Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 1

“Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

“Pergilah . . . dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

AYAT TAHUNAN 2020: “Pergilah . . . dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.”​—MAT. 28:19.

LAGU 79 Ajarlah Mereka untuk Berteguh

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang dikatakan oleh malaikat kepada wanita-wanita di makam Yesus? Apakah yang dikatakan Yesus kepada mereka?

PADA 16 Nisan tahun 33 M, ketika hari masih subuh, sekumpulan wanita pergi ke sebuah makam dengan sedih. Lebih daripada 36 jam sebelum itu, mayat Tuan Yesus Kristus telah dimakamkan di situ. Mereka ingin melumuri mayatnya dengan bahan harum dan minyak wangi, tetapi setibanya di situ, mereka terkejut kerana makam itu sudah kosong! Satu malaikat memberitahu mereka, “Dia sudah dibangkitkan daripada kematian. Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea, dan kamu akan menjumpainya di sana.”​—Mat. 28:1-7; Luk. 23:56; 24:10.

2 Semasa wanita-wanita itu dalam perjalanan, Yesus bertemu dengan mereka dan berkata, “Pergilah dan beritahukanlah hal ini kepada saudara-saudaraku. Suruhlah mereka pergi ke Galilea dan di sana mereka akan melihat aku.” (Mat. 28:10) Sudah pasti Yesus ada pesanan yang sangat penting, kerana pertemuan itu ialah hal pertama yang diaturkannya selepas dibangkitkan.

ARAHAN UNTUK SIAPA?

Selepas dibangkitkan, Yesus bertemu dengan para rasul dan pengikutnya yang lain di Galilea dan berkata, “Pergilah . . . dan jadikanlah mereka pengikutku” (Lihat perenggan 3-4)

3-4. Bagaimanakah kita tahu bahawa arahan Yesus di Matius 28:19, 20 tidak ditujukan kepada rasul-rasulnya sahaja? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

3 Baca Matius 28:16-20. Semasa pertemuan itu, Yesus memberitahu para pengikutnya tentang tugas penting yang akan dilakukan mereka pada abad pertama. Dia berkata, ‘Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.’ Kita juga melakukan tugas itu pada zaman sekarang.

4 Bagaimanakah kita tahu bahawa arahan Yesus tidak ditujukan kepada 11 orang rasulnya sahaja, tetapi juga kepada semua pengikutnya? Fikirkan, semasa Yesus memberikan arahan itu di sebuah gunung di Galilea, adakah rasul-rasulnya sahaja yang hadir? Tidak. Ingatlah kata-kata malaikat di makam Yesus kepada para wanita, “Kamu akan menjumpainya [di Galilea].” Maka, para wanita yang setia pasti telah menghadiri pertemuan itu. Bukan itu sahaja, Paulus menyatakan bahawa Yesus telah “menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus.” (1 Kor. 15:6) Di manakah Yesus berjumpa dengan mereka?

5. Mengapakah kita percaya bahawa kata-kata Paulus di 1 Korintus 15:6 merujuk kepada pertemuan di Galilea?

5 Kita percaya bahawa kata-kata Paulus di 1 Korintus 15:6 merujuk kepada pertemuan di Galilea, yang disebutkan di Matius bab 28. Mengapa? Pertama, kebanyakan murid Yesus ialah orang Galilea. Jadi, tempat yang lebih sesuai untuk mengumpulkan begitu banyak orang ialah sebuah gunung di Galilea, dan bukannya sebuah rumah di Yerusalem. Kedua, selepas dibangkitkan, Yesus sudah berjumpa dengan 11 orang rasulnya di dalam sebuah rumah di Yerusalem. Jika dia hanya ingin mengarahkan para rasul untuk menginjil dan menjadikan orang pengikutnya, dia dapat melakukannya di Yerusalem. Dia tidak perlu menyuruh para rasul, wanita, dan murid-murid lain untuk bertemu dengannya di Galilea.​—Luk. 24:33, 36.

6. Bagaimanakah Matius 28:20 menunjukkan bahawa orang Kristian dewasa ini juga perlu membantu orang menjadi pengikut Yesus? Apakah hasilnya?

6 Kata-kata Yesus juga menunjukkan bahawa arahan untuk menjadikan orang pengikutnya tidak hanya ditujukan kepada orang Kristian abad pertama. Selepas memberikan arahan itu, Yesus berkata, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Seperti yang dikatakan Yesus, kerja menjadikan orang pengikutnya sedang giat berlangsung dewasa ini. Setiap tahun, hampir 300,000 orang dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa dan menjadi pengikut Yesus Kristus!

