Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 44

Binalah Persahabatan yang Erat sebelum Akhir Tiba

Binalah Persahabatan yang Erat sebelum Akhir Tiba

“Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih.”​—AMS. 17:17.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALAN *

Kita memerlukan sahabat yang rapat semasa “kesengsaraan besar” (Lihat perenggan 2) *

1-2. Menurut 1 Petrus 4:7, 8, apakah yang dapat membantu kita menghadapi kesusahan dengan tabah?

APABILA akhir semakin dekat, cabaran hidup kita mungkin semakin bertambah. (2 Tim. 3:1) Contohnya, selepas pilihan raya di sebuah negara di sebelah barat Afrika, keadaan di situ menjadi kacau-bilau, dan rusuhan sering tercetus. Selama lebih daripada enam bulan, saudara saudari kita berada dalam keadaan bahaya kerana pertempuran yang berlaku. Bagaimanakah mereka menghadapi situasi itu? Ada yang menumpang di rumah saudara saudari yang tinggal di kawasan yang lebih selamat. Seorang saudara berkata, “Dalam keadaan ini, saya bersyukur kerana ada kawan di sisi saya. Kami dapat saling menggalakkan.”

2 Semasa “kesengsaraan besar” melanda, kita akan bersyukur jika kita ada sahabat baik yang mengasihi kita. (Why. 7:14) Oleh itu, amatlah penting untuk menjalin persahabatan yang erat sekarang juga. (Baca 1 Petrus 4:7, 8.) Kita dapat belajar cara berbuat demikian daripada Yeremia. Sahabat-sahabatnya telah menyelamatkannya sebelum pembinasaan Yerusalem. * Bagaimanakah kita dapat mengikut teladannya?

BELAJARLAH DARIPADA TELADAN YEREMIA

3. (a) Apakah yang mungkin menyebabkan Yeremia mengasingkan diri daripada semua orang? (b) Apakah yang diluahkan oleh Yeremia kepada Barukh, dan apakah hasilnya?

3 Selama lebih daripada 40 tahun, Yeremia hidup dalam kalangan orang yang tidak setia, termasuk jiran dan mungkin sesetengah saudara-maranya dari Anatot, iaitu kampung halamannya. (Yer. 11:21; 12:6) Namun, dia tidak berfikir bahawa dia tidak memerlukan sahabat. Sebaliknya, dia meluahkan perasaannya kepada Barukh, setiausahanya, dan perasaannya juga dicatatkan dalam Bible supaya kita dapat membacanya. (Yer. 8:21; 9:1; 20:14-18; 45:1) Semasa Barukh mencatatkan kisah hidup Yeremia, mereka berdua pasti lebih menghormati dan mengasihi satu sama lain.​—Yer. 20:1, 2; 26:7-11.

4. Yehuwa menyuruh Yeremia melakukan apa? Bagaimanakah tugasan itu menguatkan persahabatan antara Yeremia dengan Barukh?

4 Selama bertahun-tahun, Yeremia memberikan amaran dengan berani kepada orang Israel tentang apa yang akan terjadi kepada Yerusalem. (Yer. 25:3) Untuk mendorong umat-Nya agar bertaubat, Yehuwa menyuruh Yeremia untuk mencatatkan amaran-Nya dalam sebuah gulungan. (Yer. 36:1-4) Kerja itu mungkin mengambil masa beberapa bulan. Semasa Yeremia dan Barukh melakukan tugas itu bersama-sama, mereka pasti menikmati banyak perbualan yang menguatkan iman.

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa Barukh ialah seorang sahabat yang setia?

5 Setelah mereka selesai menulis gulungan itu, Yeremia perlu meminta bantuan Barukh untuk membacakan kandungannya kepada rakyat. (Yer. 36:5, 6) Barukh telah melaksanakan tugas yang berbahaya ini dengan berani. Yeremia pasti sangat berbangga dengan Barukh semasa Barukh pergi ke halaman Rumah Yehuwa untuk membacakan gulungan itu. (Yer. 36:8-10) Para pemimpin mendapat tahu tentang apa yang dilakukan Barukh, lalu menyuruhnya membacakan gulungan itu kepada mereka. (Yer. 36:14, 15) Mereka berasa bahawa Raja Yehoyakim perlu mendengar kata-kata Yeremia. Namun, mereka risau akan keselamatan Barukh, maka mereka berkata kepadanya, “Pergilah! Kamu dan Yeremia harus bersembunyi. Jangan biar sesiapa pun mengetahui tempat persembunyian kamu.” (Yer. 36:16-19) Nasihat itu memang bijak!

