Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 15

Apakah Pandangan Anda terhadap Kawasan Penyebaran Anda?

Apakah Pandangan Anda terhadap Kawasan Penyebaran Anda?

“Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.”​—YOH. 4:35.

LAGU 64 Menyertai Kerja Menuai dengan Riang

PENGENALAN *

1-2. Mengapakah Yesus mengucapkan kata-kata di Yohanes 4:35, 36?

DALAM perjalanannya ke Galilea, Yesus melalui ladang-ladang yang masih menghijau, yang mungkin merupakan ladang barli. (Yoh. 4:3-6) Masih ada empat bulan lagi sebelum barli itu dapat dituai, tetapi Yesus berkata, “Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” (Baca Yohanes 4:35, 36.) Mengapakah dia berkata begitu?

2 Nampaknya, Yesus sedang bercakap tentang tuaian rohani, iaitu kerja “menuai” orang. Fikirkan apa yang berlaku sejurus sebelum itu. Orang Yahudi biasanya tidak berurusan dengan orang Samaria, tetapi Yesus telah menginjil kepada seorang wanita Samaria yang sudi mendengar berita baik! Semasa Yesus bercakap tentang ladang yang “sudah menguning dan siap untuk dituai,” sekumpulan orang Samaria sedang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Yesus. Mereka telah mendengar tentang Yesus daripada wanita itu dan ingin mendengar ajarannya. (Yoh. 4:9, 39-42) Seorang pakar Bible menyatakan, “Mereka mencari Yesus tanpa berlengah-lengah . . . Hal itu menunjukkan bahawa mereka adalah seperti gandum yang siap untuk dituai.”

Apakah yang patut kita lakukan jika kita memandang kawasan penyebaran kita seperti ladang yang “sudah menguning dan siap untuk dituai”? (Lihat perenggan 3)

3. Apakah manfaatnya jika anda memiliki pandangan Yesus terhadap orang?

3 Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda memandang orang di kawasan penyebaran anda seperti gandum yang sudah siap untuk dituai? Jika ya, terdapat tiga manfaat yang akan anda raih. Pertama, anda akan menginjil dengan perasaan yang lebih mendesak, kerana kita tidak boleh membuang masa pada musim menuai. Kedua, anda akan bersukacita semasa melihat orang menyambut berita baik. Bible menyatakan, ‘Orang bersukacita semasa menuai hasil tanaman.’ (Yes. 9:3) Ketiga, anda akan menganggap setiap orang berpotensi menjadi murid Yesus, maka anda akan menggunakan penyampaian yang dapat menarik minat mereka.

4. Apakah yang akan kita pelajari tentang Rasul Paulus dalam rencana ini?

4 Sesetengah murid Yesus mungkin berfikir bahawa orang Samaria tidak akan menjadi pengikut Yesus, tetapi Yesus tidak berfikir begitu. Sebaliknya, dia menganggap mereka berpotensi untuk menjadi murid-muridnya. Kita juga perlu menganggap orang di kawasan penyebaran kita berpotensi untuk menjadi murid Yesus. Rasul Paulus telah memberikan teladan yang baik dalam hal ini. Bagaimanakah kita dapat menirunya? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana dia (1) berusaha mengetahui kepercayaan orang, (2) mengenal pasti minat mereka, dan (3) menganggap mereka berpotensi untuk menjadi murid Yesus.

APAKAH KEPERCAYAAN MEREKA?

5. Mengapakah Paulus dapat memahami fikiran orang di rumah ibadat Yahudi?

5 Paulus sering menginjil di rumah ibadat orang Yahudi. Contohnya, semasa di Tesalonika, “selama tiga hari Sabat berturut-turut, dia menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk berbincang dengan [orang Yahudi]” di rumah ibadat. (Kis. 17:1, 2) Nampaknya, Paulus berasa selesa memberikan kesaksian di rumah ibadat orang Yahudi. Dia berbangsa Yahudi, memahami fikiran orang Yahudi, dan dapat menginjil dengan yakin kepada mereka.​—Kis. 26:4, 5; Flp. 3:4, 5.

6. Apakah perbezaan orang yang ditemui Paulus di rumah ibadat dan di tempat awam Atena?

6 Akibat penganiayaan, Paulus terpaksa melarikan diri dari Tesalonika ke Berea. Semasa dia ditentang lagi, dia pergi ke Atena. Seperti yang dilakukan Paulus sebelum itu, “dia pergi ke rumah ibadat dan mula berbincang dengan orang Yahudi dan orang lain yang menyembah Tuhan.” (Kis. 17:17) Namun, semasa menginjil di tempat awam Atena, Paulus menemui orang yang berbeza, seperti ahli falsafah dan orang bukan Yahudi. Mereka menganggap perkhabaran Paulus sebagai “ajaran baharu” yang “kedengaran aneh.”​—Kis. 17:18-20.