7. Apakah yang akan kita bincangkan? Mengapa?

7 Ramai pelajar Bible telah membuat kemajuan lalu dibaptis. Tetapi ada juga yang teragak-agak untuk menjadi pengikut Yesus. Mereka suka belajar tetapi tidak membuat kemajuan sehingga dibaptis. Jika anda mempunyai pelajar Bible, sudah tentu anda ingin membantunya menerapkan apa yang dipelajarinya dan menjadi pengikut Yesus. Rencana ini akan membincangkan cara untuk mencapai hati pelajar Bible dan membantunya bertumbuh secara rohani. Mengapakah kita perlu membincangkan topik ini? Kerana kita mungkin perlu menentukan sama ada kita patut terus belajar dengannya atau tidak.

BERUSAHA MENCAPAI HATI

8. Mengapakah tidak mudah untuk mencapai hati pelajar Bible?

8 Yehuwa ingin orang menyembah-Nya kerana mereka mengasihi-Nya. Jadi, matlamat kita adalah untuk membantu pelajar Bible faham bahawa Yehuwa sangat mengasihi mereka dan prihatin terhadap mereka. Kita ingin bantu mereka untuk memandang Yehuwa sebagai “bapa kepada anak yatim dan pembela bagi para balu.” (Mzm. 68:5) Apabila pelajar Bible sedar betapa dalamnya kasih Tuhan terhadap mereka, hati mereka akan tersentuh dan mereka akan mula mengasihi-Nya juga. Sesetengah pelajar tidak pernah merasai kasih sayang bapa mereka, jadi mereka berasa susah untuk memandang Yehuwa sebagai Bapa yang penyayang. (2 Tim. 3:1, 3) Maka, semasa mengajar mereka, tonjolkan sifat-sifat Yehuwa yang pengasih. Jelaskan bahawa Tuhan ingin mereka hidup selama-lamanya, dan Dia bersedia membantu mereka meraih berkat itu. Apakah yang dapat kita lakukan lagi?

9-10. Apakah bahan bacaan yang patut kita gunakan untuk mengadakan pembelajaran Bible? Mengapa?

9 Gunakan buku “Apakah yang Diajarkan Bible?” dan “Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan.” Dua buku ini disediakan khas untuk membantu kita mencapai hati pelajar Bible. Misalnya, bab 1 dalam buku Diajarkan Bible menjawab soalan-soalan berikut: Adakah Tuhan mengambil berat tentang kita? Apakah perasaan Tuhan tentang penderitaan kita? Dapatkah anda menjadi sahabat Yehuwa? Melalui buku Bernaunglah, pelajar Bible akan memahami bagaimana dia akan hidup dengan lebih bahagia dan lebih menghampiri Yehuwa jika dia menerapkan prinsip Bible. Biarpun anda pernah membincangkan buku-buku ini dengan pelajar lain, anda masih perlu membuat persediaan dengan teliti, dan menyesuaikan perbincangan anda menurut keperluan setiap pelajar.

10 Namun, apakah yang dapat anda lakukan jika pelajar anda berminat tentang topik lain, dan topik itu dibincangkan dalam bahan bacaan yang bukan Bahan Utama untuk Mengajar? Anda boleh menggalakkannya untuk membaca bahan itu sendiri pada masa lain. Dengan demikian, anda dapat meneruskan pembelajaran dengan menggunakan salah satu buku yang disebutkan tadi.

Mulakan pembelajaran dengan doa (Lihat perenggan 11)

11. Bilakah kita harus mula berdoa dengan pelajar Bible kita? Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar kita faham pentingnya doa?

11 Berdoa sebelum memulakan pembelajaran. Seboleh-bolehnya, kita ingin berdoa sebelum memulakan dan mengakhiri pembelajaran Bible. Kita boleh berbuat demikian dengan secepat mungkin, biasanya selepas kita belajar dengan seseorang buat beberapa kali. Kita mesti membantu pelajar Bible faham bahawa tanpa kuasa suci Tuhan, kita tidak dapat memahami Firman-Nya. Sesetengah guru Bible menjelaskan pentingnya doa dengan membaca Yakobus 1:5: “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan.” Kemudian, mereka bertanya kepada pelajar, “Bagaimanakah kita dapat meminta kebijaksanaan daripada Tuhan?” Pelajar biasanya akan menjawab bahawa kita perlu berdoa.

