Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 45

Bagaimana Kuasa Suci Tuhan Menolong Kita

Bagaimana Kuasa Suci Tuhan Menolong Kita

“Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”​—FLP. 4:13.

LAGU 104 Kurniaan Kuasa Suci Tuhan

PENGENALAN *

1-2. (a) Apakah yang membantu kita bertabah hari demi hari? Jelaskan. (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

PERNAHKAH anda mengingat kembali suatu cabaran yang telah anda lalui dan berkata, “Saya tidak mungkin dapat mengharunginya seorang diri”? Ramai antara kita pernah berasa demikian. Barangkali anda pernah menghidap penyakit yang serius atau kehilangan orang yang tersayang. Tidak kira apa cabaran itu, anda berasa bahawa tanpa “kuasa luar biasa” daripada Yehuwa, anda tidak mungkin dapat bertabah hari demi hari.​—2 Kor. 4:7-9.

2 Kita juga bergantung pada kuasa suci Tuhan untuk menolak pengaruh dunia yang jahat ini. (1 Yoh. 5:19) Selain itu, kita memerlukan kekuatan untuk melawan “roh-roh jahat.” (Ef. 6:12) Mari kita lihat dua cara kuasa suci Tuhan membantu kita menangani cabaran itu. Kemudian, kita akan membincangkan cara untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kuasa suci Tuhan.

KUASA SUCI TUHAN MENGUATKAN KITA

3. Apakah salah satu cara kuasa suci Yehuwa membantu kita?

3 Kuasa suci Yehuwa memberi kita kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab kita meskipun menghadapi cubaan. Rasul Paulus berasa bahawa dia dapat terus berkhidmat dalam keadaan yang susah kerana dia bergantung pada “kuasa Kristus.” (2 Kor. 12:9) Semasa perjalanannya yang kedua sebagai mubaligh, Paulus bukan sahaja berusaha untuk menginjil, malah perlu bekerja untuk menyara kehidupan sendiri. Di Korintus, dia tinggal di rumah Akwila dan Priskila, pasangan yang bekerja sebagai pembuat khemah. Memandangkan Paulus melakukan pekerjaan yang sama, dia bekerja bersama mereka secara sambilan. (Kis. 18:1-4) Kuasa suci Tuhan memberi Paulus kekuatan untuk mencari nafkah dan melaksanakan kerja penyebaran.

4. Menurut 2 Korintus 12:7b-9, apakah masalah yang dihadapi Paulus?

4 Baca 2 Korintus 12:7b-9. Apakah maksud Paulus bahawa dia mempunyai “duri dalam daging”? Anda pasti berasa sangat sakit semasa dicucuk duri. Maka kata-kata Paulus menunjukkan bahawa dia sedang menghadapi cubaan yang membuatnya menderita. Dia menggambarkan cubaan ini sebagai “malaikat Syaitan” yang terus “menampar” (“memukul,” nota kaki) dia. Barangkali, Syaitan dan roh-roh jahat bukanlah penyebab masalah Paulus, tetapi semasa mereka melihat “duri” itu, mereka ingin menekannya supaya penderitaan Paulus bertambah. Apakah yang dilakukan Paulus?

5. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa Paulus?

5 Pada mulanya, Paulus ingin “duri” itu dicabut. Dia mengaku, “Aku merayu kepada Tuan [Yehuwa] sebanyak tiga kali agar duri tersebut disingkirkan daripadaku.” Meskipun begitu, duri dalam daging Paulus tidak hilang. Adakah hal itu bermaksud Yehuwa tidak mengabulkan permintaan Paulus? Tidak. Walaupun Yehuwa tidak menghilangkan masalah itu, Dia memberi Paulus kekuatan untuk bertabah. Yehuwa berfirman, “Kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” (2 Kor. 12:8, 9) Dengan adanya bantuan Tuhan, Paulus dapat tetap tenang dan bersukacita.​—Flp. 4:4-7.

6. (a) Bagaimanakah Yehuwa mungkin menjawab doa kita? (b) Bagaimanakah ayat-ayat Bible dalam perenggan ini menguatkan anda?

