Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Teladan yang Baik Membantu Saya Meraih Banyak Berkat

Teladan yang Baik Membantu Saya Meraih Banyak Berkat

SEMASA saya muda, saya berasa susah untuk menginjil. Pada kemudian hari, saya telah diberi tugasan yang saya rasa di luar kemampuan saya. Biarlah saya bercerita tentang beberapa orang yang telah menjadi teladan baik untuk saya. Mereka telah membantu saya mengatasi rasa takut dan meraih banyak berkat dalam khidmat sepenuh masa saya yang panjangnya 58 tahun.

Saya lahir di Bandar Raya Quebec, Kanada. Keluarga saya tinggal di wilayah Quebec, tempat yang penduduknya berbahasa Perancis. Ibu bapa saya bernama Louis dan Zélia, dan mereka sangat penyayang. Ayah seorang yang pemalu dan suka membaca. Saya pula suka menulis dan bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan.

Semasa saya berumur kira-kira 12 tahun, Rodolphe Soucy, rakan sekerja ayah, dan seorang kawannya datang ke rumah kami. Mereka Saksi-Saksi Yehuwa. Saya tidak berapa kenal Saksi-Saksi dan tidak berminat tentang agama mereka. Tetapi saya kagum kerana mereka dapat menggunakan Bible untuk memberikan jawapan yang masuk akal. Mak dan ayah pun berasa begitu, jadi kami mula belajar Bible.

Pada masa itu, saya belajar di sebuah sekolah Katolik. Sekali-sekala, saya akan berbual dengan rakan sekelas tentang apa yang saya pelajari daripada Bible. Akhirnya, para guru, yang merupakan paderi, mendapat tahu tentang hal itu. Tetapi mereka tidak menggunakan Bible untuk membuktikan bahawa kata-kata saya salah. Sebaliknya, seorang guru menuduh saya sebagai pemberontak di depan seluruh kelas! Peristiwa itu memang membuat saya tertekan, tetapi telah membawa hasil yang baik. Saya sedar bahawa ajaran agama di sekolah itu tidak selaras dengan ajaran Bible. Saya tahu bahawa saya tidak patut bersekolah di situ lagi. Jadi, setelah mendapat izin ibu bapa saya, saya berpindah ke sekolah lain.

BELAJAR UNTUK MENYUKAI KERJA PENYEBARAN

Saya terus belajar Bible, tetapi kemajuan saya lambat kerana saya takut menginjil dari rumah ke rumah. Gereja Katolik sangat berpengaruh dan menentang keras kerja penyebaran kita. Maurice Duplessis, pemimpin politik di Quebec, menyokong pihak gereja. Akibatnya, kumpulan perusuh mengganggu dan bahkan menyerang Saksi-Saksi. Saksi-Saksi pada masa itu memang memerlukan keberanian yang besar untuk menginjil.

John Rae, seorang saudara yang pernah menghadiri kelas Gilead ke-9, telah membantu saya mengatasi rasa takut. Walaupun John sangat berpengalaman, dia lemah lembut, rendah hati, dan mudah didekati. Dia jarang menasihati saya secara terus terang, tetapi saya belajar banyak daripada teladan baiknya. John tidak pandai berbahasa Perancis, jadi saya sering menemaninya dan membantunya semasa dia menginjil. Pergaulan dengan John telah mendorong saya untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Sepuluh tahun selepas berjumpa dengan Saksi-Saksi buat kali pertama, saya dibaptis pada 26 Mei 1951.

Teladan baik John Rae (A) membantu saya (B) agar tidak takut menginjil dari rumah ke rumah

Hampir semua orang dalam sidang kecil kami di Bandar Raya Quebec merupakan perintis. Teladan baik mereka telah mendorong saya untuk merintis. Pada masa itu, kami perlu menggunakan Bible dengan mahir semasa menginjil dari rumah ke rumah, kerana kami tidak menawarkan bahan bacaan. Oleh itu, saya berusaha mengenali Bible dengan lebih baik supaya dapat mempertahankan kebenaran. Meskipun demikian, ramai orang enggan membaca Bible yang tidak diperakui Gereja Katolik.

Pada tahun 1952, saya mengahwini Simone Patry, seorang saudari tempatan yang setia. Kemudian, kami berpindah ke Montreal, dan dalam masa setahun selepas berkahwin, kami dikurniai seorang anak perempuan, iaitu Lise. Walaupun saya berhenti merintis tidak lama sebelum berkahwin, saya dan Simone cuba hidup sederhana supaya kami dapat menyertai kegiatan sidang sekerap yang mungkin.

