Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 49

“Ada Waktu yang Tertentu” untuk Bekerja dan Berehat

“Ada Waktu yang Tertentu” untuk Bekerja dan Berehat

“Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.”​—MRK. 6:31.

LAGU 143 Terus Berkhidmat, Berjaga-jaga, dan Menanti

PENGENALAN *

1. Apakah sikap ramai orang terhadap kerja?

APAKAH sikap kebanyakan orang di kawasan anda terhadap kerja? Di banyak negara, orang menghabiskan terlalu banyak tenaga dan masa untuk bekerja, sehingga tidak dapat berehat, menemani keluarga, atau beribadat. (Pkh. 2:23) Ada pula yang tidak suka bekerja dan mencari bermacam-macam alasan supaya tidak perlu bekerja.​—Ams. 26:13, 14.

2-3. Apakah sikap Yehuwa dan Yesus terhadap kerja?

2 Namun, apakah sikap Yehuwa dan Yesus terhadap kerja? Kita tahu bahawa Yehuwa suka bekerja. Yesus berkata, “Bapaku terus bekerja sehingga sekarang, dan aku pun terus bekerja.” (Yoh. 5:17) Fikirkan segala pekerjaan yang dilakukan Tuhan semasa Dia menciptakan alam semesta yang luas dan berbilion-bilion malaikat. Kita juga dapat melihat banyak ciptaan Tuhan yang indah di bumi. Penulis mazmur menyatakan, “Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Engkau telah menciptakan semuanya dengan bijaksana. Bumi penuh dengan hasil karya-Mu.”​—Mzm. 104:24.

3 Yesus meniru sikap Bapanya. Sebagai “jurubina yang mahir,” Yesus bekerja bersama Tuhan untuk “membentangkan langit.” (Ams. 8:27-31) Semasa di bumi, Yesus juga melakukan kerja yang diberikan oleh Tuhan dengan baik sekali. Baginya, kerja itu adalah seperti makanan, dan segala kerjanya di bumi membuktikan bahawa dia diutus oleh Tuhan.​—Yoh. 4:34; 5:36; 14:10.

4. Apakah sikap Yehuwa dan Yesus terhadap rehat?

4 Memandangkan Yehuwa dan Yesus begitu rajin bekerja, adakah hal itu bermaksud kita tidak perlu berehat? Tidak. Yehuwa tidak akan penat, jadi Dia tidak perlu berehat. Namun, Bible menyatakan bahawa selepas menciptakan langit dan bumi, Yehuwa “mula berehat.” (Kel. 31:17) Hal ini bermaksud Yehuwa menghentikan kerja penciptaan dan menikmati hasil kerja-Nya. Semasa di bumi, Yesus juga bekerja keras, tetapi dia masih meluangkan masa untuk berehat dan makan bersama kawan-kawannya.​—Mat. 14:13; Luk. 7:34.

5. Apakah cabaran yang dihadapi ramai orang?

5 Bible menggalakkan umat Tuhan agar suka bekerja. Mereka harus rajin dan tidak malas. (Ams. 15:19) Ada antara kita yang mungkin perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan sebagai pengikut Kristus, kita semua bertanggungjawab melakukan kerja penyebaran. Biarpun begitu, kita masih perlu berehat. Adakah anda berasa susah untuk mengagihkan masa yang cukup untuk bekerja, menginjil, dan berehat? Bagaimanakah anda dapat bersikap seimbang terhadap kerja dan rehat?

BERSIKAP SEIMBANG

6. Bagaimanakah catatan di Markus 6:30-34 menunjukkan bahawa Yesus mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kerja dan rehat?

6 Kita mesti bersikap seimbang terhadap kerja. Di bawah ilham Tuhan, Raja Salomo menulis bahawa “ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu,” seperti menanam, membina, menangis, ketawa, menari, dan sebagainya. (Pkh. 3:1-8) Kerja dan rehat merupakan dua aspek yang penting dalam kehidupan. Yesus mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kedua-duanya. Pernah sekali, murid-murid Yesus begitu sibuk menginjil sehingga “langsung tidak ada masa untuk makan.” Selepas mereka kembali, Yesus memberitahu mereka, “Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.” (Baca Markus 6:30-34.) Biarpun Yesus dan murid-muridnya ada kalanya tidak cukup masa untuk berehat, dia tahu bahawa mereka semua perlu berehat.

7. Apakah manfaatnya mengkaji aturan Sabat?

7 Ada kalanya, kita perlu berehat atau mengubah jadual harian kita. Untuk lebih memahami hal ini, mari kita perhatikan aturan Sabat yang dibuat oleh Tuhan bagi orang Israel kuno. Meskipun kita tidak perlu mematuhi Hukum Musa, aturan Sabat dapat membantu kita meneliti pandangan kita terhadap kerja dan rehat.

