Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

Yehuwa, Bapa Kita, Amat Mengasihi Kita

Yehuwa, Bapa Kita, Amat Mengasihi Kita

“Beginilah caranya kamu harus berdoa: ‘Bapa kami yang di syurga.’”​—MAT. 6:9.

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

PENGENALAN *

1. Apakah yang perlu dilakukan sebelum seseorang dapat menghadap raja Persia?

BAYANGKAN anda hidup kira-kira 2,500 tahun lalu di Persia. Anda ingin bercakap kepada raja, maka anda pergi ke istana raja di kota Susan. Namun, sebelum menghadap raja, anda perlu mendapat izinnya dahulu. Jika tidak, anda mungkin dihukum mati!​—Est. 4:11.

2. Bagaimanakah Yehuwa ingin kita menghadap-Nya?

2 Kita amat bersyukur kerana Yehuwa tidak seperti raja Persia. Meskipun Yehuwa jauh lebih unggul daripada mana-mana pemerintah manusia, Dia ingin kita bercakap kepada-Nya pada bila-bila masa tanpa rasa takut. Walaupun Yehuwa memiliki gelaran-gelaran besar seperti Pencipta Agung, Yang Maha Kuasa, dan Tuhan Yang Berdaulat, Dia menjemput kita untuk memanggil-Nya sebagai “Bapa.” (Mat. 6:9) Tidakkah kita tersentuh kerana Yehuwa ingin kita berasa begitu akrab dengan-Nya?

3. Mengapakah kita dapat memanggil Yehuwa sebagai “Bapa”? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Kita dapat memanggil Yehuwa sebagai “Bapa” kerana Dialah Sumber kehidupan kita. (Mzm. 36:9) Oleh sebab Dia ialah Bapa kita, kita patut mematuhi-Nya. Apabila kita mendengar cakap-Nya, kita akan menikmati berkat yang melimpah sekarang dan pada masa depan, tidak kira harapan kita adalah untuk hidup kekal di syurga atau di bumi. (Ibr. 12:9) Rencana ini akan membincangkan bukti yang dapat kita lihat sekarang bahawa Yehuwa ialah Bapa kita yang pengasih, dan mengapa kita dapat yakin bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita pada masa depan. Mula-mula, mari kita lihat bagaimana Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita dan ingin membantu kita.

YEHUWA IALAH BAPA YANG PENGASIH DAN PRIHATIN

Yehuwa ingin menghampiri kita, sebagaimana seorang bapa yang penyayang ingin menghampiri anak-anaknya (Lihat perenggan 4)

4. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk memandang Yehuwa sebagai Bapa mereka?

4 Adakah anda berasa susah untuk memandang Tuhan sebagai Bapa anda? Sesetengah orang berasa bahawa manusia terlalu kecil dan tidak penting, maka Tuhan Yang Maha Kuasa tidak akan mengambil peduli terhadap setiap seorang daripada mereka. Namun, Bapa kita yang pengasih tidak ingin kita berasa sedemikian. Dia telah memberi kita kehidupan dan Dia ingin kita menjalin hubungan yang rapat dengan-Nya. Setelah menyatakan kebenaran itu, Rasul Paulus memberitahu orang di Atena bahawa Yehuwa “tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kis. 17:24-29) Tuhan mahu setiap orang bercakap kepada-Nya sebagaimana seorang anak bercakap kepada ibu bapanya yang penyayang.

5. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman seorang saudari?

5 Ada orang pula berasa susah untuk menganggap Yehuwa sebagai Bapa mereka kerana mereka tidak pernah merasai kasih sayang bapa sendiri. Seorang saudari berkata, “Bapa saya suka memaki saya, jadi semasa saya mula belajar Bible, saya berasa susah untuk menghampiri Yehuwa. Tetapi selepas mengenali-Nya, perasaan saya berubah.” Adakah anda menghadapi cabaran yang sama? Jika ya, janganlah tawar hati. Secara beransur-ansur, anda akan yakin bahawa Yehuwa ialah Bapa yang terbaik.

