Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 28

Teruslah Menyembah Yehuwa semasa Ibadat Kita Diharamkan

Teruslah Menyembah Yehuwa semasa Ibadat Kita Diharamkan

“Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”​—KIS. 4:19, 20.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

PENGENALAN *

1-2. (a) Mengapakah kita tidak berasa hairan apabila ibadat kita diharamkan? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam rencana ini?

PADA tahun 2018, terdapat lebih daripada 223,000 orang penyiar yang tinggal di negara yang mengharamkan atau mengenakan sekatan yang ketat atas kegiatan rohani kita. Hal itu tidak menghairankan. Seperti yang telah kita pelajari dalam rencana sebelumnya, orang Kristian sejati tahu bahawa mereka akan dianiaya. (2 Tim. 3:12) Tidak kira di mana kita tinggal, pihak berkuasa mungkin tiba-tiba melarang kita menyembah Tuhan Yehuwa.

2 Jika kerajaan di negara anda mengharamkan ibadat Yehuwa, anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah penganiayaan bererti kita tidak lagi diperkenankan Tuhan? Adakah larangan itu bermaksud kita tidak dapat menyembah Yehuwa lagi? Haruskah saya berpindah ke negara yang tidak melarang kerja kita?” Rencana ini akan membincangkan soalan-soalan itu. Kita juga akan melihat jerat yang harus kita elakkan dan cara untuk terus menyembah Yehuwa semasa kerja kita diharamkan.

ADAKAH PENGANIAYAAN BERERTI KITA KEHILANGAN PERKENAN TUHAN?

3. Menurut 2 Korintus 11:23-27, apakah penganiayaan yang dihadapi Rasul Paulus? Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman Paulus?

3 Jika ibadat kita diharamkan, kita mungkin menyangka bahawa kita tidak lagi mendapat perkenan atau berkat Yehuwa. Namun, hal itu tidak benar. Fikirkan contoh Rasul Paulus. Tuhan pasti berkenan terhadapnya, kerana dia digunakan untuk menulis 14 pucuk surat dalam Kitab Yunani Kristian, dan dia merupakan rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain. Meskipun begitu, dia dianiaya dengan teruk. (Baca 2 Korintus 11:23-27.) Pengalaman Rasul Paulus menunjukkan bahawa Yehuwa mengizinkan hamba-hamba-Nya yang setia ditimpa penganiayaan.

4. Mengapakah dunia membenci kita?

4 Yesus menjelaskan sebabnya kita harus bersedia untuk menghadapi tentangan. Dia berkata bahawa kita akan dibenci kerana kita bukan sebahagian daripada dunia. (Yoh. 15:18, 19) Maka, penganiayaan bukanlah tanda bahawa kita kehilangan berkat Yehuwa. Sebaliknya, itulah bukti bahawa kita sedang melakukan apa yang benar!

DAPATKAH LARANGAN MENGHALANG KITA DARIPADA MENYEMBAH YEHUWA?

5. Dapatkah manusia melenyapkan ibadat Yehuwa? Berikan contoh.

5 Manusia tidak dapat melenyapkan ibadat Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa. Banyak pihak mencuba melakukannya, tetapi usaha mereka gagal sama sekali. Semasa Perang Dunia Kedua, kerajaan di banyak negara telah menganiaya umat Tuhan dengan teruk. Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa bukan sahaja diharamkan oleh kuasa Nazi di Jerman, tetapi juga oleh kerajaan di Australia, Kanada, dan negara-negara lain. Namun, perhatikan apa yang terjadi. Semasa perang itu bermula pada tahun 1939, terdapat 72,475 orang penyiar di serata dunia. Tetapi menjelang akhir perang itu pada tahun 1945, dengan adanya berkat Yehuwa, bilangan itu sudah meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada 156,299 orang penyiar!

6. Jelaskan bagaimana tentangan dapat membawa hasil yang baik.

6 Semasa menghadapi tentangan, kita memang akan rasa takut. Tetapi ingatlah bahawa tentangan juga dapat membawa kesan yang baik, seperti menguatkan tekad kita untuk menyembah Yehuwa. Fikirkan contoh sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak. Apabila kerajaan di negara mereka mengharamkan ibadat Yehuwa, mereka tidak menjadi takut dan berhenti menyembah Tuhan. Sebaliknya, pasangan itu mula menjadi perintis biasa, dan si isteri bahkan menghentikan kerjanya yang bergaji tinggi untuk merintis. Si suami pula berkata bahawa dia dapat memulakan pembelajaran Bible dengan lebih mudah, kerana larangan tersebut membuat ramai orang ingin mengenali Saksi-Saksi Yehuwa. Larangan itu juga membawa satu lagi hasil yang baik. Seorang penatua di negara yang sama mengatakan bahawa ramai orang yang telah berhenti menyembah Yehuwa mula kembali menghadiri perjumpaan dan menginjil.