HARI SABAT​—WAKTU UNTUK BEREHAT DAN BERIBADAT

8. Menurut Keluaran 31:12-15, apakah tujuan hari Sabat?

8 Bible menyatakan bahawa selepas bekerja selama enam hari, * Tuhan telah berehat daripada kerja penciptaan di bumi. (Kej. 2:2) Namun, Yehuwa suka bekerja, dan Dia “terus bekerja” untuk melakukan hal-hal yang lain. (Yoh. 5:17) Yehuwa telah berehat pada hari yang ketujuh, dan Dia juga menyuruh orang Israel berehat pada hari Sabat, iaitu hari yang ketujuh. Tuhan berfirman bahawa hari Sabat merupakan tanda perjanjian antara Dia dengan orang Israel. Hari Sabat “dikhaskan untuk berehat,” dan dianggap suci bagi Yehuwa. (Baca Keluaran 31:12-15.) Tiada sesiapa pun yang dibenarkan bekerja, termasuk kanak-kanak, hamba, dan bahkan ternakan. (Kel. 20:10) Dengan itu, umat Tuhan dapat lebih bertumpu kepada hal-hal rohani.

9. Apakah pandangan sesetengah orang terhadap hari Sabat?

9 Hari Sabat bermanfaat untuk umat Tuhan, tetapi pada zaman Yesus, ramai pemimpin agama membuat peraturan yang melampau tentang Sabat. Contohnya, mereka berkata bahawa pada hari Sabat orang bahkan tidak boleh memetik sedikit gandum untuk dimakan atau menyembuhkan orang sakit. (Mrk. 2:23-27; 3:2-5) Tetapi Yesus menyatakan dengan jelas bahawa pandangan mereka bercanggah dengan fikiran Tuhan.

Keluarga Yesus menggunakan hari Sabat untuk berfokus kepada hal-hal rohani (Lihat perenggan 10) *

10. Daripada catatan di Matius 12:9-12, apakah yang kita pelajari tentang pandangan Yesus terhadap hari Sabat?

10 Yesus dan para pengikutnya yang berbangsa Yahudi berehat pada hari Sabat, kerana mereka wajib mematuhi Hukum Musa. * Tetapi melalui kata-kata dan tindakannya, Yesus menunjukkan bahawa tidak salah untuk berbuat baik dan menolong orang pada hari Sabat. Dia berkata, “Berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” (Baca Matius 12:9-12.) Perbuatan Yesus juga menunjukkan satu sebab penting Tuhan menyuruh umat-Nya berehat pada hari Sabat, iaitu supaya mereka dapat bertumpu kepada hal-hal rohani. Bible menyatakan bahawa semasa Yesus berada di Nasaret, kampung halamannya, dia pergi ke rumah ibadat, “seperti yang dilakukannya pada setiap hari Sabat.” (Luk. 4:15-19) Hal ini menunjukkan bahawa sejak kecil lagi, Yesus dan keluarganya selalu beribadat pada hari Sabat.

APAKAH SIKAP ANDA TERHADAP KERJA?

11. Siapakah yang memberikan teladan baik kepada Yesus dalam hal bekerja keras?

11 Semasa Yusuf mengajar anak angkatnya Yesus untuk menjadi tukang kayu, dia pasti memberitahu Yesus pandangan Tuhan terhadap kerja. (Mat. 13:55, 56) Yesus tentu melihat Yusuf bekerja keras setiap hari untuk menyara keluarganya yang besar. Pada kemudian hari, Yesus telah berkata kepada murid-muridnya, “Seorang pekerja layak menerima upahnya.” (Luk. 10:7) Jelaslah, Yesus faham maksudnya bekerja keras.

12. Apakah ayat-ayat Bible yang menunjukkan sikap Paulus terhadap kerja keras?

12 Rasul Paulus juga rajin bekerja. Tugasnya yang utama adalah untuk memberikan kesaksian tentang Yesus dan ajarannya, tetapi Paulus juga bekerja untuk mencari rezeki. Dalam suratnya kepada sidang di Tesalonika, Paulus menulis bahawa dia “bekerja keras dan membanting tulang siang dan malam,” supaya dia tidak “menjadi beban yang berat dari segi kewangan kepada sesiapa pun.” (2 Tes. 3:8; Kis. 20:34, 35) Dia mungkin sedang menyebut tentang kerjanya sebagai pembuat khemah. Semasa di Korintus, dia tinggal dan bekerja bersama Akwila dan Priskila, yang “mempunyai pekerjaan yang sama dengannya, iaitu membuat khemah.” Paulus “membanting tulang siang dan malam,” tetapi hal itu tidak bermaksud dia bekerja tanpa henti. Dia juga ada masa rehat, contohnya pada hari Sabat. Itulah peluangnya untuk memberikan kesaksian kepada orang Yahudi lain, yang juga berehat pada hari itu.​—Kis. 13:14-16, 42-44; 16:13; 18:1-4.

