Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 11

Dengarkanlah Suara Yehuwa

Dengarkanlah Suara Yehuwa

“Inilah Anak-Ku . . . Dengarkanlah dia.”​—MAT. 17:5.

LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati

PENGENALAN *

1-2. (a) Bagaimanakah Yehuwa berkomunikasi dengan manusia? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

YEHUWA suka berkomunikasi dengan kita. Dahulu, Dia menggunakan nabi, malaikat, dan Anak-Nya Kristus Yesus, untuk memberitahu manusia fikiran-Nya. (Amo. 3:7; Gal. 3:19; Why. 1:1) Kini, Dia menggunakan Bible untuk berkomunikasi dengan kita. Melalui Bible, kita dapat mengenali fikiran-Nya dan memahami haluan-Nya.

2 Semasa Yesus berada di bumi, Yehuwa pernah berfirman dari syurga sebanyak tiga kali. Mari kita bincangkan apa yang difirmankan Yehuwa, apa yang dapat kita pelajari daripada kata-kata-Nya, dan manfaatnya jika kita mematuhi firman-Nya.

“ENGKAULAH ANAK-KU YANG AKU KASIHI”

3. Menurut Markus 1:9-11, apakah yang difirmankan oleh Yehuwa semasa Yesus dibaptis? Apakah tiga kebenaran penting yang kita pelajari daripada kata-kata Yehuwa?

3 Markus 1:9-11 mencatatkan kali pertama Yehuwa berfirman dari syurga. (Baca.) Tuhan berkata, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.” Yesus pasti tersentuh semasa mendengar bahawa Bapanya mengasihinya dan percaya kepadanya. Kata-kata Yehuwa itu mengajar kita tiga kebenaran yang penting tentang Yesus. Pertama, Yesus ialah Anak-Nya. Kedua, Yehuwa mengasihi Anak-Nya. Ketiga, Yehuwa berkenan kepada Anak-Nya. Mari kita meneliti setiap kebenaran itu.

4. Bagaimanakah Yesus menjadi Anak Tuhan dalam erti yang baharu?

4 “Engkaulah Anak-Ku.” Melalui kata-kata itu, Yehuwa menunjukkan bahawa Anak kesayangan-Nya Yesus kini mempunyai hubungan yang baharu dengan-Nya. Semasa Yesus berada di syurga, dia memang Anak Tuhan kerana Tuhanlah yang menciptakannya. Tetapi semasa dibaptis, Yesus diurapi kuasa suci lalu menjadi Anak Tuhan dalam erti yang baharu. Kini, dia berpeluang untuk kembali ke syurga dan dilantik oleh Tuhan sebagai Raja dan Imam Agung. (Luk. 1:31-33; Ibr. 1:8, 9; 2:17) Itulah sebabnya semasa Yesus dibaptis, Bapanya berfirman, “Engkaulah Anak-Ku.”​—Luk. 3:22.

Pujian dan galakan mendorong kita agar terus maju (Lihat perenggan 5) *

5. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih dan memberikan galakan kepada orang lain, seperti yang dilakukan oleh Yehuwa?

5 “Engkaulah . . . yang Aku kasihi.” Cara Yehuwa menyatakan kasih dan penghargaan-Nya mengingatkan kita supaya mencari peluang untuk menggalakkan orang lain. (Yoh. 5:20) Apabila orang tersayang kita menunjukkan kasih kepada kita dan memuji kita atas usaha baik kita, kita terdorong untuk terus maju. Saudara saudari di sidang dan ahli keluarga kita juga perlu merasai kasih dan galakan kita. Kata-kata pujian kita dapat meneguhkan iman mereka dan membantu mereka agar menyembah Yehuwa dengan setia. Ibu bapa khususnya perlu menggalakkan anak-anak mereka. Apabila ibu bapa memuji anak-anak dengan ikhlas dan menunjukkan kasih kepada mereka, anak-anak akan didorong untuk terus membuat kemajuan.

6. Mengapakah kita dapat yakin terhadap Yesus Kristus?

6 “Aku berkenan kepadamu.” Kata-kata ini mencerminkan keyakinan Yehuwa bahawa Yesus pasti melaksanakan kehendak-Nya dengan setia. Memandangkan Yehuwa begitu yakin terhadap Anak-Nya, kita juga dapat yakin sepenuhnya bahawa Yesus pasti menunaikan semua janji Yehuwa. (2 Kor. 1:20) Apabila kita memikirkan teladan Yesus, kita lebih bertekad untuk belajar daripadanya dan mengikut jejaknya. Sebagaimana Yehuwa yakin terhadap Anak-Nya, Dia juga yakin bahawa umat-Nya akan terus belajar daripada Anak-Nya.​—1 Ptr. 2:21.

“DENGARKANLAH DIA”

7. Menurut Matius 17:1-5, bilakah Yehuwa berfirman dari syurga? Apakah yang dikatakan-Nya?

7 Baca Matius 17:1-5. Kali kedua Yehuwa berfirman dari syurga adalah semasa “rupa Yesus berubah.” Sebelum itu, Yesus menjemput Petrus, Yakobus, dan Yohanes untuk menaiki sebuah gunung yang tinggi bersamanya. Setelah para rasul terlelap, sebuah penglihatan yang luar biasa berlaku. Wajah dan pakaian Yesus bersinar terang. Dua orang yang nampaknya seperti Musa dan Elia muncul dan bercakap kepada Yesus tentang kematian dan pembangkitannya. Apabila para rasul terjaga, mereka nampak apa yang berlaku. (Luk. 9:29-32) Kemudian, sekepul awan yang bersinar terang meliputi mereka, lalu suara Tuhan kedengaran dari awan itu! Seperti yang berlaku pada waktu Yesus dibaptis, Yehuwa mengungkapkan kasih dan perkenan-Nya terhadap Anak-Nya. Tuhan berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” Tetapi kali ini Yehuwa menambah, “Dengarkanlah dia.”

8. Bagaimanakah penglihatan itu membantu Yesus dan murid-muridnya?

8 Penglihatan itu menunjukkan kemuliaan dan kuasa yang akan dimiliki oleh Yesus sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Sudah pasti, penglihatan itu telah menggalakkan dan meneguhkan Kristus, supaya dia tabah menghadapi penderitaan dan kematian yang bakal tiba. Penglihatan itu juga menguatkan iman murid-murid Yesus dan membantu mereka agar bersedia menghadapi cubaan dan memikul tanggungjawab yang berat. Kira-kira 30 tahun kemudian, peristiwa itu masih segar dalam ingatan Rasul Petrus dan disebutnya dalam suratnya.​—2 Ptr. 1:16-18.

9. Apakah nasihat Yesus kepada murid-muridnya?

9 “Dengarkanlah dia.” Yehuwa menyatakan dengan jelas bahawa Dia mahu kita mendengar dan mematuhi kata-kata Anak-Nya. Semasa di bumi, Yesus telah mengatakan banyak hal yang penting. Contohnya, dia mengajar murid-muridnya cara untuk menginjil, dan dia berulang kali mengingatkan mereka agar tetap berjaga-jaga. (Mat. 24:42; 28:19, 20) Dia juga menggalakkan mereka untuk berusaha sedaya upaya tanpa berputus asa. (Luk. 13:24) Yesus menegaskan bahawa para pengikutnya perlu saling mengasihi, tetap bersatu, dan mematuhi perintahnya. (Yoh. 15:10, 12, 13) Nasihat Yesus amat berguna, baik pada zaman dahulu mahupun sekarang!

10-11. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita mendengarkan Yesus?

10 Yesus berkata, “Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.” (Yoh. 18:37) Kita mendengarkan suara Yesus apabila kita terus “bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.” (Kol. 3:13; Luk. 17:3, 4) Selain itu, kita mendengarkan suaranya apabila kita menginjil dengan bersemangat, “baik pada masa yang senang mahupun pada masa yang susah.”​—2 Tim. 4:2.

11 Yesus berkata, “Biri-biriku mendengarkan suaraku.” (Yoh. 10:27) Para pengikut Kristus bukan sahaja memperhatikan kata-katanya, tetapi juga mengambil tindakan yang sewajarnya. Mereka tidak membiarkan “kekhuatiran hidup” menyimpangkan perhatian mereka. (Luk. 21:34) Sebaliknya, mereka sentiasa mentaati perintah Yesus, bahkan dalam situasi yang susah. Ramai antara rakan seiman kita sedang menghadapi cubaan yang berat, termasuk serangan penentang, kemiskinan, dan bencana alam. Tidak kira apa yang terjadi, mereka tetap setia kepada Yehuwa. Oleh itu, Yesus memberi mereka jaminan ini: “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku.”​—Yoh. 14:21.

Aktiviti penyebaran membantu kita terus bertumpu kepada Tuhan dan ibadat sejati (Lihat perenggan 12) *

12. Apakah satu lagi cara untuk mendengarkan Yesus?

12 Satu lagi cara untuk mendengarkan Yesus adalah dengan memberikan kerjasama kepada mereka yang dilantik untuk mengambil pimpinan. (Ibr. 13:7, 17) Belakangan ini, organisasi Tuhan telah membuat banyak perubahan, contohnya dari segi alat dan kaedah menginjil, perjumpaan pertengahan minggu, dan cara untuk membina, mengubah suai, dan menjaga Dewan Perjumpaan. Arahan sebegini dibuat demi manfaat kita dan mencerminkan kasih organisasi Tuhan. Sudah pasti kita sangat menghargainya! Jika kita berusaha mengikut arahan terkini daripada organisasi Tuhan, Yehuwa pasti memberkati kita.

13. Apakah manfaatnya jika kita mendengarkan Yesus?

13 Ajaran-ajaran Yesus membawa manfaat kepada orang yang mendengarkannya. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.” (Mat. 11:28-30) Firman Tuhan, yang merangkumi catatan tentang kehidupan dan kegiatan Yesus, dapat menyegarkan kita, menguatkan kita secara rohani, dan membantu kita menjadi bijak. (Mzm. 19:7; 23:3) Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”​—Luk. 11:28.