6 Pernahkah anda merayu kepada Yehuwa untuk menghilangkan masalah anda? Jika masalah itu tidak hilang, malah bertambah teruk, adakah itu bermaksud Yehuwa tidak senang hati dengan anda? Sekiranya anda berasa sedemikian, ingatlah contoh Paulus. Sebagaimana Yehuwa menjawab doanya, Dia pasti menjawab doa anda! Yehuwa mungkin tidak melenyapkan masalah anda, tetapi Dia akan memberi anda kuasa suci-Nya supaya anda mempunyai kekuatan untuk bertabah. (Mzm. 61:3, 4) Walaupun anda berasa seperti “dihempas ke tanah,” ingatlah bahawa Yehuwa sama sekali tidak akan meninggalkan anda.​—2 Kor. 4:8, 9; Flp. 4:13.

KUASA SUCI TUHAN MEMBANTU KITA TERUS MAJU

7-8. (a) Bagaimanakah kuasa suci Tuhan adalah seperti angin? (b) Bagaimanakah Petrus menggambarkan cara kuasa suci Tuhan berfungsi?

7 Apakah satu lagi cara kuasa suci Tuhan membantu kita? Seperti angin yang membolehkan sebuah kapal terus maju ke destinasinya meskipun dipukul ombak, kuasa suci Tuhan membantu kita terus menyembah Yehuwa meskipun dilanda masalah, sehingga kita tiba dengan selamat di dunia baharu yang dijanjikan Tuhan.

8 Sebagai seorang nelayan, Rasul Petrus sering belayar. Barangkali, itulah sebabnya dia menggunakan istilah pelayaran untuk menggambarkan cara kuasa suci Tuhan berfungsi. Dia menulis, “Nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia, tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “didorong” dalam ayat ini sebenarnya bermaksud “dibawa; digerakkan.”​—2 Ptr. 1:21.

9. Apakah gambaran yang dibuat oleh Petrus dengan menggunakan istilah “digerakkan”?

9 Apakah gambaran yang dibuat oleh Petrus dengan menggunakan istilah “digerakkan”? Perkataan Yunani yang serupa pernah digunakan oleh Lukas, iaitu penulis buku Kisah, untuk menggambarkan kapal yang “bergerak mengikut” tiupan angin. (Kis. 27:15) Menurut seorang pengkaji Bible, istilah yang digunakan oleh Petrus membuat pembaca terfikir tentang kapal layar. Petrus seolah-olah mengatakan bahawa sebagaimana kapal digerakkan oleh angin untuk sampai ke destinasi, para nabi dan penulis Bible juga digerakkan oleh kuasa suci Tuhan untuk menyempurnakan tugas masing-masing. Pengkaji yang sama menyatakan, “Para nabi adalah seperti kapal yang layarnya dinaikkan.” Apabila Yehuwa memberikan “angin,” iaitu kuasa suci-Nya, mereka bertindak selaras dengan bimbingan kuasa suci-Nya.

LANGKAH 1: Sertai kegiatan rohani secara tetap

LANGKAH 2: Lakukan kegiatan rohani dengan sedaya upaya (Lihat perenggan 11) *

10-11. Apakah dua hal yang mesti kita lakukan untuk menerima bimbingan kuasa suci Tuhan? Berikan contoh.

10 Kini, Tuhan tidak lagi mengilhami orang untuk menulis buku Bible. Tetapi Dia masih membimbing umat-Nya menerusi kuasa suci-Nya. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menerima bimbingan kuasa suci Tuhan?