6. Apakah yang dilakukan Yeremia dan Barukh semasa ditentang?

6 Semasa mendengar kata-kata Yeremia, Raja Yehoyakim begitu marah sehingga membakar gulungan itu dan mengarahkan agar Yeremia dan Barukh ditangkap. Namun, Yeremia tidak gentar. Dia memberikan sebuah gulungan baharu kepada Barukh, dan memberitahunya perkhabaran Yehuwa. Maka Barukh mencatatkan “semua yang tertulis dalam gulungan pertama yang telah dibakar oleh Yehoyakim.”​—Yer. 36:26-28, 32.

7. Apakah yang mungkin berlaku semasa Yeremia dan Barukh bekerja bersama-sama?

7 Orang yang telah mengharungi kesusahan bersama-sama biasanya akan menjadi sahabat karib. Oleh itu, kemungkinan besar, semasa Yeremia dan Barukh bekerjasama untuk menulis semula gulungan yang dibakar oleh Raja Yehoyakim, mereka lebih mengenali satu sama lain dan menjadi lebih rapat. Apakah yang dapat kita pelajari daripada dua orang yang setia ini?

BERBICARA DARI HATI KE HATI

8. Apakah yang mungkin menghalang kita daripada memupuk persahabatan yang erat? Mengapakah kita tidak patut berputus asa?

8 Kita mungkin berasa susah untuk meluahkan isi hati kepada orang lain kerana kita pernah dilukai pada masa lalu. (Ams. 18:19, 24) Atau kita mungkin berasa bahawa kita tiada masa dan tenaga untuk memupuk persahabatan yang erat. Namun, janganlah putus asa. Jika kita ingin saudara saudari berada di sisi kita pada waktu kesusahan, kita mesti belajar untuk mempercayai mereka dan mengongsi fikiran dan perasaan kita dengan mereka. Itulah satu langkah yang penting untuk menjadi sahabat sejati.​—1 Ptr. 1:22.

9. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia mempercayai sahabat-sahabatnya? (b) Bagaimanakah komunikasi yang terbuka dapat membantu anda membina persahabatan yang kukuh? Berikan contoh.

9 Yesus menunjukkan bahawa dia mempercayai sahabat-sahabatnya dengan bercakap secara jujur kepada mereka. (Yoh. 15:15) Seperti Yesus, kita dapat mengongsi kekecewaan, kegembiraan, dan kerisauan kita dengan sahabat kita. Dengarlah dengan teliti semasa orang lain bercakap, dan anda mungkin mendapati bahawa anda dan orang itu mempunyai banyak persamaan dari segi fikiran, perasaan, dan matlamat. Perhatikan contoh Cindy, seorang saudari yang berumur 20-an. Dia bersahabat dengan Marie-Louise, seorang perintis yang berumur 60-an. Cindy dan Marie-Louise menginjil bersama-sama setiap pagi Khamis, dan mereka akan bercakap dari hati ke hati mengenai pelbagai topik. Cindy berkata, “Saya suka berbual tentang hal yang mendalam bersama kawan-kawan, kerana ini membantu saya lebih mengenali dan memahami mereka.” Komunikasi yang terbuka ialah tanah subur untuk persahabatan yang erat. Seperti Cindy, jika anda berusaha untuk mengongsi fikiran dan perasaan anda dengan orang lain, dan sudi mendengar semasa mereka bercakap, persahabatan anda dengan mereka akan bertambah kukuh.​—Ams. 27:9.

MENGINJIL BERSAMA-SAMA

Sahabat yang baik menginjil bersama-sama (Lihat perenggan 10)

10. Menurut Amsal 27:17, apakah hasilnya apabila kita bekerja bersama rakan seiman?

10 Seperti Yeremia dan Barukh, apabila kita bekerja bersama rakan seiman dan melihat sifat-sifat murni mereka, kita dapat belajar daripada mereka dan menjadi lebih rapat dengan mereka. (Baca Amsal 27:17.) Contohnya, semasa menginjil, jika anda melihat sahabat anda mempertahankan kepercayaannya dengan berani atau bercakap dengan yakin tentang Yehuwa dan tujuan-Nya, anda akan lebih ingin menghampirinya.

