Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 2

Anda Dapat Menjadi “Sumber Kelegaan Hati yang Besar”

Anda Dapat Menjadi “Sumber Kelegaan Hati yang Besar”

‘Mereka rakan sekerjaku demi Kerajaan Tuhan, dan merekalah yang menjadi sumber kelegaan hati yang besar bagiku.’​—KOL. 4:11.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

PENGENALAN *

1. Apakah kesusahan yang dihadapi oleh ramai penyembah Yehuwa?

RAMAI penyembah Yehuwa di serata dunia sedang berasa sedih dan tertekan. Adakah hal itu berlaku dalam sidang anda? Sesetengah orang Kristian menderita kerana sakit teruk atau kehilangan orang tersayang. Ada yang amat sedih kerana ahli keluarga atau kawan baik mereka meninggalkan kebenaran. Yang lain pula menjadi mangsa bencana alam. Mereka semua memerlukan kelegaan. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka?

2. Mengapakah Rasul Paulus memerlukan kelegaan hati?

2 Nyawa Rasul Paulus pernah diancam banyak kali. (2 Kor. 11:23-28) Dia juga mempunyai “duri dalam daging,” yang mungkin merupakan masalah kesihatan. (2 Kor. 12:7) Selain itu, dia berasa kecewa apabila Demas, yang pernah berkhidmat bersamanya, meninggalkannya kerana “mencintai sistem dunia ini.” (2 Tim. 4:10) Paulus ialah orang Kristian terurap yang berani dan suka menolong orang lain. Tetapi ada masanya dia pun berasa tawar hati.​—Rm. 9:1, 2.

3. Bagaimanakah Paulus mendapat kelegaan dan sokongan?

3 Bagaimanakah Paulus mendapat kelegaan dan sokongan yang diperlukan? Sudah pasti, Yehuwa telah menguatkan Paulus menerusi kuasa suci-Nya. (2 Kor. 4:7; Flp. 4:13) Yehuwa juga menggunakan orang Kristian yang lain untuk melegakan hati Paulus. Paulus berkata bahawa sesetengah rakan seimannya merupakan “sumber kelegaan hati yang besar.” (Kol. 4:11) Antara mereka ialah Aristarkhus, Tikhikus, dan Markus. Mereka telah menguatkan dan menabahkan Paulus. Apakah sifat-sifat yang membolehkan mereka bertiga berbuat demikian? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan mereka semasa kita melegakan dan menggalakkan satu sama lain?

SETIA SEPERTI ARISTARKHUS

Seperti Aristarkhus, kita dapat menjadi sahabat yang setia, yang tetap berada di sisi saudara saudari “pada masa kesusahan” (Lihat perenggan 4-5) *

4. Bagaimanakah Aristarkhus membuktikan bahawa dia seorang sahabat yang setia?

4 Aristarkhus, seorang Kristian dari Tesalonika di Makedonia, merupakan sahabat yang setia kepada Paulus. Kali pertama Aristarkhus disebut dalam Bible adalah semasa Paulus melawat ke Efesus dalam perjalanannya yang ketiga sebagai mubaligh. Semasa menemani Paulus, Aristarkhus telah ditangkap oleh kumpulan perusuh. (Kis. 19:29) Setelah dibebaskan, dia tidak melarikan diri. Sebaliknya, dia tetap berada di sisi Paulus. Beberapa bulan kemudian, semasa di Yunani, Aristarkhus masih berada bersama Paulus walaupun para penentang ingin membunuh Paulus. (Kis. 20:2-4) Sekitar tahun 58 M, ketika Paulus dihantar ke Roma sebagai tahanan, Aristarkhus telah menemaninya sepanjang perjalanan yang jauh itu, dan mereka mengalami nahas kapal laut dalam perjalanan itu. (Kis. 27:1, 2, 41) Setibanya di Roma, nampaknya dia dipenjarakan bersama Paulus untuk seketika. (Kol. 4:10) Aristarkhus memang kawan yang setia! Maka tidak hairanlah dia dapat menggalakkan dan melegakan Paulus.