11 Fikirkan contoh kapal layar lagi. Seorang pelayar perlu melakukan dua hal, barulah kapalnya akan digerakkan angin. Pertama, dia perlu memastikan kapalnya berada di tempat angin bertiup. Jika kapalnya terletak jauh daripada tiupan angin, misalnya di pelabuhan, kapalnya tidak akan bergerak. Kedua, dia perlu menaikkan dan membentangkan layarnya dengan sepenuhnya. Biarpun angin bertiup, kapalnya tidak akan bergerak selagi layarnya tidak dikembangkan angin. Begitu juga, kita tidak dapat terus berkhidmat kepada Yehuwa tanpa bantuan kuasa suci-Nya. Untuk menerima bantuan kuasa suci-Nya, kita mesti melakukan dua hal ini: Pertama, kita perlu menyertai kegiatan-kegiatan yang membolehkan kita menerima bimbingan kuasa suci Tuhan. Kedua, kita perlu “membentangkan layar” kita dengan sepenuhnya, iaitu menyertai kegiatan sebegini dengan sedaya upaya. (Mzm. 119:32) Dengan berbuat demikian, kuasa suci Tuhan akan membantu kita menempuh cabaran dan tentangan, dan menguatkan kita agar dapat menyembah Yehuwa dengan setia sehingga dunia baharu tiba.

12. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

12 Setakat ini, kita sudah membincangkan dua cara kuasa suci Tuhan menolong kita. Pertama, kuasa suci Tuhan menguatkan kita dan membantu kita tetap setia semasa ditimpa masalah. Kedua, kuasa suci Tuhan membantu kita terus maju dalam khidmat Yehuwa dan tetap mengikut haluan yang membawa kehidupan kekal. Sekarang, kita akan lihat empat perkara yang mesti kita lakukan untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kuasa suci Tuhan.

MERAIH MANFAAT YANG SEPENUHNYA DARIPADA KUASA SUCI TUHAN

13. Menurut 2 Timotius 3:16, 17, bagaimanakah Firman Tuhan dapat membantu kita? Namun, apakah yang mesti kita lakukan?

13 Pertama, kajilah Firman Tuhan. (Baca 2 Timotius 3:16, 17.) Dalam bahasa Yunani, perkataan yang diterjemahkan sebagai “diilhami oleh Tuhan” sebenarnya berbunyi “dihembuskan oleh Tuhan.” Melalui kuasa suci-Nya, Tuhan “menghembuskan” fikiran-Nya ke dalam minda penulis Bible. Semasa kita membaca dan merenungkan Bible, perintah Tuhan akan meresap ke dalam hati dan minda kita, lalu mendorong kita untuk hidup selaras dengan kehendak Tuhan. (Ibr. 4:12) Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, kita mesti meluangkan masa secara tetap untuk mengkaji dan merenungkan Bible, barulah Firman Tuhan akan sentiasa membimbing kata-kata dan tindakan kita.

14. (a) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa kuasa suci Yehuwa ada di perjumpaan kita? (b) Semasa menghadiri perjumpaan, bagaimanakah kita dapat menjadi seperti “kapal yang layarnya dinaikkan”?

14 Kedua, sembahlah Tuhan bersama rakan seiman. (Mzm. 22:22) Perjumpaan Kristian boleh dikatakan ialah “tempat angin bertiup,” kerana kuasa suci Yehuwa ada di situ. (Why. 2:29) Mengapakah kita berkata demikian? Semasa kita beribadat bersama saudara saudari, kita berdoa memohon kuasa suci Tuhan, menyanyikan lagu rohani yang berdasarkan Firman Tuhan, dan mendengar ajaran Bible yang disampaikan oleh saudara-saudara yang dilantik oleh kuasa suci Tuhan. Kuasa suci Tuhan juga membantu para saudari mempersiapkan dan menyampaikan tugasan mereka. Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, kita mesti membuat persiapan untuk mengambil bahagian semasa perjumpaan. Dengan itu, kita menjadi seperti “kapal yang layarnya dinaikkan.”

15. Bagaimanakah kita dapat menerima bantuan kuasa suci Tuhan untuk melakukan kerja penyebaran?

15 Ketiga, sertailah kerja penyebaran. Semasa kita menggunakan Bible untuk menginjil dan mengajar, kita sedang menerima bantuan kuasa suci Tuhan untuk melakukan kerja penyebaran. (Rm. 15:18, 19) Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, kita mesti menginjil secara tetap dan mencari peluang untuk membuka Bible. Untuk mengadakan perbualan yang lebih bermakna semasa menginjil, cubalah cadangan yang terdapat dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian.

