Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

Biarlah Yehuwa Melegakan Jiwamu

Biarlah Yehuwa Melegakan Jiwamu

“Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.”​—MZM. 94:19.

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

PENGENALAN *

1. Apakah yang mungkin membuat kita berasa khuatir? Apakah kesannya terhadap kita?

PERNAHKAH anda dibebani rasa khuatir? * Mungkin anda berasa khuatir kerana kata-kata dan perbuatan orang lain melukai anda. Atau anda berasa khuatir kerana anda telah melakukan atau mengatakan sesuatu yang salah, dan anda risau bahawa Yehuwa tidak akan mengampuni anda. Anda mungkin berasa bahawa oleh sebab anda begitu khuatir, anda pasti seorang yang jahat dan tidak beriman. Namun, adakah hal itu benar?

2. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa orang yang berasa khuatir tidak semestinya kurang beriman?

2 Perhatikan beberapa contoh dalam Bible. Hana, ibu kepada Nabi Samuel, sangat beriman, tetapi dia dibebani rasa khuatir kerana seorang ahli keluarganya melayannya dengan buruk. (1 Sam. 1:7) Rasul Paulus mempunyai iman yang cukup mantap, tetapi dia sangat “khuatir akan keadaan semua sidang.” (2 Kor. 11:28) Raja Daud memiliki iman yang begitu kuat sehingga Yehuwa amat menyayanginya. (Kis. 13:22) Meskipun begitu, Daud pernah melakukan kesilapan yang menyebabkannya dibanjiri kekhuatiran. (Mzm. 38:4) Yehuwa telah melegakan dan menenangkan mereka bertiga. Marilah kita belajar daripada contoh mereka.

BELAJAR DARIPADA CONTOH HANA

3. Bagaimanakah kata-kata orang lain dapat membuat kita berasa khuatir?

3 Semasa orang lain melukai kita dengan kata-kata atau perbuatan mereka, kita mungkin berasa khuatir, terutamanya jika orang itu ialah kawan baik atau saudara-mara kita. Kita mungkin risau bahawa hubungan kita dengannya sudah retak. Ada kalanya, sesetengah orang bercakap tanpa berfikir panjang, lalu membuat hati kita terasa seperti ditikam pedang. (Ams. 12:18) Tetapi sesetengah orang pula sengaja menyakiti kita dengan kata-kata mereka. Itulah yang berlaku kepada seorang saudari muda. Dia berkata, “Beberapa tahun lalu, kawan baik saya mula sebarkan khabar angin tentang saya di laman sosial. Saya rasa sangat sakit hati dan khuatir. Saya tidak faham kenapa dia tergamak menikam saya dari belakang.” Jika hal itu pernah terjadi kepada anda, kisah Hana dapat membantu anda.

4. Apakah masalah yang dihadapi Hana?

4 Hana menghadapi masalah yang besar. Selama bertahun-tahun, dia tidak dapat melahirkan anak. (1 Sam. 1:2) Dalam budaya orang Israel, wanita yang mandul dianggap dikutuk oleh Tuhan, maka Hana berasa sangat malu. (Kej. 30:1, 2) Bukan itu sahaja, suami Hana mempunyai seorang lagi isteri yang bernama Penina, yang telah melahirkan beberapa orang anak. Penina cemburu terhadap Hana dan dia “terus-menerus mencemuh Hana untuk menyakiti hatinya.” (1 Sam. 1:6) Pada mulanya, Hana sangat pedih hati “sehingga dia menangis dan tidak mahu makan.” (1 Sam. 1:7, 10) Bagaimanakah Hana mendapat kelegaan?

5. Bagaimanakah doa membantu Hana?

5 Hana mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Selepas berdoa, dia menjelaskan keadaannya kepada Imam Agung Eli. Kemudian Eli memberitahunya, “Pergilah dengan sejahtera dan semoga Tuhan orang Israel mengabulkan permohonanmu.” Hasilnya, Hana “beredar dari situ, lalu dia makan dan mukanya tidak sedih lagi.” (1 Sam. 1:17, 18) Doa telah membantu Hana berasa tenteram.

Seperti Hana, bagaimanakah kita dapat memperoleh dan memelihara ketenangan jiwa? (Lihat perenggan 6-10)

6. Mengenai doa, apakah yang kita pelajari daripada Hana dan nasihat di Filipi 4:6, 7?

6 Kita dapat berasa tenang jika kita terus berdoa. Hana telah mengucapkan doa yang panjang kepada Bapanya yang di syurga. (1 Sam. 1:12) Kita juga boleh mengucapkan doa yang panjang untuk memberitahu Yehuwa kekhuatiran, rasa takut, dan kelemahan kita. Kata-kata dalam doa kita tidak perlu indah atau disusun dengan cantik. Ada kalanya, kita mungkin meluahkan keperitan kita sambil menangis. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa tidak akan jemu mendengar doa kita. Selain berdoa tentang masalah kita, kita perlu mengucapkan syukur, seperti yang dikatakan oleh Paulus di Filipi 4:6, 7. (Baca.) Sesungguhnya, kita ada banyak sebab untuk bersyukur kepada Yehuwa. Contohnya, kita bersyukur atas nyawa yang dikurniakan-Nya, ciptaan-Nya, kasih setia-Nya, dan harapan yang diberikan oleh-Nya. Sekarang, mari kita perhatikan hal lain yang dapat dipelajari daripada contoh Hana.

7. Apakah yang sering dilakukan oleh Hana dan suaminya?

7 Meskipun menghadapi masalah, Hana sering mengikut suaminya ke khemah suci Tuhan di Silo untuk beribadat. (1 Sam. 1:1-5) Di situlah Imam Agung Eli memberitahunya, “Semoga Tuhan mengabulkan permohonanmu.” Kata-kata itu telah menggalakkan dan melegakan Hana.​—1 Sam. 1:9, 17.

8. Bagaimanakah perjumpaan dapat membantu kita? Jelaskan.

8 Kita dapat berasa tenang jika kita terus menghadiri perjumpaan. Saudara yang mengucapkan doa pembukaan di perjumpaan biasanya memohon agar kuasa suci Tuhan menyertai kita. Kuasa suci Tuhan dapat menenangkan kita kerana kedamaian merupakan sebahagian daripada buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22) Selain itu, jika kita menghadiri perjumpaan, bahkan sewaktu kita khuatir, kita sedang memberi Yehuwa dan saudara saudari peluang untuk menggalakkan dan menenangkan kita. Ya, doa dan perjumpaan merupakan cara penting yang digunakan oleh Yehuwa untuk melegakan kita. (Ibr. 10:24, 25) Mari kita bincang satu lagi pengajaran daripada contoh Hana.

9. (a) Adakah masalah Hana hilang? Jelaskan. (b) Apakah yang membantunya?

9 Masalah Hana tidak hilang dengan segera. Setelah pulang dari khemah suci Tuhan, dia masih perlu tinggal bersama Penina. Bible tidak menyatakan bahawa sikap Penina berubah, jadi nampaknya Hana masih perlu mendengar kata-kata pedas daripada Penina. Namun begitu, Hana berjaya memelihara ketenangan jiwanya. Setelah menyerahkan masalahnya kepada Yehuwa, Hana tidak lagi dibebani rasa khuatir. Dia membiarkan Yehuwa melegakan dan menenangkannya. Beberapa waktu kemudian, Yehuwa bahkan memberkati Hana dan membolehkannya melahirkan anak!​—1 Sam. 1:19, 20; 2:21.

10. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Hana?

10 Kita dapat berasa tenang biarpun masalah kita tidak hilang. Meskipun kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dan menghadiri perjumpaan secara tetap, masalah kita mungkin masih tidak hilang. Tetapi contoh Hana mengajar kita bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada menenangkan hati kita. Yehuwa sama sekali tidak akan melupakan kita, dan Dia pasti memberkati kesetiaan kita.​—Ibr. 11:6.

BELAJAR DARIPADA CONTOH RASUL PAULUS

11. Apakah yang membuat Paulus khuatir?

11 Terdapat banyak hal yang membuat Paulus khuatir. Misalnya, dia mengasihi saudara saudarinya, maka dia sangat risau tentang masalah mereka. (2 Kor. 2:4; 11:28) Semasa berkhidmat sebagai rasul, Paulus sering dipukul dan dipenjarakan. Dia juga menghadapi masalah lain, seperti kekurangan barang keperluan. (Flp. 4:12) Tambahan lagi, dia pernah mengalami nahas kapal laut sekurang-kurangnya tiga kali. Jadi setiap kali dia menaiki kapal, dia pasti berasa sangat risau. (2 Kor. 11:23-27) Apakah yang membantu Paulus?

12. Apakah yang membantu mengurangkan kekhuatiran Paulus?

12 Paulus berasa khuatir apabila rakan seimannya menghadapi masalah, tetapi dia tidak mencuba menyelesaikan semua masalah mereka seorang diri. Paulus sedar akan keterbatasannya, jadi dia meminta orang lain menolongnya menjaga sidang. Contohnya, dia memberikan tanggungjawab kepada Timotius dan Titus, saudara-saudara yang dapat dipercayai. Bantuan mereka pasti telah mengurangkan kekhuatiran Paulus.​—Flp. 2:19, 20; Tit. 1:1, 4, 5.

Seperti Paulus, bagaimanakah kita dapat mengelak daripada berasa terlalu khuatir? (Lihat perenggan 13-15)

13. Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan Paulus?

13 Mintalah bantuan orang lain. Seperti Paulus, banyak penatua yang pengasih berasa risau apabila ahli sidang menghadapi cubaan. Namun, penatua tidak dapat membantu semua ahli sidang seorang diri. Maka, penatua yang sedar akan keterbatasan sendiri akan meminta bantuan saudara terlantik yang lain, dan melatih saudara-saudara muda supaya mereka dapat membantu menjaga kawanan Tuhan.​—2 Tim. 2:2.

14. Paulus tidak risau tentang apa? Apakah yang kita pelajari daripada contohnya?

14 Akuilah bahawa anda perlu dilegakan. Paulus rendah hati, maka dia sedar bahawa dia memerlukan galakan daripada sahabat-sahabatnya. Dia tidak risau bahawa orang lain akan menganggapnya lemah jika dia mengakui bahawa orang lain telah menggalakkannya. Dalam suratnya kepada Filemon, Paulus berkata, “Aku meraih banyak sukacita dan berasa sangat lega hati apabila aku mendengar tentang kasihmu.” (Flm. 7) Paulus juga menyebut tentang beberapa orang rakan seimannya yang menjadi sumber galakan yang besar baginya pada waktu kesusahan. (Kol. 4:7-11) Jika kita rendah hati dan mengakui bahawa kita memerlukan galakan, saudara saudari pasti sudi memberi kita sokongan yang diperlukan.

15. Apakah yang dilakukan Paulus pada masa yang mencabar?

15 Bergantunglah pada Firman Tuhan. Paulus tahu bahawa Ayat-Ayat Suci dapat melegakan hatinya dan memberinya kebijaksanaan untuk menghadapi apa sahaja cubaan. (Rm. 15:4; 2 Tim. 3:15, 16) Semasa dipenjarakan di Roma buat kali kedua, Paulus tahu bahawa dia akan dihukum mati tidak lama lagi. Apakah yang dilakukannya pada masa yang mencabar itu? Dia meminta Timotius datang kepadanya secepat mungkin dan membawa “gulungan-gulungan.” (2 Tim. 4:6, 7, 9, 13) Mengapa? Kemungkinan besar gulungan-gulungan itu mengandungi ayat-ayat daripada Kitab Ibrani, yang dapat digunakan oleh Paulus untuk membuat pembelajaran peribadi. Jika kita meniru Paulus dan mengkaji Bible secara tetap, Yehuwa akan menggunakan Firman-Nya untuk melegakan kita dalam apa jua situasi.

BELAJAR DARIPADA CONTOH RAJA DAUD

Seperti Raja Daud, apakah yang harus kita buat jika kita telah melakukan dosa yang serius? (Lihat perenggan 16-19)

16. Apakah perasaan Daud setelah melakukan kesalahan yang besar?

16 Daud telah melakukan kesalahan yang besar. Dia berzina dengan Bat-syeba, merancang agar suami Bat-syeba dibunuh, dan mencuba menyembunyikan perbuatannya. (2 Sam. 12:9) Pada mulanya, Daud tidak mempedulikan hati nuraninya yang terganggu. Akibatnya, hubungannya dengan Yehuwa terjejas, dia berasa sangat runsing, dan dia bahkan jatuh sakit. (Mzm. 32:3, 4) Apakah yang membantu Daud menangani kekhuatirannya, dan apakah yang harus kita lakukan sekiranya kita melakukan dosa yang serius?

17. Bagaimanakah kata-kata Daud di Mazmur 51:1-4 menunjukkan bahawa dia betul-betul menyesali perbuatannya?

17 Berdoalah meminta pengampunan. Akhirnya, Daud berdoa kepada Yehuwa. Dengan hati yang kesal, dia mengakui kesalahannya. (Baca Mazmur 51:1-4.) Alangkah leganya hati Daud selepas berbuat demikian! (Mzm. 32:1, 2, 4, 5) Jadi, jika anda telah melakukan dosa yang serius, janganlah menyembunyikannya. Sebaliknya, berdoalah kepada Yehuwa dan akuilah dosa anda dengan jujur. Hal itu dapat melegakan anda dan menenangkan hati nurani anda yang terganggu. Namun, untuk memulihkan persahabatan anda dengan Yehuwa, sekadar berdoa tidak mencukupi.

18. Apakah reaksi Daud semasa diberi disiplin?

18 Terimalah disiplin. Ketika Yehuwa mengutus Nabi Natan untuk mendedahkan dosa Daud, Daud tidak membela diri atau meremehkan dosanya. Sebaliknya, dia segera mengaku bahawa dia telah berdosa terhadap suami Bat-syeba. Lebih penting lagi, dia mengaku bahawa dia telah berdosa terhadap Yehuwa. Daud menerima disiplin yang diberikan Yehuwa, dan Yehuwa telah mengampuninya. (2 Sam. 12:10-14) Jika kita melakukan dosa yang serius, kita perlu meminta bantuan daripada gembala yang dilantik oleh Yehuwa. (Yak. 5:14, 15) Semasa ditegur, janganlah membela diri. Ingatlah bahawa semakin cepat kita menerima disiplin dan bertindak selaras dengannya, semakin cepat kita mendapat semula ketenangan dan sukacita.

19. Apakah seharusnya tekad kita?

19 Bertekadlah agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Raja Daud tahu bahawa dia memerlukan bantuan Yehuwa agar tidak mengulangi dosanya. (Mzm. 51:7, 10, 12) Setelah diampuni Yehuwa, Daud bertekad untuk menyingkirkan keinginan yang salah. Hasilnya, hatinya tenang semula.

20. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai pengampunan Yehuwa?

20 Kita menunjukkan bahawa kita menghargai pengampunan Yehuwa apabila kita berdoa memohon pengampunan, menerima disiplin, dan berusaha keras agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Langkah-langkah itu akan membantu kita berasa tenteram semula. Itulah pengalaman James, seorang saudara yang telah melakukan dosa serius. Dia berkata, “Setelah berjumpa dengan penatua dan mengakui dosa saya, saya berasa seolah-olah beban saya yang berat diangkat. Fikiran saya menjadi tenang semula.” Ingatlah bahawa ‘Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati, dan Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.’ (Mzm. 34:18) Tidakkah hal itu menggalakkan kita?

21. Bagaimanakah kita dapat membiarkan Yehuwa melegakan kita?

21 Pada penghujung hari-hari terakhir, perkara yang membuat kita berasa khuatir akan bertambah. Semasa anda dilanda kekhuatiran, carilah bantuan Yehuwa dengan segera. Kajilah Bible dengan tekun, dan belajarlah daripada contoh Hana, Paulus, dan Daud. Mintalah bantuan Bapa anda yang di syurga untuk mengenal pasti punca kekhuatiran anda. (Mzm. 139:23) Biarlah Dia membantu menanggung beban anda, khususnya masalah yang di luar kawalan anda. Dengan itu, anda dapat menjadi seperti penulis mazmur yang bernyanyi kepada Yehuwa, “Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.”​—Mzm. 94:19.

LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”

^ per. 5 Kita semua pernah berasa khuatir kerana dilanda masalah. Dalam rencana ini, kita akan melihat contoh tiga orang hamba Yehuwa pada zaman Bible yang mengalami kekhuatiran, dan bagaimana Yehuwa menenangkan dan melegakan mereka.

^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Perasaan khuatir mungkin disebabkan oleh masalah kewangan, masalah kesihatan, masalah keluarga, atau kesusahan lain. Kita juga mungkin berasa khuatir kerana memikirkan kesilapan pada masa lalu atau kerana memikirkan cabaran yang mungkin berlaku pada masa depan.