Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 27

Bersedialah Sekarang untuk Menghadapi Penganiayaan

Bersedialah Sekarang untuk Menghadapi Penganiayaan

“Semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.”​—2 TIM. 3:12.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita perlu bersedia untuk menghadapi penganiayaan?

PADA malam sebelum Tuan Yesus dibunuh, dia menyatakan bahawa semua orang yang menjadi muridnya akan dibenci. (Yoh. 17:14) Sampai hari ini, orang Kristian yang setia telah dianiaya oleh musuh ibadat sejati. (2 Tim. 3:12) Apabila akhir sistem dunia ini kian mendekat, tentangan yang kita hadapi pun akan semakin bertambah.​—Mat. 24:9.

2-3. (a) Apakah yang harus kita ingat tentang rasa takut? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk menghadapi penganiayaan? Kita tidak perlu membayangkan segala perkara buruk yang mungkin terjadi, kerana hal itu akan membuat kita begitu takut dan risau sehingga berhenti menyembah Yehuwa, bahkan sebelum cubaan menimpa. (Ams. 12:25; 17:22) Ingatlah bahawa perasaan takut merupakan salah satu senjata Si Iblis yang sangat berbahaya. (1 Ptr. 5:8, 9) Jadi, apakah persiapan yang dapat kita lakukan sekarang?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk mengeratkan hubungan kita dengan Yehuwa dan pentingnya berbuat demikian sekarang juga. Kemudian, kita akan belajar cara untuk menjadi lebih berani. Akhir sekali, kita akan mengkaji apa yang harus dilakukan semasa dibenci orang lain.

CARA MENGUKUHKAN HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA

4. Menurut Ibrani 13:5, 6, kita mesti yakin akan hal apa? Mengapa?

4 Yakinlah bahawa Yehuwa mengasihi anda dan sama sekali tidak akan meninggalkan anda. (Baca Ibrani 13:5, 6.) Majalah Menara Pengawal bertahun-tahun lalu menyatakan, “Orang yang sangat mengenali Yehuwa akan sangat yakin kepada-Nya semasa menghadapi cubaan.” Kata-kata itu memang benar! Jika kita ingin tetap tabah semasa dianiaya, kita mesti mengasihi Yehuwa dan yakin kepada-Nya dengan segenap hati, serta percaya sepenuhnya bahawa Yehuwa menyayangi kita.​—Mat. 22:36-38; Yak. 5:11.

5. Bagaimanakah anda dapat merasai kasih Yehuwa?

5 Bacalah Bible setiap hari dan bermatlamatlah untuk lebih menghampiri Yehuwa. (Yak. 4:8) Semasa membaca Bible, berfokuslah kepada sifat-sifat Yehuwa yang penyayang, dan cubalah merasai kasih Yehuwa yang diungkapkan melalui kata-kata dan tindakan-Nya. (Kel. 34:6) Sesetengah orang berasa susah untuk percaya bahawa Tuhan mengasihi mereka, kerana mereka tidak pernah merasai kasih daripada orang lain. Jika itulah cabaran anda, cubalah membuat satu senarai setiap hari tentang cara Yehuwa menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada anda. (Mzm. 78:38, 39; Rm. 8:32) Dengan meneliti kehidupan sendiri dan merenungkan ayat-ayat Bible, anda dapat memikirkan banyak perkara baik yang dilakukan Yehuwa demi anda. Apabila anda semakin menghargai perbuatan Yehuwa, hubungan anda dengan-Nya akan menjadi semakin kuat.​—Mzm. 116:1, 2.

6. Menurut Mazmur 94:17-19, bagaimanakah doa yang ikhlas dapat membantu anda?

6 Berdoalah dengan kerap. Bayangkan seorang budak lelaki dalam dakapan ayahnya yang pengasih. Budak itu berasa begitu selamat sehingga dapat menceritakan segala hal yang terjadi kepadanya, tidak kira yang baik atau yang buruk. Anda juga dapat menikmati hubungan sedemikian dengan Yehuwa jika anda berdoa dengan ikhlas kepada-Nya setiap hari. (Baca Mazmur 94:17-19.) Semasa berdoa, “curahkanlah isi hatimu seperti air” dan beritahulah Bapa anda semua kekhuatiran dan ketakutan anda. (Rat. 2:19) Dengan berbuat demikian, anda akan merasai “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Flp. 4:6, 7) Semakin kerap anda mengucapkan doa sedemikian, semakin rapat hubungan anda dengan Yehuwa.​—Rm. 8:38, 39.