7. (a) Apakah yang kita pelajari daripada Imamat 26:36, 37? (b) Apakah yang akan anda lakukan semasa ibadat kita diharamkan?

7 Musuh-musuh yang mengharamkan ibadat kita ingin membuat kita berasa takut sehingga berhenti menyembah Yehuwa. Selain melarang kegiatan kita, mereka mungkin menyebarkan cerita palsu tentang kita, menghantar pegawai untuk menggeledah rumah kita, mendakwa kita di mahkamah, atau memenjarakan kita. Mereka berharap kita akan menjadi takut semasa melihat sesetengah rakan seiman kita dipenjarakan. Namun, jika kita berasa takut terhadap mereka, kita mungkin akan mengurangkan atau menghentikan kegiatan rohani kita. Janganlah menjadi seperti orang yang digambarkan di Imamat 26:36, 37. (Baca.) Sebaliknya, marilah kita yakin sepenuhnya kepada Yehuwa, dan janganlah berasa cemas. (Yes. 28:16) Berdoalah dan mintalah bimbingan Yehuwa. Percayalah bahawa dengan adanya sokongan Tuhan kita, kerajaan manusia yang paling berkuasa pun tidak dapat menghalang kita daripada menyembah-Nya dengan setia.​—Ibr. 13:6.

HARUSKAH SAYA BERPINDAH KE NEGARA LAIN?

8-9. (a) Apakah keputusan peribadi yang harus dibuat oleh setiap ketua keluarga atau individu? (b) Bagaimanakah setiap orang dapat membuat keputusan yang bijak?

8 Jika kerajaan di negara anda mengharamkan ibadat kita, anda mungkin tertanya-tanya, “Haruskah saya berpindah ke negara yang lebih bebas?” Hal ini merupakan keputusan peribadi. Sebelum membuat keputusan, seseorang mungkin mengkaji contoh orang Kristian pada abad pertama. Selepas pembunuhan Stefanus, penganiayaan yang tercetus telah menyebabkan murid-murid Yesus di Yerusalem berpindah ke kawasan lain di Yudea dan Samaria. Ada juga yang berpindah sejauh Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. (Mat. 10:23; Kis. 8:1; 11:19) Namun, orang lain mungkin memikirkan contoh Rasul Paulus. Semasa penganiayaan timbul lagi, dia tidak berpindah ke tempat lain. Sebaliknya, dia sanggup menginjil di kawasan yang berbahaya dan menguatkan rakan seiman yang dianiaya dengan teruk.​—Kis. 14:19-23.

9 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh-contoh itu? Setiap ketua keluarga harus membuat keputusan sendiri sama ada untuk berpindah atau tidak. Sebelum membuat keputusan, dia harus berdoa, mempertimbangkan keadaan keluarga sendiri, dan memikirkan kesan baik atau buruk yang mungkin terhasil. Dalam hal ini, setiap orang Kristian harus “memikul tanggungjawab masing-masing.” (Gal. 6:5, nota kaki) Kita tidak patut menghakimi keputusan orang lain.

CARA UNTUK BERIBADAT SEMASA KERJA KITA DIHARAMKAN

10. Apakah arahan yang akan diberikan oleh pejabat cawangan dan para penatua?

10 Bagaimanakah anda dapat terus menyembah Yehuwa semasa kerja kita diharamkan? Pejabat cawangan akan memberikan arahan dan cadangan kepada penatua di sidang tentang cara untuk menerima makanan rohani, mengadakan perjumpaan, dan menginjil. Jika pejabat cawangan tidak dapat menghubungi penatua anda, para penatua akan memberikan arahan berdasarkan Bible dan bahan bacaan kita supaya anda dan semua saudara saudari dapat terus menyembah Yehuwa.​—Mat. 28:19, 20; Kis. 5:29; Ibr. 10:24, 25.

11. Mengapakah anda pasti akan mendapat makanan rohani yang diperlukan? Bagaimanakah anda dapat menjaga Bible dan bahan bacaan Bible anda?