12. Bagaimanakah anda dapat menggunakan Mazmur 139:2-4 untuk membantu pelajar anda meningkatkan mutu doanya?

12 Ajar pelajar anda cara berdoa. Yakinkannya bahawa Yehuwa ingin mendengar doanya yang ikhlas. Jelaskan bahawa dalam doa peribadi, kita dapat mencurahkan isi hati kita dan memberitahu Yehuwa hal-hal yang mungkin tidak kita kongsi dengan orang lain. Ingatkan dia bahawa Yehuwa sudah mengetahui fikiran kita yang terpendam. (Baca Mazmur 139:2-4.) Kita juga dapat menggalakkan pelajar kita agar memohon bantuan Tuhan untuk mengubah fikiran yang salah dan menghentikan tabiat buruk. Contohnya, setelah belajar untuk suatu ketika, katakan pelajar kita masih menggemari perayaan yang berasal daripada kepercayaan kafir. Dia tahu bahawa perayaan itu salah, tetapi dia suka ciri-ciri perayaan itu. Jika begitu, galakkannya untuk memberitahu Yehuwa perasaannya dan merayu agar Yehuwa membantunya mencintai apa yang dicintai-Nya.​—Mzm. 97:10.

Jemput pelajar anda untuk menghadiri perjumpaan (Lihat perenggan 13)

13. (a) Mengapakah kita patut menjemput pelajar Bible untuk menghadiri perjumpaan dengan secepat mungkin? (b) Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar kita berasa lebih selesa di Dewan Perjumpaan?

13 Jemput pelajar Bible untuk menghadiri perjumpaan dengan secepat mungkin. Apa yang dilihat dan didengarinya di perjumpaan dapat menyentuh hatinya dan membantunya membuat kemajuan. Anda boleh menunjukkan video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? dan menjemputnya untuk menghadiri perjumpaan bersama anda. Jika dapat, tawarkan bantuan dari segi pengangkutan. Anda juga boleh mengajak penyiar yang berbeza untuk menyertai pembelajaran anda. Apabila pelajar anda mengenali saudara saudari di sidang, dia akan berasa lebih selesa semasa di perjumpaan.

BANTU PELAJAR BIBLE MAJU SECARA ROHANI

14. Apakah yang dapat mendorong pelajar Bible untuk maju secara rohani?

14 Matlamat kita adalah untuk membantu pelajar kita maju secara rohani. (Ef. 4:13) Sewaktu dia sudi belajar Bible, dia mungkin hanya berfikir tentang bagaimana pembelajaran itu dapat membantunya. Namun, apabila kasihnya untuk Yehuwa bertambah, dia akan berfikir tentang bagaimana dia dapat membantu orang lain, termasuk mereka dalam sidang. (Mat. 22:37-39) Pada masa yang sesuai, janganlah teragak-agak untuk memberitahu pelajar anda bahawa kita diberi penghormatan untuk menyokong kegiatan Kerajaan Tuhan melalui sumbangan kewangan.

Ajar pelajar anda cara menangani masalah (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible menangani masalah?

15 Ajar pelajar anda cara menangani masalah. Katakan pelajar anda sudah menjadi penyiar yang belum dibaptis, dan dia memberitahu anda bahawa ada orang di sidang yang membuatnya sakit hati. Daripada memberitahunya siapa yang salah atau betul, kongsilah nasihat Bible. Dia boleh memaafkan rakan seimannya. Jika dia tidak dapat melupakan hal itu, dia boleh berjumpa dengan rakan seimannya, membincangkan hal itu dengan lembut, dan berusaha untuk berdamai. (Bandingkan Matius 18:15.) Bantulah pelajar anda memikirkan apa yang hendak dikatakannya, dan ajarlah dia untuk mencari cadangan yang praktikal dalam aplikasi JW Library®, Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa, dan laman web jw.org®. Semakin banyak latihan yang diterimanya sebelum dibaptis, semakin baik hubungannya dengan sidang selepas dibaptis.

16. Apakah manfaatnya jika kita menjemput penyiar lain untuk menyertai pembelajaran Bible kita?

16 Jemput penyiar lain, termasuk penyelia litar, untuk menyertai pembelajaran Bible anda. Mengapa? Selain sebab-sebab yang disebutkan tadi, penyiar lain mungkin dapat membantu pelajar anda dalam cara yang tidak dapat anda lakukan. Katakan pelajar anda sudah cuba berkali-kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya, anda boleh menjemput seorang Saksi yang pernah bergelut dengan masalah yang sama. Saksi itu mungkin dapat memberinya cadangan yang berguna. Jika anda berasa tidak selesa untuk mengendalikan pembelajaran semasa seorang penyiar yang berpengalaman menyertai anda, jemputlah penyiar itu untuk mengendalikannya. Ya, biarlah pelajar anda meraih manfaat daripada pengalaman orang lain. Ingatlah, matlamat kita adalah untuk membantu pelajar kita maju secara rohani.