Apabila kita yakin kepada Yehuwa dan Kerajaan-Nya, kita akan menjadi berani

Stanley Jones diteguhkan kerana Kerajaan Tuhan memang nyata baginya (Lihat perenggan 7)

7. Mengapakah anda mesti percaya sepenuhnya bahawa janji Tuhan tentang Kerajaan-Nya pasti dikotakan?

7 Percayalah bahawa berkat yang dijanjikan Kerajaan Tuhan pasti menjadi kenyataan. (Bil. 23:19) Jika anda kurang yakin terhadap janji-janji Tuhan, anda akan mudah digertak oleh Syaitan dan konco-konconya. (Ams. 24:10; Ibr. 2:15) Jadi bagaimanakah anda dapat memantapkan keyakinan anda terhadap Kerajaan Tuhan sekarang? Lakukan projek pembelajaran untuk mengkaji janji-janji Tuhan tentang Kerajaan-Nya dan sebabnya anda dapat mempercayai janji-janji itu. Mengapakah hal itu begitu penting? Perhatikan contoh Stanley Jones, yang dipenjarakan selama tujuh tahun kerana kepercayaannya. Apakah yang membolehkannya tetap setia? Dia berkata, “Oleh sebab saya memiliki pengetahuan tentang Kerajaan Tuhan dan apa yang akan dilaksanakannya, iman saya dikuatkan. Saya tidak pernah meragui janji tentang Kerajaan Tuhan, oleh itu saya tidak berganjak.” Jika anda memiliki iman yang kukuh terhadap janji-janji Tuhan, anda akan lebih menghampiri Yehuwa dan tidak tunduk kepada rasa takut.​—Ams. 3:25, 26.

8. Sikap kita terhadap perjumpaan dapat menunjukkan apa? Jelaskan.

8 Hadirilah perjumpaan dengan tetap. Perjumpaan dapat membantu kita menghampiri Yehuwa. Sikap kita sekarang terhadap perjumpaan dapat menunjukkan sama ada kita akan berjaya menghadapi penganiayaan pada masa depan atau tidak. (Ibr. 10:24, 25) Mengapa? Jika hal-hal yang kecil pun dapat menghalang kita daripada menghadiri perjumpaan sekarang, apatah lagi semasa kita perlu membahayakan diri untuk berkumpul bersama rakan seiman pada masa depan! Sebaliknya, sekiranya kita bertekad sepenuhnya untuk menghadiri perjumpaan, tentangan musuh tidak akan dapat menghalang kita daripada berbuat demikian. Ya, sekaranglah masanya untuk memupuk cinta akan perjumpaan. Apabila kita suka menghadiri perjumpaan, kita akan terus mematuhi perintah Tuhan, biarpun kegiatan kita ditentang atau bahkan diharamkan oleh pihak kerajaan.​—Kis. 5:29.

Jika anda menghafal ayat-ayat Bible dan lagu rohani sekarang, anda dapat dikuatkan semasa dianiaya (Lihat perenggan 9) *

9. Mengapakah menghafal ayat-ayat Bible merupakan persiapan yang baik untuk menghadapi penganiayaan?

9 Hafallah ayat-ayat kegemaran anda. (Mat. 13:52) Ingatan anda mungkin tidak sempurna, tetapi Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu anda mengingat kembali ayat-ayat itu. (Yoh. 14:26) Seorang saudara yang dikurung seorang diri di Jerman Timur berkata, “Saya bersyukur kerana sebelum dipenjarakan, saya sudah menghafal beratus-ratus ayat Bible. Saya dapat mengisi masa lapang dengan merenungkan berbagai-bagai topik Bible.” Ayat-ayat itu telah membantu saudara kita tetap menghampiri Yehuwa dan tetap setia kepada-Nya.

