Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 3

Tuhanmu Yehuwa Menghargaimu!

Tuhanmu Yehuwa Menghargaimu!

“Badanku dan hatiku telah menjadi lemah, tetapi Tuhan menguatkan hatiku.”​—MZM. 73:26.

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

PENGENALAN *

1-2. Apakah situasi yang dihadapi ramai penyembah Yehuwa? Apakah kesannya terhadap mereka?

BAYANGKAN tiga situasi berikut: Seorang saudara muda menghidap penyakit teruk yang akan membuatnya semakin lemah. Seorang saudara yang berusia 50-an bekerja keras tetapi dibuang kerja, dan dia tidak mendapat kerja baharu meskipun sudah puas mencari. Seorang saudari yang setia tidak dapat melakukan kerja Yehuwa seperti dahulu kerana usianya semakin meningkat.

2 Jika anda menghadapi salah satu situasi yang disebut tadi, anda mungkin berasa bahawa anda tidak lagi berguna. Situasi sebegini dapat meragut sukacita anda, membuat anda hilang harga diri, dan menjejaskan hubungan anda dengan orang lain.

3. Bagaimanakah Syaitan dan orang yang dipengaruhinya memandang nyawa manusia?

3 Dunia ini mencerminkan pandangan Syaitan terhadap nyawa. Sejak dahulu lagi, Syaitan menganggap manusia tidak bernilai. Syaitan memberitahu Hawa bahawa dia akan lebih bebas jika dia melanggar perintah Tuhan, sedangkan Syaitan tahu bahawa Hawa pasti akan mati kerana berbuat demikian. Sistem perdagangan, politik, dan agama dunia ini dikuasai Syaitan. Maka tidak hairanlah ramai peniaga, ahli politik, dan pemimpin agama, tidak menghargai nyawa manusia dan tidak menghormati maruah orang.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Namun, Yehuwa mahu kita berpandangan positif terhadap diri sendiri, dan Dia membantu kita semasa kita menghadapi situasi yang dapat membuat kita berasa tidak berguna. (Mzm. 136:23; Rm. 12:3) Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa membantu kita (1) semasa kita jatuh sakit, (2) semasa kita menghadapi masalah kewangan, dan (3) semasa kita berasa bahawa kita tidak dapat berkhidmat kepada Yehuwa kerana usia yang meningkat. Tetapi sebelum itu, mari kita lihat sebabnya kita dapat yakin bahawa kita masing-masing berharga di mata Yehuwa.

YEHUWA MENGHARGAI KITA

5. Apakah yang meyakinkan anda bahawa manusia berharga bagi Yehuwa?

5 Biarpun kita dibuat daripada tanah, di mata Yehuwa, kita jauh lebih bernilai daripada tanah. (Kej. 2:7) Bagaimanakah kita tahu? Yehuwa menciptakan manusia dengan kebolehan untuk meniru sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:27) Maksudnya, Dia memberi kita kedudukan yang lebih tinggi daripada semua ciptaan lain di bumi, dan Dia memberi kita kuasa atas bumi dan binatang.​—Mzm. 8:4-8.

6. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa menghargai manusia yang tidak sempurna?

6 Biarpun Adam kemudiannya berdosa, Yehuwa masih menghargai manusia. Kita begitu bernilai di mata-Nya sehingga Dia sanggup mengorbankan Anak kesayangan-Nya Yesus sebagai tebusan untuk dosa kita. (1 Yoh. 4:9, 10) Dengan adanya tebusan, Yehuwa akan membangkitkan semua orang yang mati akibat dosa Adam, termasuk “orang yang baik dan orang yang tidak baik.” (Kis. 24:15) Bible menyatakan bahawa kita berharga bagi Tuhan biarpun kita sakit, miskin, atau tua.​—Kis. 10:34, 35.