11-12. Bagaimanakah orang yang menginjil bersama-sama dapat menjadi lebih erat? Berikan contoh.

11 Perhatikan dua pengalaman yang menunjukkan bagaimana orang yang menginjil bersama-sama dapat menjadi lebih erat. Adeline, seorang saudari yang berumur 23 tahun, mengajak kawannya Candice untuk menginjil bersamanya di sebuah kawasan yang jarang dikunjungi. Dia berkata, “Kami ingin lebih bersemangat dan menikmati kerja penyebaran, dan kami memerlukan galakan untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa.” Apakah manfaat yang diraih mereka? Adeline berkata, “Pada akhir setiap hari, kami bercakap tentang perasaan kami, perbualan yang menyentuh hati kami, dan bagaimana kami merasai bimbingan Yehuwa. Kami berdua menyukai perbualan sedemikian dan dapat mengenali satu sama lain dengan lebih baik.”

12 Laïla dan Marianne, dua orang saudari bujang dari Perancis, telah menginjil selama lima minggu di Bangui, ibu kota Republik Afrika Tengah. Mengenang kembali pengalaman mereka, Laïla berkata, “Sifat dan pandangan kami berbeza, tetapi komunikasi yang baik dan kasih yang sejati telah menguatkan persahabatan kami. Semasa saya lihat Marianne menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, kasihnya untuk orang tempatan, dan semangatnya untuk kerja penyebaran, saya lebih kagum terhadapnya.” Anda tidak perlu berpindah ke luar negara untuk menikmati manfaat sebegini. Setiap kali anda menginjil bersama seorang saudara atau saudari di kawasan tempatan, gunakanlah peluang itu untuk mengenalinya dengan lebih baik dan mengukuhkan persahabatan anda dengannya.

BERTUMPU KEPADA SIFAT BAIK DAN SUDI MENGAMPUNI

13. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi semasa bekerja dengan rapat bersama sahabat kita?

13 Ada kalanya, semasa bekerja dengan rapat bersama sahabat-sahabat, kita bukan sahaja mengenali kekuatan mereka, tetapi juga kelemahan mereka. Jadi, bagaimanakah kita dapat menjaga persahabatan kita? Mari kita lihat contoh Yeremia lagi. Apakah yang membantunya bertumpu kepada sifat-sifat baik sahabatnya dan mengampunkan kesilapan mereka?

14. Apakah yang disedari oleh Yeremia tentang Yehuwa, dan bagaimanakah hal ini membantunya?

14 Yeremia ialah penulis buku Yeremia, dan dia mungkin juga ialah penulis buku 1 dan 2 Raja-Raja. Tugasan itu telah membantunya sedar betapa besarnya belas kasihan Yehuwa terhadap manusia yang tidak sempurna. Contohnya, Yeremia tahu bahawa setelah Raja Ahab bertaubat, Yehuwa berfirman bahawa dia tidak akan melihat keluarganya dibinasakan selagi dia masih hidup. (1 Raj. 21:27-29) Yeremia juga tahu bahawa Manasye melakukan lebih banyak dosa daripada Ahab, tetapi apabila dia bertaubat, Yehuwa telah mengampuninya. (2 Raj. 21:16, 17; 2 Taw. 33:10-13) Kisah-kisah itu pasti membantu Yeremia meniru kesabaran dan belas kasihan Tuhan semasa melayan sahabat karibnya.​—Mzm. 103:8, 9.

15. Bagaimanakah Yeremia meniru kesabaran Yehuwa semasa Barukh hilang tumpuan?

15 Fikirkan apa yang dilakukan Yeremia semasa Barukh hilang tumpuan terhadap tugasannya. Yeremia tidak segera fikir bahawa Barukh tidak dapat dibantu. Sebaliknya, dia memberitahu Barukh nasihat Tuhan yang tegas tetapi pengasih. (Yer. 45:1-5) Apakah yang dapat kita pelajari daripada peristiwa itu?