6. Menurut Matius 11:27, apakah salah satu cara Yehuwa membantu kita untuk memandang-Nya sebagai Bapa yang pengasih?

6 Salah satu cara Yehuwa membantu kita untuk memandang-Nya sebagai Bapa yang pengasih adalah dengan mencatatkan kata-kata dan perbuatan Yesus dalam Bible. (Baca Matius 11:27.) Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan begitu sempurna sehingga dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yoh. 14:9) Yesus sering menggambarkan Yehuwa sebagai Bapa. Dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, Yesus memanggil Yehuwa “Bapa” kira-kira 200 kali. Mengapa? Supaya kita diyakinkan bahawa Yehuwa ialah Bapa yang pengasih.​—Yoh. 17:25, 26.

7. Bagaimanakah Yehuwa melayan Anak-Nya?

7 Perhatikan bagaimana Yehuwa melayan Anak-Nya Yesus. Yehuwa selalu mendengar doa Yesus. Bukan itu sahaja, Dia juga menjawab doa Yesus. (Yoh. 11:41, 42) Tidak kira apa cubaan yang dihadapi Yesus, dia dapat merasai kasih dan sokongan Bapanya.​—Luk. 22:42, 43.

8. Bagaimanakah Yehuwa menjaga keperluan Yesus?

8 Yesus menyatakan bahawa Bapanya memberinya nyawa dan menjaga kehidupannya. Dia berkata, “Aku hidup kerana Bapa.” (Yoh. 6:57) Yesus bergantung sepenuhnya pada Bapanya, dan Yehuwa telah menjaga keperluan jasmaninya. Lebih penting lagi, Yehuwa telah menjaga keperluan rohani Yesus.​—Mat. 4:4.

9. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah Bapa yang pengasih?

9 Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa memastikan bahawa Yesus sedar akan sokongan-Nya. (Mat. 26:53; Yoh. 8:16) Walaupun Yehuwa tidak melindungi Yesus daripada semua kesusahan, Dia membantu Yesus untuk menghadapi cubaan dengan tabah. Yesus tahu bahawa apa sahaja penderitaan yang dialaminya hanya sementara. (Ibr. 12:2) Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada Yesus dengan mendengar doanya, menjaga keperluannya, melatihnya, dan menyokongnya. (Yoh. 5:20; 8:28) Sekarang, mari kita lihat bagaimana Bapa kita yang di syurga membantu kita dalam cara yang sama.

BAGAIMANA BAPA KITA YANG PENGASIH MENJAGA KITA

Seorang bapa yang penyayang akan (1) mendengar, (2) menyediakan keperluan, (3) melatih, dan (4) melindungi anak-anaknya. Bapa kita yang di syurga juga menjaga kita dalam cara yang sama (Lihat perenggan 10-15) *

10. Menurut Mazmur 66:19, 20, bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita?

10 Yehuwa mendengar doa kita. (Baca Mazmur 66:19, 20.) Yehuwa tidak mengenakan had kepada doa kita. Sebaliknya Dia menggalakkan kita untuk sentiasa berdoa. (1 Tes. 5:17) Kita dapat bercakap kepada Tuhan kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Dia tidak terlalu sibuk untuk mendengar doa kita. Sebaliknya Dia sentiasa bersedia untuk memberikan perhatian. Apabila kita sedar bahawa Yehuwa mendengar doa kita, kasih kita kepada-Nya akan bertambah. Seorang pemazmur berkata, “Aku mengasihi Yehuwa kerana Dia mendengar suaraku.”​—Mzm. 116:1.

11. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa kita?

11 Bapa kita bukan sahaja mendengar doa kita, tetapi juga menjawabnya. Rasul Yohanes menulis, “Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.” (1 Yoh. 5:14, 15) Namun, ingatlah bahawa Yehuwa mungkin tidak menjawab doa kita dalam cara yang kita harapkan. Dia tahu apa yang terbaik bagi kita, maka ada kalanya jawapan-Nya kepada doa kita ialah “tidak” atau “tunggulah.”​—2 Kor. 12:7-9.

