Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 8

Lawanlah Perasaan Iri Hati agar Kedamaian Terpelihara

Lawanlah Perasaan Iri Hati agar Kedamaian Terpelihara

“Hendaklah kita berusaha untuk menguatkan satu sama lain dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.”​—RM. 14:19.

LAGU 113 Kedamaian Milik Kita

PENGENALAN *

1. Apakah kesan sikap iri hati terhadap keluarga Yusuf?

YAKUB mengasihi semua anaknya, tetapi dia paling menyayangi Yusuf. Oleh itu, abang-abang Yusuf berasa cemburu terhadapnya dan mula membencinya. Yusuf tidak bersalah terhadap mereka, tetapi semasa dia berumur 17 tahun, mereka telah menjualnya sebagai hamba dan memberitahu bapa mereka bahawa Yusuf telah dibunuh oleh binatang buas. Kerana berasa iri hati, abang-abang Yusuf merosakkan kedamaian dalam keluarga dan menghancurkan hati bapa mereka.​—Kej. 37:3, 4, 27-34.

2. Menurut Galatia 5:19-21, mengapakah perasaan iri hati begitu berbahaya?

2 Dalam Bible, rasa iri hati * merupakan salah satu “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa.” Perbuatan sebegini dapat menghalang seseorang daripada mewarisi Kerajaan Tuhan. (Baca Galatia 5:19-21.) Rasa iri hati sering menyebabkan perbuatan buruk seperti permusuhan, perkelahian, dan ledakan kemarahan.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kisah Yusuf menunjukkan bahawa rasa iri hati dapat merosakkan hubungan dan mengganggu keamanan dalam keluarga. Kita memang tidak akan melakukan apa yang dilakukan abang-abang Yusuf, tetapi hati kita semua licik dan tidak sempurna. (Yer. 17:9) Maka tidak hairanlah jika rasa iri hati kadang-kadang timbul dalam hati kita. Mari kita lihat beberapa contoh dalam Bible untuk mengenal pasti penyebab rasa iri hati. Kita juga akan membincangkan langkah-langkah untuk melawannya dan membawa perdamaian.

PENYEBAB RASA IRI HATI

4. Mengapakah orang Filistin iri hati terhadap Ishak?

4 Kekayaan. Orang Filistin iri hati kerana Ishak seorang yang kaya. (Kej. 26:12-14) Mereka bahkan menimbus perigi yang digunakan oleh Ishak sebagai sumber air bagi ternakannya. (Kej. 26:15, 16, 27) Seperti orang Filistin, sesetengah orang hari ini cemburu terhadap orang yang lebih kaya daripada mereka. Mereka bukan sahaja menginginkan milik orang lain, tetapi juga ingin orang lain kehilangan apa yang dimiliki.

5. Mengapakah para pemimpin agama iri hati terhadap Yesus?

5 Penghargaan. Para pemimpin agama Yahudi iri hati terhadap Yesus kerana dia amat disukai orang ramai. (Mat. 7:28, 29) Yesus ialah utusan Tuhan, dan dia mengajarkan kebenaran, tetapi para pemimpin agama cuba merosakkan nama baiknya. (Mrk. 15:10; Yoh. 11:47, 48; 12:12, 13, 19) Apakah pengajarannya bagi kita? Jika saudara saudari kita disayangi ahli sidang kerana sifat baik mereka, lawanlah kecenderungan untuk berasa iri hati. Sebaliknya, tirulah sifat baik mereka.​—1 Kor. 11:1; 3 Yoh. 11.

6. Apakah yang dilakukan oleh Diotrefes kerana iri hati?

6 Tanggungjawab rohani. Pada abad pertama, Diotrefes iri hati terhadap mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang. Dia ingin “mendapat tempat pertama dalam sidang,” jadi dia menyebarkan cerita buruk supaya ahli sidang tidak menghormati Rasul Yohanes dan saudara-saudara lain. (3 Yoh. 9, 10) Kita tidak akan menjadi seperti Diotrefes, tetapi apabila seorang rakan seiman diberi tanggungjawab yang kita idamkan, kita mungkin akan iri hati terhadapnya, terutamanya jika kita berasa bahawa kita pun layak memikul tanggungjawab itu.

Hati kita bagaikan tanah, dan sifat-sifat baik kita bagaikan bunga yang cantik. Tetapi rasa iri hati bagaikan tumbuhan yang beracun. Rasa iri hati dapat membantutkan sifat-sifat yang baik, seperti kasih, belas kasihan, dan kebaikan hati (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah rasa iri hati dapat mempengaruhi kita?

7 Rasa iri hati adalah seperti tumbuhan yang beracun. Setelah perasaan ini berakar di hati, amat susah untuk mencabutnya. Perasaan iri hati juga akan bertambah dalam jika seseorang mempunyai perasaan negatif yang lain, seperti sikap sombong, mementingkan diri, dan suka bersaing. Rasa iri hati dapat membantutkan sifat-sifat yang baik, seperti kasih, belas kasihan, dan kebaikan hati. Oleh itu, sebaik sahaja kita mendapati bahawa sifat ini mula bertunas di hati kita, kita perlu mencabutnya. Bagaimana?

PUPUKLAH KERENDAHAN HATI DAN SIKAP BERPUAS HATI

Bagaimanakah kita dapat melawan rasa iri hati? Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, kita dapat mencabutnya dan menggantikannya dengan kerendahan hati dan sikap tahu berpuas hati (Lihat perenggan 8-9)

8. Apakah sifat-sifat yang dapat membantu kita melawan rasa iri hati?

8 Jika kita rendah hati dan tahu berpuas hati, kita dapat melawan rasa iri hati. Apabila hati kita dipenuhi sifat-sifat baik itu, rasa iri hati tidak berpeluang bertumbuh dalam hati kita. Orang yang rendah hati tidak menganggap diri terlalu penting dan tidak mengharapkan layanan istimewa. (Gal. 6:3, 4) Orang yang tahu berpuas hati pula akan bersyukur atas apa yang dimilikinya dan tidak membandingkan diri dengan orang lain. (1 Tim. 6:7, 8) Orang yang rendah hati dan tahu berpuas hati akan tumpang gembira semasa melihat orang lain menerima berkat.

9. Menurut Galatia 5:16 dan Filipi 2:3, 4, bagaimanakah kuasa suci Tuhan dapat membantu kita?

9 Kita memerlukan bantuan kuasa suci Tuhan untuk melawan rasa iri hati dan menjadi orang yang rendah hati dan tahu berpuas hati. (Baca Galatia 5:16; Filipi 2:3, 4.) Kuasa suci Yehuwa dapat membantu kita memeriksa fikiran dan niat hati kita yang terpendam. Tuhan juga dapat membantu kita menggantikan fikiran dan perasaan yang buruk dengan sifat-sifat yang baik. (Mzm. 26:2; 51:10) Mari kita lihat contoh Musa dan Paulus, dua orang lelaki yang tidak membiarkan rasa iri hati bertumbuh dalam hati mereka.

Seorang pemuda Israel berlari kepada Musa dan Yosua dan berkata bahawa ada dua orang lelaki di perkhemahan yang berkelakuan seperti nabi. Yosua meminta Musa untuk menghalang mereka, tetapi Musa enggan berbuat demikian. Sebaliknya dia memberitahu Yosua bahawa dia berasa gembira kerana Yehuwa telah memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka (Lihat perenggan 10)

10. Apakah ujian yang dihadapi Musa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

10 Musa diberi kuasa yang besar atas umat Tuhan, tetapi dia tidak gila kuasa. Pernah sekali, Yehuwa telah mengambil sebahagian daripada kuasa suci yang diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikannya kepada sekumpulan pemimpin orang Israel yang berdiri berhampiran khemah pertemuan. Tidak lama kemudian, Musa mendengar bahawa dua orang pemimpin yang tidak datang ke khemah pertemuan pun diberi kuasa suci Tuhan dan mula berkelakuan seperti nabi. Apakah reaksinya semasa Yosua memintanya untuk menghalang dua orang pemimpin itu? Musa tidak iri hati kerana mereka menerima kuasa daripada Yehuwa. Sebaliknya, dia rendah hati dan tumpang gembira dengan mereka. (Bil. 11:24-29) Apakah yang dapat kita belajar daripada Musa?

Bagaimanakah para penatua dapat meniru kerendahan hati Musa? (Lihat perenggan 11-12) *

11. Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan Musa?

11 Katakan anda ialah seorang penatua, dan anda mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal setiap minggu. Anda sangat menyukai tugas itu, tetapi kini anda diminta melatih seorang saudara supaya dia dapat melakukan tugas itu pada kemudian hari. Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Musa? Jika anda rendah hati seperti Musa, anda tidak akan menganggap saudara itu sebagai pesaing. Sebaliknya, anda akan melatihnya dengan senang hati.

12. Bagaimanakah ramai orang Kristian hari ini menunjukkan bahawa mereka rendah hati dan tahu berpuas hati?

12 Fikirkan satu lagi situasi yang dihadapi ramai saudara yang berusia. Ada antara mereka yang berkhidmat sebagai koordinator badan penatua selama puluhan tahun, tetapi apabila usia mereka mencecah 80 tahun, mereka telah menyerahkan tugas mereka kepada saudara lain. Penyelia litar yang mencapai umur 70 tahun juga menyerahkan tugas mereka kepada orang lain dan menerima tugasan yang baharu. Belakangan ini, ramai ahli Bethel di serata bumi telah ditugaskan ke kawasan penyebaran. Saudara saudari yang setia ini tidak sakit hati terhadap rakan seiman yang mengambil alih tugas mereka.

13. Apakah yang mungkin membuat Paulus iri hati terhadap 12 orang rasul?

13 Rasul Paulus juga seorang yang rendah hati dan tahu berpuas hati. Dia tidak membiarkan rasa iri hati bertumbuh dalam hatinya. Paulus menginjil dengan rajin, tetapi dengan rendah hati dia berkata, “Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul.” (1 Kor. 15:9, 10) Selain itu, Paulus hanya menjadi orang Kristian selepas Yesus mati dan dibangkitkan. Jadi, meskipun dia merupakan “rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain,” dia tidak memenuhi syarat untuk menjadi salah seorang daripada 12 orang rasul. (Rm. 11:13; Kis. 1:21-26) Namun begitu, Paulus tidak iri hati terhadap 12 orang rasul yang berpeluang bergaul rapat dengan Yesus dan menginjil bersama-sama Yesus. Sebaliknya, dia berpuas hati dengan penghormatan yang dimilikinya.

14. Apakah yang akan kita lakukan jika kita rendah hati dan tahu berpuas hati?

14 Jika kita rendah hati dan tahu berpuas hati, kita akan mengikut teladan Paulus dan menghormati orang yang dilantik oleh Yehuwa. (Kis. 21:20-26) Yehuwa telah melantik penatua untuk mengambil pimpinan dalam sidang. Walaupun mereka tidak sempurna, Yehuwa menganggap mereka sebagai “kurnia berupa manusia.” (Ef. 4:8, 11) Apabila kita menghormati mereka dan mengikut arahan mereka, kita akan tetap akrab dengan Yehuwa dan menikmati hubungan yang damai dengan rakan seiman.

“MELAKUKAN PERKARA YANG MEMBAWA PERDAMAIAN”

15. Apakah yang perlu kita lakukan?

15 Jika rasa iri hati bertumbuh subur dalam hati kita, kedamaian akan lenyap. Maka kita perlu mencabut rasa iri hati daripada hati kita dan tidak menanam perasaan itu dalam hati orang lain. Kita mesti mengambil dua langkah ini, barulah kita dapat mematuhi perintah Yehuwa untuk “menguatkan satu sama lain dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.” (Rm. 14:19) Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain melawan rasa iri hati, dan bagaimanakah kita dapat berusaha membawa perdamaian?

16. Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain melawan rasa iri hati?

16 Sikap dan kelakuan kita dapat mempengaruhi orang lain. Dunia menggalakkan kita untuk mempunyai “sikap suka menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri.” (1 Yoh. 2:16) Tetapi sikap itu akan memarakkan rasa iri hati. Jadi, kita tidak akan asyik bercerita tentang harta milik sendiri atau barang yang ingin kita beli, supaya kita tidak menanam rasa iri hati dalam hati orang lain. Selain itu, kita akan bersikap rendah hati dan tidak menarik perhatian orang kepada tanggungjawab kita dalam sidang. Apabila kita mengambil berat terhadap orang lain dan menghargai kerja keras mereka, kita sedang membantu mereka untuk berpuas hati dengan apa yang dimiliki mereka, dan kita menyumbang kepada perpaduan dan kedamaian sidang.

17. Apakah yang berjaya dilakukan oleh abang-abang Yusuf, dan apakah hasilnya?

17 Kita dapat berjaya melawan rasa iri hati! Fikirkan lagi contoh abang-abang Yusuf. Bertahun-tahun selepas mereka melayannya dengan buruk, mereka bertemu lagi dengannya di Mesir. Sebelum Yusuf memberitahu mereka siapa dirinya yang sebenar, dia menguji mereka untuk melihat sama ada mereka sudah berubah atau tidak. Dia menjemput mereka untuk makan, dan dia memberi adik bongsunya Benyamin jauh lebih banyak makanan berbanding abang-abangnya. (Kej. 43:33, 34) Namun, mereka tidak iri hati terhadap Benyamin. Sebaliknya, mereka mengambil berat terhadap adik mereka dan bapa mereka, iaitu Yakub. (Kej. 44:30-34) Oleh sebab abang-abang Yusuf tidak lagi dikuasai rasa iri hati, kedamaian dalam keluarga mereka dipulihkan. (Kej. 45:4, 15) Jika kita mencabut dan membuang rasa iri hati, kita juga dapat memelihara kedamaian dalam keluarga dan sidang.

18. Menurut Yakobus 3:17, 18, apakah hasilnya jika kita berusaha mewujudkan suasana yang damai?

18 Yehuwa ingin kita melawan rasa iri hati dan membawa perdamaian. Kedua-dua hal itu memerlukan usaha yang keras, kerana kita cenderung berasa iri hati, dan dunia di sekeliling kita menggalakkan rasa iri hati. (Yak. 4:5) Namun, jika kita berusaha menjadi orang yang rendah hati, tahu berpuas hati, dan tahu bersyukur, rasa iri hati tidak akan berpeluang bertumbuh dalam hati kita. Hasilnya, kita dapat menyumbang kepada suasana yang damai, yang membolehkan kita memupuk sifat-sifat yang murni.​—Baca Yakobus 3:17, 18.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

^ per. 5 Kita menikmati kedamaian dalam organisasi Yehuwa, tetapi jika kita dikuasai rasa iri hati, kita mungkin merosakkan kedamaian itu. Dalam rencana ini, kita akan melihat penyebab rasa iri hati, cara melawannya, dan cara untuk membawa perdamaian.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Seperti yang digambarkan dalam Bible, seseorang yang iri hati bukan sahaja menginginkan milik orang lain, tetapi juga ingin orang lain kehilangan apa yang dimiliki.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Semasa mesyuarat badan penatua, seorang saudara yang lebih tua, yang biasanya mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal dalam sidang, diminta untuk melatih seorang saudara yang lebih muda supaya dia dapat melakukan tugas itu. Meskipun saudara tua itu berasa berat hati kerana sangat menyukai tugasnya, dia menyokong keputusan para penatua dengan sepenuh hati. Dia mengongsi cadangan yang berguna dengan saudara muda itu dan memujinya dengan ikhlas.