5. Menurut Amsal 17:17, bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat yang setia?

5 Kita dapat menjadi sahabat yang setia seperti Aristarkhus dengan tetap berada di sisi saudara saudari kita, baik pada masa senang mahupun “pada masa kesusahan.” (Baca Amsal 17:17.) Rakan seiman kita mungkin masih perlu dilegakan bahkan selepas kesusahannya sudah berakhir. Frances, * yang kehilangan ibu dan bapanya dalam masa tiga bulan akibat kanser, berkata, “Cubaan yang besar akan meninggalkan kesan yang berpanjangan. Jadi, saya menghargai kawan yang setia, yang ingat bahawa saya masih bersedih walaupun ibu bapa saya sudah lama meninggal.”

6. Apakah yang sudi dilakukan oleh sahabat yang setia?

6 Sahabat yang setia sudi membuat pengorbanan untuk menyokong saudara saudari mereka. Contohnya, seorang saudara yang bernama Peter telah menghidap penyakit serius yang akan meragut nyawanya dalam masa yang singkat. Isterinya Kathryn berkata, “Satu pasangan di sidang telah menemani kami semasa doktor memberitahu kami tentang penyakit Peter. Pada waktu itu juga, mereka memutuskan untuk mengharungi waktu yang susah itu bersama-sama kami. Bila-bila saja kami perlukan bantuan, mereka ada di sisi kami.” Apabila kita mempunyai sahabat sejati yang membantu kita tetap tabah, hal itu sungguh melegakan!

DAPAT DIHARAPKAN SEPERTI TIKHIKUS

Seperti Tikhikus, kita dapat menjadi sahabat yang dapat diharapkan ketika orang lain dilanda masalah (Lihat perenggan 7-9) *

7-8. Menurut Kolose 4:7-9, bagaimanakah Tikhikus menunjukkan bahawa dia dapat diharapkan?

7 Tikhikus, seorang Kristian dari daerah Asia di Roma, merupakan sahabat yang setia kepada Paulus. (Kis. 20:4) Kira-kira tahun 55 M, Paulus telah mengaturkan supaya bantuan kewangan dikumpulkan bagi orang Kristian di Yudea, dan Tikhikus mungkin telah membantunya. (2 Kor. 8:18-20) Kemudian, semasa Paulus dipenjarakan di Roma buat kali pertama, Tikhikus telah membantu menyampaikan surat dan galakan daripada Paulus kepada sidang-sidang di Asia.​—Kol. 4:7-9.

8 Bertahun-tahun kemudian, Tikhikus masih seorang sahabat yang dapat diharapkan. (Tit. 3:12) Bukan semua orang Kristian pada masa itu memiliki sifat seperti Tikhikus. Sekitar tahun 65 M, ketika Paulus dipenjarakan buat kali kedua, dia menulis bahawa ramai orang Kristian di daerah Asia tidak ingin bergaul dengannya, mungkin kerana mereka takut akan para penentang. (2 Tim. 1:15) Namun, Paulus masih dapat mengharapkan bantuan Tikhikus dan memberinya tugasan lain. (2 Tim. 4:12) Paulus tentu menghargai sahabat baik seperti Tikhikus.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Tikhikus?

9 Kita dapat meniru teladan Tikhikus dengan menjadi sahabat yang dapat diharapkan. Misalnya, kita bukan sahaja berjanji untuk membantu saudara saudari, tetapi juga bertindak untuk menghulurkan bantuan. (Mat. 5:37; Luk. 16:10) Apabila orang yang memerlukan bantuan tahu bahawa kita dapat diharapkan, mereka akan berasa sangat lega. Seorang saudari menjelaskan, “Saya tidak perlu asyik risau sama ada orang yang menawarkan bantuan itu akan menepati janjinya atau tidak.”

10. Menurut Amsal 18:24, siapakah yang dapat melegakan orang yang menghadapi cubaan atau berasa kecewa?

10 Orang yang berasa kecewa atau menghadapi cubaan biasanya berasa lebih lega setelah mengadu kepada sahabat yang dapat dipercayai. (Baca Amsal 18:24.) Bijay berasa kecewa semasa anaknya disingkirkan, dan dia berkata, “Saya perlu meluahkan perasaan saya kepada seseorang yang dapat dipercayai.” Carlos pula kehilangan peluang untuk berkhidmat akibat kesilapan sendiri. Dia berkata, “Saya perlukan orang yang dapat mendengar tanpa menghakimi saya.” Para penatua telah membantu Carlos mengatasi masalahnya. Dia juga berasa lega kerana tahu bahawa mereka tidak akan memberitahu orang lain apa yang dikatakannya.

11. Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat yang dapat dipercayai?

11 Untuk menjadi sahabat yang dapat dipercayai, kita perlu memupuk kesabaran. Semasa Zhanna ditinggalkan suaminya, dia berasa lebih lega apabila dia mengongsi perasaannya dengan sahabat karibnya. Zhanna berkata, “Mereka mendengar dengan sabar, walaupun saya asyik mengulangi perkara yang sama.” Anda juga dapat menjadi sahabat yang baik apabila anda mendengar dengan sabar.

SUDI BERKHIDMAT SEPERTI MARKUS

Bantuan Markus telah membolehkan Paulus bertabah, dan kita juga dapat memberikan bantuan kepada saudara saudari yang ditimpa tragedi (Lihat perenggan 12-14) *

12. Siapakah Markus, dan bagaimanakah dia menunjukkan bahawa dia sudi berkhidmat?

12 Markus ialah seorang Kristian berbangsa Yahudi dari Yerusalem. Sepupunya Barnabas ialah seorang mubaligh yang dikenali ramai. (Kol. 4:10) Nampaknya Markus berasal daripada keluarga yang berada, tetapi dia tidak mengutamakan kebendaan. Seumur hidupnya, Markus menunjukkan bahawa dia rela berkhidmat kepada orang lain. Contohnya, dia pernah berkhidmat bersama Rasul Paulus dan Petrus. Semasa mereka menjalankan tanggungjawab mereka, Markus mungkin telah membantu mereka membeli makanan, mencari penginapan, dan sebagainya. (Kis. 13:2-5; 1 Ptr. 5:13) Paulus berkata bahawa Markus ialah ‘rakan sekerjanya demi Kerajaan Tuhan,’ yang ‘membantu dan menguatkannya.’​—Kol. 4:10, 11, nota kaki.

13. Bagaimanakah 2 Timotius 4:11 menunjukkan bahawa Paulus menghargai bantuan Markus?

13 Markus telah menjadi salah seorang kawan karib Paulus. Contohnya, semasa Paulus dipenjarakan di Roma sekitar tahun 65 M dan bakal dihukum mati, dia telah menulis suratnya yang kedua kepada Timotius. Dalam surat itu, Paulus meminta Timotius agar datang ke Roma bersama-sama Markus. (2 Tim. 4:11) Paulus tentu menghargai bantuan yang diberikan Markus sebelum ini, maka dia juga meminta agar Markus datang kepadanya pada saat yang genting itu. Markus telah membantu Paulus dalam pelbagai cara, misalnya dengan menyediakan makanan atau alat tulis. Sokongan dan galakan Markus telah membantu Paulus tetap tabah sehingga akhir hayatnya.

14-15. Bagaimanakah Matius 7:12 mengajar kita cara untuk membantu orang lain?

14 Baca Matius 7:12. Semasa mengharungi detik yang susah, tidakkah kita menghargai bantuan orang lain? Bapa Ryan telah meninggal secara tiba-tiba akibat kemalangan. Ryan berkata, “Semasa kita menderita, hal-hal yang biasa kita lakukan setiap hari pun akan terasa sangat susah. Pada masa sebegini, bantuan yang praktikal, walaupun kecil, amat dihargai.”

15 Jika kita peka terhadap keadaan orang lain, kita dapat memikirkan cara untuk membantu mereka. Fikir kembali contoh Peter dan Kathryn yang disebut tadi. Seorang saudari telah menawarkan diri untuk membantu mereka setiap kali mereka perlu berjumpa dengan doktor. Peter dan Kathryn tidak dapat memandu lagi, jadi saudari itu membuat satu jadual supaya ahli sidang dapat bergilir-gilir menyediakan pengangkutan untuk mereka. Apakah hasilnya? Kathryn berkata, “Pertolongan mereka banyak meringankan beban kami.” Ingatlah, bantuan anda yang kecil dapat membawa kelegaan yang besar.