‘AKU AKAN MEMULIAKAN NAMA-KU’

14-15. (a) Menurut Yohanes 12:27, 28, bilakah kali ketiga Yehuwa berfirman dari syurga? (b) Mengapakah kata-kata Yehuwa pasti menenangkan Yesus dan menguatkannya?

14 Baca Yohanes 12:27, 28. Kali ketiga Yehuwa berfirman dari syurga adalah beberapa hari sebelum kematian Yesus. Ketika itu, Yesus berada di Yerusalem untuk menyambut Paska buat kali terakhir. Yesus “sangat sedih” lalu berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian, Bapanya berfirman dari syurga, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”

15 Yesus sangat sedih kerana dia tahu bahawa dia akan dituduh menghina Tuhan, lalu diseksa dan dibunuh dengan kejam. (Mat. 26:38) Yesus memikul tanggungjawab yang besar. Tambahan lagi, dia sangat mementingkan nama Bapanya, maka dia risau bahawa cara dia mati akan menyebabkan nama Tuhan dicela. Oleh itu, jaminan Yehuwa bahawa nama-Nya akan dimuliakan pasti telah menenangkan Yesus dan meneguhkannya agar dapat tetap setia kepada Bapanya. Walaupun nampaknya Yesus sahaja yang memahami kata-kata Bapanya ketika itu, Yehuwa memastikan agar kata-kata itu dicatatkan untuk kita semua.​—Yoh. 12:29, 30.

Yehuwa pasti memuliakan nama-Nya dan menyelamatkan umat-Nya (Lihat perenggan 16) *

16. Apakah yang mungkin membuat kita risau tentang nama Tuhan?

16 Seperti Yesus, kita mungkin dilayan dengan tidak adil, atau kita mungkin terdengar laporan palsu tentang kita yang disebarkan oleh para penentang. Kita mungkin risau hal-hal sebegini akan mencemari nama Yehuwa dan organisasi-Nya. Namun, kita boleh berasa lega kerana Yehuwa sudah menjamin bahawa nama-Nya pasti akan dimuliakan. Selain itu, kita tidak perlu terlalu khuatir kerana “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran [kita] melalui Kristus Yesus.” (Flp. 4:6, 7) Tidak kira apa yang dilakukan Syaitan dan dunianya terhadap umat Tuhan, semua kesan buruk itu akan dilenyapkan oleh Kerajaan Yehuwa.​—Mzm. 94:22, 23; Yes. 65:17.

MENDENGARKAN SUARA YEHUWA HARI INI

17. Seperti yang dinyatakan di Yesaya 30:21, bagaimanakah Yehuwa bercakap kepada kita hari ini?

17 Yehuwa masih bercakap kepada kita hari ini. (Baca Yesaya 30:21.) Memang benar, Dia tidak berfirman dari syurga, tetapi Dia mengajar kita melalui Firman-Nya, Bible. Selain itu, kuasa suci Yehuwa mendorong “hamba yang setia” untuk menyediakan makanan rohani seperti bahan bercetak, video, rakaman audio, dan maklumat di Internet. (Luk. 12:42) Tidakkah anda setuju bahawa kita menikmati makanan rohani yang berlimpah?

18. Bagaimanakah kata-kata Yehuwa menguatkan iman anda dan memberi anda keberanian?

18 Marilah kita sentiasa mengingat kata-kata yang diucapkan oleh Yehuwa semasa Anak-Nya berada di bumi! Semoga firman Tuhan yang tercatat dalam Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa mampu mengawal segala sesuatu, dan bahawa Dia pasti melenyapkan apa sahaja kesan buruk yang disebabkan oleh Syaitan dan dunia jahatnya. Hendaklah kita bertekad untuk mendengarkan suara Yehuwa dengan penuh perhatian. Dengan itu, kita dapat mengharungi apa-apa masalah yang timbul, baik sekarang mahupun pada masa depan. Bible mengingatkan kita, “Kamu memerlukan ketabahan supaya selepas kamu melakukan kehendak Tuhan, kamu boleh menerima apa yang telah dijanjikan.”​—Ibr. 10:36.

LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”

^ per. 5 Semasa Yesus berada di bumi, Yehuwa pernah berfirman dari syurga sebanyak tiga kali. Pernah sekali, Yehuwa menggalakkan murid-murid Kristus agar mendengarkan Anak-Nya. Hari ini, Yehuwa bercakap kepada kita melalui organisasi-Nya dan Firman-Nya, yang merangkumi ajaran Yesus. Rencana ini akan membincangkan manfaat yang diraih jika kita mendengarkan Yehuwa dan Yesus.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua nampak seorang pembantu sidang menolong membersihkan Dewan Perjumpaan dan berkhidmat di kaunter bahan bacaan. Penatua itu memujinya dengan ramah.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri di Sierra Leone memberikan surat jemputan sidang kepada seorang nelayan.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Di sebuah negara yang menyekat kerja kita, Saksi-Saksi mengadakan perjumpaan di dalam sebuah rumah. Mereka berpakaian biasa agar tidak menarik perhatian.