7. Apakah sebab-sebab lain untuk percaya bahawa Yehuwa menghargai hamba-hamba-Nya?

7 Terdapat banyak lagi sebab untuk percaya bahawa Yehuwa menghargai kita. Dia memimpin kita kepada-Nya dan melihat bahawa kita sudi menerima berita baik. (Yoh. 6:44) Apabila kita berusaha untuk menjadi sahabat Yehuwa, Dia akan menghampiri kita. (Yak. 4:8) Selain itu, Yehuwa melaburkan masa dan tenaga untuk mendidik kita. Hal ini membuktikan bahawa kita berharga bagi-Nya. Dia tahu sifat-sifat kita, dan Dia tahu bahawa kita dapat menjadi insan yang lebih baik. Dia juga mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita. (Ams. 3:11, 12) Tidakkah semua itu membuktikan bahawa Yehuwa menghargai kita?

8. Bagaimanakah kata-kata di Mazmur 18:27-29 mempengaruhi pandangan kita terhadap masalah sendiri?

8 Walaupun sesetengah orang menganggap Raja Daud tidak berguna, dia tahu bahawa Yehuwa mengasihinya dan menyokongnya. Oleh itu, Daud dapat memiliki pandangan yang betul terhadap situasinya. (2 Sam. 16:5-7) Semasa kita lemah semangat atau menghadapi masalah, Yehuwa juga dapat membantu kita berpandangan positif dan mengatasi apa-apa halangan. (Baca Mazmur 18:27-29.) Dengan adanya sokongan Yehuwa, tiada apa pun yang dapat menghalang kita daripada menyembah-Nya dengan sukacita. (Rm. 8:31) Sekarang, mari kita lihat tiga situasi semasa kita perlu ingat bahawa Yehuwa mengasihi dan menghargai kita.

SEMASA KITA JATUH SAKIT

Jika kita membaca Firman Yehuwa, kita dapat mengatasi perasaan negatif yang disebabkan oleh penyakit (Lihat perenggan 9-12)

9. Bagaimanakah penyakit dapat mempengaruhi pandangan kita terhadap diri sendiri?

9 Penyakit dapat mempengaruhi kita secara emosi dan membuat kita berasa tidak berguna. Semasa orang lain nampak keterbatasan kita, atau semasa kita perlu bergantung pada orang lain, kita mungkin berasa malu. Biarpun orang lain tidak tahu tentang penyakit kita, kita mungkin masih berasa malu kerana tidak dapat melakukan banyak hal seperti dahulu. Pada waktu sedemikian, Yehuwa dapat menggalakkan kita. Bagaimana?

10. Menurut Amsal 12:25, apakah yang dapat membantu kita semasa kita sakit?

10 Semasa kita sakit, “kata-kata yang membina” dapat menguatkan semangat kita. (Baca Amsal 12:25.) Dalam Bible, Yehuwa telah memuatkan banyak kata-kata yang membina untuk mengingatkan kita bahawa kita berharga bagi-Nya walaupun kita sakit. (Mzm. 31:19; 41:3) Jika kita membaca firman-Nya berulang kali, Yehuwa akan membantu kita mengatasi perasaan negatif yang disebabkan oleh penyakit kita.

11. Bagaimanakah Yehuwa membantu seorang saudara?

11 Fikirkan pengalaman Jorge. Semasa muda, dia menghidap sejenis penyakit yang membuat kesihatannya merosot dengan cepat. Akibatnya, Jorge berasa dirinya tidak berguna. “Saya tidak sangka penyakit itu akan membawa kesan fizikal dan emosi yang begitu teruk, dan saya berasa malu kerana penyakit saya menarik perhatian orang,” katanya. “Apabila keadaan saya bertambah teruk, saya terfikir bagaimana kehidupan saya akan berubah. Saya berasa hancur hati dan merayu agar Yehuwa tolong saya.” Bagaimanakah Yehuwa membantunya? “Saya tidak dapat tumpukan perhatian untuk masa yang lama, jadi saya digalakkan untuk membaca beberapa ayat dalam Mazmur yang menunjukkan keprihatinan Yehuwa terhadap hamba-hamba-Nya. Saya baca ayat-ayat itu beberapa kali setiap hari, dan saya berasa lebih lega. Tidak lama kemudian, orang lain mula perhatikan bahawa saya lebih kerap tersenyum. Mereka bahkan berkata bahawa sikap positif saya telah menggalakkan mereka. Yehuwa telah menjawab doa saya! Dia membantu saya mengubah pandangan saya terhadap diri sendiri. Sekarang, fokus saya ialah bagaimana Tuhan memandang saya meskipun saya sakit.”