11 Yehuwa sudah berjanji bahawa hamba-hamba-Nya akan mendapat makanan rohani yang secukupnya. (Yes. 65:13, 14; Luk. 12:42-44) Maka organisasi-Nya pasti akan melakukan apa yang terdaya untuk menyediakan makanan rohani yang anda perlukan. Namun, anda juga dapat melakukan sesuatu semasa ibadat kita diharamkan: Carilah tempat yang baik untuk menyembunyikan Bible dan bahan bacaan Bible anda. Berhati-hatilah agar tidak meletakkan makanan rohani anda, sama ada yang tercetak mahupun elektronik, di tempat yang mudah ditemui. Kita masing-masing perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memelihara iman sendiri.

Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat berkumpul untuk beribadat tanpa rasa gentar (Lihat perenggan 12) *

12. Bagaimanakah para penatua dapat memastikan agar perjumpaan kita tidak menarik perhatian musuh?

12 Bagaimana pula dengan perjumpaan kita? Para penatua akan mengadakan perjumpaan dalam cara yang tidak menarik perhatian musuh. Mereka mungkin mengarahkan supaya kita bertemu dalam kumpulan yang lebih kecil, dan mengubah tempat dan waktu perjumpaan secara kerap. Bagaimanakah anda dapat membantu menjaga keselamatan semua orang yang menghadiri perjumpaan? Semasa anda datang atau meninggalkan perjumpaan, anda boleh memperlahankan suara dan memastikan pakaian anda tidak menarik perhatian orang lain.

Meskipun kerja kita diharamkan oleh kerajaan, kita tidak akan berhenti menginjil (Lihat perenggan 13) *

13. Apakah yang kita pelajari daripada saudara saudari di bekas Kesatuan Soviet?

13 Aturan untuk kerja penyebaran pula akan berbeza mengikut keadaan setiap tempat. Namun, kita mengasihi Yehuwa dan suka bercakap kepada orang tentang Kerajaan-Nya, jadi kita akan mencari jalan untuk menginjil. (Luk. 8:1; Kis. 4:29) Mengenai kerja penyebaran Saksi-Saksi Yehuwa di bekas Kesatuan Soviet, seorang sejarawan yang bernama Emily B. Baran berkata, “Semasa para Saksi diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa mereka dilarang menjalankan kerja penyebaran, mereka telah memulakan perbualan dengan jiran, rakan sekerja, dan kawan-kawan. Apabila Saksi-Saksi dihantar ke kem buruh kerana berbuat demikian, mereka telah menginjil kepada banduan yang lain.” Sekiranya kerja penyebaran di negara anda diharamkan, semoga anda meniru tekad saudara saudari kita di bekas Kesatuan Soviet yang enggan berhenti menginjil!

JERAT-JERAT YANG PERLU DIJAUHI

Kita perlu tahu bila waktu untuk berdiam diri (Lihat perenggan 14) *

14. Apakah amaran yang diberikan di Mazmur 39:1?

14 Berhati-hati semasa mengongsi maklumat. Semasa kerja kita diharamkan, kita mesti tahu bila “waktu untuk berdiam.” (Pkh. 3:7) Maklumat yang sulit, seperti nama saudara saudari, tempat perjumpaan kita, cara kita menginjil, dan cara kita menerima makanan rohani, harus dirahsiakan. Kita tidak akan mengongsinya dengan pihak berkuasa, ataupun dengan sahabat handai dan saudara-mara di negara sendiri atau di luar negara, tidak kira mereka ialah Saksi atau tidak. Jika kita tidak berwaspada dalam hal ini, kita akan membahayakan saudara saudari kita.​—Baca Mazmur 39:1.

15. Apakah yang akan sentiasa dilakukan oleh Syaitan? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan jeratnya?

15 Jangan berpecah belah kerana isu yang remeh. Syaitan tahu bahawa keluarga yang berpecah belah tidak akan bertahan lama. (Mrk. 3:24, 25) Maka dia akan sentiasa mencuba menjadi batu api supaya kita saling bercakaran dan lupa bahawa kita sepatutnya melawannya.

16. Apakah teladan baik yang diberikan oleh Saudari Gertrud Poetzinger?

16 Orang Kristian yang matang pun perlu berhati-hati terhadap jerat ini. Fikirkan contoh dua orang saudari terurap: Gertrud Poetzinger dan Elfriede Löhr. Semasa mereka dipenjarakan bersama saudari-saudari lain dalam kem konsentrasi, Gertrud berasa cemburu semasa Elfriede memberikan ceramah yang menggalakkan kepada saudari-saudari lain dalam kem. Gertrud kemudiannya berasa malu dengan sikap sendiri lalu berdoa merayu bantuan Yehuwa. Dia menulis, “Apabila orang lain lebih berbakat daripada kita atau diberi tanggungjawab yang lebih besar, kita perlu belajar menerimanya.” Bagaimanakah Gertrud mengatasi rasa cemburunya? Dia berfokus kepada sifat-sifat baik dan keramahan Elfriede. Hasilnya, dia berjaya berbaik semula dengan Elfriede. Setelah dibebaskan dari kem konsentrasi, kedua-dua saudari itu berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia sehingga akhir hayat mereka di bumi. Jika kita berusaha keras untuk menyelesaikan perselisihan faham dengan rakan seiman, kita tidak akan membiarkan apa-apa pun untuk memecahbelahkan kita.​—Kol. 3:13, 14.