7. Menurut Kisah 17:22, 23, bagaimanakah Paulus menyesuaikan penyampaiannya?

7 Baca Kisah 17:22, 23. Paulus tidak menggunakan penyampaian yang sama untuk bercakap kepada orang bukan Yahudi di Atena dan orang Yahudi di rumah ibadat. Paulus mungkin telah berfikir, “Apakah kepercayaan orang di Atena?” Kemudian dia meneliti persekitarannya dan kegiatan agama orang di sana. Selepas itu, Paulus mencari titik persamaan antara ibadat mereka dengan kebenaran dalam Ayat-Ayat Suci. Seorang pengulas Bible menyatakan, “Sebagai orang Kristian berbangsa Yahudi, Paulus tahu bahawa orang Yunani yang beragama kafir tidak menyembah Tuhan yang benar, yang disembah oleh orang Kristian dan orang Yahudi. Namun, dia cuba menunjukkan bahawa Tuhan yang dimaksudkannya sebenarnya disembah oleh orang Atena.” Maka Paulus memberitahu orang Atena bahawa perkhabarannya berasal daripada Tuhan yang digelar oleh mereka sebagai “Tuhan yang Tidak Dikenali.” Walaupun orang bukan Yahudi tidak mengenali Ayat-Ayat Suci, Paulus tidak menyimpulkan bahawa mereka tidak mungkin menjadi orang Kristian. Dia menganggap mereka seperti gandum yang siap untuk dituai, dan menyesuaikan penyampaiannya menurut kepercayaan mereka.

Seperti Rasul Paulus, gunakan daya pemerhatian, sesuaikan penyampaian anda, dan anggaplah orang lain berpotensi untuk menjadi murid Yesus (Lihat perenggan 8, 12, 18) *

8. (a) Bagaimanakah kita dapat mengetahui kepercayaan orang di kawasan penyebaran? (b) Jika penghuni rumah berkata bahawa mereka ada agama sendiri, apakah yang dapat kita katakan?

8 Seperti Paulus, kita perlu memiliki daya pemerhatian yang tajam. Carilah tanda yang menunjukkan kepercayaan orang di kawasan anda. Sebagai contoh, kita boleh memerhatikan rumah atau kenderaan mereka. Adakah nama, pakaian, dandanan, atau cara mereka bercakap menunjukkan agama mereka? Sekiranya penghuni rumah berterus terang dengan kita bahawa mereka sudah ada agama sendiri, apakah yang dapat kita katakan? Seorang perintis khas yang bernama Flutura biasanya menjawab, “Saya bukannya datang untuk paksa kamu ikut agama saya. Saya hanya nak bincang tentang . . . ”

9. Apakah titik persamaan yang dapat anda cari semasa berbincang dengan orang yang sudah beragama?

9 Apakah yang dapat anda bincangkan dengan seseorang yang sudah beragama? Cubalah mencari titik persamaan. Dia mungkin hanya menyembah satu Tuhan, percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat manusia, atau percaya bahawa tidak lama lagi kejahatan akan berakhir. Gunakanlah titik persamaan itu untuk mengongsi berita Bible. Dengan itu, dia mungkin berminat untuk mendengar.

10. Apakah yang harus kita kenal pasti? Mengapa?

10 Ingatlah bahawa orang tidak semestinya mempercayai semua ajaran agama mereka. Jadi, selepas mengetahui agama mereka, cubalah mengenal pasti apa yang sebenarnya dipercayai mereka. David, seorang perintis khas di Australia, berkata, “Ramai orang sekarang mencampuradukkan falsafah dengan kepercayaan agama.” Donalta dari Albania berkata, “Sesetengah orang yang kami jumpa kata mereka ada agama, tetapi selepas itu mereka mengaku bahawa mereka tidak percaya kepada Tuhan.” Seorang mubaligh di Argentina mendapati bahawa sesetengah orang yang percaya kepada Tritunggal sebenarnya tidak percaya bahawa Bapa, Anak, dan roh kudus, ialah satu Tuhan. Saudara itu menambah, “Setelah mengetahui hal itu, lebih mudah untuk mencari titik persamaan.” Ya, cubalah mengenal pasti apa yang sebenarnya dipercayai orang. Dengan itu, anda dapat menjadi seperti Paulus dan “membantu segala macam orang.”​—1 Kor. 9:19-23.

APAKAH MINAT MEREKA?

11. Menurut Kisah 14:14-17, apakah yang dilakukan Paulus supaya penyampaiannya menarik minat orang di Listra?

11 Baca Kisah 14:14-17. Paulus mengenal pasti minat pendengarnya dan menyesuaikan penyampaiannya. Misalnya, orang di Listra kurang atau langsung tidak mengenali Ayat-Ayat Suci. Jadi, Paulus menyebut tentang hasil tanaman yang banyak dan nikmat hidup. Penyampaiannya berkesan kerana contoh dan kata-kata yang digunakannya mudah difahami.