13. Apakah yang kita pelajari daripada teladan Paulus?

13 Teladan Rasul Paulus memang baik. Meskipun dia perlu bekerja, dia meluangkan masa secara tetap untuk “menyampaikan berita baik Tuhan,” dan dia menggalakkan orang lain untuk berbuat demikian juga. (Rm. 15:16; 2 Kor. 11:23) Paulus berkata bahawa Akwila dan Priskila ‘bekerja bersama-samanya untuk Kristus Yesus.’ (Rm. 12:11; 16:3) Paulus menggesa orang Kristian di Korintus agar “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.” (1 Kor. 15:58; 2 Kor. 9:8) Yehuwa bahkan mengilhami Rasul Paulus untuk menulis, “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”​—2 Tes. 3:10.

14. Apakah maksud kata-kata Yesus di Yohanes 14:12?

14 Kerja yang terpenting pada hari-hari terakhir ialah kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Yesus telah menubuatkan bahawa para pengikutnya akan melakukan hal-hal yang lebih besar daripada apa yang dilakukannya. (Baca Yohanes 14:12.) Yesus tidak bermaksud bahawa kita akan melakukan mukjizat seperti dia. Sebaliknya dia bermaksud bahawa kita akan menginjil dan mengajar di lebih banyak kawasan, kepada lebih ramai orang, dan untuk jangka masa yang lebih panjang.

15. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan, dan mengapa?

15 Jika anda seorang pekerja, tanyalah diri, “Adakah orang lain di tempat kerja saya berasa bahawa saya pekerja yang rajin? Adakah saya menyiapkan kerja saya tepat pada masanya dan dengan sedaya upaya?” Jika ya, majikan anda akan mempercayai anda. Orang lain yang memperhatikan anda juga mungkin lebih tertarik kepada berita baik. Bagaimana pula dengan kerja menginjil dan mengajar? Tanyalah diri, “Adakah orang lain berasa bahawa saya penginjil yang rajin? Adakah saya membuat persiapan yang baik untuk menginjil? Adakah saya membuat kunjungan kembali dengan secepat yang mungkin? Adakah saya menyertai pelbagai bentuk kesaksian secara tetap?” Jika ya, anda akan menikmati kerja itu.

APAKAH SIKAP ANDA TERHADAP REHAT?

16. Bagaimanakah sikap ramai orang terhadap rehat berbeza daripada sikap Yesus dan para rasulnya?

16 Yesus tahu bahawa dia dan para rasul ada kalanya perlu berehat. Tetapi ramai orang dahulu dan sekarang memiliki sikap seperti orang kaya dalam perumpamaan Yesus. Orang kaya itu mahu “bersenang-lenang, makan, minum, dan berseronok.” (Luk. 12:19; 2 Tim. 3:4) Itulah hal yang terpenting baginya. Tetapi Yesus dan para rasul tidak bersikap sedemikian.

Jika kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap kerja dan rehat, kita dapat bertumpu kepada perbuatan baik yang akan menyegarkan kita (Lihat perenggan 17) *

17. Bagaimanakah kita akan menggunakan masa cuti?

17 Kita ingin meniru teladan Yesus, maka kita akan menggunakan masa cuti bukan sahaja untuk berehat, tetapi juga untuk memberikan kesaksian dan menghadiri perjumpaan. Bagi kita, perjumpaan Kristian dan kerja menjadikan orang murid Yesus begitu penting sehingga kita akan berusaha untuk melakukannya secara tetap. (Ibr. 10:24, 25) Semasa melancong pun, kita akan menghadiri perjumpaan dan mencari peluang untuk memberitahu orang lain tentang Bible.​—2 Tim. 4:2.

18. Apakah yang diingini oleh Raja kita, Kristus Yesus?

18 Tidakkah kita bersyukur kerana Raja kita, Kristus Yesus, bersikap munasabah dan membantu kita memupuk pandangan yang seimbang terhadap kerja dan rehat? (Ibr. 4:15) Dia ingin kita berehat dengan secukupnya, dan dia juga ingin kita bekerja keras untuk mencari makan dan menikmati kerja menjadikan orang muridnya. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana Yesus membebaskan kita daripada perhambaan.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

^ per. 5 Bible mengajar kita cara memiliki pandangan yang seimbang terhadap kerja dan rehat. Rencana ini akan membincangkan hari Sabat yang diamalkan oleh orang Israel dan membantu kita meneliti sikap kita sendiri terhadap kerja dan rehat.

^ per. 8 Enam hari ini bukanlah hari yang panjangnya 24 jam. Untuk maklumat lanjut, sila lihat rencana “Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Percaya pada Ajaran Kreasionisme?” di jw.org (Lihat MENGENAI KAMI > SOALAN LAZIM).

^ per. 10 Para pengikut Yesus sangat menghormati hukum Sabat. Mereka berhenti membuat persiapan untuk pengebumian Yesus sehingga hari Sabat berakhir.​—Luk. 23:55, 56.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Yusuf membawa keluarganya ke rumah ibadat pada hari Sabat.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Seorang bapa perlu bekerja untuk menyara keluarganya. Tetapi semasa bercuti, dia dan keluarganya masih melakukan kegiatan rohani.