17. Mengapakah kita mesti sentiasa mengikut arahan daripada organisasi Tuhan?

17 Sentiasa mengikut arahan daripada organisasi Tuhan. Jika kita mematuhi arahan daripada saudara-saudara yang mengambil pimpinan, kita dapat mengelakkan masalah. (1 Ptr. 5:5) Contohnya, di sebuah negara yang melarang kerja kita, para penyiar diberitahu agar tidak mengedarkan bahan bacaan kita semasa menginjil. Tetapi seorang saudara perintis tidak mengikut arahan yang diberikan. Akibatnya, tidak lama selepas dia dan beberapa orang penyiar memberikan kesaksian tidak formal dan mengedarkan bahan bacaan, mereka disoal oleh polis. Nampaknya pihak berkuasa telah mengekori mereka dan merampas bahan bacaan yang diedarkan. Apakah pengajarannya? Kita perlu mengikut arahan biarpun kita tidak bersetuju dengannya. Jika kita bekerjasama dengan saudara-saudara yang dilantik oleh Yehuwa untuk mengambil pimpinan, Dia akan sentiasa memberkati kita.​—Ibr. 13:7, 17.

18. Mengapakah kita tidak patut membuat peraturan dengan sewenang-wenangnya?

18 Jangan membuat peraturan dengan sewenang-wenangnya. Jika para penatua membuat peraturan dengan sesuka hati, mereka akan membebankan saudara saudari lain. Saudara Juraj Kaminský menceritakan apa yang berlaku semasa kerja kita dilarang di bekas Czechoslovakia, “Setelah ramai penatua ditangkap, sesetengah saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang dan litar mula membuat senarai peraturan tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan oleh para penyiar.” Ingatlah, Yehuwa tidak memberi kita kuasa untuk membuat peraturan bagi rakan seiman kita. Sesiapa yang membuat peraturan dengan sesuka hati tidak melindungi saudara saudarinya, tetapi menjadi tuan yang berkuasa atas iman mereka.​—2 Kor. 1:24.

JANGAN BERHENTI MENYEMBAH YEHUWA

19. Tidak kira apa yang dilakukan Syaitan, 2 Tawarikh 32:7, 8 meyakinkan kita akan hal apa?

19 Syaitan Si Iblis, musuh utama kita, akan terus mencari peluang untuk menganiaya hamba-hamba Yehuwa. (1 Ptr. 5:8; Why. 2:10) Meskipun dia dan konco-konconya berusaha melarang ibadat kita, janganlah digertak oleh mereka sehingga berhenti menyembah Yehuwa! (Ul. 7:21) Yehuwa ada bersama kita, dan Dia akan terus menyokong kita bahkan semasa kerja kita dilarang.​—Baca 2 Tawarikh 32:7, 8.

20. Apakah azam anda?

20 Semasa diadili, orang Kristian abad pertama telah berkata kepada para penguasa, “Dalam pandangan Tuhan, wajarkah kami mendengar cakap tuan dan bukannya Tuhan? Pertimbangkanlah sendiri hal itu. Namun bagi kami, kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:19, 20) Semoga kita memiliki azam yang sama!

LAGU 73 Berilah Kami Keberanian

^ per. 5 Apakah yang harus kita lakukan jika pihak kerajaan melarang kita menyembah Yehuwa? Rencana ini mengandungi cadangan-cadangan yang praktikal tentang apa yang harus dilakukan atau dielakkan, supaya kita dapat terus menyembah Tuhan kita!

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Semua gambar dalam rencana ini menunjukkan Saksi-Saksi di negara yang menyekat kerja kita. Dalam gambar ini, beberapa orang berkumpul di bilik stor seorang saudara untuk mengadakan perjumpaan.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari (kiri) sedang bersembang dengan seorang wanita sambil mencari peluang untuk bercakap tentang hal-hal rohani.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang disoal siasat oleh polis enggan mendedahkan maklumat tentang sidangnya.