12. Bagaimanakah anda dapat mengenal pasti minat orang lain dan menyesuaikan penyampaian anda?

12 Gunakan daya pengertian untuk mengenal pasti minat orang di kawasan penyebaran. Kemudian, ubahlah penyampaian anda. Sebelum mula bercakap dengan seseorang, bagaimanakah anda dapat mengetahui apa yang diminatinya? Sekali lagi, gunakan daya pemerhatian anda. Dia mungkin sedang berkebun, membaca buku, membaiki kenderaan, atau melakukan hal lain. Jika sesuai, gunakanlah apa yang sedang dilakukannya untuk memulakan perbualan. (Yoh. 4:7) Daripada pakaian seseorang, kita mungkin dapat mengetahui bangsanya, pekerjaannya, atau pasukan kegemarannya. Gustavo berkata, “Saya mula berbual dengan seorang lelaki berusia 19 tahun. Pada bajunya terdapat gambar seorang penyanyi yang terkenal. Saya bertanya tentang bajunya, dan dia memberitahu saya mengapa dia suka penyanyi itu. Perbualan itu membolehkan saya memulakan pembelajaran Bible dengannya. Sekarang, dia saudara kita.”

13. Bagaimanakah anda dapat menawarkan pembelajaran Bible dalam cara yang menarik minat orang?

13 Semasa menawarkan pembelajaran Bible, nyatakan manfaatnya supaya menarik minat orang. (Yoh. 4:13-15) Perhatikan pengalaman berikut: Seorang saudari telah menemui seorang wanita yang berminat dan dijemput masuk ke dalam rumahnya. Dia nampak sijil pada dinding rumah wanita itu. Rupa-rupanya wanita itu seorang profesor dalam bidang pendidikan. Jadi, saudari itu menekankan bahawa kita juga mendidik orang menerusi program pembelajaran Bible dan perjumpaan. Wanita itu sudi belajar Bible, menghadiri perjumpaan pada keesokan harinya, dan menghadiri perhimpunan litar tidak lama kemudian. Setahun selepas itu, dia dibaptis. Jadi, tanyalah diri, “Apakah minat kunjungan kembali saya? Bagaimanakah saya dapat menawarkan pembelajaran Bible dalam cara yang menarik minat mereka?”

14. Bagaimanakah anda dapat menyesuaikan sesi pembelajaran mengikut keperluan setiap pelajar?

14 Selepas memulakan pembelajaran Bible, buatlah persiapan untuk setiap sesi pembelajaran. Semasa membuat persiapan, fikirkan latar belakang dan minat pelajar anda. Selain itu, fikirkan ayat Bible yang akan anda baca, video yang akan anda mainkan, dan contoh yang akan anda gunakan untuk menjelaskan kebenaran Bible. Tanyalah diri, “Apakah yang dapat menarik minat dan mencapai hati pelajar ini?” (Ams. 16:23) Flora, seorang perintis di Albania, mempunyai seorang pelajar Bible yang berkata, “Saya tidak dapat terima ajaran pembangkitan.” Flora tidak memaksanya untuk menerima ajaran itu. Flora berkata, “Saya sedar bahawa dia mesti mengenali Tuhan yang menjanjikan harapan pembangkitan terlebih dahulu.” Sejak itu, pada setiap sesi pembelajaran, Flora akan menegaskan kasih, kebijaksanaan, dan kuasa Yehuwa. Pelajar itu kemudiannya menerima ajaran pembangkitan dengan mudah, dan kini dia seorang Saksi yang bersemangat.

MENGANGGAP SETIAP ORANG BERPOTENSI MENJADI MURID YESUS

15. Menurut Kisah 17:16-18, apakah sesetengah perkara di Atena yang mungkin membuat Paulus berasa geram? Tetapi mengapakah dia masih berusaha membantu orang Atena?

15 Baca Kisah 17:16-18. Kota Atena penuh dengan berhala, perbuatan yang tidak bermoral, dan ajaran kafir, tetapi Paulus tidak berfikir bahawa orang Atena tidak mungkin berubah. Dia terus menginjil biarpun mereka menghinanya. Mengapakah Paulus tidak putus asa? Sebelum dia menjadi orang Kristian, dia pun “menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.” (1 Tim. 1:13) Yesus menganggap Paulus berpotensi untuk menjadi muridnya, dan Paulus menganggap orang Atena juga berpotensi untuk menjadi murid Yesus. Usaha Paulus telah membawa hasil yang baik.​—Kis. 9:13-15; 17:34.

16-17. Apakah yang menunjukkan bahawa orang daripada pelbagai latar belakang berpotensi untuk menjadi murid Kristus? Berikan contoh.

16 Murid-murid Yesus pada abad pertama berasal daripada pelbagai latar belakang. Dalam suratnya kepada orang Kristian di Korintus, sebuah kota orang Yunani, Paulus berkata bahawa sesetengah ahli sidang dahulunya merupakan penjenayah atau pernah melakukan perbuatan tidak bermoral yang menjijikkan. Kemudian, dia menambah, ‘Namun, kamu sekarang sudah dibersihkan.’ (1 Kor. 6:9-11) Adakah anda akan menganggap orang sebegini berpotensi untuk berubah dan menjadi murid Yesus?

17 Hari ini, banyak orang rela berubah agar dapat menjadi murid Yesus. Contohnya di Australia, seorang perintis khas yang bernama Yukina berjumpa dengan seorang wanita muda di dalam sebuah pejabat. Wanita itu bertatu, dan pakaiannya tidak kemas. Yukina menjelaskan, “Pada mulanya saya teragak-agak untuk bercakap dengannya. Tetapi setelah berbual dengannya, saya dapati dia begitu berminat tentang Bible sehingga beberapa tatunya merupakan ayat daripada buku Mazmur!” Wanita itu mula belajar Bible dan menghadiri perjumpaan. * Daripada pengalaman itu, Yukina belajar bahawa orang daripada pelbagai latar belakang berpotensi untuk menyambut berita Bible.

18. Mengapakah kita tidak patut menghakimi orang?

18 Adakah Yesus berkata bahawa ladang sudah menguning dan siap untuk dituai kerana dia menyangka bahawa ramai orang akan menjadi pengikutnya? Tidak. Bible sudah menubuatkan bahawa hanya segelintir orang yang akan beriman kepadanya. (Yoh. 12:37, 38) Yesus juga mengetahui reaksi orang kerana dia dapat membaca isi hati mereka. (Mat. 9:4) Meskipun begitu, dia menginjil dengan bersemangat kepada semua orang, dan dia bertumpu untuk membantu mereka yang beriman. Jika Yesus berbuat demikian, apatah lagi dengan kita! Kita tidak dapat membaca isi hati orang, jadi janganlah menghakimi orang lain atau kawasan penyebaran kita. Sebaliknya, lihatlah potensi mereka. Marc, seorang mubaligh di Burkina Faso, berkata, “Orang yang saya sangka akan buat kemajuan sering berhenti belajar, tetapi orang yang saya sangka tidak berpotensi pula sering membuat kemajuan yang baik. Saya sudah belajar bahawa lebih baik kita ikut sahaja bimbingan kuasa suci Yehuwa semasa mencari orang yang berhati jujur.”

19. Bagaimanakah kita patut memandang orang di kawasan penyebaran kita?

19 Sekilas pandang, kebanyakan orang di kawasan penyebaran kita mungkin bukanlah gandum yang siap untuk dituai. Namun, ingatlah kata-kata Yesus bahawa ladang sudah menguning dan siap untuk dituai. Jangan lupa, orang berpotensi untuk berubah dan menjadi murid Kristus, dan mereka bernilai di mata Yehuwa. (Hag. 2:7) Jika kita memupuk pandangan Yehuwa dan Yesus terhadap orang, kita tidak akan berpandangan negatif terhadap mereka. Sebaliknya kita akan berusaha memahami latar belakang dan minat mereka, dan menganggap mereka berpotensi untuk menjadi saudara saudari kita.

LAGU 57 Menginjil kepada Semua Orang

^ per. 5 Bagaimanakah pandangan kita terhadap kawasan penyebaran kita mempengaruhi cara kita menginjil dan mengajar? Rencana ini menyatakan bagaimana Yesus dan Rasul Paulus memandang orang di kawasan mereka. Kita juga akan belajar cara untuk meniru mereka dengan mengambil kira kepercayaan dan minat orang di kawasan kita, dan menganggap mereka berpotensi untuk menjadi murid Yesus.

^ per. 17 Siri rencana “Bible Mengubah Hidup” mempunyai lebih banyak contoh tentang orang yang membuat perubahan dalam hidup. Siri rencana ini diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal sehingga tahun 2017, dan kini terdapat di jw.org®. Lihat MENGENAI KAMI > PENGALAMAN.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri menginjil dari rumah ke rumah. Mereka nampak (1) sebuah rumah yang kemas, yang dihiasi bunga yang cantik; (2) sebuah rumah yang mempunyai anak-anak kecil; (3) sebuah rumah yang di dalam dan di luarnya tidak bersih; dan (4) sebuah rumah yang penghuninya beragama. Pada pendapat anda, penghuni rumah manakah yang paling berpotensi untuk menjadi murid Kristus?