12-13. Bagaimanakah Bapa kita yang di syurga menjaga keperluan kita?

12 Yehuwa menjaga keperluan kita. Yehuwa menghendaki semua bapa di bumi menjaga keperluan anak mereka, dan Dia sendiri juga berbuat demikian. (1 Tim. 5:8) Yehuwa menjaga keperluan jasmani anak-anak-Nya. Dia tidak mahu kita khuatir tentang pakaian, makanan, atau tempat tinggal. (Mat. 6:32, 33; 7:11) Bapa kita yang pengasih bahkan sudah mengaturkan agar semua keperluan kita pada masa depan dijaga.

13 Yang terpenting, Yehuwa menjaga keperluan rohani kita. Melalui Firman-Nya, Dia memberitahu kita kebenaran tentang diri-Nya, tujuan-Nya, erti kehidupan, dan masa depan. Semasa kita mula belajar Bible, Dia menunjukkan bahawa Dia mengambil berat terhadap kita secara peribadi. Dia menggunakan ibu bapa kita atau guru Bible kita untuk membantu kita mengenali-Nya. Kini, Dia masih membantu kita menerusi para penatua yang pengasih dan saudara saudari yang matang. Selain itu, kita menerima ajaran Yehuwa bersama rakan seiman kita semasa di perjumpaan. Melalui cara sebegini dan banyak cara lain, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah Bapa yang prihatin terhadap kita.​—Mzm. 32:8.

14. Mengapakah Yehuwa melatih kita, dan bagaimanakah Dia melakukannya?

14 Yehuwa melatih kita. Tidak seperti Yesus, kita orang yang berdosa. Maka, untuk melatih kita, Bapa kita yang pengasih akan mendisiplinkan kita apabila perlu. Bible mengingatkan kita bahawa ‘Yehuwa mendisiplinkan orang yang dikasihi-Nya.’ (Ibr. 12:6, 7) Yehuwa mendisiplinkan kita melalui pelbagai cara. Misalnya, kita mungkin dibetulkan semasa membaca sesuatu dalam Firman-Nya, atau mendengar sesuatu semasa di perjumpaan. Kita juga mungkin ditegur oleh penatua. Tidak kira apa cara yang digunakan oleh Yehuwa, ingatlah bahawa Dia mendisiplinkan kita kerana mengasihi kita.​—Yer. 30:11.

15. Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita?

15 Yehuwa menyokong kita semasa kita menghadapi cubaan. Sebagaimana seorang bapa akan menyokong anak-anaknya pada waktu kesusahan, Bapa kita yang di syurga juga membantu kita menghadapi cubaan dengan tabah. Dia menggunakan kuasa suci-Nya untuk melindungi kita secara rohani. (Luk. 11:13) Yehuwa juga melindungi kita secara emosi. Contohnya, Dia memberi kita harapan yang cerah supaya kita dapat tetap tabah. Maka, kita yakin bahawa tidak kira apa perkara buruk yang menimpa kita, Bapa kita yang pengasih dapat menghilangkan semua kesannya. Masalah yang kita hadapi hanyalah sementara, tetapi berkat daripada Yehuwa akan kekal selamanya.​—2 Kor. 4:16-18.

BAPA KITA TIDAK AKAN MENINGGALKAN KITA

16. Apakah yang berlaku apabila Adam mengingkari Yehuwa?

16 Kasih Yehuwa terhadap kita menjadi nyata menerusi cara Dia menangani masalah yang disebabkan oleh Adam. Apabila Adam mengingkari Yehuwa, dia dan keturunannya kehilangan peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa yang bahagia. (Rm. 5:12; 7:14) Apakah yang dilakukan Yehuwa?