(Lihat perenggan 10) *

10. Mengapakah kita harus menghafal lagu-lagu rohani?

10 Hafallah dan nyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa. Semasa Paulus dan Silas dipenjarakan di Filipi, mereka menyanyikan lagu rohani yang diingati mereka. (Kis. 16:25) Itulah yang juga dilakukan saudara saudari kita di bekas Kesatuan Soviet yang dibuang negeri ke Siberia. Mengenang kembali waktu itu, Saudari Mariya Fedun berkata, “Kami menyanyikan semua lagu yang kami ingat dari buku lagu.” Dia menyatakan bahawa lagu-lagu itu telah menggalakkan mereka semua dan membantu mereka lebih menghampiri Yehuwa. Adakah anda dikuatkan semasa menyanyikan lagu rohani kegemaran anda? Jika ya, hafallah lagu-lagu itu sekarang!​—Lihat kotak “ Bantulah Aku Jadi Berani.”

CARA UNTUK MENJADI LEBIH BERANI

11-12. (a) Menurut 1 Samuel 17:37, 45-47, mengapakah Daud begitu berani? (b) Apakah yang kita pelajari daripada kisah Daud?

11 Untuk menghadapi penganiayaan, anda memerlukan keberanian. Jika anda berasa bahawa anda tidak cukup berani, apakah yang dapat anda lakukan? Ingatlah bahawa keberanian sejati tidak bergantung pada saiz, kekuatan, atau kebolehan kita. Fikirkan contoh Daud. Dia lebih kecil dan lemah daripada Goliat, dan tidak mempunyai senjata yang hebat. Daud bahkan tidak memiliki pedang, tetapi dia sangat berani. Tanpa rasa gentar, Daud berlari ke medan perang untuk berdepan dengan gergasi yang angkuh itu.

12 Mengapakah Daud begitu berani? Dia yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa menyertainya. (Baca 1 Samuel 17:37, 45-47.) Daud tidak asyik berfikir bahawa Goliat jauh lebih besar daripadanya. Sebaliknya, dia berfokus kepada hakikat bahawa Goliat kecil sahaja berbanding Yehuwa. Apakah pengajarannya bagi kita? Kita akan menjadi berani jika kita yakin bahawa Yehuwa menyertai kita dan jika kita percaya bahawa musuh-musuh kita kecil sahaja berbanding Tuhan Yang Maha Kuasa. (2 Taw. 20:15; Mzm. 16:8) Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih berani sekarang, iaitu sebelum penganiayaan berlaku?

13. Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih berani? Jelaskan.

13 Kita dapat menjadi lebih berani sekarang dengan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Mengapa? Kerana kerja penyebaran melatih kita untuk percaya kepada Yehuwa dan tidak takut akan manusia. (Ams. 29:25) Sebagaimana otot kita akan bertambah kuat apabila kita bersenam, keberanian kita akan bertambah besar apabila kita menginjil dari rumah ke rumah, di tempat awam, secara tidak formal, dan di kawasan perniagaan. Jika kita menginjil dengan berani sekarang, kita sedang membuat persiapan yang baik untuk terus menginjil bahkan sewaktu kerja kita diharamkan.​—1 Tes. 2:1, 2.

Nancy Yuen enggan berhenti menginjil (Lihat perenggan 14)

14-15. Apakah yang kita pelajari daripada Nancy Yuen dan Valentina Garnovskaya?

14 Perhatikan contoh dua orang saudari yang setia dan sangat berani. Nancy Yuen tidak mudah digertak walaupun tingginya hanya sekitar 1.5 meter. * Oleh sebab dia enggan berhenti menginjil, dia dipenjarakan kira-kira 20 tahun di China. Pegawai-pegawai yang menyoalnya berkata bahawa dia ialah “orang yang paling degil” di negara mereka!

Valentina Garnovskaya percaya bahawa Yehuwa menyertainya (Lihat perenggan 15)

15 Valentina Garnovskaya pula dipenjarakan oleh bekas kerajaan Kesatuan Soviet sebanyak tiga kali, dan menghabiskan 21 tahun dalam penjara. * Apakah sebabnya? Azamnya untuk terus menginjil begitu teguh sehingga para pegawai melabelnya sebagai “penjenayah yang amat berbahaya.” Mengapakah dua saudari ini dapat menjadi begitu berani? Mereka percaya bahawa Yehuwa menyertai mereka.

16. Apakah kunci untuk memiliki keberanian sejati?

16 Seperti yang kita pelajari tadi, untuk menjadi berani, janganlah kita bertumpu kepada kekuatan dan kemampuan sendiri. Sebaliknya, kita mesti percaya bahawa Yehuwa menyertai kita dan sedang berjuang demi kita. (Ul. 1:29, 30; Za. 4:6) Itulah kunci untuk memiliki keberanian sejati.

