Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Melindungi Diri daripada Jerat Syaitan

Cara Melindungi Diri daripada Jerat Syaitan

SEMASA orang Israel bakal menyeberangi Sungai Yordan ke tanah yang dijanjikan oleh Tuhan, mereka dikunjungi beberapa orang wanita asing. Wanita-wanita itu menjemput para lelaki Israel untuk menghadiri jamuan bersama mereka. Nampaknya, itu peluang yang baik untuk mengenali sahabat baharu, menari, dan menikmati hidangan yang enak. Meskipun wanita-wanita itu tidak hidup menurut adat dan piawaian moral yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, sesetengah lelaki Israel mungkin berfikir, “Tidak apa. Kami akan berhati-hati supaya tidak dipengaruhi.”

Apakah yang terjadi kemudian? Bible menyatakan, “Orang Israel mula melakukan hubungan seks dengan perempuan-perempuan Moab.” Sebenarnya, wanita-wanita itu mahu para lelaki Israel menyembah tuhan palsu, dan para lelaki itu telah masuk ke dalam perangkap mereka! Maka, “Yehuwa menjadi sangat murka.”​—Bil. 25:1-3.

Orang Israel telah melanggar dua perintah Tuhan: Mereka menyembah berhala, dan mereka melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Akibatnya, ribuan orang Israel telah mati. (Kel. 20:4, 5, 14; Ul. 13:6-9) Yang lebih menyedihkan, jika para lelaki Israel itu tidak melanggar Hukum Tuhan, tidak lama lagi mereka dapat menyeberangi Sungai Yordan dan memasuki Tanah yang Dijanjikan.​—Bil. 25:5, 9.

Setelah menyebut peristiwa itu, Rasul Paulus menulis, “Semua peristiwa itu berlaku kepada mereka sebagai contoh bagi kita, dan dicatatkan sebagai amaran untuk kita yang hidup pada akhir sistem-sistem dunia ini.” (1 Kor. 10:7-11) Syaitan pasti gembira melihat sesetengah orang Israel terjebak dalam dosa yang serius lalu tidak dibenarkan memasuki Tanah yang Dijanjikan. Kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa itu, kerana Syaitan juga ingin menghalang kita daripada memasuki dunia baharu Tuhan!

JERAT YANG BERBAHAYA

Syaitan mencuba memerangkap orang Kristian dengan menggunakan jerat-jerat yang terbukti berkesan. Dahulu, dia berjaya menggunakan perbuatan seks yang tidak bermoral untuk menjerat ramai orang Israel, dan dia terus menggunakan jerat yang sama pada masa sekarang. Salah satu cara kita akan dijerat oleh Syaitan adalah dengan melihat bahan lucah.

Dahulu, orang yang ingin mencari bahan lucah perlu pergi ke panggung wayang atau kedai buku tertentu. Jadi, mereka mungkin teragak-agak untuk berbuat demikian kerana takut dilihat orang lain. Tetapi sekarang, seseorang dapat melihat bahan lucah tanpa diketahui orang lain. Sesiapa yang mempunyai kemudahan Internet dapat melihat bahan lucah di tempat kerja atau bahkan di dalam kereta. Di banyak negara, baik lelaki mahupun wanita dapat mencari bahan lucah tanpa meninggalkan rumah sendiri.

Tambahan lagi, alat mudah alih telah memudahkan orang untuk melihat bahan lucah. Semasa berjalan, menaiki bas atau kereta api, mereka dapat menonton hal yang tidak senonoh di telefon pintar atau tablet mereka.

Kini, bahan lucah menjadi jauh lebih berbahaya berbanding dahulu, kerana adalah lebih mudah untuk menontonnya dan menyembunyikan perbuatan itu. Ramai orang yang menonton bahan lucah telah menghancurkan perkahwinan sendiri, menjatuhkan maruah sendiri, dan merosakkan hati nurani sendiri. Lebih teruk lagi, mereka sedang mengancam persahabatan mereka dengan Tuhan. Ya, bahan lucah ialah jerat yang berbahaya, yang dapat meninggalkan luka emosi yang dalam. Biarpun luka itu beransur-ansur pulih, kesannya mungkin akan kekal untuk masa yang lama.

Namun, Yehuwa ingin melindungi kita daripada jerat ini. Untuk mendapat perlindungan Yehuwa, kita mesti mentaati-Nya dengan bersungguh-sungguh. Itulah yang gagal dilakukan oleh para lelaki Israel dahulu. (Kel. 19:5) Kita harus sedar bahawa Tuhan membenci bahan lucah. Mengapakah Yehuwa berasa sedemikian?