12. Bagaimanakah anda dapat menerima bantuan Yehuwa semasa bergelut dengan penyakit?

12 Jika anda sedang bergelut dengan penyakit, percayalah bahawa Yehuwa tahu apa yang anda alami. Rayulah Dia untuk membantu anda mempunyai pandangan yang sewajarnya terhadap situasi anda. Kemudian, carilah kata-kata yang membina yang terkandung dalam Firman-Nya. Bertumpulah kepada ayat-ayat yang menunjukkan bahawa Yehuwa amat menghargai para penyembah-Nya. Apabila anda berbuat demikian, anda akan sedar bahawa Yehuwa memang baik terhadap semua hamba-Nya yang setia.​—Mzm. 84:11.

SEMASA KITA MENGHADAPI MASALAH KEWANGAN

Jika kita ingat akan janji Yehuwa untuk menjaga kita, kita tidak akan terlalu risau semasa tidak dapat mencari kerja (Lihat perenggan 13-15)

13. Apakah perasaan seorang ketua keluarga yang dibuang kerja?

13 Setiap ketua keluarga ingin menjaga keperluan keluarganya. Namun, katakan seorang saudara dibuang kerja walaupun dia tidak berbuat salah. Dia berusaha mencari kerja lain, tetapi tidak berjaya. Dalam keadaan ini, dia mungkin berasa dirinya tidak berguna. Bagaimanakah dia dapat dibantu dengan berfokus kepada janji Yehuwa?

14. Mengapakah Yehuwa selalu mengotakan janji-Nya?

14 Yehuwa selalu mengotakan janji-Nya. (Yos. 21:45; 23:14) Terdapat beberapa sebab Dia berbuat demikian. Pertama, nama-Nya terlibat. Yehuwa sudah berjanji untuk menjaga hamba-Nya yang setia, dan Dia tidak mungkin membuat janji kosong. (Mzm. 31:1-3) Kedua, Yehuwa tahu bahawa jika Dia tidak menjaga kita yang merupakan anggota keluarga-Nya, kita pasti berasa sedih dan kecewa. Yehuwa telah berjanji untuk memenuhi keperluan rohani dan jasmani kita, dan tiada apa-apa pun yang dapat menghalang-Nya daripada menunaikan janji itu!​—Mat. 6:30-33; 24:45.

15. (a) Apakah cabaran yang dihadapi orang Kristian abad pertama? (b) Apakah jaminan yang diberikan di Mazmur 37:18, 19?

15 Jika kita ingat akan sebabnya Yehuwa pasti menunaikan janji-Nya, kita dapat menghadapi masalah kewangan dengan tenang. Fikirkan orang Kristian abad pertama. Semasa sidang di Yerusalem dianiaya dengan teruk, “semua murid Yesus, kecuali para rasul, tercerai-berai.” (Kis. 8:1) Mereka perlu meninggalkan rumah, pekerjaan, dan perniagaan sendiri, dan hal itu tentu menyebabkan masalah kewangan. Namun, Yehuwa tidak meninggalkan hamba-Nya yang setia, dan mereka tidak kehilangan sukacita. (Kis. 8:4; Ibr. 13:5, 6; Yak. 1:2, 3) Sebagaimana Yehuwa menyokong mereka, Dia juga pasti menyokong kita.​—Baca Mazmur 37:18, 19.