CARA UNTUK BERDEPAN DENGAN KEBENCIAN

17-18. Apakah peringatan yang diberikan Yesus kepada kita di Yohanes 15:18-21? Jelaskan.

17 Kita berasa gembira semasa dihormati orang lain, tetapi janganlah menganggap diri tidak berguna sekiranya mereka tidak menyukai kita. Yesus berkata, “Berbahagialah kamu apabila kamu dibenci, dipulaukan, dihina, dan nama kamu diburukkan, kerana Anak Manusia.” (Luk. 6:22) Apakah maksud Yesus?

18 Yesus tidak bermaksud bahawa orang Kristian suka dibenci orang. Sebaliknya, dia sedang mengingatkan kita bahawa kita akan dibenci oleh dunia kerana kita hidup menurut ajaran Yesus, menyebarkan mesej yang disebarkannya, dan tidak menjadi sebahagian daripada dunia. (Baca Yohanes 15:18-21.) Bagi kita, mengasihi Bapa Yehuwa dan menyenangkan hati-Nya ialah hal yang terpenting. Usahlah berasa bersalah jika orang lain membenci kita kerana hal itu.

19. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan para rasul?

19 Janganlah membiarkan kata-kata atau perbuatan manusia fana membuat anda berasa malu untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. (Mi. 4:5) Kita dapat mengatasi rasa takut akan manusia dengan merenungkan teladan para rasul di Yerusalem setelah Yesus dibunuh. Mereka tahu bahawa para pemimpin agama Yahudi sangat membenci mereka. (Kis. 5:17, 18, 27, 28) Tetapi mereka masih mengumumkan berita baik di Rumah Tuhan dan di tempat lain setiap hari untuk menunjukkan bahawa mereka ialah pengikut Yesus. (Kis. 5:42) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan para rasul yang enggan tunduk kepada rasa takut? Semasa bersama rakan sekerja, rakan sekolah, dan jiran, biarlah mereka tahu bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa.​—Kis. 4:29; Rm. 1:16.

20. Mengapakah para rasul berasa gembira walaupun dibenci?

20 Mengapakah para rasul berasa gembira? Mereka tahu sebabnya mereka dibenci, dan mereka berbesar hati untuk dianiaya kerana melakukan kehendak Yehuwa. (Luk. 6:23; Kis. 5:41) Rasul Petrus menulis, “Biarpun kamu harus menderita kerana melakukan apa yang benar, kamu akan berasa gembira.” (1 Ptr. 2:19-21; 3:14) Jika kita sedar bahawa kita dibenci orang kerana melakukan apa yang benar, kita tidak akan tunduk kepada rasa takut lalu berhenti menyembah Yehuwa.

PERSIAPAN ANDA SANGAT PENTING

21-22. (a) Apakah persiapan yang ingin anda lakukan untuk menghadapi penganiayaan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

21 Kita tidak tahu bila kita akan dianiaya atau bila kerja kita akan diharamkan. Tetapi kita tahu bahawa kita dapat bersiap sedia sekarang untuk menghadapinya. Maka kukuhkanlah hubungan anda dengan Yehuwa, jadilah lebih berani, dan belajarlah cara untuk berdepan dengan kebencian. Persiapan yang kita lakukan sekarang akan membantu kita berdiri teguh pada masa depan.

22 Namun, apakah yang harus kita lakukan seandainya ibadat kita diharamkan? Rencana seterusnya akan membincangkan beberapa prinsip Bible yang akan membantu kita untuk terus menyembah Yehuwa.

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

^ per. 5 Kita tidak suka dibenci orang, tetapi lambat laun, kita semua akan dianiaya. Rencana ini akan membantu kita menjadi berani dan bersedia untuk menghadapi penganiayaan.

^ per. 14 Lihat video Nama Yehuwa Akan Diberitakan di Siaran JW. (Lihat VIDEO ATAS PERMINTAAN > TEMU RAMAH DAN PENGALAMAN > KHAZANAH ROHANI KITA.)

^ per. 15 Lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2008, ms. 191-192, dalam bahasa Indonesia.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Semasa penyembahan keluarga, ibu bapa menggunakan kad imbas untuk membantu anak-anak mereka menghafal ayat Bible.

^ per. 69 KETERANGAN GAMBAR: Dalam perjalanan ke perjumpaan, sebuah keluarga berlatih menyanyikan lagu rohani dalam kereta.