Sepuluh tahun kemudian, barulah saya terfikir lagi untuk meluaskan khidmat saya. Pada tahun 1962, semasa menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, yang berlangsung selama sebulan di Bethel Kanada, saya berkongsi bilik dengan seorang penatua yang bernama Camille Ouellette. Saya sangat kagum kerana walaupun dia sudah ada isteri dan anak, dia sangat bersemangat dalam kerja penyebaran. Pada masa itu, jarang ada saudara saudari di Quebec yang merintis sambil membesarkan anak, tetapi itulah matlamat Camille. Sepanjang waktu kami bersama, dia menggalakkan saya untuk memikirkan situasi saya. Beberapa bulan kemudian, saya sedar bahawa saya sebenarnya dapat menjadi perintis biasa semula. Sesetengah orang fikir keputusan saya tidak bijak, tetapi saya tetap menjadi perintis kerana yakin bahawa Yehuwa pasti memberkati usaha saya.

KEMBALI KE BANDAR RAYA QUEBEC SEBAGAI PERINTIS KHAS

Pada tahun 1964, saya dan Simone dilantik sebagai perintis khas di Bandar Raya Quebec, kampung halaman kami. Kami telah berkhidmat di situ selama beberapa tahun. Keadaan di situ sudah bertambah baik, tetapi kerja penyebaran Saksi-Saksi masih ditentang.

Pernah sekali, pada petang Sabtu, saya ditangkap di Sainte-Marie, sebuah pekan kecil berhampiran Bandar Raya Quebec. Saya dimasukkan ke dalam lokap balai polis kerana menginjil dari rumah ke rumah tanpa permit. Selepas itu, saya dibawa menghadap Baillargeon, seorang hakim yang menggerunkan. Ketika saya memberitahunya bahawa Glen How * ialah peguam saya, dia menjawab, “Dia lagi? Habislah!” Glen How ialah seorang Saksi yang merupakan peguam. Dia dikenali ramai kerana sering membela Saksi-Saksi di mahkamah. Tidak lama kemudian, pihak mahkamah memberitahu saya bahawa dakwaan terhadap saya sudah digugurkan.

Disebabkan tentangan di Quebec, kami susah mencari tempat untuk disewa sebagai tempat perjumpaan. Sidang kecil kami hanya dapat menjumpai sebuah garaj usang yang tidak mempunyai sistem pemanas. Jadi, semasa musim salji, kami perlu membawa sebuah alat pemanas yang kecil. Beberapa jam sebelum perjumpaan bermula, kami biasanya berkumpul di sekeliling pemanas itu dan mengongsi pengalaman yang menggalakkan.

Kerja penyebaran di Quebec telah membawa hasil yang baik. Pada tahun 1960-an, hanya ada beberapa buah sidang kecil di Bandar Raya Quebec, wilayah Côte-Nord, dan Semenanjung Gaspé. Tetapi sekarang, terdapat dua buah litar di situ, dan saudara saudari mempunyai Dewan Perjumpaan yang cantik.

DIJEMPUT UNTUK MEMBUAT KERJA LAWATAN

Pada tahun 1977, saya menghadiri perjumpaan untuk penyelia lawatan di Toronto, Kanada

Saya dan Simone dijemput untuk membuat kerja litar pada tahun 1970. Pada tahun 1973, kami ditugaskan untuk membuat kerja distrik. Sepanjang masa itu, banyak yang saya belajar daripada penyelia lawatan yang berpengalaman, seperti Laurier Saumur * dan David Splane. * Selepas setiap perhimpunan, saya dan David akan saling memberikan cadangan untuk meningkatkan seni mengajar kami. Pernah sekali, David berkata kepada saya, “Léonce, saya suka ceramah terakhir kamu. Memang bagus, tapi saya rasa bahan kamu cukup untuk membuat tiga buah ceramah!” Ya, saya selalu memasukkan terlalu banyak maklumat dalam ceramah saya. Itulah yang perlu saya ubah.

Saya pernah berkhidmat di beberapa bandar di bahagian timur Kanada

Tugas penyelia distrik adalah untuk memberikan galakan kepada penyelia litar. Namun, banyak penyiar di Quebec mengenali saya dan ingin menginjil bersama saya semasa saya melawat litar-litar di situ. Saya sangat suka menginjil bersama mereka sehingga lupa meluangkan masa dengan penyelia litar. Pernah sekali, seorang penyelia litar mengingatkan saya, “Memang bagus kamu luangkan masa bersama saudara saudari. Tapi jangan lupa tujuan kamu adalah untuk melawat saya. Saya juga perlu galakan!” Nasihatnya telah membantu saya menjadi lebih seimbang.

Sedihnya, tragedi yang tidak terduga telah berlaku pada tahun 1976. Isteri kesayangan saya, Simone, sakit tenat lalu meninggal. Saya amat mengasihinya kerana dia sudi membuat pengorbanan dan mengasihi Yehuwa. Saya dapat bertabah sepanjang masa yang susah itu dengan tetap sibuk dalam kerja penyebaran dan bergantung pada sokongan Yehuwa. Kemudian, saya mengahwini Carolyn Elliott, seorang perintis yang datang untuk membantu kerja penyebaran di Quebec. Carolyn seorang yang mudah didekati dan mengambil berat terhadap orang lain, terutamanya mereka yang pemalu atau yang kesepian. Dia banyak membantu saya dalam kerja lawatan.