HARUSKAH SAYA MENGHENTIKAN PEMBELAJARAN BIBLE?

17-18. Apakah hal-hal yang perlu dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk menghentikan pembelajaran Bible?

17 Jika pelajar anda tidak membuat kemajuan untuk suatu jangka masa, tanyalah diri, “Haruskah saya berhenti belajar dengannya?” Sebelum membuat keputusan itu, pertimbangkanlah kebolehan pelajar anda, kerana sesetengah orang memerlukan lebih banyak masa. Tanyalah diri, “Adakah dia membuat kemajuan yang sesuai dengan keadaannya?” “Adakah dia mula mentaati atau menerapkan apa yang dipelajarinya?” (Mat. 28:20) Biarpun kemajuannya lambat, dia harus membuat perubahan secara beransur-ansur.

18 Bagaimana pula jika seseorang sudah lama belajar Bible tetapi tidak menunjukkan bahawa dia menghargainya? Bayangkan situasi ini: Pelajar anda sudah selesai mempelajari buku Diajarkan Bible, dan anda bahkan sudah mula membincangkan buku Bernaunglah bersamanya. Namun, dia langsung tidak pernah datang ke perjumpaan, bahkan sambutan Peringatan! Dia juga sering membatalkan pembelajaran atas sebab yang remeh. Jika begitu, anda perlu berbincang dengannya secara terus terang. *

19. Jika seseorang nampaknya tidak membuat kemajuan, apakah yang dapat anda katakan kepadanya? Apakah yang dapat anda lakukan selepas mendengar jawapannya?

19 Mula-mulanya, anda boleh bertanya, “Bagi kamu, apakah penghalang terbesar untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?” Pelajar anda mungkin menjawab, “Saya suka belajar Bible, tapi saya tidak mahu menjadi Saksi-Saksi Yehuwa!” Jika itulah sikapnya setelah belajar Bible untuk suatu jangka masa, adakah anda masih perlu belajar dengannya? Namun, katakan pelajar anda memberitahu anda buat kali pertama cabaran yang dihadapinya. Dia mungkin berasa bahawa dia tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Setelah memahami perasaannya, anda akan tahu cara yang lebih baik untuk menolongnya.

Jangan membuang masa untuk belajar dengan orang yang tidak membuat kemajuan (Lihat perenggan 20)

20. Bagaimanakah Kisah 13:48 membantu kita memutuskan sama ada kita patut terus belajar dengan seseorang atau tidak?

20 Sedihnya, sesetengah pelajar adalah seperti orang Israel pada zaman Yehezkiel. Yehuwa berfirman kepadanya, “Lihatlah! Bagi mereka, engkau seperti penyanyi lagu cinta yang bersuara merdu dan pandai bermain alat muzik bertali. Mereka akan mendengar kata-katamu, tetapi tiada seorang pun yang akan melakukannya.” (Yeh. 33:32) Kita mungkin berat hati untuk memberitahu seseorang bahawa kita akan berhenti belajar dengannya. Namun, ingatlah bahawa “waktu yang ada hanya tinggal sedikit.” (1 Kor. 7:29) Daripada membuang masa untuk mengajar seseorang yang tidak membuat kemajuan, carilah seseorang yang menunjukkan bahawa dia “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.”​—Baca Kisah 13:48.

Barangkali ada orang lain yang sedang berdoa meminta bantuan (Lihat perenggan 20)

21. Apakah ayat tahunan 2020? Mengapakah ayat tahunan ini sesuai bagi kita?

21 Ayat tahunan 2020 akan membantu kita memikirkan bagaimana kita dapat meningkatkan kemahiran kita dalam kerja menjadikan orang pengikut Yesus. Ayat tahunan ini mengandungi kata-kata yang diucapkan oleh Yesus semasa pertemuannya yang bersejarah di Galilea, iaitu “Pergilah . . . dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.”​Mat. 28:19.

Semoga kita bertekad untuk meningkatkan kemahiran kita dalam kerja menjadikan orang pengikut Yesus dan untuk membantu pelajar Bible kita dibaptis (Lihat perenggan 21)

LAGU 70 Carilah Mereka yang Layak

^ per. 5 Ayat tahunan 2020 menggalakkan kita untuk ‘menjadikan orang pengikut Kristus.’ Semua hamba Yehuwa harus mematuhi perintah itu. Bagaimanakah kita dapat mencapai hati pelajar Bible agar mereka dapat menjadi pengikut Kristus? Rencana ini akan menunjukkan cara membantu pelajar Bible untuk menghampiri Yehuwa. Selain itu, kita akan lihat cara untuk menentukan sama ada kita patut meneruskan pembelajaran dengan seseorang atau tidak.