16. Apakah yang kita pelajari daripada teladan Markus?

16 Markus ialah orang Kristian yang sibuk. Dia diberi tanggungjawab yang berat, termasuk tugas menulis buku Markus. Namun, dia masih meluangkan masa untuk melegakan hati Paulus, dan Paulus berasa senang untuk meminta bantuannya. Apabila seorang ahli keluarga Angela dibunuh, dia menghargai kesudian orang lain untuk melegakan hatinya. Dia berkata, “Sahabat yang ikhlas tidak akan keberatan atau teragak-agak untuk menghulurkan bantuan. Kita tidak takut untuk meminta bantuan mereka.” Maka, tanyalah diri, “Adakah orang lain berasa bahawa saya sudi membantu mereka dan melegakan hati mereka?”

BERTEKAD UNTUK MELEGAKAN HATI ORANG LAIN

17. Bagaimanakah 2 Korintus 1:3, 4 mendorong kita untuk melegakan hati orang lain?

17 Tidak susah untuk mencari saudara saudari yang memerlukan kelegaan. Kita dapat membantu mereka dengan mengongsi hal-hal yang pernah digunakan oleh orang lain untuk melegakan kita. Nino, seorang saudari yang kehilangan neneknya, berkata, “Yehuwa dapat menggunakan kita untuk melegakan hati orang lain jika kita sudi digunakan oleh-Nya.” (Baca 2 Korintus 1:3, 4.) Frances, yang disebut tadi, berkata, “Kata-kata di 2 Korintus 1:4 memang benar. Kelegaan yang kita terima dapat kita gunakan untuk melegakan orang lain.”

18. (a) Mengapakah sesetengah orang berasa takut untuk memberikan kelegaan? (b) Bagaimanakah kita dapat melegakan hati orang lain? Berikan contoh.

18 Kita mungkin berasa takut untuk melegakan orang yang menghadapi kesusahan kerana kita tidak tahu apa yang harus dikatakan atau dilakukan. Meskipun begitu, teruslah mencari jalan untuk membantu mereka. Seorang penatua yang bernama Paul masih ingat bagaimana orang lain berusaha melegakan hatinya selepas bapanya meninggal. Dia berkata, “Saya tahu memang tidak mudah bagi mereka untuk bercakap kepada saya. Mereka tidak tahu apa yang harus dikatakan. Tetapi saya hargai keinginan mereka untuk memberikan kelegaan dan sokongan.” Selepas kawasannya dilanda gempa bumi yang dahsyat, seorang saudara yang bernama Tajon berkata, “Saya tidak ingat setiap mesej yang saya terima dalam hari-hari berikutnya. Tetapi saya ingat bahawa orang lain ambil berat tentang saya dan risau tentang keselamatan saya.” Ya, kita dapat melegakan hati orang lain apabila kita menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap mereka.

19. Mengapakah anda bertekad untuk menjadi “sumber kelegaan hati yang besar”?

19 Apabila akhir semakin dekat, keadaan dunia akan menjadi semakin buruk, dan kehidupan akan menjadi semakin mencabar. (2 Tim. 3:13) Selain itu, kita tidak sempurna dan akan berbuat silap, jadi kita akan terus memerlukan kelegaan. Salah satu sebab Rasul Paulus dapat tetap tabah sehingga akhir hayatnya adalah kerana kelegaan hati yang diterimanya daripada rakan seiman. Maka, semoga kita menjadi sahabat yang setia seperti Aristarkhus, sahabat yang dapat diharapkan seperti Tikhikus, dan sahabat yang sudi berkhidmat seperti Markus. Dengan itu, kita dapat membantu rakan seiman kita untuk tetap teguh dalam iman.​—1 Tes. 3:2, 3.

^ per. 5 Rasul Paulus telah menghadapi banyak kesusahan dalam kehidupannya. Pada waktu sebegitu, sesetengah rakan seimannya telah menjadi sumber kelegaan yang besar baginya. Kita akan membincangkan tiga sifat yang membolehkan mereka berbuat demikian. Kita juga akan melihat bagaimana kita dapat meniru teladan mereka.

^ per. 5 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Aristarkhus dan Paulus mengharungi nahas kapal laut bersama-sama.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Tikhikus membantu menghantar surat Paulus kepada sidang.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Markus membantu Paulus dalam banyak cara.