Sahabat yang baik saling mengampuni (Lihat perenggan 16)

16. Seperti yang dinyatakan di Amsal 17:9, apakah yang harus kita lakukan untuk mengekalkan persahabatan kita?

16 Kita tidak patut mengharapkan kesempurnaan daripada saudara saudari kita. Maka setelah menjalin hubungan yang erat dengan mereka, berusahalah untuk mengekalkan persahabatan itu. Sekiranya sahabat kita berbuat silap, kita mungkin perlu memberinya nasihat yang tegas tetapi pengasih daripada Firman Tuhan. (Mzm. 141:5) Jika mereka melukai kita, maafkanlah mereka, dan selepas itu, janganlah mengungkitnya lagi. (Baca Amsal 17:9.) Pada masa yang genting ini, amatlah penting untuk bertumpu kepada kekuatan dan bukannya kelemahan saudara saudari kita. Dengan itu, hubungan kita dengan mereka akan bertambah kukuh. Ingatlah, kita memerlukan sahabat yang rapat semasa kesengsaraan besar.

TUNJUKKAN KASIH SETIA

17. Bagaimanakah Yeremia membuktikan bahawa dia ialah seorang sahabat yang dapat diharapkan pada masa kesusahan?

17 Yeremia membuktikan bahawa dia ialah seorang sahabat yang dapat diharapkan pada masa kesusahan. Misalnya, Ebed-melekh, seorang pegawai istana, telah menyelamatkan Yeremia agar tidak mati dalam perigi yang berlumpur. Tetapi Ebed-melekh kemudiannya takut diapa-apakan oleh para pemimpin Yehuda. Ketika Yeremia mendengar tentang hal itu, dia tidak berdiam diri dan membiarkan sahabatnya menanggung masalah itu seorang diri. Meskipun ditahan, Yeremia melakukan apa yang terdaya untuk menggalakkan sahabatnya. Dia memberitahu Ebed-melekh janji Yehuwa yang melegakan hati.​—Yer. 38:7-13; 39:15-18.

Sahabat yang baik membantu saudara saudari yang menghadapi kesusahan (Lihat perenggan 18)

18. Menurut Amsal 17:17, apakah yang harus kita lakukan semasa sahabat kita menghadapi kesusahan?

18 Dewasa ini, saudara saudari kita menghadapi bermacam-macam cabaran, seperti bencana alam, peperangan, dan sebagainya. Semasa hal itu terjadi, ada antara kita yang dapat menyediakan tempat tinggal untuk mereka, manakala yang lain dapat memberikan bantuan kewangan. Biarpun kita tidak dapat membantu dalam cara sedemikian, kita semua dapat meminta Yehuwa untuk membantu mereka. Jika kita tahu bahawa seorang saudara atau saudari berasa tawar hati, kita mungkin tidak tahu apa yang harus kita katakan atau lakukan. Namun, kita dapat menghulurkan bantuan, misalnya dengan meluangkan masa untuk menemaninya. Kita dapat mendengar luahannya dengan rasa simpati, dan kita dapat mengongsi ayat Bible kegemaran kita. (Yes. 50:4) Yang terpenting, kita haruslah berada di sisi sahabat kita semasa mereka memerlukan kita.​—Baca Amsal 17:17.

19. Mengapakah kita harus membina persahabatan yang kukuh sekarang?

19 Kita mesti bertekad untuk membina dan menjaga hubungan yang erat dengan saudara saudari sekarang. Mengapa? Kerana musuh-musuh akan menyebarkan dusta atau maklumat palsu untuk membuat kita berpecah belah dan saling meragui. Tetapi jika kita memiliki persahabatan yang erat, musuh tidak akan berjaya memutuskan ikatan kasih kita atau merosakkan persahabatan kita. Persahabatan yang kita bina sekarang bukan sahaja akan bertahan sepanjang hari-hari terakhir, malah untuk selama-lamanya!

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

^ per. 5 Apabila akhir semakin dekat, kita semua perlu mengukuhkan persahabatan kita dengan rakan seiman. Dalam rencana ini, kita akan belajar daripada pengalaman Yeremia, dan membincangkan bagaimana persahabatan yang kita jalin sekarang dapat membantu kita pada waktu kesusahan.

^ per. 2 Peristiwa dalam buku Yeremia tidak dicatatkan mengikut turutan masa.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Gambar ini menunjukkan apa yang mungkin berlaku semasa “kesengsaraan besar.” Beberapa orang saudara saudari berlindung di rumah seorang saudara. Mereka semua merupakan sahabat baik dan dapat melegakan hati satu sama lain semasa cubaan menimpa. Tiga gambar yang berikutnya menunjukkan bahawa saudara saudari yang sama telah menjalin persahabatan yang erat lama sebelum kesengsaraan besar bermula.