17. Selepas Adam memberontak, apakah yang segera dilakukan Yehuwa?

17 Yehuwa telah menghukum Adam, tetapi Dia memberikan harapan kepada keturunan Adam. Dia segera berjanji bahawa manusia yang taat akan diterima kembali ke dalam keluarga-Nya. (Kej. 3:15; Rm. 8:20, 21) Yehuwa membolehkan hal ini berlaku dengan mengorbankan Anak kesayangan-Nya Yesus demi kita. Ya, korban tebusan membuktikan betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita!​—Yoh. 3:16.

Biarpun kita telah menjauhi Yehuwa, jika kita bertaubat, Bapa kita yang pengasih pasti menyambut kita dengan tangan terbuka (Lihat perenggan 18)

18. Biarpun kita sudah menjauhi Yehuwa, mengapakah kita yakin bahawa Dia masih ingin menerima kita sebagai anak-anak-Nya?

18 Walaupun kita tidak sempurna, Yehuwa ingin menerima kita sebagai ahli keluarga-Nya, dan Dia tidak pernah menganggap kita ini menyusahkan. Ada kalanya, kita mungkin tersimpang atau mengecewakan-Nya, tetapi Yehuwa tidak putus asa terhadap kita. Yesus telah menggambarkan betapa besarnya kasih Yehuwa terhadap anak-anak-Nya menerusi cerita tentang anak yang sesat. (Luk. 15:11-32) Bapa dalam cerita itu tidak pernah berhenti berharap agar anaknya pulang. Apabila anaknya kembali, bapa itu segera menyambutnya. Begitu juga, biarpun kita telah menjauhi Yehuwa, jika kita bertaubat, Bapa kita yang pengasih pasti menyambut kita dengan tangan terbuka.

19. Bagaimanakah Yehuwa akan melenyapkan semua kesan buruk yang disebabkan oleh Adam?

19 Bapa kita akan melenyapkan semua kesan buruk yang disebabkan oleh Adam. Selepas Adam memberontak, Yehuwa memutuskan untuk memilih 144,000 orang dari bumi untuk menjadi raja dan imam di syurga bersama Anak-Nya. Di dunia baharu, Yesus dan 144,000 orang itu akan membantu manusia yang taat menjadi sempurna. Setelah mereka mengharungi ujian terakhir, Tuhan akan mengurniakan kehidupan kekal kepada mereka. Selepas itu, Bapa kita akan berasa gembira semasa melihat seluruh bumi dipenuhi anak-anak-Nya yang sempurna. Alangkah indahnya masa depan itu!

20. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia amat mengasihi kita? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Yehuwa telah menunjukkan bahawa Dia amat mengasihi kita. Dialah Bapa yang terbaik. Dia mendengar doa kita dan menjaga kita secara jasmani dan rohani. Dia melatih dan menyokong kita, dan Dia menyediakan masa depan yang cerah untuk kita. Tidakkah kita tersentuh kerana Dia begitu mengasihi dan prihatin terhadap kita? Rencana seterusnya akan membincangkan cara kita dapat membalas kasih-Nya.

LAGU 108 Kasih Setia Tuhan

^ per. 5 Kita sering memandang Yehuwa sebagai Pencipta kita dan Pemerintah Yang Berdaulat. Namun, kita juga ada sebab yang baik untuk memandang-Nya sebagai Bapa yang pengasih. Rencana ini akan membincangkan sebab-sebab itu. Kita juga akan lihat mengapa kita dapat yakin bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Terdapat empat gambar kecil tentang seorang bapa dengan anaknya: (1) Seorang bapa mendengar dengan teliti semasa anaknya bercakap. (2) Seorang bapa menyediakan keperluan anaknya. (3) Seorang bapa melatih anaknya. (4) Seorang bapa melegakan hati anaknya. Tangan Yehuwa di belakang keempat-empat gambar ini mengingatkan kita bahawa Yehuwa juga menjaga kita dalam cara yang sama.