TIRULAH YEHUWA DAN BENCILAH BAHAN LUCAH

Fikirkan hal ini: Hukum yang diberikan Tuhan kepada orang Israel amat berbeza daripada undang-undang bangsa lain pada zaman kuno. Hukum Tuhan bagaikan tembok yang memisahkan orang Israel daripada bangsa-bangsa lain dan amalan buruk mereka. (Ul. 4:6-8) Daripada hukum Tuhan, kita dapat melihat satu kebenaran yang penting: Yehuwa membenci perbuatan seks yang tidak bermoral.

Yehuwa memberitahu orang Israel, “Jangan ikut perbuatan orang di Kanaan, tempat Aku sedang membawa kamu.” Kemudian, Tuhan menyebut tentang perbuatan cabul mereka lalu berfirman, “Perbuatan mereka menajiskan seluruh negeri itu. Maka Aku akan menghukum penduduk negeri itu atas kesalahan mereka.” Dalam pandangan Tuhan Israel yang suci, gaya hidup orang Kanaan begitu menjijikkan sehingga menajiskan tempat tinggal mereka.​—Im. 18:3, 25.

Yehuwa telah menghukum orang Kanaan, tetapi perbuatan seks yang tidak bermoral masih berleluasa. Lebih daripada 1,500 tahun kemudian, Paulus menyatakan bahawa bangsa-bangsa di sekeliling orang Kristian “tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” Mereka “menjerumuskan diri ke dalam kelakuan yang buruk” dan “mengamalkan pelbagai jenis kenajisan tanpa rasa puas.” (Ef. 4:17-19) Pada zaman kita, ramai orang juga melakukan perbuatan yang tidak bermoral tanpa rasa malu. Maka sebagai penyembah Tuhan, kita berusaha sedaya upaya agar tidak melihat perbuatan mereka yang tidak bermoral.

Bahan lucah merupakan penghinaan kepada Tuhan. Dia menciptakan manusia menurut gambaran-Nya, dan Dia memberi kita keupayaan untuk menilai sama ada sesuatu perkara itu senonoh atau tidak. Tuhan kita yang bijak telah menetapkan batas yang munasabah bagi hubungan seks. Dia bertujuan agar hubungan seks membawa nikmat dalam perkahwinan. (Kej. 1:26-28; Ams. 5:18, 19) Namun, orang yang menghasilkan bahan lucah atau yang menggalakkan orang lain untuk melihat bahan lucah, langsung tidak menghormati Yehuwa dan tidak mempedulikan piawaian moral-Nya. Orang sebegini akan dihakimi oleh Tuhan.​—Rm. 1:24-27.

Bagaimana pula dengan orang yang sengaja membaca atau melihat bahan lucah? Mereka mungkin berasa bahawa itu hiburan sahaja, tetapi sebenarnya mereka sedang menyokong orang yang tidak menghormati piawaian Yehuwa. Mereka mungkin tidak berniat berbuat begitu semasa mula membaca atau melihat bahan lucah. Namun, Bible menyatakan dengan jelas bahawa penyembah Tuhan harus membenci bahan lucah. Firman Tuhan menggesa kita, “Wahai orang yang mengasihi Yehuwa, bencilah apa yang jahat.”​—Mzm. 97:10.

Mengelakkan bahan lucah bukanlah sesuatu yang mudah. Kita tidak sempurna dan perlu melawan nafsu seks yang berdosa. Tambahan lagi, hati kita yang licik mungkin mencuba membuat kita berfikir bahawa melihat bahan lucah itu tidak salah. (Yer. 17:9) Namun, ramai orang Kristian telah berjaya melawan godaan ini, dan hal itu patut meyakinkan anda bahawa anda juga dapat berjaya. Perhatikan bagaimana nasihat dalam Firman Tuhan dapat membantu anda agar tidak dijerat oleh bahan lucah.

JANGAN MEMBIARKAN NAFSU JAHAT BERTUMBUH

Seperti yang kita pelajari tadi, ramai orang Israel membiarkan nafsu yang jahat bertumbuh dalam hati sehingga mereka melakukan dosa yang membawa padah. Hal yang sama dapat terjadi kepada kita. Yakobus, adik tiri Yesus, menulis, “Setiap orang . . . diumpan oleh keinginannya sendiri. Apabila keinginan itu menjadi subur, maka lahirlah dosa.” (Yak. 1:14, 15) Jika seseorang membiarkan keinginan yang tidak bermoral terus bertumbuh dalam hatinya, kemungkinan besar dia akan berbuat dosa pada akhirnya. Maka kita mesti mencabut fikiran yang berdosa dan tidak membiarkannya bertumbuh.