TAHUN YANG BERSEJARAH

Pada Januari 1978, saya diminta menjadi pengajar bagi Sekolah Latihan Perintis yang pertama di Quebec. Saya sangat gementar, kerana saya tidak pernah menghadiri sekolah itu, dan saya bahkan tidak pernah melihat buku teksnya. Mujurlah dalam kelas itu ada banyak perintis yang berpengalaman. Jadi, walaupun saya ialah pengajar, para pelajarlah yang banyak mengajar saya!

Pada tahun yang sama, Konvensyen Antarabangsa “Iman Membawa Kemenangan” telah diadakan di Stadium Olimpik Montreal. Itulah konvensyen terbesar yang pernah diadakan di Quebec. Lebih daripada 80,000 orang telah hadir. Saya ditugaskan di Bahagian Berita Konvensyen dan berpeluang bercakap kepada banyak wartawan. Saya sangat gembira kerana mereka membuat banyak laporan yang baik tentang kami. Kami juga telah ditemu ramah banyak kali di kaca TV dan di radio. Jika dihitung semuanya, masa kami ditemu ramah adalah lebih daripada 20 jam. Selain itu, ratusan artikel tentang kami telah dicetak. Hasilnya, ramai orang lebih mengenali Yehuwa dan umat-Nya!

BERPINDAH KE KAWASAN PENYEBARAN BAHARU

Perubahan yang besar telah berlaku pada tahun 1996. Sejak dibaptis, saya hanya berkhidmat di kawasan bahasa Perancis di Quebec, tetapi pada tahun itu saya ditugaskan sebagai penyelia distrik bagi sidang-sidang bahasa Inggeris di Toronto. Saya tidak pandai berbahasa Inggeris, dan saya sangat takut apabila memikirkan bahawa saya perlu memberikan ceramah dalam bahasa Inggeris. Saya perlu berdoa kepada Yehuwa dengan lebih kerap dan bergantung sepenuhnya pada-Nya.

Mengenang kembali dua tahun kami berkhidmat di Toronto, saya memang berasa puas. Carolyn fasih dalam bahasa Inggeris, dan dia telah membantu saya dengan sabar. Saudara saudari pun memberi saya banyak galakan dan sokongan. Dalam masa yang singkat, kami mendapat banyak kawan baharu.

Ada banyak kegiatan dan persiapan yang perlu saya lakukan pada minggu perhimpunan litar, tetapi saya juga akan menggunakan masa kira-kira sejam pada petang Jumaat untuk menginjil. Sesetengah orang mungkin fikir, “Kamu akan begitu sibuk hujung minggu ini, buat apa keluar menginjil lagi?” Sebenarnya, bagi saya, menginjil dari rumah ke rumah dan berbual dengan orang membuat saya berasa lebih bersemangat. Sekarang pun, saya berasa lebih gembira setelah keluar menginjil.

Pada tahun 1998, saya dan Carolyn ditugaskan semula ke Montreal sebagai perintis khas. Selama bertahun-tahun, saya diberi tugas mengaturkan kesaksian awam khas. Saya juga ditugaskan untuk berurusan dengan pihak media dan memberikan maklumat yang dapat membetulkan tanggapan salah terhadap Saksi. Sekarang, saya dan Carolyn suka menginjil kepada orang asing yang baru berpindah ke Kanada dan yang berminat tentang Bible.

Bersama isteri saya, Carolyn

Sudah 68 tahun saya dibaptis. Sepanjang masa itu, saya dilimpahi banyak berkat. Saya sangat gembira kerana saya belajar untuk menikmati kerja penyebaran dan membantu banyak orang mengenali kebenaran. Selepas Lise dan suaminya membesarkan anak mereka, mereka mula menjadi perintis biasa. Saya digalakkan kerana anak saya masih menginjil dengan bersemangat. Saya amat berterima kasih kepada rakan seiman saya. Sejak dahulu lagi, teladan baik dan nasihat mereka telah membantu saya maju secara rohani dan melakukan pelbagai tugas dengan baik. Saya belajar bahawa untuk terus berkhidmat dalam organisasi Yehuwa, kita mesti bergantung pada kuasa suci-Nya. (Mzm. 51:11) Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi saya penghormatan untuk memuji nama-Nya!​—Mzm. 54:6.

^ per. 16 Lihat kisah hidup W. Glen How dalam rencana Ini Bukan Pertempuran Kamu, tetapi Pertempuran Tuhandalam Sedarlah! bahasa Indonesia terbitan 22 April 2000.

^ per. 20 Lihat kisah hidup Laurier Saumur dalam Menara Pengawal bahasa Inggeris, terbitan 15 November 1976, muka surat 690-695.

^ per. 20 Kini, David Splane merupakan salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa.