Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Inilah Kami! Utuslah Kami!”

“Inilah Kami! Utuslah Kami!”

INGINKAH anda meluaskan khidmat anda dan berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan, misalnya di luar negara? Jika ya, pengalaman Saudara dan Saudari Bergame dapat membantu anda.

Jack dan Marie-Line telah menceburi khidmat sepenuh masa sejak tahun 1988. Mereka sangat pandai menyesuaikan diri dan telah ditugaskan ke banyak tempat di Guadeloupe dan Guiana Perancis, dua buah negara yang kini dijaga oleh pejabat cawangan Perancis. Mari kita temu ramah Jack dan Marie-Line.

Apakah yang mendorong kamu berdua menceburi khidmat sepenuh masa?

Marie-Line: Semasa membesar di Guadeloupe, saya sering menginjil sepanjang hari bersama mak saya, seorang Saksi yang bersemangat seumur hidupnya. Saya mengasihi orang, jadi sebaik sahaja saya tamat sekolah pada tahun 1985, saya mula merintis.

Jack: Semasa muda, saya selalu bersama pekhidmat sepenuh masa yang suka menginjil. Semasa cuti sekolah, saya akan jadi perintis sokongan. Pada hujung minggu, kami akan naik bas untuk menginjil bersama para perintis. Selepas menginjil sepanjang hari, kami akan pergi ke pantai. Seronok betul masa itu!

Tidak lama selepas mengahwini Marie-Line pada tahun 1988, saya berfikir, “Kami ada masa, lebih baik kami gunakannya untuk menginjil.” Maka saya pun mula merintis bersama Marie-Line. Setahun selepas kami menghadiri sekolah perintis, kami dilantik sebagai perintis khas. Kami sangat menikmati tugasan-tugasan di Guadeloupe. Kemudian kami dijemput ke Guiana Perancis.

Tugasan kamu berdua sering berubah. Apakah yang membantu kamu menyesuaikan diri?

Marie-Line: Saudara-saudara di Bethel Guiana Perancis tahu bahawa ayat kegemaran kami ialah Yesaya 6:8. Jadi semasa menghubungi kami, mereka akan bergurau dan bertanya, “Masih ingat ayat kegemaran kamu?” Kami tahu itulah tanda bahawa kami akan dapat tugasan baharu, dan kami akan jawab, “Inilah kami! Utuslah kami!”

Kami tidak membandingkan tugasan baharu dengan tugasan lama, kerana hal itu akan menghalang kami menikmati tugasan baharu. Kami juga berusaha bersahabat dengan saudara saudari di tempat baharu.

Jack: Dahulu, sesetengah saudara saudari cuba memujuk kami agar tidak berpindah. Mereka berniat baik dan tidak ingin berjauhan dengan kami. Tetapi semasa kami meninggalkan Guadeloupe, seorang saudara mengingatkan kami tentang kata-kata Yesus di Matius 13:38, “Ladang ialah dunia.” Jadi, tidak kira di mana kami berkhidmat, kami masih bergiat di ladang yang sama. Yang penting, kami ada tugasan untuk menginjil kepada orang!

Setibanya di kawasan baharu, kami lihat bahawa orang di situ hidup dengan gembira. Jadi, kami cuba ikut cara hidup orang tempatan. Kami makan apa yang dimakan mereka, dan minum apa yang diminum mereka, tetapi kami juga berusaha jaga kesihatan. Kami berusaha bercakap positif tentang setiap tugasan kami.

Marie-Line: Kami juga belajar daripada saudara saudari tempatan. Tidak lama selepas kami tiba di Guiana Perancis, hujan turun dengan lebat. Jadi kami fikir kami perlu tunggu sehingga hujan reda, barulah kami dapat keluar menginjil. Tetapi seorang saudari berkata, “Jom kita jalan!” Saya terkejut dan kata, “Macam mana pergi?” Dia menjawab, “Kita ambil payung dan naik basikal.” Jadi saya belajar untuk pegang payung sambil berbasikal. Jika saya tidak belajar kemahiran itu, saya langsung tidak dapat menginjil semasa musim hujan!

Kamu sudah pindah rumah kira-kira 15 kali. Ada apa-apa tip untuk dikongsi?

Marie-Line: Memang bukan senang untuk pindah rumah. Tetapi kita perlu ada tempat yang selesa untuk relaks selepas habis menginjil.

Jack: Biasanya saya akan cat bahagian dalam rumah kami. Tetapi jika saudara-saudara di pejabat cawangan tahu kami tidak akan tinggal lama di suatu kawasan, mereka akan bergurau dan kata, “Jack, tak payahlah cat rumah kali ini!”

Marie-Line memang pandai susun barang! Dia memasukkan semua barang ke dalam kotak dan melabel setiap kotak, contohnya “bilik mandi,” “bilik tidur,” “dapur,” dan sebagainya. Dengan itu, apabila kami tiba di rumah baharu, kami dapat segera meletakkan setiap kotak di tempat yang betul. Marie-Line juga membuat senarai bagi semua barang di dalam kotak agar kami senang mencarinya.

Marie-Line: Kami sudah belajar untuk melakukan segala sesuatu secara teratur. Jadi kami dapat segera memulakan kegiatan rohani kami.

Bagaimanakah kamu menjadualkan masa supaya dapat “melaksanakan tugas kamu dengan sepenuhnya”?​—2 Tim. 4:5.

Marie-Line: Setiap hari Isnin, kami berehat dan buat persiapan untuk perjumpaan. Pada hari-hari yang lain, kami keluar menginjil.

Jack: Kami ada jumlah masa untuk dipenuhi, tetapi itu bukanlah tumpuan kami. Kerja penyebaran ialah hal terpenting dalam hidup kami. Jadi, dari masa kami keluar sampai masa kami pulang, kami berusaha bercakap kepada semua orang yang kami jumpa.

Marie-Line: Contohnya, semasa kami pergi berkelah, saya selalu bawa risalah. Ada orang yang datang dan minta bahan bacaan, walaupun kami tidak beritahu mereka bahawa kami ialah Saksi. Itulah sebabnya kami sentiasa menjaga pakaian dan kelakuan kami. Orang lain sering memperhatikan hal-hal ini.

Jack: Kami juga memberikan kesaksian dengan menjadi jiran yang baik. Saya akan tolong pungut sampah, sapu daun di luar rumah, dan mengosongkan tong sampah. Jiran-jiran kami akan nampak dan ada kalanya bertanya, “Kamu ada Bible? Boleh saya minta satu?”

Kamu sering menginjil di kawasan terpencil. Ada apa-apa kenangan istimewa?

Jack: Sesetengah kawasan di Guiana memang susah untuk dicapai. Biasanya kami membuat perjalanan kira-kira 600 km setiap minggu melalui jalan yang buruk. Saya paling ingat perjalanan kami ke St. Élie, di hutan Amazon. Kami perlu menaiki kenderaan lasak dan bot selama berjam-jam untuk sampai ke situ. Kebanyakan orang di situ ialah pencari gali emas. Ada antara mereka yang menghargai bahan bacaan kami dan beri kami ketulan kecil emas sebagai sumbangan! Pada sebelah petang, kami menayangkan salah satu video organisasi, dan banyak orang tempatan telah hadir.

Marie-Line: Beberapa tahun lalu, Jack diminta memberikan ceramah Peringatan di Camopi. Kami perlu naik bot selama empat jam di Sungai Oyapock untuk tiba di situ. Pengalaman itu sangat istimewa.

Jack: Apabila paras air sungai menjadi rendah, terdapat bahagian sungai yang agak bahaya kerana bot mungkin terlanggar batu. Hati kami berdebar-debar semasa bot kami semakin menghampiri kawasan seperti itu. Namun jurumudi kami mahir menghadapi situasi begitu. Meskipun hanya kira-kira 6 orang Saksi yang datang, sekitar 50 orang telah menghadiri Peringatan, termasuk beberapa orang penduduk peribumi Amerika. Sesungguhnya, pengalaman di Camopi sukar dilupakan!

Marie-Line: Pengalaman hebat seperti ini menantikan orang muda yang rela meluaskan khidmat mereka. Kita perlu bergantung pada Yehuwa dalam keadaan sebegini, dan iman kita akan dikuatkan kerana kita sering merasai bantuan-Nya.

Kamu pandai menuturkan beberapa bahasa. Adakah kamu berbakat dalam bahasa?

Jack: Tidaklah. Saya belajar bahasa-bahasa ini sebab ada keperluan dalam sidang. Saya perlu mengendalikan pembelajaran Menara Pengawal dalam bahasa Sranantongo, * bahkan sebelum saya diberi tugasan membaca Bible! Saya tanya seorang saudara jika orang lain dapat faham, dan dia jawab, “Ada perkataan yang kami tak faham, tapi keseluruhannya sangat bagus.” Budak-budak dan orang muda selalu ajar saya. Jika saya silap, mereka akan beritahu saya, tapi orang dewasa diam sahaja.

Marie-Line: Di suatu kawasan, saya mengadakan pembelajaran Bible dalam bahasa Perancis, Portugis, dan Sranantongo. Seorang saudari mencadangkan supaya saya buat bahasa yang susah dulu dan kemudian baru buat bahasa yang paling senang bagi saya. Mula-mulanya saya tidak faham mengapa dia memberi saya nasihat itu.

Suatu hari, selepas mengadakan pembelajaran Bible dalam bahasa Sranantongo, saya mengadakan pembelajaran seterusnya dengan seorang wanita Brazil dalam bahasa Portugis. Semasa kami memulakan pembelajaran, saudari yang menemani saya berkata, “Marie-Line, saya rasa ada masalah!” Rupa-rupanya saya sedang bercakap dalam bahasa Sranantongo dan bukannya bahasa Portugis! Selepas itu, barulah saya faham betapa bijaknya nasihat saudari itu.

Saudara saudari sangat mengasihi kamu. Bagaimanakah kamu menjadi sahabat mereka?

Jack: Amsal 11:25 kata, “Orang yang murah hati akan menjadi makmur.” Kami sudi meluangkan masa bersama orang lain dan membantu mereka. Contohnya, semasa kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan, ada saudara yang beritahu saya, “Biarlah penyiar yang buat kerja itu.” Tetapi saya kata, “Saya pun seorang penyiar. Kalau ada kerja yang perlu dibuat, saya mahu bantu.” Memang benar, kita semua perlu waktu peribadi, tetapi kami sering mengingatkan diri supaya tidak membiarkan hal itu menghalang kami daripada berbuat baik kepada orang lain.

Marie-Line: Kami berusaha mengambil berat terhadap saudara saudari secara peribadi. Dengan itu, kami dapat tahu bila mereka perlu bantuan untuk jaga anak mereka atau mengambil anak mereka dari sekolah. Kami akan ubah jadual kami supaya dapat menolong mereka. Oleh sebab kami selalu sedia memberikan bantuan, hubungan kami dengan orang lain pun menjadi lebih rapat.

Apakah berkat yang kamu terima kerana berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan?

Jack: Hidup kami lebih bahagia kerana menyertai khidmat sepenuh masa. Kami juga sering berpeluang menikmati alam semula jadi yang diciptakan Yehuwa. Kami memang menghadapi cabaran, tetapi hati kami tenang kerana kami tahu bahawa umat Tuhan akan menyokong kami tidak kira di mana kami berkhidmat.

Semasa muda, saya dipenjarakan di Guiana Perancis kerana enggan menjadi askar. Tetapi saya tidak pernah bayangkan bahawa saya akan kembali ke situ sebagai mubaligh, dan diizinkan untuk melawat penjara-penjara sebagai penginjil. Yehuwa sememangnya Tuhan yang murah hati!

Marie-Line: Saya mendapat sukacita yang paling besar semasa membantu orang lain. Kami suka berkhidmat kepada Yehuwa, dan khidmat sepenuh masa juga menguatkan perkahwinan kami. Kadang-kadang, Jack akan tanya jika kami boleh jemput pasangan lain ke rumah supaya kami dapat makan bersama mereka dan menggalakkan mereka. Sering kali jawapan saya ialah, “Saya pun fikirkan hal yang sama!”

Jack: Baru-baru ini, saya didapati menghidap kanser prostat. Marie-Line tidak suka dengar saya kata saya tidak akan hidup lama, tetapi saya beritahunya, “Sayang, saya belum tua, tapi kalau saya mati hari esok, saya akan mati dengan puas. Hidup saya sangat bermakna kerana telah digunakan untuk berkhidmat kepada Yehuwa.”—Kej. 25:8.

Marie-Line: Yehuwa telah memberi kami tugasan yang tidak kami sangka, dan Dia telah membantu kami melakukan hal-hal yang tidak pernah kami bayangkan. Kami telah dilimpahi banyak berkat, dan kami yakin Tuhan akan sentiasa menolong kami. Maka ke mana sahaja organisasi mengutus kami, kami akan kata, “Inilah kami, utuslah kami!”

^ per. 32 Bahasa Sranantongo merupakan campuran bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan beberapa bahasa Afrika. Bahasa ini dikembangkan oleh hamba-hamba.