Jika fikiran yang kotor asyik timbul di minda anda, bertindaklah dengan segera. Yesus berkata, “Jika sebelah tangan atau kaki kamu membuat kamu tersandung, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. . . . Begitu juga, jika sebelah mata kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu.” (Mat. 18:8, 9) Kata-kata itu tidak bermaksud kita harus mencederakan tubuh sendiri. Sebaliknya, perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa kita perlu mengenal pasti akar umbi masalah kita dan mencabutnya dengan serta-merta. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat itu semasa digoda untuk melihat bahan lucah?

Jika anda ternampak bahan lucah, janganlah berfikir, “Tidak apa, saya tidak akan digoda.” Sebaliknya, pandanglah ke arah lain dengan segera. Matikan TV, komputer, atau alat elektronik anda dengan serta-merta. Kemudian, berfokuslah kepada sesuatu yang murni. Dengan berbuat demikian, anda dapat mengawal fikiran sendiri dan bukannya membiarkan diri dikawal oleh keinginan yang berdosa.

BAGAIMANA PULA JIKA KITA ASYIK TERINGAT TENTANG GAMBAR LUCAH YANG PERNAH DILIHAT?

Fikiran atau gambar yang tidak bermoral dapat tersimpan di minda untuk masa yang lama. Oleh itu, walaupun anda sudah berjaya berhenti melihat bahan lucah, hal-hal itu mungkin timbul di minda anda dari masa ke masa secara tiba-tiba. Kejadian sebegini mungkin membangkitkan nafsu anda untuk melakukan sesuatu yang najis, seperti melancap. Jadi, apakah yang harus anda lakukan? Ingatlah bahawa fikiran kotor itu dapat muncul pada bila-bila masa, dan bersedialah untuk melawannya.

Kuatkanlah tekad anda untuk berfikir dan bertindak menurut kehendak Tuhan. Tirulah Rasul Paulus, yang ‘memukuli tubuhnya dan mengawalnya seperti hamba.’ (1 Kor. 9:27) Janganlah menjadi hamba kepada keinginan yang najis. Sebaliknya, “ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” (Rm. 12:2) Ingatlah: Anda akan jauh lebih bahagia jika anda berfikir dan bertindak menurut kehendak Tuhan daripada menyerah kepada nafsu yang berdosa.

Anda akan jauh lebih bahagia jika anda berfikir dan bertindak menurut kehendak Tuhan daripada menyerah kepada nafsu yang berdosa

Cubalah menghafal beberapa ayat Bible, dan paksalah diri anda untuk memikirkan ayat-ayat itu semasa hal-hal yang kotor terlintas di minda anda. Ayat-ayat seperti Mazmur 119:37; Yesaya 52:11; Matius 5:28; Efesus 5:3; Kolose 3:5; dan 1 Tesalonika 4:4-8, akan membantu anda memupuk pandangan Yehuwa terhadap bahan lucah dan mengetahui kehendak-Nya bagi anda.

Bagaimana pula jika anda berasa bahawa anda tidak dapat melawan godaan untuk melihat atau memikirkan hal yang tidak bermoral? Ikutlah jejak Yesus dengan teliti. (1 Ptr. 2:21) Selepas Yesus dibaptis, Syaitan asyik menggodanya, tetapi Yesus terus melawannya. Dengan memetik ayat demi ayat, dia menangkis setiap godaan Syaitan. Akhirnya, Yesus berkata, “Pergilah Syaitan!” lalu Syaitan pun beredar. Seperti Yesus, teruslah melawan Si Iblis dan janganlah putus asa. (Mat. 4:1-11) Syaitan dan dunianya akan terus berusaha mengisi minda anda dengan perkara yang tidak senonoh, tetapi teruslah berjuang untuk melawan godaan bahan lucah. Dengan bantuan Yehuwa, anda pasti dapat mengalahkan musuh itu.

BERDOALAH KEPADA YEHUWA DAN PATUHI-NYA

Berdoalah kepada Yehuwa dan mintalah bantuan-Nya. Paulus berkata, “Nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.” (Flp. 4:6, 7) Ketenangan minda yang dikurniai Tuhan dapat membantu anda semasa anda bergelut melawan dosa. Jika anda menghampiri Tuhan, “Dia pun akan menghampiri kamu.”​—Yak. 4:8.

Jika kita tetap menghampiri Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, kita akan dilindungi daripada pelbagai jerat Syaitan. Yesus berkata, “Pemerintah dunia ini [iaitu Syaitan] akan datang. Tetapi dia tidak berkuasa atas diriku.” (Yoh. 14:30) Mengapakah Yesus begitu yakin akan hal itu? Dia menjelaskan, “Dia yang mengutus aku menyertai aku. Dia tidak membiarkan aku sendirian, kerana aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” (Yoh. 8:29) Jika anda berusaha melakukan apa yang menyenangkan hati Yehuwa, Dia juga tidak akan meninggalkan anda. Jauhilah bahan lucah, dan Syaitan tidak akan berjaya memerangkap anda.