SEMASA USIA KITA MENINGKAT

Biarpun kita sudah tua, jika kita bertumpu kepada apa yang dapat kita lakukan, kita akan diyakinkan bahawa Yehuwa menghargai kita dan usaha kita (Lihat perenggan 16-18)

16. Apakah yang mungkin membuat kita berasa bahawa ibadat kita tidak lagi berharga bagi Yehuwa?

16 Apabila usia kita makin meningkat, kita mungkin berasa bahawa kita tidak lagi berguna bagi Yehuwa. Raja Daud mungkin pernah mengalami hal yang sama. (Mzm. 71:9) Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu kita?

17. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Saudari Jheri?

17 Perhatikan pengalaman Saudari Jheri. Dia dijemput untuk menghadiri sesi latihan penyelenggaraan di Dewan Perjumpaan, tetapi dia tidak mahu pergi. Dia berkata, “Saya ini balu yang tua, dan saya tiada apa-apa kemahiran. Saya tidak berguna.” Pada malam sebelum sesi latihan, dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Semasa dia tiba di Dewan Perjumpaan keesokan harinya, dia masih ragu-ragu sama ada dia patut hadir atau tidak. Namun, semasa latihan itu, salah seorang penceramah menegaskan bahawa kemahiran yang terpenting ialah kerelaan kita untuk diajar oleh Yehuwa. Jheri berkata, “Masa itu saya terfikir, ‘Saya ada kemahiran itu!’ Saya mula menangis kerana sedar Yehuwa sedang menjawab doa saya. Dia meyakinkan saya bahawa saya masih dapat menyumbangkan sesuatu, dan bahawa Dia rela mengajar saya!” Mengenang kembali masa itu, Jheri berkata, “Sebelum sesi itu, saya berasa gementar, tawar hati, dan lemah semangat. Tetapi selepas sesi itu, saya berasa yakin, digalakkan, dan dihargai!”

18. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa masih menghargai ibadat kita walaupun kita sudah tua?

18 Biarpun kita sudah tua, kita masih berguna bagi Yehuwa. (Mzm. 92:12-15) Yesus mengajar kita bahawa walaupun kebolehan kita terbatas dan apa yang dapat kita lakukan sedikit sahaja, Yehuwa menghargai apa sahaja usaha yang kita curahkan demi-Nya. (Luk. 21:2-4) Jadi, bertumpulah kepada apa yang dapat anda lakukan, contohnya memberitahu orang tentang Yehuwa, berdoa bagi saudara saudari, dan menggalakkan orang lain agar tetap setia. Ingatlah, Yehuwa menganggap anda sebagai rakan sekerja-Nya, bukan kerana kebolehan anda, tetapi kerana ketaatan anda.​—1 Kor. 3:5-9.

19. Apakah jaminan di Roma 8:38, 39?

19 Tidakkah kita bersyukur kerana dapat menyembah Yehuwa, Tuhan yang begitu menghargai para hamba-Nya? Dia menciptakan kita untuk melakukan kehendak-Nya, dan kerana ibadat sejati, kehidupan kita menjadi benar-benar bermakna. (Why. 4:11) Biarpun dunia menganggap kita tidak berguna, Yehuwa tidak malu untuk menjadi Tuhan kita. (Ibr. 11:16, 38) Oleh itu, semasa kita tawar hati kerana jatuh sakit, menghadapi masalah kewangan, atau usia tua, ingatlah bahawa tiada apa-apa pun yang dapat memisahkan kita daripada kasih Bapa kita yang di syurga.​—Baca Roma 8:38, 39.

^ per. 5 Pernahkah anda menghadapi keadaan yang membuat anda berasa diri anda tidak berguna? Rencana ini akan mengingatkan anda bahawa anda sungguh berharga di mata Yehuwa. Anda juga akan belajar cara untuk tetap berpandangan positif tidak kira apa yang terjadi dalam hidup.

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku