan itu menghalangnya mencapai matlamat itu. Vanessa berasa sangat sedih. Dia berkata, “Saya susah mendapat kawan. Jadi jika saya mengakhiri persahabatan ini, saya mungkin tidak akan mendapat kawan baik lagi.”

Takut Gagal (Lihat perenggan 7) *

7. Mengapakah seorang gadis yang bernama Makayla takut untuk dibaptis?

7 Takut gagal. Makayla berusia lima tahun semasa abangnya disingkirkan. Apabila dia lebih besar, dia dapat lihat bahawa ibu bapanya sangat sedih akibat perbuatan abangnya. Makayla berkata, “Saya takut bahawa jika saya dibaptis, saya akan berbuat silap dan disingkirkan. Jika begitu, Mak dan Ayah pasti bertambah sedih.”

Takut Ditentang (Lihat perenggan 8) *

8. Seorang pemuda yang bernama Miles berasa takut akan apa?

8 Takut ditentang. Bapa dan ibu tiri Miles ialah penyembah Yehuwa, tetapi ibu kandungnya bukan. Miles berkata, “Saya tinggal bersama ibu kandung selama 18 tahun, dan saya takut untuk memberitahunya bahawa saya ingin dibaptis. Saya masih ingat reaksinya semasa Ayah menjadi Saksi, dan saya takut dia akan menimbulkan masalah bagi saya.”

BAGAIMANA ANDA DAPAT MENGATASI HALANGAN

9. Apakah hasilnya apabila anda mengetahui betapa besarnya kasih dan kesabaran Yehuwa?

9 Adam dan Hawa tidak mahu menyembah Yehuwa kerana mereka tidak memupuk kasih yang mendalam kepada-Nya. Meskipun mereka memberontak, Yehuwa mengizinkan mereka terus hidup untuk suatu jangka masa, supaya mereka dapat beranak dan membesarkan anak mengikut cara sendiri. Dalam waktu yang singkat, keputusan Adam dan Hawa terbukti bodoh. Anak sulung mereka telah membunuh adiknya yang tidak bersalah, dan manusia kemudiannya menjadi semakin ganas dan mementingkan diri. (Kej. 4:8; 6:11-13) Namun, Yehuwa sudah menyediakan jalan untuk menyelamatkan semua keturunan Adam dan Hawa yang ingin menyembah-Nya. (Yoh. 6:38-40, 57, 58) Apabila anda mengetahui betapa besarnya kasih dan kesabaran Yehuwa, kasih anda terhadap-Nya akan bertambah. Hasilnya, anda akan menolak haluan Adam dan Hawa, dan membaktikan diri kepada Yehuwa.

Cara anda dapat mengatasi cabaran-cabaran itu

(Lihat perenggan 9-10) *

10. Apakah manfaatnya merenungkan Mazmur 19:7?

10 Teruslah belajar tentang Yehuwa. Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda akan semakin yakin bahawa anda dapat menyembah-Nya dengan berjaya. Avery berkata, “Keyakinan saya bertambah setelah membaca dan merenungkan janji di Mazmur 19:7.” (Baca.) Apabila Avery menyaksikan bagaimana Yehuwa menunaikan janji itu, kasihnya kepada Tuhan bertambah kuat. Kasih kepada Tuhan bukan sahaja dapat memberi kita keyakinan, malah dapat menguatkan keinginan kita untuk menggembirakan hati-Nya dan menjauhi perkara yang tidak disukai-Nya. Hannah berkata, “Dengan membaca dan mengkaji Bible, saya sedar bahawa jika saya mencederakan diri, saya juga melukai Yehuwa.” (1 Ptr. 5:7) Hannah berusaha “melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan.” (Yak. 1:22) Apakah hasilnya? Dia berkata, “Kasih saya kepada Yehuwa bertambah dalam setelah saya meraih manfaat kerana mematuhi-Nya. Sekarang, saya yakin bahawa Yehuwa pasti membimbing saya setiap kali saya memerlukan bantuan-Nya.” Hannah berjaya menghentikan tabiat mencederakan diri, lalu membaktikan diri dan dibaptis.

(Lihat perenggan 11) *

11. Bagaimanakah Vanessa mendapat sahabat yang baik? Apakah yang dapat kita pelajari daripada contohnya?

11 Pilihlah kawan dengan bijak. Vanessa kemudiannya sedar bahawa kawannya itu sedang menghalangnya daripada menyembah Yehuwa, maka dia mengakhiri persahabatan itu. Bukan itu sahaja, Vanessa berusaha mencari sahabat baharu dalam sidang. Dia berkata bahawa contoh Nuh sekeluarga telah membantunya. “Orang di sekeliling mereka tidak mengasihi Yehuwa, jadi mereka menikmati pergaulan yang baik sesama sendiri,” kata Vanessa. Selepas dibaptis, Vanessa mula merintis. Kini, dia mempunyai kawan-kawan yang baik, bukan sahaja di sidang sendiri, tetapi juga di sidang lain. Apabila anda bergiat sepenuhnya dalam kerja Yehuwa, anda juga akan mendapat kawan-kawan yang baik.​—Mat. 24:14.

(Lihat perenggan 12-15) *

12. Adam dan Hawa tidak takut melakukan apa? Apakah akibatnya?

12 Pupuklah rasa takut yang sewajarnya. Terdapat rasa takut yang bermanfaat. Contohnya, kita harus takut melakukan hal-hal yang dibenci Yehuwa. (Mzm. 111:10) Oleh sebab Adam dan Hawa tidak memupuk rasa takut sebegini, mereka telah memberontak terhadap Yehuwa, dan akhirnya mereka mewariskan dosa dan kematian kepada keturunan mereka. Selepas melanggar perintah Tuhan, mata mereka terbuka, dan mereka sedar bahawa mereka sudah berdosa. Setelah menyedari hal itu, mereka berasa malu dan menutupi tubuh mereka yang telanjang.​—Kej. 3:7, 21.

13-14. (a) Menurut 1 Petrus 3:21, mengapakah kita tidak perlu terlalu takut akan kematian? (b) Apakah sebabnya kita mengasihi Yehuwa?

13 Kita patut takut melakukan hal yang dibenci Yehuwa. Namun kita tidak perlu terlalu takut akan kematian, kerana Yehuwa sudah membuka jalan supaya kita dapat hidup selama-lamanya. Jika kita melakukan dosa tetapi bertaubat dengan ikhlas, Yehuwa akan memaafkan kita kerana kita beriman kepada korban tebusan Anak-Nya. Satu cara penting untuk menunjukkan iman kita adalah dengan membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis.​—Baca 1 Petrus 3:21.

14 Kita ada banyak sebab untuk mengasihi Yehuwa. Dia bukan sahaja memberi kita pelbagai nikmat hidup, tetapi juga mengajar kita kebenaran tentang diri-Nya dan tujuan-Nya. (Yoh. 8:31, 32) Selain itu, Dia memberi kita sidang untuk membimbing dan menyokong kita. Dia membantu kita menanggung beban hari ini, dan Dia memberi kita peluang untuk menikmati kehidupan yang kekal dan sempurna pada masa depan. (Mzm. 68:19; Why. 21:3, 4) Apabila kita merenungkan segala bukti yang menunjukkan betapa dalamnya kasih Yehuwa, kita terdorong untuk mengasihi-Nya. Kasih kepada Yehuwa akan membantu kita memupuk pandangan yang seimbang terhadap rasa takut. Kita akan takut melukai perasaan Tuhan yang amat kita kasihi.

15. Apakah yang membantu Makayla tidak lagi takut akan kegagalan?

15 Setelah Makayla faham bahawa Yehuwa rela mengampuninya, dia tidak lagi takut bahawa dia akan gagal menyembah Tuhan. Dia berkata, “Saya sedar bahawa kita semua tidak sempurna dan akan berbuat silap. Tetapi saya juga belajar bahawa Yehuwa mengasihi kita dan akan mengampuni kita atas dasar korban tebusan.” Kasih Makayla untuk Yehuwa telah mendorongnya untuk membaktikan diri dan dibaptis.

(Lihat perenggan 16) *

16. Bagaimanakah Miles mengatasi rasa takut akan tentangan?

16 Miles, yang takut bahawa ibu kandungnya akan menentang keputusannya untuk dibaptis, telah meminta nasihat daripada seorang penyelia litar. Miles berkata, “Situasinya mirip dengan saya. Bapanya Saksi, tetapi ibunya tidak seiman. Dia membantu saya memikirkan cara untuk meyakinkan ibu saya bahawa saya ingin dibaptis kerana keputusan sendiri, bukannya kerana didesak oleh Ayah.” Ibu Miles tidak menyukai keputusannya. Akhirnya, Miles harus keluar dari rumah ibunya, tetapi dia tidak mengubah keputusan untuk dibaptis. “Hati saya tersentuh setelah belajar tentang hal-hal baik yang dilakukan oleh Yehuwa,” katanya. “Apabila saya berfikir tentang korban tebusan Yesus secara mendalam, saya sedar bahawa Yehuwa begitu mengasihi saya. Hal itu mendorong saya untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.”

JANGAN UBAH KEPUTUSAN ANDA

Tunjukkan bahawa kita menghargai segala yang dilakukan oleh Tuhan demi kita (Lihat perenggan 17)

17. Kita berpeluang menunjukkan apa?

17 Semasa Hawa memakan buah daripada pokok di Eden, dia telah memberontak terhadap Bapanya. Apabila Adam melakukan hal yang sama, dia menunjukkan bahawa dia langsung tidak menghargai segala kurniaan Yehuwa. Kita semua berpeluang menunjukkan bahawa kita tidak menyokong keputusan Adam dan Hawa. Melalui pembaptisan, kita menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita mengakui hak-Nya untuk menentukan apa yang betul dan salah bagi kita. Itulah bukti bahawa kita mengasihi dan mempercayai Bapa kita.

18. Bagaimanakah anda dapat berjaya dalam ibadat Yehuwa?

18 Selepas dibaptis, kita perlu terus hidup menurut piawaian Yehuwa, bukannya kehendak sendiri. Jutaan orang sedang menjalani kehidupan sedemikian. Anda dapat menyertai mereka jika anda terus mengenali Bible dengan lebih mendalam, bergaul secara kerap dengan saudara saudari, dan memberitahu orang lain hal-hal yang telah anda pelajari tentang Bapa anda yang pengasih. (Ibr. 10:24, 25) Semasa membuat keputusan, ikutlah nasihat Yehuwa yang diberikan melalui Firman-Nya dan organisasi-Nya. (Yes. 30:21) Dengan itu, segala usaha anda pasti berjaya.​—Ams. 16:3, 20.

19. Apakah yang harus anda selalu fikirkan? Mengapa?

19 Apabila anda selalu memikirkan manfaat yang diperoleh kerana mengikut bimbingan Yehuwa, anda akan semakin mengasihi-Nya dan mencintai piawaian-Nya. Dengan itu, tiada apa-apa godaan daripada Syaitan yang dapat membuat anda berhenti menyembah Yehuwa. Bayangkan, seribu tahun dari sekarang, anda akan mengenang kembali keputusan anda untuk dibaptis lalu berkata, “Itulah keputusan yang terbaik!”

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

^ per. 5 Pembaptisan merupakan keputusan yang terpenting dalam hidup anda. Mengapa? Rencana ini akan menjawab soalan itu dan menjelaskan beberapa cara untuk mengatasi cabaran yang mungkin menghalang sesetengah orang daripada dibaptis.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Keyakinan: Seorang pemuda berasa gementar untuk memberikan komen.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Kawan: Seorang saudari yang bersama kawannya yang tidak baik berasa malu semasa melihat Saksi-Saksi lain.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Kegagalan: Apabila abangnya disingkirkan lalu meninggalkan rumah, seorang gadis berasa takut bahawa dia juga akan gagal.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Tentangan: Seorang remaja berdoa dengan gementar sambil dilihat oleh ibunya yang tidak seiman.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Keyakinan: Seorang pemuda membuat lebih banyak pembelajaran peribadi.

^ per. 67 KETERANGAN GAMBAR: Kawan: Seorang saudari belajar untuk berasa bangga menjadi Saksi.

^ per. 69 KETERANGAN GAMBAR: Kegagalan: Seorang gadis menjalin hubungan yang rapat dengan Yehuwa lalu dibaptis.

^ per. 71 KETERANGAN GAMBAR: Tentangan: Seorang remaja menjelaskan kepercayaannya dengan berani kepada ibunya.