16. Apakah cara yang paling mudah untuk menerima kuasa suci Tuhan?

16 Keempat, berdoalah kepada Yehuwa. (Mat. 7:7-11; Luk. 11:13) Cara yang paling mudah untuk menerima kuasa suci Yehuwa adalah dengan berdoa kepada-Nya. Tiada apa-apa, baik penjara mahupun Syaitan, yang dapat menghalang Yehuwa daripada mendengar doa kita atau memberi kita kuasa suci-Nya. (Yak. 1:17) Apakah cara yang betul untuk berdoa supaya kita meraih manfaat yang sepenuhnya? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita kaji sebuah perumpamaan yang hanya terdapat dalam buku Lukas. *

TERUS-MENERUS BERDOA

17. Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan Yesus di Lukas 11:5-9, 13?

17 Baca Lukas 11:5-9, 13. Perumpamaan Yesus menunjukkan caranya kita harus berdoa memohon kuasa suci Tuhan. Lelaki dalam perumpamaan Yesus menerima apa yang diperlukannya, kerana dia ‘terus-menerus meminta tanpa rasa segan.’ * Dia masih pergi meminta bantuan kawannya walaupun sudah lewat malam. Apakah kaitan perumpamaan itu dengan doa? Yesus menjelaskan, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibukakan bagimu.” Jadi, untuk menerima bantuan kuasa suci Tuhan, kita mesti terus-menerus berdoa.

18. Menurut perumpamaan Yesus, mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa pasti memberi kita kuasa suci-Nya?

18 Perumpamaan Yesus juga menunjukkan sebabnya Yehuwa pasti memberi kita kuasa suci-Nya. Lelaki dalam perumpamaan Yesus ingin menjadi tuan rumah yang baik. Dia berasa bahawa dia wajib menghidangkan sesuatu kepada tetamunya, tetapi dia tidak mempunyai makanan. Yesus berkata bahawa oleh sebab lelaki itu terus-menerus meminta, jirannya telah bangun dan memberinya roti. Apakah yang hendak diajarkan Yesus? Jika manusia yang tidak sempurna pun sudi membantu jiran yang terus-menerus meminta, apatah lagi Bapa kita di syurga yang baik hati! Dia pasti membantu orang yang terus-menerus berdoa untuk memohon kuasa suci-Nya. Maka, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan mengabulkan doa kita semasa kita meminta kuasa suci-Nya.​—Mzm. 10:17; 66:19.

19. Mengapakah Syaitan tidak dapat mengalahkan kita?

19 Meskipun Syaitan menyerang kita secara bertubi-tubi, dia tidak dapat mengalahkan kita. Mengapa? Kerana kuasa suci Tuhan menolong kita dalam dua cara. Pertama, kuasa suci Tuhan memberi kita kekuatan untuk tetap tabah. Kedua, seperti angin yang mengembangkan layar kapal, kuasa suci Tuhan membantu kita terus maju dalam khidmat Yehuwa sambil menantikan kedatangan dunia baharu. Semoga kita bertekad untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada bantuan kuasa suci Yehuwa!

LAGU 41 Dengarlah Doa Aku

^ per. 5 Rencana ini menjelaskan bagaimana kuasa suci Tuhan dapat membantu kita tetap tabah, dan apa yang harus kita lakukan untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kuasa suci Tuhan.

^ per. 16 Antara buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, buku Lukaslah yang paling kerap menyatakan bahawa doa amat penting bagi Yesus.​—Luk. 3:21; 5:16; 6:12; 9:18, 28, 29; 18:1; 22:41, 44.

^ per. 17 Lihat “terus-menerus meminta . . . tanpa rasa segan” dalam Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Julai 2018, ms. 7.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: LANGKAH 1: Seorang saudara dan seorang saudari tiba di Dewan Perjumpaan. Dengan beribadat bersama rakan seiman, mereka berada di tempat yang ada kuasa suci Tuhan. LANGKAH 2: Mereka sudah membuat persediaan untuk memberikan komen. Dua langkah ini juga diperlukan untuk kegiatan lain yang disebut dalam rencana ini, iaitu mengkaji Firman Tuhan, menyertai kerja penyebaran, dan berdoa.